Sebahagian para pelakon dan produksi STJ.
Ruang aras bawah tempat penonton 15 minit sebelum pementasan.
Ruang aras bawah tempat penonton 1 jam sebelum pementasan.
(Catatan: Hampir 500 foto dirakam menggunakan kamera digital kos murah milik sendiri sepanjang 4 pementasan sama ada sebelum, semasa dan selepas setiap pementasan pada 22 - 24 Oktober 2009).
Akhirnya terlaksana sudah pementasan teater 'Srikandi Tanah Jauhar' (STJ) setelah perancangan selama hampir 3 bulan serta usaha-usaha giat 2 minggu sebelum pementasan ini yang cukup menambahkan pengalaman untuk melaksanakan sesebuah program apatah lagi program yang melibatkan pementasan teater di ruang auditorium yang besar pentas dan kapasiti muatan penonton. Usaha dan curahan idea dalam melaksanakan STJ ini sememangnya banyak cabaran, emosi, suka, duka, bahagia dan ketawa dalam konteks kecerdikan semua pihak bersatu merancang dan melaksanakannya. 4 pementasan telah dilaksanakan (termasuk sebuah pementasan untuk raptai penuh) pada 22 - 24 Oktober 2009 di Auditorium RTM Johor, Johor Bahru.
22 Oktober 2009 (Khamis) - 8.30 malam : Raptai Penuh
1. Set pentas dan persiapan teknikal telah dijalankan di auditorium pada 21 Oktober 2009 (Rabu). Bantuan penuh petugas RTM Johor melancarkan persiapan ini. Pementasan untuk raptai penuh ini dibuat dengan rakaman penuh menggunakan tiga kamera melalui peralatan Multi Camera Production (MCP). Perkhidmatan MCP serta kamera Ibu Pejabat DBP Kuala Lumpur dan DBP Wilayah Timur melengkapkan rakaman ini.
2. Pementasan malam ini selama 1 jam 30 minit. Pementasan bergerak lancar dalam kadar komitmen para pelakon, penyanyi latar dan penari yang cukup bersedia dan bertenaga. Selesai pementasan raptai penuh ini, satu sesi bedah siasat dan percambahan pendapat secara ringkas disampaikan kepada semua pelakon dan tenaga produksi.
3. Penggerak utama STJ yang diketuai oleh En. Mohd Razif Hj. Adnan (Ketua Produksi dan Pengarah Lakon), Pn. Rahimah Muda (Pengarah dan Penulis Skrip) dan diri ini (Pengurus Produksi dan Penerbit). Sesi ringkas ini perlu diadakan untuk persediaan yang lebih baik dan mantap dalam 3 pementasan yang sebenarnya untuk 23 - 24 Oktober 2009.
23 Oktober 2009 (Jumaat) - 8.30 malam
1. YB Pn. Asiah Md. Ariff, Exco Kerajaan Negeri Johor bersama suami serta Pn. Hjh. Nor Hashimah Ali, Pengarah DBPWS, En. Abd. Hamid Mohamad, Pengarah JKKNNJ dan En. Zainal Abidin Asri, Pengarah Penyiaran Kawasan Selatan (RTM) termasuk YB Adam Sumiro, ADUN Tanjung Puteri merupakan tetamu kehormat yang hadir menyaksikan pementasan.
2. Sasaran penonton seramai 300 - 400 orang yang hadir menonton meleset pabila seramai 700 orang hadir memenuhi ruang bawah dan atas auditorium ini. Kehadiran penuh khalayak merupakan suatu kekuatan secara 'roh dan jiwa' buat para pelakon dan tenaga produksi. Penonton pelbagai peringkat umur dan kategori masyarakat datang menyaksikan pementasan ini; suatu rasa rendah diri ini kerana masih ada masyarakat yang sudi dan ingin dekati 'produk' sastera dan seni budaya yang dikategorikan sebagai kurang laku - kurang diminati - kurang didekati sebegini.
