Isnin, Jun 21, 2010

SANTAI PD 2010: RUSUH HATI DAN MINDA

Itali juara 2006 - Cannavaro yang istimewa.

Itali juara 1982 - Dino Zoff yang hebat.
Entah mengapa selepas menyaksikan perlawanan Itali menentang New Zealand (NZ) semalam hati dan minda jadi rusuh. Sejak tahun 1982 sehingga edisi 2010 ini pasukan Itali tetap menjadi antara 4 pasukan pilhan untuk bergelar juara.
Terngiang-ngiang di telinga mendengar beberapa laporan yang melabelkan keputusan seri 1-1 itu merupakan satu lagi 'kejutan besar' dalam Piala Dunia 2010 (PD 2010). Rasanya ini bukanlah 'kejutan besar' melainkan jika Itali tewas besar kepada pasukan Malaysia atau Bangladesh. Pasukan Itali tidak bernasib baik kerana kecekapan penjaga gol NZ menangkis dan menepis sekurang-kurangnya 3 percubaan yang pasti boleh menghasilkan gol buat Itali. Pemain NZ diakui cukup bersemangat dan kental sepanjang 90 minit (campur 4 minit waktu kecederaan) berjaya mengekang penguasaan Itali.
Rusuh lagi hati pabila mendengar ulasan Akbar Sahari, pengulas rangkaian Astro Arena 801; beliau 2-3 kali menyebut bahawa penampilan NZ dalam PD ini merupakan KALI PERTAMA...? Sungguh CETEK ULANG KAJI DAN RUJUKAN yang dilakukan oleh Akbar Sahari ini...! Faktanya, NZ masuk PD kali kedua setelah kejohanan PD 1982 di Sepanyol.
Namun ada catatan berita semalam yang lebih menggambarkan 'rusuh fizikal' yang sebenar seperti paparan di bawah yang dikutip dalam portal Malaysiakini. Mungkinkah Bangladesh akan mendahului Malaysia untuk ke PD suatu masa nanti? Terlupa lagi bahawa Malaysia ada dalam PD 2010 ini pabila tetap sehingga hari ini selaku pengadil simpanan merangkap pengadil keempat sahaja...!
________________________________________

Piala Dunia: Universiti di Bangladesh ditutup pelajar merusuh
Jun 20, 10 4:40pm
Sebuah universiti terkemuka Bangladesh tertutup Ahad lalu selepas lima orang cedera dalam rusuhan mahasiswa yang menuntut masa bagi menonton bola sepak Piala Dunia, kata polis. Pelajar yang membawa kayu mengamuk di Universiti Kejuruteraan dan Teknologi di ibukota Dhaka pada hari Sabtu, menuntut tempoh penggal pengajian dipendekkan bagi membolehkan mereka menonton perlawanan Piala Dunia, kata ketua polisi tempatan, Rezaul Karim.
"Para siswa baru mahu kampus ditutup supaya mereka dapat menyaksikan Piala Dunia Tetapi beberapa mahasiswa senior yang menghadapi peperiksaan, tidak mahu - maka berlaku beberapa pergaduhan," katanya.
"Pihak universiti mengadakan mesyuarat tergempar dan memutuskan untuk menutup segera (kampus)," katanya, sambil menambah ia ditutup seminggu lebih awal daripada tempoh akhir penggal pada 26 Jun. Selama Piala Dunia 2006, puluhan mahasiswa cedera dalam pergaduhan di universiti yang sama.
"Kami telah menutup universiti untuk mengelakkan sebarang masalah, kami berharap untuk membuka semula selepas selesai Piala Dunia," Jibon kata ketua halehwal pelajar, Jibom Podder kepada AFP.
Bangladesh memiliki budaya kekerasan politik mahasiswa, khususnya di kampus-kampus universiti awam. Semua tiga parti politik utama di negara itu mempunyai sayap mahasiswa yang kuat, yang mereka biayai.Penduduk negara itu yang biasanya merupakan peminat kriket, kini dilanda demam Piala Dunia, walaupun pasukan negara itu tidak layak menyertai.Minggu lalu, peminat yang marah, bertindak merosakkan kenderaan dan menyerang pusat pengagihan tenaga apabila bekalan terputus dan mengganggu liputan satu perlawanan.

