Khamis, Januari 14, 2010

PEMAKLUMAN: HARI PEJUANG BAHASA

Foto Hiasan: Buku Antologi Puisi 'Pusaka Bangsa' yang dihasilkan dan diterbitkan DBPWS sempena sambutan 50 tahun DBP peringkat DBPWS pada tahun 2007.


Sdra. Jaafar Hamdan (jaafarhamdan.blogspot.com), seorang kenalan di Ibu Pejabat DBP memohon menyampaikan maklumat di bawah ini untuk makluman semua. Maklumat ini diambil langsung dalam entri blog beliau:

Salam,
Kepada semua Pejuang Bahasa Kebangsaan,
Sukacita dimaklumkan bahawa "Hari Pejuang Bahasa" akan diadakan pada 15 Februari 2010 (Isnin) bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Acara ini TERBUKA dan PERCUMA untuk penulis, seniman, budayawan, karyawan, artis, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, polis, tentera, mahasiswa, pelajar dan semua pejuang serta pencinta bahasa, sastera dan budaya.
"MARILAH BERSAMA-SAMA HADIR MENYOKONG DAN MENDUKUNG PERLEMBAGAAN 152 DEMI BAHASA KITA"
Kepada yang berminat untuk hadir, sila hubungi sdr.Taib 017 2760100, sdr. Ikram 012-2908429, sdr. Ritah 03-21483039 dan sdr. Salleh 013-2450808

Selasa, Januari 12, 2010

BICARA KARYA SASTERA MELAKA 2010

Novel 'Meranduk Ranjau' - Mohd. Kasim Mahmud.

Novel 'Haruskah Aku Berlari' - Hanita Hassan.

Mengikut perancangan terkini program Bicara Karya Sastera Melaka akan diadakan seperti maklumat di bawah:

BICARA KARYA SASTERA NEGERI MELAKA

Anjuran
DBP Wilayah Selatan
dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP
dengan kerjasama
Institut Pendidikan Guru (IPG)
Kampus Perempuan Melayu Melaka

22 Januari 2010 (Jumaat) , 9 pagi - 11.30 pagi,
di Dewan Tun Fatimah,
IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, Melaka.

Program yang bakal diadakan akan membicarakan tiga karya iaitu:
i. 'Meranduk Ranjau' - novel karya Mohd. Kasim Mahmud, dibicarakan oleh Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP.
ii. 'Haruskah Aku Berlari' - novel karya Hanita Hassan, dibicarakan oleh En. Mohamad Hj. Musip, Pensyarah IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka / Munsyi Dewan DBP.
iii. 'Simbiosis' - kumpulan puisi Borhan Md. Zain, dibicarakan oleh Hj. Shamsudin Othman, Pensyarah UPM.

Menariknya, tiga pengkarya ini merupakan anak jati kelahiran Melaka walaupun Cikgu Mohd. Kasim Mahmud sudah lama bermastautin di Kota Tinggi, Johor namun beliau merupakan anak jati kelahiran Merlimau, Melaka.
Novel 'Meranduk Ranjau' bersesuaian dibicarakan di sebuah pusat pengajian iaitu IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka yang kesemua pelajarnya (guru pelatih) wanita kerana novel ini berkisar soal perjuangan serikandi dalam sejarah pada abad ke-15. Novel 'Haruskah Aku Berlari' juga berkisar soal gadis yang terperangkap dalam pilihan cintanya.
Sekadar tambahan maklumat, buku novel 'Meranduk Ranjau' (terbitan 2009) dan 'Haruskah Aku Berlari' (terbitan 2008) diusahakan penerbitannya oleh DBPWS melalui Pn. Azura Mohd Halid.
SEMUA DIJEMPUT HADIR - buat masyarakat Melaka khususnya yang berminat silalah hadir dalam program ilmu yang mengungkap dan mengangkat karya sastera. Program ini juga diadakan bersempena sambutan Jubli Intan IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka dan majlis Anugerah Sastera Negeri Melaka.

