Ahad, Oktober 25, 2009

TERLAKSANA 'SRIKANDI TANAH JAUHAR' (STJ) - 1

Sebahagian para pelakon dan produksi STJ.

Ruang aras bawah tempat penonton 15 minit sebelum pementasan.

Ruang aras bawah tempat penonton 1 jam sebelum pementasan.

(Catatan: Hampir 500 foto dirakam menggunakan kamera digital kos murah milik sendiri sepanjang 4 pementasan sama ada sebelum, semasa dan selepas setiap pementasan pada 22 - 24 Oktober 2009).
Akhirnya terlaksana sudah pementasan teater 'Srikandi Tanah Jauhar' (STJ) setelah perancangan selama hampir 3 bulan serta usaha-usaha giat 2 minggu sebelum pementasan ini yang cukup menambahkan pengalaman untuk melaksanakan sesebuah program apatah lagi program yang melibatkan pementasan teater di ruang auditorium yang besar pentas dan kapasiti muatan penonton. Usaha dan curahan idea dalam melaksanakan STJ ini sememangnya banyak cabaran, emosi, suka, duka, bahagia dan ketawa dalam konteks kecerdikan semua pihak bersatu merancang dan melaksanakannya. 4 pementasan telah dilaksanakan (termasuk sebuah pementasan untuk raptai penuh) pada 22 - 24 Oktober 2009 di Auditorium RTM Johor, Johor Bahru.


22 Oktober 2009 (Khamis) - 8.30 malam : Raptai Penuh

1. Set pentas dan persiapan teknikal telah dijalankan di auditorium pada 21 Oktober 2009 (Rabu). Bantuan penuh petugas RTM Johor melancarkan persiapan ini. Pementasan untuk raptai penuh ini dibuat dengan rakaman penuh menggunakan tiga kamera melalui peralatan Multi Camera Production (MCP). Perkhidmatan MCP serta kamera Ibu Pejabat DBP Kuala Lumpur dan DBP Wilayah Timur melengkapkan rakaman ini.

2. Pementasan malam ini selama 1 jam 30 minit. Pementasan bergerak lancar dalam kadar komitmen para pelakon, penyanyi latar dan penari yang cukup bersedia dan bertenaga. Selesai pementasan raptai penuh ini, satu sesi bedah siasat dan percambahan pendapat secara ringkas disampaikan kepada semua pelakon dan tenaga produksi.

3. Penggerak utama STJ yang diketuai oleh En. Mohd Razif Hj. Adnan (Ketua Produksi dan Pengarah Lakon), Pn. Rahimah Muda (Pengarah dan Penulis Skrip) dan diri ini (Pengurus Produksi dan Penerbit). Sesi ringkas ini perlu diadakan untuk persediaan yang lebih baik dan mantap dalam 3 pementasan yang sebenarnya untuk 23 - 24 Oktober 2009.


23 Oktober 2009 (Jumaat) - 8.30 malam

1. YB Pn. Asiah Md. Ariff, Exco Kerajaan Negeri Johor bersama suami serta Pn. Hjh. Nor Hashimah Ali, Pengarah DBPWS, En. Abd. Hamid Mohamad, Pengarah JKKNNJ dan En. Zainal Abidin Asri, Pengarah Penyiaran Kawasan Selatan (RTM) termasuk YB Adam Sumiro, ADUN Tanjung Puteri merupakan tetamu kehormat yang hadir menyaksikan pementasan.

2. Sasaran penonton seramai 300 - 400 orang yang hadir menonton meleset pabila seramai 700 orang hadir memenuhi ruang bawah dan atas auditorium ini. Kehadiran penuh khalayak merupakan suatu kekuatan secara 'roh dan jiwa' buat para pelakon dan tenaga produksi. Penonton pelbagai peringkat umur dan kategori masyarakat datang menyaksikan pementasan ini; suatu rasa rendah diri ini kerana masih ada masyarakat yang sudi dan ingin dekati 'produk' sastera dan seni budaya yang dikategorikan sebagai kurang laku - kurang diminati - kurang didekati sebegini.


24 Oktober 2009 (Sabtu) - 3 petang
1. Pementasa kedua, cabaran buat pelakon dan tenaga produksi kerana mementaskan pada waktu siang (petang). Momentun pementasan semalam harus diteruskan demi untuk tontonan masyarakat didahulukan. Pementasan yang diadakan pada petang hari ini sebenarnya khas buat para pelajar dan guru sekolah namun terbuka juga kepada masyarakat umum.