Ahad, Jun 20, 2010

UCAPAN BERILMU DI SEGAMAT

Dr. Rais Yatim ketika sesi sidang media.

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung MKNJ ke-20.

Pada Jumaat dan Sabtu lepas (18 - 19 Jun 2010) bertandang ke Segamat atas dua urusan iaitu menghadiri Mesyuarat Agung Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MTNJ) ke-20 dan Program Merakyatkan Seni (PMS). Mesyurat Agung MKNJ berlangsung di Hotel VIP, Bandar Segamat pada 18 - 19 Jun 2010 dan PMS di Batu Anam, Segamat pada 19 Jun 2010. Program PMS merupakan antara program utama anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor (JKKNNJ). PMS sering diadakan oleh JKKNNJ di beberapa daerah negeri Johor.
Istimewa bagi dua program ini merupakan kehadiran Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim merasmikan dua acara ini. 80% isi dan inti pati ucapan Dr. Rais Yatim dalam perasmian Mesyuarat Agung MKNJ berkait soal bahasa Melayu yang berkaitan soal gerakan kebudayaan, kelangsungan dalam masyarakat dan soal semangat untuk mengukuhkannya.
Ucapan seorang menteri seperti Dr. Rais Yatim yang penuh ilmu dan pengetahuan besar dalam soal budaya dan bahasa amat menarik kerana tiada unsur ucapan klise seorang pembesar atau pemimpin utama dalam merasmikan sesuatu acara. Beliau seperti berceramah dalam menjelaskan sesuatu perkara dengan teliti dan perinci. Beliau menjelaskan soal 'osmosis' dan 'kebimbingan' terhadap nasib bahasa Melayu pada kini dan pandangannya tentang masa hadapan bahasa Melayu. Sempat juga mencatat beberapa isi utama ucapannya yang punyai nilai ilmu baharu atau tambahan ilmu baharu tentang perkembangan bahasa, budaya dan seni Melayu yang terkini.

Jumaat, Jun 18, 2010

PELBAGAI EMOSI PD 2010, JANGAN LUPA EPL!


2 jersi berjenama Adidas-Coca Cola masih dalam simpanan yang diperoleh ketika hangatnya Piala Dunia 1998 Perancis.
Asyik, tertarik, kecewa dan pelbagai emosi semakin terhimpun kini dengan perkembangan Piala Dunia 2010 (PD 2010). Terkini saat kecewa menyelubungi kerana Perancis (antara 5 pasukan yang disebut-sebut bakal ke perlawanan akhir) tewas 2-0 kepada Mexico (siaran langsung 2.30 pagi - 4.30 pagi tadi). Perancis dengan barisan pemain yang gah serta ternama tewas mudah; selayaknya Perancis tewas pabila pemain Mexico lebih agresif dan penuh semangat. Pemain Perancis seperti Ribery dan Malouda kerap kali 'tersekat' dek kerana kekangan pertahanan Mexico. Perancis sudah 'sebelah kaki' pulang ke Paris!
Lupakan permainan buruk lagi mengecewakan Perancis itu. Ada berita terkini yang lebih teruja sifatnya iaitu saingan English Premier League (EPL) 2010-2011. Jadual perlawanan musim baharu bermula 14 Ogos 2010 dan perlawanan terakhir pada 22 Mei 2011 ini sudah dikeluarkan. Khabarnya perlawanan pertama saingan EPL sudah menarik iaitu pertembungan Liverpool menentang Arsenal, Spurs menentang Man City, dan Man U menentang Newcastle. Entah bagaimana nasib pasukan yang baharu naik EPL iaitu Blackpool nanti, mungkin jadi pasukan belasahan...? Siapakah pula yang bakal membimbing Liverpool setelah Benitez beralih arah ke Inter Milan...?
Jadual lengkap EPL 2010-2011 boleh ditatap dalam laman web rasmi Barclays-EPL atau juga dalam laman web rasmi kelab kegemaran semua dalam EPL seperti laman web Chelsea dan Liverpool.