Ahad, Januari 10, 2010

SANTAI: SISI LAIN JUARA LAGU KE-24...

Kulit album 'Battle of The Band' tetap diingati ketika kemunculan awal era rock 'otai' pada tahun sekitar 1980-an. Kulit album tercatat 'Hapuskan Cetak Rompak'.

LIRIK DAN TAJUK LAGU
- Ada lirik lagu dalam Juara Lagu (JL) ke-24 ini yang mudah, frasa seperti ‘aku cinta kamu, kamu cinta aku…’. Mungkin mutu lirik tidak diutamakan tetapi nada muzik dan glamor seseorang artis atau kumpulan muzik itu yang diutamakan, ya… kini semuanya ‘wajib’ komersil berbanding mutu.
- Tajuk lagu juga bercampur-campur, ada tajuk seperti ‘Becinta’, ‘Aku Rindu Sayang Kamu’, ‘Pakai Buang’, ‘Aku Skandal’, ‘Situasi’, 'Pergi', 'Cinta Adam dan Hawa'. Adakah kata ‘Becinta’ dalam Kamus Dewan?, ya… difahamkan bahawa ‘Becinta’ ini menggabungkan perkataan ‘benci’ dan ‘cinta’?
- Lirik lagu 'Cinta Adam dan Hawa' tulisan Arwah Loloq tetap menarik dan pemilihan kata yang baik dalam rangkap yang bermutu.

EKSPLOITASI PELAJAR SEKOLAH
- Satu perkembangan yang ‘hebat’ pabila dalam lagu yang disampaikan oleh Aizat iaitu ‘Kau Aku’ menggunakan pelajar sekolah rendah dengan memakai pakaian seragam sekolah yang lengkap menari dan ikut serta buat persembahan.
- Inilah unsur eksploitasi yang nyata ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia; pelajar sekolah rendah ini mungkin mendapat izin Kementerian Pelajaran Malaysia? ya… sesuatu pembaharuan dalam membina masyarakat Malaysia yang ‘hebat’ suatu masa nanti!

PERSEMBAHAN SEARCH
- Search membuat persembahan dalam selingan persembahan kumpulan era 1960-an hingga kini. Search mewakili kumpulan muzik era 1980-an, ya… era rock ‘otai’.
- Lagu ‘Pawana’ dan ‘Fantasia Bulan Madu’ - gaya Search memakai kostum (baju dan seluar ketat) dan rambut palsu yang menggambarkan era rock kapak @ rock ‘otai’ 1980-an.
- Gaya dan suara Amy Search usah diperkatakan lagi… kumpulan Search sendiri jangan ditandingi lagi, ini legenda besar muzik Malaysia yang tidak akan terpadam.

Sabtu, Januari 09, 2010

SALJI LEBAT - EPL MINGGU KE-21 TANGGUH

Buku wajib rujukan anak untuk EPL 2009/2010.

Minggu ini tiada coretan keputusan perlawanan EPL yang sering dicatat oleh anak selepas selesai sesuatu perlawanan EPL. Contengan dan catatan pada kertas ini menjadi teman setia anak - sudah terkoyak tetapi dicantumkan kembali...

Beberapa perlawanan English Premier League (EPL) atau dikenali Barclays Premier League minggu ke-21 atau perlawanan ke-21 bagi sebahagian besar pasukan kecuali Arsenal, Man City, Everton, Wigan, dan Bolton ditangguhkan kerana cuaca bersalji yang teruk melanda stadium perlawanan. Minggu ini juga bermulanya pusingan kedua (timbal balik) bagi pasukan EPL yang dijangka tamat pada pertengahan Mei 2010 nanti, persaingan makin sengit untuk menentukan kejuaraan EPL 2009/2010, apakah Chelsea atau Man U atau Man City atau Arsenal juara musim ini, kenapa Liverpool tidak termasuk dalam senarai bakal juara?
Dua anak bertanya kenapa tiada perlawanan malam ini dan esok, kenapa tidak bermain di stadium yang tidak dilanda salji? Diri ini terangkan jawapannya yang mudah mengambil suasana di Malaysia - jika banjir teruk serta padang sekolah becak teruk kerana hujan amat lebat maka perlawanan tidak dapat diteruskan. Laporan laman web EPL dan berita sukan televisyen Malaysia ada melaporkan tentang penangguhan ini seperti laman web berita Utusan Malaysia di bawah:

