Rabu, Februari 17, 2010

CUTI TAHUN BAHARU CINA 3: HARI PEJUANG BAHASA 152

Foto buku antologi puisi khas 'Sumpah 152' dikutip (DENGAN HAK IZIN PENUH) dalam blog SM Zakir ( smzakirsayapmatahari.blogspot.com ).


Menghadiri dua program sempena Hari Pejuang Bahasa 152 iaitu pada 14 Februari 2010 (Ahad - 9 malam hingga 11.30 malam) untuk program Malam Baca Puisi Sumpah 152 di Rumah PENA dan pada 15 Februari 2010 (Isnin - 8.30 pagi hingga 2.30 petang) untuk program majlis perasmian Hari Pejuang Bahasa 152 dan Wacana Peradaban Bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP merupakan sebuah pengalaman penuh berilmu dan bermanfaat.
Malam Baca Puisi Sumpah 152
1. Malam yang hangat disebabkan udara yang panas dipanaskan lagi dengan pengucapan puisi khas bertemakan bahasa di Rumah PENA. Seramai 20 orang pendeklamasi yang menyampaikan puisi antaranya termasuklah Marsli N.O, Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI), Khalid Salleh, Amiruddin Ali, dan Ria Asmira.
2. Beberapa pendeklamasi cukup lantang dan berterus terang dalam pengucapan puisinya tentang nasib bahasa Melayu kini. Ramai juga yang menghadiri malam baca puisi ini.
3. Selesai acara sempatlah duduk bersembang-sembang (serta mendengar isu yang disembangkan) dalam Rumah PENA bersama Amiruddin Ali, SM Zakir, Nazmi Yaakub dan Cikgu Sahrunizam yang datang jauh dari Bera, Pahang. Topik agak hangat juga iaitu tentang 'hak cipta' sehingga muncul kata baharu iaitu 'hak curi' yang diutarakan oleh Cikgu Amiruddin.
Perasmian Hari Pejuang Bahasa dan Wacana Peradaban Bahasa Melayu
1. Mengikut program asal sepatutnya program pada 15 Februari 2010 (15/2) ini akan dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tetapi beliau tiada kerana ada urusan rasmi di sebuah negara Eropah. Perasmian dilaksanakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian selaku wakil rasmi menteri.
2. Seramai 200 orang (dalam jangkaan diri ini) hadir di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP ini untuk mendengar ucap utama yang disampaikan oleh Datuk Dr. Hj. Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan dan bersama-sama menghayati sesi wacana yang terdiri daripada ahli panel iaitu Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, dan Dr. S. Nathesan Sellapan. Tabung Kegiatan Bahasa dan Sastera turut dilancarkan dalam majlis perasmian program ini.
3. Hadirin cukup menumpukan perhatian dalam sesi ucap utama dan wacana khususnya 'percakapan dan luahan' yang ditimbulkan oleh Datuk Dr. Hj. Hassan Ahmad, Prof. Dr. Abdullah Hassan, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dan Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah. Terpegun khalayak mendengar kata-kata dan luahan Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, beliau meluahkan beberapa perkara dalam soal perjuangan bahasa dan perpaduan. Semalam dalam akhbar Utusan Malaysia tersiar 2 berita tentang pelancaran Hari Pejuang Bahasa 152 dan luahan Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Buku Antologi Hari Pejuang Bahasa - 'Sumpah 152'
1. Sempena program Hari Pejuang Bahasa 152 ini pihak GAPENA dan PENA mengusahakan sebuah penerbitan buku antologi puisi khas bertemakan bahasa berjudul 'Sumpah 152' (seperti foto di atas).
2. Seramai 90 penulis menyumbangkan puisi bertemakan bahasa dalam buku antologi khas ini. Buku yang secara tekun dan gigih diselenggarakan oleh SM Zakir, Mattaib Nordin, Jaafar Hamdan dan Muhammad Ikhram Fadhly Hussin ini amat terhad cetakannya, penulis yang menyumbang puisi hanya boleh mengambil sendiri buku antologi ini ketika majlis perasmian dan wacana sempena Hari Pejuang Bahasa di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP, ya... hanya pada hari tersebut sahaja.
3. Terkandung beberapa puisi penulis yang menetap di Johor seperti Azhar Salleh, Shapiai Mohd Ramly, WB Rendra dan Ria Asmira. Puisi Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP berjudul 'Berteduh di Bumantara Bahasa' termuat dalam halaman 23-24, puisi Shapiai Mohd Ramly (halaman 113), puisi WB Rendra (halaman 120-121) dan puisi Ria Asmira (halaman 96) dalam buku ini.
4. Sememangnya kesungguhan serta penat lelah Sdra. SM Zakir, Jaafar Hamdan, Mattaib Nordin dan Muhammad Ikhram bersama rakan-rakan lain dalam PENA dan KALAM yang menggerakkan program Hari Pejuang Bahasa 152 dan menerbitkan buku antologi puisi yang khas skalanya ini cukup meninggalkan kesan serta memperoleh keberkatan-Nya juga meninggalkan tapak sejarah untuk perjuangan seterusnya. Tahniah.

3 ulasan:

Melihat Kesunyataan berkata...

Sayang saya tak dapat bersama kerana anak-anak dari KL semuanya balik berkumpul di BP. Kalau mereka tak balik tentu saya yang akan ke sana.

zura halid berkata...

Sdr. RAR, heemm..heemm...ada lebih tak? hehehee...(malu nak mintak).

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Terima kasih atas usaha RAR hingga puisi saya termuat! terima kasih!