SANTAI PD 2010: KUOTA ASIA SEPATUTNYA 1-2 NEGARA SAHAJA!

Maradona ceria 'mengajar' Korea Selatan angka 4!
Nostalgia pasukan Korea Selatan pada tahun 2002 ketika berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2002 Korea-Jepun seumpama nostalgia pasukan badminton Malaysia menjulang Piala Thomas 1992. Sebelum Piala Dunia 2010 (PD 2010) ghairah media memperkatakan tentang pasukan Korea Selatan ini yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir tahun 2002 di laman sendiri, juga khabarnya hebat kerana ada pemain Man U bernama Park Ji Song.
Semalam, Argentina kendalian Maradona 'mengajar' erti permainan bola sepak peringkat dunia yang sebenarnya buat Korea Selatan. Argentina 'mengajar' erti angka 4 buat Korea Selatan; jika 3-4 peluang Messi berjaya mencecah jaring gol pasti keputusannya bukan 4-1 tetapi mungkin 7-1. Higuain, pemain Real Madrid berjaya menjaring hatrik. Gol tunggal Korea Selatan yang diperoleh merupakan 'hadiah' pemain pertahanan Argentina. Sebelum menentang Argentina, Korea Selatan (seumpama Man U) begitu mendabik dada atas kejayaan menewaskan Greece 2-0 tetapi Argentina 'mengajar' Korea Selatan bahawa PD 2010 bukannya PD 2002 di Korea Selatan.
Kecuali Korea Utara dan Jepun (setakat ini), pasukan Korea Selatan dan Australia yang mewakili kuota Asia telah dibelasah 4 gol. Pujian harus dikalungkan buat Korea Utara (setakat ini) kerana berjaya mengekang Brazil membelasahnya, Brazil nampak 'lelah berpeluh' ketika menewaskan Korea Utara 2-1.
FIFA harus memikirkan pada masa hadapan had pasukan Asia ke Piala Dunia, mungkin setakat 1-2 pasukan sahaja seperti amalan dahulu (sebelum PD 1998). Seharusnya pasukan dari Eropah diberikan kuota yang lebih seperti Sweden, Romania, Bulgaria, Russia, Republik Czech, Republik Ireland, Scotland, Ukraine dan lain-lain negara di Eropah.
Jika FIFA terima cadangan agar kuota Asia dikecilkan (daripada 4 kepada 1-2 pasukan) makanya peluang Malaysia untuk ke Piala Dunia sampai kiamat tidak menjadi kenyataan kecuali Malaysia selaku tuan rumah atau wakil Malaysia ke Piala Dunia selaku pengadil simpanan @ pengadil keempat dalam sesuatu perlawanan...!

SINAR HARIAN 'MENYERANG' JOHOR

Halaman depan SH - 16 Jun 2010.

Halaman khusus Johor SH - 16 Jun 2010.

Halaman depan SH - 17 Jun 2010.

Selaku pembaca utama dan tegar akhbar harian yang setia setiap hari, maklumat ini merupakan promosi dan perkhabaran percuma buat semua khususnya di negeri Johor. Promosi dan perkhabaran ini dibuat semata-mata untuk dikongsi bersama-sama dengan anda. Akhbar harian terbaharu mula memasuki pasaran di negeri Johor (walaupun Johor merupakan negeri terakhir di Semenanjung Malaysia yang 'diserangnya').
Akhbar Sinar Harian (SH) merupakan akhbar harian yang paling muda dalam pasaran di Malaysia. SH mula beroperasi di negeri Pantai Timur sekitar 2-3 tahun yang lalu, dan seterusnya menjelajah ke kawasan negeri di utara Semenanjung Malaysia, Lembah Kelang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Kini SH mula 'menyerang' negeri Johor bermula pada 16 Jun 2010 yang lalu. SH bersaiz tabloid seperti akhbar harian perdana yang lain memuatkan pelbagai berita antaranya berita nasional, sukan, hiburan, luar negara dan ekonomi. SH punyai keistimewaan seperti juga akhbar harian yang lain yang turut memaparkan pelbagai berita dan maklumat tempatan sama ada peringkat negeri dan daerah. Liputan berita dan maklumat peringkat negeri dan daerah dalam SH lebih banyak dengan jumlah halaman sekitar 18-20 halaman.
Selain memaparkan berita untuk setiap daerah di negeri Johor, SH mempunyai petugas dan wartawan di setiap daerah yang boleh dihubungi. SH turut memaparkan maklumat sampingan tentang sesuatu perkara atau tempat yang berkaitan dengan daerah yang tertentu juga memberikan maklumat tentang tempat-tempat menarik dan restoran yang boleh dikunjungi. Reka letak SH juga sesuatu yang menarik serta mesra pembaca.
Ayuh masyarakat Johor sekalian manfaatkan SH untuk menyebarkan berita dan kegiatan di setiap daerah kerana halaman untuk negeri dan daerah yang banyak sekitar 18-20 halaman. Maklumat tentang petugas dan wartawan SH di negeri Johor ada dipaparkan dengan foto dan nombor telefonnya.