Beberapa perlawanan EPL ditunda akibat cuaca salji
09/01/2010 3:25am
LONDON, 8 Jan. - Keadaan cuaca yang bersalji di Britain menyebabkan beberapa perlawanan Liga Perdana England hujung minggu ini ditunda.
Perlawanan antara Hull City menentang pendahulu Liga Chelsea hari ini dan Liverpool bertemu Tottenham telah ditunda akibat cuaca teruk.
Terlebih dahulu perlawanan di antara Portsmouth bertemu Fulham, serta Burnley menentang Stoke City dan Sunderland melawan Bolton Wanderers juga terpaksa ditunda. - REUTERS


Maka malam ini tumpuan sepenuhnya menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih iaitu permulaan bagi musim baharu Liga Super Malaysia tahun ini iaitu melibatkan pasukan Negeri Sembilan menentang Selangor. Piala Sumbangsih umpama Piala Charity Sheild bagi permulaan EPL di England tetapi harus diingat mutu Piala Sumbangsih ini tidaklah boleh tandingi EPL umpama 'Langit dan Bumi'.

Khamis, Januari 07, 2010

E-BOOK: LANGIT DAN BUMI - POSITIF DAN NEGATIF

Foto Hiasan: Album Search 'Langit dan Bumi' tahun 1986 - kaset yang masih berlabel PHILIPS.


Kutipan akhbar Berita Harian Online - 7 Januari 2010
Guru Tahun Enam di Terengganu akan diberi e-Book
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengagihkan 800 unit e-Book kepada semua guru yang mengajar murid Tahun Enam di negeri ini sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata sebelum itu, guru berkenaan akan terlebih dahulu menjalani tiga siri kursus yang dikendalikan syarikat komputer Intel dengan kerjasama kerajaan negeri.
"Kita tidak mahu murid menggunakan komputer manakala guru masih menggunakan buku biasa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kecemerlangan pelajar UPSR Terengganu 2009 di sini, hari ini.

________________________________________

Catatan:
- Ya... umpama LANGIT DAN BUMI (tajuk album Search - foto di atas) tahap pengajaran dan pembelajaran di Malaysia, sebelum ini ada negeri (negeri yang sama) mampu memberikan komputer riba sebegini kepada murid sekolah rendah.
- Baru-baru ini ketika cuti sekolah diri ini sempat menziarahi kakak yang tinggal di Kemaman, Terengganu, anak saudara darjah 5 menunjukkan e-book yang diterimanya. Cantik, kecil dan ringan komputer itu yang mengandungi pelbagai perisian terkini dalam sistem komputer.
- Pabila diri ini tanya apakah tujuan sebenar kegunaannya? Maka kakak dan anak saudara memberitahu bahawa tidak perlu membawa terlalu banyak buku teks dan buku latihan! Sudut positifnya - memang menyenangkan pelajar.
- Diri ini terkejut pabila kakak menambah bahawa pelajar sekolah rendah bukanlah guna sangat e-book ini tetapi ketika cikgu mengajar di hadapan para pelajar main 'game'...! Pelajar ada 'kata laluan' (password) untuk e-book ini yang dirahsiakan daripada pengetahuan ibu bapa.
- Teringat satu laporan berita akhbar tahun lepas (jika tidak silap akhbar KOSMO) melaporkan bahawa terdapat pelajar sekolah rendah yang menerima e-book ini menyalahgunakannya dengan memasukkan perisian lucah...!

Rabu, Januari 06, 2010

TERBITNYA 'MAWAR: TAMAN EZZFLOWZ' DAN 'ASTAKA BAHASA'

Kulit depan buku antologi cerpen 'Mawar: Taman Ezzflowz'.

