Selasa, Oktober 27, 2009

TERLAKSANA 'SRIKANDI TANAH JAUHAR' (STJ) - 2





Kehadiran Penonton
Inilah sebahagian rakaman foto kehadiran penonton dalam tiga pementasan STJ. Jangkaan naif jumlah kehadiran setiap pementasan seramai 650 - 700 orang yang memenuhi ruang bawah dan atas Auditorium RTM Johor, Johor Bahru ini.
Agresifnya menggerakkan undangan dan pelbagai jenis promosi sejak dua minggu sebelum pementasan STJ membuahkan hasil yang baik dan memuaskan, ya... pementasan teater sebegini khas untuk tontonan umum seramai yang boleh, jika tidak agresif dalam undangan dan promosi walaupun sesebuah teater itu penuh bermutu dan hebat sekalipun tiada seronoknya jika kurang orang menontonnya. Seni dan persuratan untuk masyarakat
Terima kasih serta penghargaan besar buat para penonton yang hadir menyaksikan teater STJ ini. Kehadiran anda semua merupakan semangat serta menyampaikan 'roh dan jiwa' kepada kekuatan serta komitmen para pelakon dan tenaga produksi STJ.
Bersambung...

4 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam Coach RAR,
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih atas undangan untuk menonton teater ini, secara lisan, kad, dan sistem mesej singkat (SMS).
Kedua, saya ingin sekali mengucapkan tahniah dan syabas setinggi Gunung Ledang kerana selepas saya menontonnya, saya pulang dengan rasa puas, bangga, teruja, dan benar-benar terhibur. Dari mula hingga akhir, saya menyaksikan suatu pementasan muzikal yang dipenuhi gerak tari yang berseni, bicara kata yang berfalsafah, nadi lakon yang natural, dan inspirasi pemain yang penuh penghayatan. Anak saya yang sulung, yang berusia 9 tahun, dengan bersahaja menyatakan bahawa dia begitu seronok dan terus bertanya, bilakah lagi drama seperti ini akan diadakan lagi? Mohon Coach RAR menjawab untuk pertanyaan anak saya ini. Walaupun bajetnya kecil, tetapi kualitinya besar, dan saya percaya ini merupakan program sastera RAR yang terhebat sepanjang tahun 2009! Sekali lagi, syabas...

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu,
1. Diri ini belum sampai tahap 'coach', belumpun isi borangnya...
2. Terima kasih besar atas kehadiran bersama anak sekeluarga. Cikgu merupakan antara 2,100 (kira-kira kasar 700 orang x 3 kali pementasan) dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat umur dan status yang hadir menonton.
3. Atas 'rasa puas, bangga, teruja, dan benar-benar terhibur' cikgu itu, saya juga rasa puas kerana usaha gigih pelbagai pihak dalam STJ ini mencapai sasaran kira-kira 90% yang dihajati secara keseluruhan pementasan STJ ini walaupun bajetnya kecil.
4. Ada beberapa kelemahan dan kekurangan yang disedari oleh saya, mungkin para penonton tidak sedarinya namun kekuatan dan kebanjiran penonton memberikan 'roh dan jiwa' kepada para pelakon dan tenaga produksi. Selaku 'penerbit' (konon-kononnya) akan perbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada untuk hal-hal teater pada masa hadapan.
5. Sukar juga hendak jawab soalan anak berusia 9 tahun itu, saya bergantung kepada bajet yang diberikan, pasti jika ada bajet akan dibikinkan lagi teater sebegini akan datang, teater yang dapat memikat semua peringkat umur masyarakat tidak kira kanak-kanak, pelajar sekolah menengah, pelajar IPT dan orang awam yang pelbagai peringkat dan status kehidupan, pekerjaan, dan latar belakang pendidikan.
6. Apa-apapun tanpa kehadiran ramai penonton STJ ini tiada maknanya kerana pementasan teater merupakan salah satu kaedah mendekatkan masyarakat kepada hal-hal sastera dan bahasa yang 'kurang laku - kurang diminati - kurang didekati' ini. Terima kasih sekali lagi atas sokongan dan semangat melalui kata-kata dan praktikal.

Tanpa Nama berkata...

Ternyata gerakan pemasaran ala gerila (sempena judul sebuah buku yang ada di tangan saya, Guerilla Marketing) banyak membantu. Tahniah.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan Zulkifli,
Saya gerakkan hal ini sesungguh mungkin dan sedaya mampu agar masyarakat ramai dapat sama-sama nikmatinya, seni dalam teater ini perlu @ wajib dipaparkan kepada masyarakat. Strategi dalam 'menjual produk' sastera dan bahasa sebegini harus giat segiatnya.
Terima kasih atas sokongan tuan.