Khamis, Jun 17, 2010

SANTAI PD 2010: TIADA PASUKAN PAKAI JERSI J-KING?

Bermula 11 Jun 2010 sehingga semalam 16 Jun 2010 selesailah kesemua pasukan dalam kumpulan A - H bermain dalam perlawanan pertama saingan Piala Dunia 2010 (PD 2010).
Setiap pasukan perlu mengharungi 2 lagi perlawanan peringkat kumpulan. Ada kejutan, ada membosankan, ada yang menarik dan ada yang separa hambar.
Brazil 'berpeluh' menewaskan Korea Utara, Jerman gagah bergaya, Perancis layu, Itali kurang bernasib baik, England sarat dengan kejian (kerana kesilapan penjaga gawang), dan mengecewakan pabila Sepanyol tewas mengejut semalam.
Sarat pelbagai ulasan boleh dibaca melalui akhbar dan laman web juga boleh setiap masa menyaksikan gol dalam setiap perlawanan melalui 'highlights' rangkaian Astro. Selain mengikuti perlawanan-perlawanan tersebut secara langsung (pukul 7.30 malam - 10 malam - 2.30 pagi) setiap hari, mata ini juga galak melihat jersi pemain setiap pasukan.
Hakikatnya ada lima darjat atau kelas jenama jersi yang boleh diklasifikasikan oleh setiap pasukan seperti di bawah:
i. Darjat 1: ADIDAS - antaranya dipakai oleh Jerman, Argentina, Perancis, Sepanyol.
ii. Darjat 2: NIKE - antaranya dipakai oleh Brazil, Belanda, Portugal.
iii. Darjat 3: PUMA - antaranya dipakai oleh Itali dan Switzerland.
iv. Darjat 4: UMBRO - hanya dipakai oleh England.
v. Darjat 5: jenama yang tidak terkenal seperti JOMA, LEGEA dan BROOK - antaranya dipakai oleh pasukan taraf rendah (tapi bermain penuh semangat serta membuat kejutan) oleh Korea Utara, Honduras dan Chile.
Intai-intai juga jika ada pasukan memakai jersi berjenama J-KING...? Mungkinkah jika Malaysia masuk @ layak bermain dalam PD 2010 ini makanya akan memakai jenama J-KING? Hakikatnya pasukan bola sepak Malaysia sejak 4-5 tahun lalu memakai jersi berjenama NIKE tetapi tidaklah setanding (jauh langit dari bumi) pasukan yang juga memakai jenama NIKE seperti Belanda, Portugal, dan Brazil; apatah lagi pasukan Korea Utara memakai jenama darjat 5 iaitu LEGEA dapat 'menyusahkan' Brazil mencatat kemenangan.

Hampir terlupa... Malaysia ada dalam PD 2010 dengan memakai jersi ADIDAS iaitu pengadil keempat (sekadar pengadil simpanan @ pengadil pemerhati), atau mungkinkah Subkiddin akan mengadili perlawanan akhir pada 12 Julai nanti...?
Catatan: Foto baju Coca Cola milik sendiri yang masih tersimpan diperoleh ketika demam Piala Dunia 1998 Perancis.