2. Diri ini terus menyasarkan penonton seramai 300 - 400 orang sahaja tetapi tetap meleset pabila kehadiran sama seperti pementasan semalam seramai hampir 700 orang, memenuhi ruang bawah dan atas auditorium. Hampir 450 - 500 penonton (75%) dalam kalangan pelajar dan guru sekolah sekitar daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai Jaya dan Kota Tinggi. Berbanyak terima kasih buat Pejabat Pelajaran Daerah iaiti daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai Jaya dan Kota Tinggi kerana mengizinkan para pelajar dan guru hadir bersama menyaksikan pementasan ini.

3. Selesai pementasan, diri ini terus menyelesaikan beberapa perkara utama yang melibatkan hal-hal honorarium dan sedikit cenderamata serta sijil kepada para pelakon dan tenaga produksi - bimbang tidak sempat diserahkan selepas pementasan akhir pada malam ini. Acara ringkas dan singkat penyampaian honorarium, sijil dan sedikit cenderamata kepada para pelakon dan tenaga produksi kerana mereka harus menumpukan tenaga dan momentum pementasan ketiga pada sebelah malam.


24 Oktober 2009 (Sabtu) - 8.45 malam

1. Kehadiran puteri Sultan Johor, Tunku Maisera mengejutkan pihak produksi. Tunku menyatakan hasrat untuk hadir menyaksikan pementasan STJ melalui Pn. Rahimah Muda. Kehadiran Tunku Maisera memeriahkan pementasan pada malam ini, juga kehadiran En. Abd. Ghapar Hj. Abdullah, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat DBP.

2. Diri ini tetap realistik hanya menyasarkan 300 - 400 penonton sahaja tetapi tetap meleset pabila kehadiran untuk pementasan terakhir ini juga hampir 700 penonton memenuhi ruang bawah dan atas auditorium. Kehadiran masyarakat umum cukup membuktikan bahawa 'produk' sastera dan seni budaya ini masih ada ramai peminat walaupun dilabelkan sebagai 'produk' kurang laku - kurang diminati - kurang didekati.

3. Tunku Maisera bertanya berapakah kos keseluruhan pementasan STJ ini, maka Pn. Rahimah menjawab hanya sekitar RM40,000.00 ke RM50,000.00 sahaja, beliau terkejut... maka adalah perbualan selanjutnya yang menyatakan hasrat pada masa hadapan agar dapat diberitahukan kepada pihaknya. En. Abd. Ghapar juga secara peribadi bertanyakan hal tentang bajet ini, maka diri ini menjelaskan pecahan perincian belanjanya, beliau turut terkejut... apatah lagi bayaran honorarium kepada para pelakon dan tenaga produksi jauh 5-6 kali rendah berbanding kadar bayaran sebenar DBP!


TERIMA KASIH SERENDAH HATI KEPADA SEMUA PIHAK DAN MASYARAKAT AWAM YANG HADIR MENYAKSIKAN DAN MENYOKONG PEMENTASAN STJ INI YANG KECIL (PERUNTUKANNYA...) NAMUN SAMBUTAN CUKUP MEMBANGGAKAN SEMUA PARA PELAKON DAN TENAGA PRODUKSI. KEHADIRAN RAMAI KHALAYAK ITULAH YANG MENYALURKAN KEKUATAN DAN JIWA KEPADA PARA PELAKON DAN TENAGA PRODUKSI, TERIMA KASIH SEJUTA PENGHARGAAN BUAT SEMUA...
MOHON MAAF ATAS SEGALA KEKURANGAN DAN KELEMAHAN YANG ADA DALAM STJ INI SAMA ADA SEBELUM DAN KETIKA PEMENTASANNYA MAHUPUN ASPEK PENGURUSAN KESELURUHANNYA...
Bersambung....

6 ulasan:

azura berkata...

Sdr. RAR,
Saya seronok menyaksikan teater ini. Walaupun mereka bukan pelakon terkenal, namun kemampuan lakonan mereka tidak boleh diperlekeh. Lagu-lagunya pun sedap didengar. Tahniah kpd semua krew yang terlibat. Tahniah jga kepada sdr. Mungkin STJ ini boleh dibawa ke pentas IB.