Kulit belakang (blurb) buku antologi cerpen 'Mawar: Taman Ezzflowz'.

Kulit depan buku antologi puisi 'Astaka Bahasa'.

Kulit belakang (blurb) buku antologi puisi 'Astaka Bahasa'.

Inilah tiga penggerak utama yang bersidang bagi sesi penilaian karya puisi dan cerpen pelajar untuk diterbitkan - hasilnya 'Mawar: Taman Ezzflowz' dan 'Astaka Bahasa'.
(Cikgu Azhar Salleh bersemangat menerangkan sesuatu kepada Cikgu A. Rani Embi manakala Cikgu Amirruddin Ali tekun menentukan 'kewajaran' karya yang dipilih.)

Baru sekejap tadi selesai menulis entri berjudul METALLICA DAN TINNITUS, maka datanglah individu syarikat percetakan buku menghantar sejumlah 2,000 buku iaitu 1,000 untuk buku 'Mawar: Taman Ezzflowz' dan 1,000 buku 'Astaka Bahasa'. AS (bukan nama penuh) merupakan orang luar DBPWS pertama yang diri ini khabarkan tentang penghantaran buku ini, tapi sayangnya diri ini tidak dapat berjumpa dengannya petang ini kerana ada tugasan tentang UQP 1041.
Syukur amat besar kepada-Nya terbit juga dua buah buku iaitu antologi cerpen dan puisi pelajar (karya yang dinilai dan terpilih) Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2008 - 2009. Walaupun dua buah ini tidaklah sehebat dan sesempurna penerbitan buku-buku antologi cerpen dan puisi yang lain namun proses awal sehingga terbitnya melalui proses seperti menerbitkan buku yang sebenarnya - ya... melalui proses pemilihan, penilaian, penyuntingan, menentukan spesifikasi buku, mendapatkan kod ISBN, menyemak dan mencetak. Terima kasih atas bantuan penuh komited rakan sepejabat iaitu Pn. Azura Mohd Halid (atau dikenali Pn. Maria - bukan nama sebenar) yang turut tekun menangani buku ini.
Dua buah buku ini berkonsepkan 'khidmat sosial', karya yang terpilih dalam buku ini dinilai rapi dan tekun oleh Cikgu Azhar Salleh, Cikgu A. Rani Embi dan Cikgu Amiruddin Ali. Sememangnya amalan diri ini sejak 2002 ingin terbitkan hasil karya pelajar yang mengikuti program perkampungan anjuran DBPWS dengan kerjasama JPNJ dan JPNM, ikutkan hati ingin setiap tahun terbitkan tapi apakan daya terpaksa buat cuma 2 tahun sekali kerana kekangan peruntukan dan perbelanjaan dalam konteks 'khidmat sosial' sebegini.
Sebelum ini sudah terbit antologi cerpen dan puisi pelajar perkampungan tahun 2006 - 2007 berjudul 'Pengorbanan' dan 'Jaring Harapan'. Memeranjatkan juga pabila 3 karya puisi dan 3 karya cerpen dalam buku itu meraih semua hadiah bagi kategori Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun Hadiah Sastera Darul Takzim 2009 yang lalu. Begitulah juga harapan (jika bersesuaian mutunya dan layak untuk memasuki pertandingan dan penilaian) jika ada pertandingan lain di Johor dan Melaka mahupun peringkat kebangsaan pada tahun semasa penilaian karya diri ini akan menghantar penyertaan buat pelajar yang terkandung karyanya dalam 2 buku terbaharu ini.
Buat Cikgu Azhar Salleh yang banyak berkorban masa dan tenaga sama ada dalam program perkampungan serta penilaian untuk menerbitkan dua buah buku ini, diri ini ucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan yang besar; juga buat Cikgu A. Rani Embi dan Cikgu Amiruddin Ali atas komitmen jitu dalam hal pengurusan program perkampungan dan proses ke arah terbitnya buku ini.
Buat para pembaca entri ini, jika berminat untuk dapatkan dua buah buku ini bolehlah menghubungi saya dalam pelbagai bentuk komunikasi yang ada kini.