Rabu, Jun 16, 2010

MELAKA TERUS MENARIK...

Kawasan jeti bot - permulaan menyusuri Sungai Melaka.

Pemandangan pinggiran Sungai Melaka dipenuhi limpahan lampu.

Kota A' Famosa tetap dikunjungi ramai.

Masjid Selat - angin laut yang cukup nyaman.

'Duck Tour' melalui pinggiran Masjid Selat.

Belangkas ditemui di kawasan Masjid Selat.

Pertunjukan burung di Zoo Melaka.

Keghairahan menonton dan mengikuti perkembangan Piala Dunia 2010 yang bermula sejak 11 Jun 2010 lalu tidak menghalang untuk meneruskan kerja hakiki. Pada 11 - 12 Jun 2010 lalu ke Melaka atas urusan rasmi iaitu 'merisik dan membawa tanda' buat 3-4 pihak di Melaka untuk pengisian program sepanjang bulan Oktober 2010 nanti.

Dalam kesempatan urusan rasmi ketika dalam ghairah Piala Dunia dan ketika negeri Melaka menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) maka sempat juga berkunjung ke beberapa tempat tumpuan ramai khususnya di bandar raya Melaka antaranya di Sungai Melaka, A' Famosa, Menara Taming Sari, Dataran Pahlawan, Zoo Melaka, dan Masjid Selat. Kunjungan ke Zoo Melaka dan Masjid Selat merupakan kunjungan kali pertama walaupun kerap ke Melaka untuk tujuan rasmi.

Kunjungan serta menaiki bot menyusuri Sungai Melaka merupakan kali ketiga, sebelum ini dua kali menyusuri sungai pada siang hari tapi kali ini menyusuri sungai pada malam hari. Istimewanya menaiki bot kali ini pabila secara kebetulan ada bot istimewa khusus buat Permaisuri Agong yang juga menyusuri Sungai Melaka pada malam tersebut. Sempatlah melihat Permaisuri Agong bersama-sama rombongannya yang dikawal ketat dengan pelbagai pengiring peribadi dan pengiring keselamatan. Secara kebetulan juga sepanjang bulan Jun ini ada Pesta Sungai Melaka 2010.

Sebahagian rakaman foto dipaparkan seperti di atas hasil daripada 40-50 rakaman foto yang diambil sendiri sepanjang berkunjung ke beberapa tempat tarikan utama di bandar raya Melaka.

Ahad, Jun 06, 2010

KDT BERLANGSUNG 2 HARI (3 JAM 5 MINIT)...!





(Sebahagian daripada lebih 30-40 foto yang dirakam sendiri ketika KDT berlangsung.)

Konsert Double Trouble (KDT) di Stadium Larkin, Johor Bahru berlangsung selama 2 hari...! Ya, KDT bermula pukul 9.20 malam (5 Jun 2010 - Sabtu) sehingga pukul 12.25 tengah malam (6 Jun 2010 - Ahad). KDT berlangsung selama 3 jam 5 minit dengan dianggarkan disaksikan seramai sekitar 10,000 penonton di padang bola sepak Stadium Larkin. Selama 3 jam itu juga berdiri walaupun tapak kaki sudah tidak berapa kuat untuk berdiri lama tapi demi KDT maka tercipta 'rekod' sendiri berdiri lama... Pulang menyaksikan KDT sempat minum dan berbual-bual lagi bersama-sama Azhar Salleh dan Syaidul Azam di kawasan pejabat, lalu pulang sebenarnya ke rumah sekitar pukul 1.45 pagi.

Sehari sebelum KDT sempat sekitar 20 minit menjenguk sesi latihan bunyi di Stadium Larkin sekitar pukul 10.30 malam (4 Jun 2010 - Jumaat). Ketika itu terbit dalam minda 'inikah bunyi yang yang didengar esok...?' kerana serba kurang dan tidak mantap. Kerisauan dalam minda terhapus pabila sistem bunyi dan pencahayaan (sekadar pandangan peribadi) cukup mantap kerana situasi KDT ini dibuat di tempat tebuka yang sememangnya agak berisiko tinggi juga. Persembahan bertenaga anggota Search dan Wings juga boleh dibanggakan walaupun ada sedikit-sedikit kelemahan biasa manusia tetapi sistem bunyi tiada gangguan berjalan lancar!

