Khamis, Julai 15, 2010

TEATER TLT DI UiTM JOHOR, SEGAMAT: 800-900 PENONTON...

Sebahagian penonton dalam kalangan pelajar UiTM Johor.

Aksi Wan Abu Bakar (kiri) bersama-sama pelakon pengiring.

Wan Abu Bakar (lakonan Zamri Pangat) bertengkar dengan Hana (lakonan Nurulein).
Catatan: Foto di atas rakaman kamera sendiri.
Demam dan 'sakit' PD 2010 mulai reda kini. Demam ini sebelum cukup dirasakan pabila kadang kalanya tertinggal untuk mencatat sesuatu yang baharu dalam blog ini sehingga ada beberapa acara dan coretan terpaksa 'ditinggalkan'.
Dalam keghairahan menjelang sehari sebelum perlawanan akhir PD 2010 lalu sempat juga ke Segamat atas tujuan rasmi dan hakiki. Pihak UiTM Johor khususnya Persatuan Bahasa Mandarin dan Grup Seni Gerbang Unik mempelawa pihak DBPWS bersama-sama dalam penganjuran pementasan teater mini berjudul 'Tanah Lindungan Tuhan' (TLT). Pementasan ini diadakan pada 10 Julai 2010 di Dewan Sri Temenggung, UiTM Johor, Segamat, Johor.
Usaha gigih dan penuh semangat pihak UiTM Johor melalui pegawai / pensyarah iaitu En. Ainol Hasanal dalam hal pementasan ini cukup membanggakan kerana berjaya memikat dan menghimpun seramai lebih kurang 800 - 900 pelajar dan penonton (bilangan agakan diri ini semata-mata) menyaksikan pementasan ini walaupun dikenakan tiket RM2. Tiket ini bukanlah untuk keuntungan tetapi hasrat murni untuk mengumpul sumber kewangan bagi persatuan pelajar untuk menggerakkan aktiviti pada masa hadapan. En. Ainol Hasanal merupakan tenaga pengajar utama dalam bidang Pengajian Bahasa Mandarin. Persiapan dan kemudahan tempat yang disediakan oleh En. Ainol Hasanal cukup memuaskan dalam keadaan teater berskala kecil atau mini ini yang dipentaskan selama 55 minit.
Pihak Grup Seni Gerbang Unik pula bersungguh-sungguh mengadakan latihan sejak sebulan sebelum pementasan. Dianggarkan seramai 20 orang tenaga pelakon dan produksi yang terlibat dalam kumpulan ini bagi menjayakan pementasan ini. Skrip TLT ini merupakan karya Pn. Rahimah Muda, sementara itu Sdra Zamri Pangat selaku Pengarah TLT. Cerita dan perkembangan cerita dalam TLT secara mudah dan boleh difahami majoriti penonton kerana mesejnya jelas tentang kecintaan dan kebanggaan terhadap bahasa, persuratan dan budaya Melayu harus terus dikekalkan walau dalam pelbagai keadaan. Selepas pementasan ada disediakan sesi diskusi bersama-sama tenaga produksi.
Sekalung besar penghargaan tahniah dan terima kasih buat En. Ainol Hasanal yang tinggi komitmennya dalam menjayakan pementasan ini, buat Grup Seni Gerbang Unik yang menampilkan pementasan yang dapat diterima majoriti penonton, dan pihak urus setia khususnya dalam kalangan pentadbir UiTM Johor serta para pelajar Persatuan Bahasa Mandarin. Maklumat lanjut tentang pementasan TLT ini juga boleh dibaca dalam blog En. Ainol Hasanal (ainolhasanal.blogspot.com).

4 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam en.rusdi. syabas! hebat, ramai audiennya.

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Syabas. Rasanya, terlalu amat sulit didengari program tuan yang gagal! Ataupun tidak ada...! Teruskan, kata SYJ!

Md Nizar Parman berkata...

Salam, RAR,
Nampaknya usaha untuk mendekatkan persembahan teater kepada audien di tanah daksina ini semakin rancak. Teruskan usaha ini, RAR.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Sdra Wahyu,
Khalayak yang ada khususnya yang baharu harus didedahkan dengan salah satu cabang bahasa dan sastera iaitu melalui pementasan teater. Kehadiran khalayak yang ramai itu merupakan usaha gigih En. Ainol UiTM Johor.

Cikgu Azhar dan Cikgu Nizar,
Beginilah adanya... walau dihambat pelbagai kekangan dalam urusan hakiki (khususnya kewangan dan tenaga manusia), kecintaan dan minat untuk luaskan lagi hal-hal bahasa dan sastera kepada seberapa ramai orang dalam pelbagai cara harus terus diadakan walau hanya dengan 1 atau 10 khalayak...
Terima kasih Cikgu.