SANTAI: METALLICA DAN 'TINNITUS'


Suatu ketika dahulu pernah miliki 2 album ini dalam bentuk pita kaset...
Petikan akhbar Utusan Malaysia - 6 Januari 2010 (Ruangan Luar Negara)
Pemain dram Metallica hidap penyakit 'Tinnitus'
NEW YORK 5 Jan. - Bunyi riuh di dalam sebuah dewan konsert sangat bingit dan gamat. Penonton-penonton melaungkan 'Metallica... Metallica'. Lars Ulrich memegang kayu pemukul dram tinggi di atas kepalanya. Hanya dalam masa beberapa saat, suasana yang awalnya gamat berubah sepi. Ulrich memulakan permainan dram bertenaga dan 'ditelan' bunyi yang sangat menggegarkan iaitu raungan gitar, dentuman gitar bass dan paluan rancak dramnya.
"Saya telah bermain muzik rock yang bingit selama kira-kira 35 tahun. Saya bermain muzik tanpa sebarang perlindungan,'' kata Ulrich, 46, pemain dram kumpulan muzik heavy metal Metallica.
Pada awal kerjayanya, tanpa sebarang perlindungan yang dipakai di telinga, bunyi bising daripada muzik terus terngiang-ngiang di telinganya biarpun Ulrich berada di luar pentas.
"Ia sentiasa bermain di telinga saya. Ia seperti tidak mahu pergi dan tidak pernah berhenti,'' katanya kepada CNN.
Bagaimanapun ia bukanlah bunyian yang didengar daripada bunyi sebenar. Ia adalah satu keadaan yang dipanggil 'tinnitus', satu persepsi yang menyebabkan seseorang mendengar bunyi walaupun ia sebenarnya tiada.
"Ia adalah satu rasa khayalan bunyi seperti ilusi kesakitan apabila tangan dipotong dan anda rasa kesakitan pada tangan yang telah hilang.
"Ia akan berlaku apabila anda menghidap 'tinnitus','' kata Richard Salvi, seorang pakar 'tinnitus' terkemuka dari Pusat Pendengaran dan Kesihatan di Universiti Buffalo, New York.
'Tinnitus' boleh berlaku berterusan atau sekejap-sekejap. Ia sering disifatkan sebagai bunyian nyaring di telinga, namun kadang kala boleh berbunyi seperti dengung, siulan atau bunyi klik.
Menurut Persatuan Tinnitus Amerika, lebih 50 juta orang di Amerika Syarikat (AS), mengalami beberapa darjah 'tinnitus'. Bagi 12 juta pesakit yang menghidapnya, hidung mereka hilang fungsi menghidu.
Ulrich berkata, masalah pendengarannya menjadi lebih teruk semasa siri jelajah konsert 1988 dan anehnya, ia berlaku semasa dia tidur.
''Saya biasanya akan tertidur dengan televisyen masih menyala. Saya akan terjaga di tengah malam untuk menutupnya. Tetapi ia sebenarnya tidak bernyala pun.
''Bila saya sedar saya kerap mengalaminya iaitu menutup televisyen yang tidak bernyala, saya sedar yang saya mungkin ada isu kesihatan,'' katanya. - Agensi
___________________________________________________________

Catatan:
- Misteri juga penyakit ini, boleh membawa dalam tidur rupanya...
- Mungkin bukan hanya mendengar muzik yang kuat dan bingit sahaja boleh menyebabkan penyakit ini timbul tetapi jika kerap juga mendengar deklamasi puisi yang kuat boleh membuatkan seseorang terkena sindrom ini...? Ya.. contohnya jika sering mendengar deklamasi puisi yang dimulakan dengan 'ngauman harimau'!
- Penyakit 'Tinnitus' ini rasanya juga boleh berlaku kepada pendengar muzik yang memasang kuat suara (volume) CD atau kaset secara kerap...? Namun pendengar dan peminat utama 'muzik dan irama keras' pasti bijaksana mengawalnya... tidaklah sampai 'hidung hilang fungsi menghidu'.