Bersama-sama Sifuku Azhar Salleh dan Syaidul Azam bertolak dari pejabat sekitar pukul 8.20 malam. Letak kereta di kawasan stadium tetapi kena berjalan (berpusing) jauh sedikit kerana hanya satu pintu stadium dibuka. Sebelum KDT bermula 9.20 malam sempat duduk di atas trek larian warna merah yang bersintetik, sempat berbual-bual dahulu sementara menunggu KDT bermula. Pabila pengacara umumkan KDT akan bermula maka bergerak ke bahagian tepi pentas di atas padang berumput.

KDT bermula dengan lagu duet Amy dan Awie iaitu lagu "Gemuruh". Selepas itu secara bergilir-gilir Search dan Wings menyampaikan lagu daripada album masing-masing. Seterusnya nyanyian secara duet Amy dan Wings yang menyampaikan lagu-lagu dalam album masing-masing. Tetap ada lagu wajib Search iaitu "Isabella" walaupun Sifuku kurang berkenan dengan penampilan lagu ini khususnya dalam konsert besar sebegini; benar juga kata Sifuku itu - tidak perlu lagu-lagu sebegini kerana banyak lagi lau-lagu dalam album Search yang lain (khususnya seperti "Rampage" dan "Karisma"). Rasa-rasanya sekitar 30-40 lagu yang dipersembahkan oleh dua kumpulan utama ini. Tertanya-tanya lagi dalam minda, kumpulan manakah yang bakal mengantikan Search khususnya dan Wings...? Mungkinkah Search akan jadi seperti P. Ramlee? Kumpulan 'indie' yang ada seperti yang dilaungkan kini iaitu Bunkface, Hujan, Meet Uncle Hussein dan macam-macam lagi yang lebih glamor dan mengada-ngada adanya usahlah cakap... kumpulan ini amat-amat jauh 'langit dari bumi'!

Persembahan Search khususnya vokal Amy memang tidak mengecewakan. Search tanpa Hillary seperti 'agak kurang' sengatan gitarnya kerana petikan gitar Din sedikit lemah berbanding petikan gitar Joe Wings. Setuju dan sependapat dengan Azhar Salleh dan Syaidul Azam bahawa gabungan rentak muzik (gitar - bass - drum) Wings lebih menyerlah berbanding Search. Alunan muzik Wings kedengaran lebih jelas sedikit walaupun Search juga mantap. Setuju dan sependapat dengan Azhar Salleh dan Syaidul Azam bahawa petikan gitar Joe Wings lebih jelas dan nyaring seumpama mendengar dalam kaset @ CD, juga dentuman drum Black lebih menangkap sedikit berbanding Yazid.

Ada juga sebuah lagu "Holy Diver" (kumpulan Dio) dipersembahkan oleh Search dan Wings sempena mengingati penyanyinya Ronnie James Dio. Beberapa lagu yang diharapkan boleh disampaikan oleh Search dan Wings juga ada yang tidak kesampaian untuk didengar dan ditonton. Wings tidak menyampaikan lagu-lagu seperti "Satelit Puaka" (album Jerangkung dalam Almari) dan "Rantai" (album Teori Domino). Rasanya sesuai juga jika Awie menyampaikan lagi "Rantai" yang sinonim juga denga situasi kini. Awie juga sesekali buat lawak yang kecil mengusik penonton dan Awie dengan menyebut lagu nasyid, lagu Siti Nurhaliza... juga Awie ucapkan 'selamat menjadi datuk' buat Amy.

Dilihat secara rawak hampir 80% penonton yang hadir menyaksikan KDT ini sekitar berumur 30 tahun ke atas atau dilabelkan sebagai 'otai'. Teringat juga kali terakhir menonton konsert serentak melibatkan Search dan Wings pada tahun 1989 ketika tingkatan 5 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan; datang dengan bas dari Kuala Terengganu bersama-sama 4 rakan lain, selepas konsert itu tidur di luar stadium sebelum pulang bas esok paginya...