24 Oktober 2009 (Sabtu) - 3 petang
1. Pementasa kedua, cabaran buat pelakon dan tenaga produksi kerana mementaskan pada waktu siang (petang). Momentun pementasan semalam harus diteruskan demi untuk tontonan masyarakat didahulukan. Pementasan yang diadakan pada petang hari ini sebenarnya khas buat para pelajar dan guru sekolah namun terbuka juga kepada masyarakat umum.
2. Diri ini terus menyasarkan penonton seramai 300 - 400 orang sahaja tetapi tetap meleset pabila kehadiran sama seperti pementasan semalam seramai hampir 700 orang, memenuhi ruang bawah dan atas auditorium. Hampir 450 - 500 penonton (75%) dalam kalangan pelajar dan guru sekolah sekitar daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai Jaya dan Kota Tinggi. Berbanyak terima kasih buat Pejabat Pelajaran Daerah iaiti daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai Jaya dan Kota Tinggi kerana mengizinkan para pelajar dan guru hadir bersama menyaksikan pementasan ini.
3. Selesai pementasan, diri ini terus menyelesaikan beberapa perkara utama yang melibatkan hal-hal honorarium dan sedikit cenderamata serta sijil kepada para pelakon dan tenaga produksi - bimbang tidak sempat diserahkan selepas pementasan akhir pada malam ini. Acara ringkas dan singkat penyampaian honorarium, sijil dan sedikit cenderamata kepada para pelakon dan tenaga produksi kerana mereka harus menumpukan tenaga dan momentum pementasan ketiga pada sebelah malam.
24 Oktober 2009 (Sabtu) - 8.45 malam
1. Kehadiran puteri Sultan Johor, Tunku Maisera mengejutkan pihak produksi. Tunku menyatakan hasrat untuk hadir menyaksikan pementasan STJ melalui Pn. Rahimah Muda. Kehadiran Tunku Maisera memeriahkan pementasan pada malam ini, juga kehadiran En. Abd. Ghapar Hj. Abdullah, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat DBP.
2. Diri ini tetap realistik hanya menyasarkan 300 - 400 penonton sahaja tetapi tetap meleset pabila kehadiran untuk pementasan terakhir ini juga hampir 700 penonton memenuhi ruang bawah dan atas auditorium. Kehadiran masyarakat umum cukup membuktikan bahawa 'produk' sastera dan seni budaya ini masih ada ramai peminat walaupun dilabelkan sebagai 'produk' kurang laku - kurang diminati - kurang didekati.
3. Tunku Maisera bertanya berapakah kos keseluruhan pementasan STJ ini, maka Pn. Rahimah menjawab hanya sekitar RM40,000.00 ke RM50,000.00 sahaja, beliau terkejut... maka adalah perbualan selanjutnya yang menyatakan hasrat pada masa hadapan agar dapat diberitahukan kepada pihaknya. En. Abd. Ghapar juga secara peribadi bertanyakan hal tentang bajet ini, maka diri ini menjelaskan pecahan perincian belanjanya, beliau turut terkejut... apatah lagi bayaran honorarium kepada para pelakon dan tenaga produksi jauh 5-6 kali rendah berbanding kadar bayaran sebenar DBP!
TERIMA KASIH SERENDAH HATI KEPADA SEMUA PIHAK DAN MASYARAKAT AWAM YANG HADIR MENYAKSIKAN DAN MENYOKONG PEMENTASAN STJ INI YANG KECIL (PERUNTUKANNYA...) NAMUN SAMBUTAN CUKUP MEMBANGGAKAN SEMUA PARA PELAKON DAN TENAGA PRODUKSI. KEHADIRAN RAMAI KHALAYAK ITULAH YANG MENYALURKAN KEKUATAN DAN JIWA KEPADA PARA PELAKON DAN TENAGA PRODUKSI, TERIMA KASIH SEJUTA PENGHARGAAN BUAT SEMUA...
MOHON MAAF ATAS SEGALA KEKURANGAN DAN KELEMAHAN YANG ADA DALAM STJ INI SAMA ADA SEBELUM DAN KETIKA PEMENTASANNYA MAHUPUN ASPEK PENGURUSAN KESELURUHANNYA...
Bersambung....