Norasiah Md Isa berkata...

En Rusdi

Tahniah! Begitu ramai yang hadir. Hinggakan Tunku Maisera berminat dan sama-sama menyaksikan STJ.
Seronok saya menyaksikan raptai penuh teater STJ pada malam itu. Tidak bosan dan penyampaiannya amat jelas.

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

tahniah en.rusdi, DBPWS dan grup kak rahimah muda. promosi dan publisiti yang hebat telah memangkin jumlah kehadiran penonton yang luar biasa!

Md Nizar Parman berkata...

Salam RAR,
Terlebih dahulu saya menyusun 10 jari kerana tidak dapat hadir menyaksikan STJ walaupun mengikut perancangan awal saya dan isteri berhajat untuk menonton teater ini (isteri saya memang penggemar teater). Walau bagaimanapun saya tumpang gembira kerana STJ mendapat sambutan di luar jangkaan. Semoga usaha DBPWS ini akan menjadi pemangkin kepada penggerak sastera terus bergiat aktif. Tahniahhhhhhh!

Rusdi Abd Rahman berkata...

Azura,
Suka duka susah senang para pelakon dan tenaga produksi berbalas dengan kehadiran penuh penonton dalam 3 pementasan tersebut. Hakikatnya masih ada kekurangan sana sini yang hanya disedari oleh para pelakon dan produksi, tapi kepuasan penonton pada tahap atau skala 80 - 90% itulah yang ingin diberikan oleh produksi STJ.
Terima kasih atas tontonan dan sokongan semangat serta ucapan itu, jika dapat bekerja rapat dengan kerabat... mungkin rasanya boleh ke IB? Hehehe.... belum sampai tahapnya lagi, banyak lagi ilmu dan pengalaman harus dikutip.

Asiah,
Begitulah perlunya promosi dan perkhabaran yang agresif untuk hal-hal sastera, bahasa dan seni budaya, jika tidak agresif makanya makin jauh masyarakat untuk dekati produk bernama sastera dan bahasa sebegini.
Sebenarnya jika ada peruntukan lebih sewajarnya para pelakon harus (wajib) pakai pembesar suara mudah alih di mulut (cordless) agar penyampaian dialog lebih mantap dan jelas, tapi apakan daya produksi 'miskin' biaya tapi kaya semangat... hehehe...
Terima kasih atas tontonan dan sokongan semangat serta ucapan itu, sama-sama kita meneruskan kelangsungan teater negeri Johor yang digerakkan oleh DBPWS.

Sdra. Wahyu,
Hakikatnya hal-hal produk sastera dan bahasa yang 'kurang diminati - kurang laku - kurang didekati' masyarakat harus agresif dipromosikan agar ramai masyarakat mengetahui dan menikmatinya. Saya gerakkan promosi secara agresif setiap masa dalam ruang semampunya ini atas dasar 'minat - sayang - cinta' akan hal-hal sastera, bahasa dan seni budaya, banyak skil yang harus digabungkan bersama ramai insan lain (saya bukan bergerak sendirian).
Terima kasih atas tontonan dan sokongan semangat serta ucapan Sdra. Wahyu, sama-sama kita meneruskan kelangsungan teater negeri Johor yang digerakkan oleh DBPWS serta organisasi lain termasuklah JKKNNJ, YWJ, dan MTNJ.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Nizar,
Tidak mengapa kerana berhalangan. Mungkin ada kesempatan masa lain akan datang. Tindakan agresif harus (wajib) dilakukan semampunya dalam konteks promosi pelbagai produk sastera dan bahasa sebegini, jika kita rasa selesa dalam situasi kini maka kita tidak berhadapan realiti sebenar masyarakat di luar sana yang semakin menjuahkan diri daripada hal-hal sastera, bahasa dan seni budaya yang bermutu. Jauh sedalam sudut hati ini..., jikalah program sastera dan bahasa lain dapat 'memanggil' khalayak yang ramai seperti STJ ini maka indah dan tingginya nilai sastera, bahasa dan seni budaya dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat dan status - sesuatu harus agresif digerakkan bukan hanya untuk pementasan teater semata-mata.
Terima kasih atas sokongan dan cakna cikgu terhadap teater ini serta hal-hal sastera dan bahasa yang digerakkan semampunya daya oleh saya selama ini.