Hakikatnya banyak lagi ingin dicatatkan sepanjang situasi KDT ini tetapi biarlah dalam ruangan dan kesempatan lain pula. KDT kali ini tidak mengecewakan langsung bagi diri ini, berbaloi-baloi, memuaskan hati dan minda walaupun ada beberapa aspek yang mungkin penonton sedari tetapi tidak disedari oleh pihak penganjuran dan kumpulan Search dan Wings sendiri. Biasalah... manusia biasa ada kelemahan tidak sempurna 100% tetapi kelemahan yang ada tidaklah menjejaskan langsung KDT ini.

Penerimaan setiap penonton kini cukup subjektif termasuklah buat diri ini, Sifuku Azhar Salleh dan teman sepejabat Syaidul Azam. Apa-apapun diri ini setuju lagi atas pendapat Azhar Salleh bahawa beliau menunggu konsert kumpulan May, makanya perlu ada konsert May suatu hari nanti di Johor Bahru.

Rabu, Jun 02, 2010

TIKET KDT TELAH DIPEROLEH

Tiga tiket KDT ini telah ada pemiliknya...

Poster kecil maklumat jualan tiket KDT.

Petang semalam sekitar pukul 5 - 5.30 petang pergi ke Plaza Angsana, Johor Bahru. Ada beberapa tujuan apatah lagi tujuan utama untuk mendapatkan tiket Konsert Double Trouble (KDT). Menurut makluman promosi jualan tiketnya di kedai kaset Music Valley iaitu di ruang bawah Plaza Angsana. Pergi ke kedai itu lalu seseorang menyatakan kaunter jualan tiket di sisi tangga bergerak (berdekatan Restoran Pizza Hut dan KFC). Rupa-rupanya pihak penjual tiket membuka satu ruang khas secara terbuka untuk jualan tiket serta jualan barangan cenderamata (termasuk baju T) sempena KDT.

Belilah tiga tiket, secara kebetulan peroleh tiket dengan nombor sirinya 0001122, 0001123, dan 0001124. Tiga tiket ini sudah ada pemiliknya (termasuk diri sendiri). Pihak penjual itu juga mengedarkan poster kecil (saiz kertas A4) tentang maklumat tempat jualan tiket KDT. KDT akan bermula 8.45 malam pada 5 Jun 2010 di Stadium Tan Sri Dato' Hj. Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru berdasarkan paparan pada tiket dan poster itu.

Rasa bimbang juga akan cuaca tidak menentu sejak seminggu ini di Johor Bahru, hujan turun tidak menentu masanya kadang kalanya waktu subuh (seperti hari ini), tengah hari, lewat petang dan juga sesekali hujan renyai pada malam hari. Maka sebagai langkah berjaga-jaga perlulah bersiap sepatutnya jika cuaca tidak menentu ini kerana KDT diadakan di tempat terbuka tidak seperti Stadium Tertutup MBJB ketika Konsert Di Awan Biru pada 9 Mei 2009 yang lalu.

Selasa, Jun 01, 2010

KMM BERMULA TAHUN 1262 MASIHI / 660 HIJRAH?

Para panel pembentang.

Sebahagian peserta dalam seminar.

Semalam (31 Mei 2010) tercapai hasrat mengikuti Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka (KMM) anjuran Kerajaan Negeri Melaka yang diselengarakan oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) di Hotel Everly, Tanjung Kling, Melaka.

Tiga kertas kajian dan penyelidikan dibentangkan oleh Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, Ketua Penyelidik Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Dr. Zulkarnain Abd. Rahman, Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, dan Prof. Madya Dr. Abd. Rahman Ismail, Pensyarah Universiti Sains Malaysia. Pembentangan ini dipengerusikan oleh Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Penyelidikan.

Dua kertas kerja disediakan buat peserta iaitu melibatkan kertas Dr. Zulkarnain Abd. Rahman dan Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Ismail. Kertas yang disediakan Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Ismail lebih perinci sifatnya dengan menjelaskan kajiannya berdasarkan perkiraan tarikh tahun Qamariah, Hijrah dan Masihi. Seramai 250 peserta yang hadir dalam seminar ini termasuklah dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka dan Speaker DUN Melaka.