Selasa, Januari 05, 2010

KEHILANGAN JALUR LEBAR DAN HARGANYA...

Foto Hiasan: Sahabatku AS masih 'mencari' jalur lebar yang sesuai...

1. Seorang insan yang diri ini kagumi dan hormati iaitu AS - bukan nama penuh (antaranya kerana kehebatan dan kepakarannya dalam bidang bahasa dan puisi) telah kehilangan jalur lebar berjenama C sejak beberapa hari yang lalu. Diri ini mencadangkan agar beliau 'potong' sahaja jalur lebar berjenama C itu.

2. Atas kehilangan jalur lebar AS itu, diri ini tidak dapat menikmati tulisan dan ceritanya melalui blog popularnya itu. Khabarnya AS belum sempat untuk memiliki jalur lebar baharu - bukan kerana beliau tidak mampu membelinya tetapi beliau masih belum mampu untuk ke kedai syarikat jalur lebar kerana urusan sekolah dan persekolahan yang telah bermula sejak semalam.

3. Kebetulan kehilangan jalur lebarnya itu, seorang menteri yang menjaga hal ehwal komunikasi pula menyatakan bahawa kadar jalur lebar akan dikaji agar berpatutan harganya. Memetik tajuk akhbar perdana hari ini 'Kadar jalur lebar lebih murah?'

Beliau berkata bagi tujuan itu, kementerian akan membuat perbandingan kadar harga dengan beberapa negara seperti Korea, Singapura, Thailand, Vietnam dan Kemboja.
"Kementerian akan cari jalan supaya harga penggunaan internet dan jalur lebar di Malaysia berada pada tahap yang tidak membebankan dan tidak mahal.
"Bagi tujuan itu kementerian akan membuat perbandingan harga yang digunakan di Korea, Singapura, Thailand, Vietnam dan Kemboja. Ini untuk memastikan kadar harga yang dikenakan adalah tidak membebankan," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu dalam wacana eksklusif bersama Radio Klasik Nasional di Wisma Radio, Angkasapuri, di sini, hari ini.

4 . Sememangnya sungguh tidak diketahui sebelum ini bahawa kadar perkhidmatan jalur lebar di Malaysia mahal rupanya, nasib baik menteri itu menyatakan kebenaran bahawa harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia mahal! Namun begitu berkemungkinan juga jika harga perkhidmatan jalur lebar ini bakal murah di Malaysia suatu hari nanti - apakah banyak laman web pula yang akan disekat...?

Ahad, Januari 03, 2010

DUA DARJAT - MAN U TEWAS DI OLD TRAFFORD

Foto kutipan melalui laman web Liga Divisyen 3 England - Gol kemenangan bersejarah Leeds dengan mudah tumpasnya Kuszczak dan Brown.


