Jumaat, Februari 05, 2010

WB RENDRA - MAZHAB CINTA - DOGMA - MONODRAMA

Kain rentang (PVC) promosi dan perkhabaran tentang Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007 yang berlangsung buat julung kalinya.

'Racau' lakonan Pak Ngah (Husin) memperoleh tempat kedua dalam Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007.

WB RENDRA - MAZHAB CINTA

Dalam akhbar Berita Harian hari ini (ruangan Sastera - 5 Februari 2010) ada tersiar tentang kumpulan cerpen seorang penulis yang amat diri ini kenali serta bertambah prolifik tahun demi tahun bermula tahun 2002 - 2003 iaitu Wahyu Budiwa Rendra (WB Rendra). Tajuk dalam akhbar Berita Harian itu berjudul ' Dunia Buku: Mazhab Cinta gempak: Bukan sekadar kisah cinta biasa, karya ini buat pembaca puas' menceritakan serta mengupas serba sedikit beberapa buah cerpen beliau dalam 'Mazhab Cinta'. Jika anda ingin baca lanjut silalah dapatkan naskhah Berita Harian hari ini.

Berbicara pendek soal 'Mazhab Cinta' yang diusahakan penerbitannya oleh DBPWS (ditangani oleh Pn. Azura Mohd Halid), pada 20 Ogos 2009 di SMK Raja Muda, Parit Jawa, Muar (berhampiran juga dengan ASAM PEDAS PARIT JAWA) pihak DBPWS bersama Bahagian Teori dan Kritikan Sastera (BTKS) DBP dengan kerjasama Panitia Kesusasteraan Melayu Daerah Muar telah mengadakan program Bicara Karya Sastera Johor 2009, Mazhab Cinta merupakan salah satu buku yang dibicarakan selain novel Zulkifli Khair iaitu 'Meniti Batas' dan kumpulan puisi Shapiai Mohd Ramly iaitu 'Keris Sebilah Itu'. 'Mazhab Cinta' dikupas panjang lebar (sebanyak 46 halaman - mengikut format kertas A4 lipat dua) oleh Dr. Arbak Othman. Diri ini kekal menyimpan kertas pembentangan berkenaan 'Mazhab Cinta'.

DOGMA - MONODRAMA

Menarik perhatian diri ini tentang paparan dalam akhbar Berita Harian hari ini juga berkenaan biodata WB Rendra ini, dikutip melalui web Berita Harian Online seperti berikut:

WB Rendra cintakan kebebasan W B Rendra, nama pena bagi Wahyu Budiwa Rendra A Wahid, anak jati kelahiran Johor Bharu. yang dilahirkan pada 17 September 1978 dan membesar di Felda Ulu Tebrau. Karya beliau mula mendapat perhatian akhbar arus perdana sejak 2002 selepas mengikuti bengkel Kelab Penulisan Zaharah Nawawi (Kepezi) dan berjaya menarik perhatian peminat sastera tanah air dalam masa singkat sehingga meraih Hadiah Puisi Pilihan pada Sayembara Puisi Johor 2004 (Tongkat Warant). Penulis berbakat besar dalam genre penulisan cerpen, sajak, pantun, wacana dan novel ini mendapat pendidikan awal di SRK LKTP Ulu Tebrau (1985-1990). kini meneruskan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan. Novel pertamanya, Di Sebalik Mentari Jingga (2007) diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala antologi cerpen, Di Tengah Arus (2008) serta disusuli Mazhab Cinta yang memuatkan 1,001 persoalan cinta dalam kehidupan masyarakat sejagat. Selain menulis cerpen, penulis muda berjiwa patrotik ini, sudah menulis lebih 100 puisi yang mendapat tempat dalam majalah dan akhbar arus perdana negara ini skrip dramanya, Dogma, dipentaskan di DBP Wilayah Selatan pada 12 April 2007 serta menggarap Hadiah Khas Juri dalam Pertandingan Monodrama Negeri Johor (2007).
(Catatan sedikit pembetulan: ...dipentaskan di DBP Wilayah Selatan pada 21 April 2007)

Pabila membaca petikan di atas itu (khususnya yang berlabel 'bold' yang besar), entah mengapa terimbau tiba-tiba tentang Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007. Skrip 'Dogma' oleh WB Rendra telah memperoleh Hadiah Khas Juri pada ketika itu yang dipilih sendiri oleh tiga panel hakim. Seterusnya 'Dogma' dipentaskan juga sempena majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Takzim ke-7 pada 17 Julai 2009 di PERSADA Johor, Johor Bahru dan majlis penyampaian hadiah Anugerah Citra Majalah Sekolah pada 13 November 2009 di SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor. Apakah istimewanya 'Dogma' ini; diri ini tahu kelebihan dan kekuatan 'Dogma' ini sejak mula dipertandingkan dalam Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007 pada 20 - 22 April 2007 (saringan) dan 28 April 2007 (akhir) di DBPWS. Johan dan tempat kedua pertandingan tahun 2007 ini dirangkul oleh 'Lubang Neraka' dan 'Racau'.

Mengikut perancangan sepatutnya Pertandingan Monodrama Johor anjuran DBPWS sewajarnya diadakan pada tahun 2009 (kerana perancangan asal ingin kekalkan pertandingan ini 2 tahun sekali) namun disebabkan wujud satu lagi pertandingan seumpamanya pada tahun 2009 (kerana ingin memilih wakil peringkat negeri kategori monodrama dalam Festival Teater Malaysia) maka diri ini terpaksa mengundurkan diri dalam menganjurkan pertandingan ini bimbang 'bertembung' atas peranan yang sama.

Hajatnya ingin meneruskan pertandingan monodrama tahun ini namun ada halangan juga, kali ini tentang peruntukan kewangan yang diterima. Umum mengetahui setiap jabatan kerajaan pada tahun ini dipotong peruntukannya sebanyak 30 - 40% juga melibatkan kesan ke atas perancangan sesuatu program. Melainkan ada peruntukan khas lain, rasa-rasanya ingin sekali lagi mengadakan pertandingan monodrama pada tahun ini namun ini semua bergantung kepada peruntukan perbelanjaan khas @ tambahan (jika ada).
Pentingnya pertandingan sebegini bukan hanya untuk aspek seni lakonan semata-mata tetapi skrip dan mesejnya yang ingin dicungkil juga agar bermutu dan mencapai tahap yang membanggakan serta boleh 'dijual' kepada khalayak seperti skrip 'Dogma' oleh WB Rendra.

2 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

en.rusdi yang dihormati. en.rusdi & dbpws telah menjadi pemangkin kepada penulis di selatan tanah air khususnya, untuk terus berkarya. aktiviti dan peranan dbpws telah berjaya menghimpunkan penulis, malah penggiat-penggiat teater.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Sdra. Wahyu,
Saya atas nama tugas hakiki serta atas nama minat - sayang - cinta akan semampu dan seadanya yang kecil sifatnya atas anugerah besar-Nya akan terus berusaha untuk menjadi pemangkin dalam hal ini; ya selagi masih diperlukan serta masih berkhidmat di hujung tanah ini.
Terima kasih atas segalanya kerana sokong menyokong serta dokong mendokong sesama kita dalam hal ini.