Antara beberapa catatan dan isi ringkas pembentangan dihuraikan seperti berikut:
i. Pembentang mengajukan pendapat kenapa kita terlalu bergantung kepada sumber-sumber Portugis dan Belanda dalam menentukan tahun pengasasan KMM sedangkan pihak Portugis datang ke Nusantara sudah lewat bermula tahun 1509 manakala Belanda pada tahun sekitar 1700; sedangkan kita ada sumber-sumber daripada naskhah / manuskrip Melayu yang dapat dikaji kandungan maklumatnya untuk mengenal pasti bermula KMM.
ii. Tahun KMM diterima pakai sehingga kini pada 1400. Tahun lain yang dikemukan oleh para sarjana selain 1400 merupakan tahun 1390, 1394 dan 1397. Sehingga kini belum ditemui rekod atau dokumen yang ada mencatatkan tahun 1400 sebagai tahun pengasasan KMM. Ini bermakna tahun pengasasan KMM 1400 hanya berdasarkan kepada kesepakatan dan keputusan yang dibuat oleh sarjana dan diterima hingga kini.
iii. Jawatankuasa Penyelidikan menolak tahun 1400 merupakan tahun pengasasan KMM yang diterima pakai kini. Pihak Jawatankuasa menerima 'Sulalatus Salatin' versi Raja Bongsu bahawa KMM bermula sebagai entiti politik pada 1262 Masihi bersamaan 660 Hijrah dan Sultan Iskandar Syah sebagai pemerintah pertama.

Sesungguhnya dalam seminar ini terdapat pelbagai pendapat serta kajian para pengkaji dan pertanyaan peserta tentang penyelidikan awal yang dilakukan ini. Masih banyak ruang penyelidikan yang harus dikaji dan digali oleh para sarjana dan pengkaji yang arif dalam pelbagai ilmu melibatkan pakar sejarah, budaya, arkeologi, sastera, dan bahasa termasuk dalam bidang lain yang berkaitan. Kesepakatan pakar pelbagai ilmu ini akan menjelmakan satu ketetapan konkrit yang boleh mengubah fakta sebenar tahun pengasasan KMM.

Seminar ini merupakan jalan perintis pertama yang membentangkan hasil kajian pihak jawatankuasa yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Melaka. Selepas ini pelbagai lagi dapatan kajian yang akan dihuraikan dalam seminar atau wacana tentang tahun pengasasan KMM yang sebenarnya sebelum dimuktamadkan dan diwartakan secara rasmi.

Satu usikan dan lemparan kenyataan seorang peserta veteran dari Muar menyatakan bahawa "... perihal sejarah itu perlu dijelaskan yang hitam tetap hitam yang putih tetap putih...".
____________________________________________

Petikan akhbar KOSMO hari ini seperti berikut:

Melaka diasaskan pada 1262
MELAKA – Jika pada April lalu sekumpulan penyelidik merumuskan sejarah penubuhan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278 tetapi kali ini tarikhnya berubah kepada lebih awal iaitu 1262 dan bukannya pada tahun 1400 yang menjadi rujukan selama ini.
Keputusan memilih tarikh 1262 sebagai penubuhan kerajaan Melayu Melaka itu diputuskan hasil kesepakatan kajian selama setahun oleh sepasukan penyelidik yang dilantik oleh kerajaan negeri menerusi kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).
Keputusan itu dipersetujui pada Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran IKSEP bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang diadakan semalam.
“Keputusan ini muktamad ekoran hasil kajian oleh sekumpulan penyelidik sejak Jun 2009 yang bersepakat untuk menolak pendapat penulis-penulis terdahulu.“Sebelum ini, tarikh 1400 dan 1278 yang dikemukakan tidak mempunyai ciri fakta yang kukuh sebagai tahun sebenar penubuhan kerajaan Melayu Melaka kerana tahun itu diperoleh daripada andaian dan tujuan penulisan berdasarkan sumber-sumber yang ada,” katanya.