Puas hati dan lega rasanya bersama ahli keluarga menyaksikan tewasnya Man U kepada Leeds United 0 - 1 dalam pusingan ketiga Piala FA sebentar tadi. Gol jaringan pemain Leeds iaitu Beckford pada minit ke-19. Keegoaan Man U terjunam pabila tewas kepada Leeds yang merupakan pasukan Liga 1 Coca Cola (iaitu Liga Divisyen 3 selepas English Premier League (EPL) dan Coca Cola Championship) dalam pertandingan liga bola sepak di England. Jika secara mudahnya ikut sistem liga bola sepak di Malaysia ini - Leeds itu hanya dalam Liga FAM iaitu selepas Liga Super dan Liga Perdana.
Fakta terkini: Leeds sedang mendahului Liga 1 Coca Cola (Liga Divisyen 3) dengan 56 mata melalui 23 perlawanan.
Berdasarkan sejarah lalu, pasukan Leeds ini merupakan antara pasukan yang sering menghuni kedudukan 10 terbaik dalam EPL atau terdahulunya dikenali Liga Divisyen 1 England, namun sejak 6-7 tahun lalu pasukan ini menjunam lalu terhumban ke divisyen corot di England. Suatu ketika dahulu ramai juga pemain Leeds ini hebat serta terpilih menyertai pasukan England serta menjadi sasaran pembelian oleh pasukan yang lebih kaya seperti Man U sendiri. Salah satu sebab Leeds menjunam kerana kekurangan peruntukan kewangan dalam menguruskan pasukan dan pemain serta dihukum 'bankrap'.
Apa-apapun Leeds berjaya 'menumbangkan' ego besar Man U di stadium Man U! Suatu hal yang bedar dan hebat...!, yang pastinya pengurus legendanya Fergueson pasti menyatakan bahawa "Man U tidak tertarik untuk merebut Piala FA ini, Man U lebih berghairah untuk merangkul Piala EPL dan Champions League..." Biasalah pasukan Man U dengan tabiat 'memperkecilkan' pasukan lain dan sesebuah piala...

Sabtu, Januari 02, 2010

BELANJA PERSEKOLAHAN DAN SEKOLAH KLUSTER...

Anak tetap bergembira bermain ombak Laut China Selatan.

Bersekolah di sini bermula tahun 1985 - 1991
(Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 6 Atas).


1. Persekolahan tahun 2010 ini bermula 4 Januari 2010, sejak seminggu lalu hingga ke hari ini agak sibuk sedikit untuk urusan membeli peralatan dan pendaftaran sekolah buat dua anak yang akan memasuki darjah 5 dan darjah 2. Seorang sekolah kebangsaan pada sesi pagi dan sekolah agama sesi petang, seorang lagi sekolah kebangsaan pada sesi petang dan sekolah agama sesi pagi.
2. Pengalaman tahun-tahun sebelum ini membuatkan suasana pembelian barang persekolahan dan ketika pendaftaran di sekolah berjalan lancar dan teratur mengikut tempoh masa dan situasi sama ada di tempat menjual barangan persekolahan dan di sekolah. Suasana di kompleks beli-belah cukup 'meriah' dengan jualan Kembali ke Sekolah, penuh sesak ibu bapa dan anak masing-masing ke kedai membeli kelengkapan persekolahan, namun diri ini tetap memilih untuk membeli kelengkapan sekolah anak (khususnya pakaian lengkap dan kasut sekolah) cuma di tempat berskala rendah iaitu Pasar Larkin sahaja.
3. Peningkatan jumlah perbelanjaan untuk kelengkapan persekolahan (baju - seluar - beg - kasut - kotak alat tulis - sampul buku dan sebagainya) berlaku tahun demi tahun. Secara kasarnya untuk dua beradik bagi belanja kelengkapan persekolahan sebanyak RM500.00 - RM600.00.
4. Peningkatan jumlah bayaran kepada sekolah kebangsaan dan sekolah agama (yuran - buku dan pelbagai bayaran lain) juga berlaku, secara kasarnya untuk dua beradik sebanyak RM400.00 - RM500.00.
5. Secara kasarnya perbelanjaan untuk kelengkapan sekolah dan bayaran kepada sekolah kebangsaan dan agama sebanyak RM1,100.00, namun demi kepentingan pendidikan dua beradik ini maka tidaklah 'merungut' berbanding sebilangan ibu bapa yang cepat 'menengking' tidak tentu pasal kepada guru dan pihak sekolah yang diri ini lihat dan dengar ketika sesi pendaftaran dan bayaran di sekolah. Inilah sistem pendidikan negara kita kini yang khabarnya inginkan kecemerlangan hebat bertaraf dunia - ya... seumpama sekolah dua beradik ini yang jelas terbentang besar dan luas di hadapan pintu sekolah iaitu 'KLUSTER...', diri ini sendiri tidak mengerti banyak hal apakah itu KLUSTER?