Memaparkan catatan dengan label AM - SEJARAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AM - SEJARAH. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 16, 2010

TONTON ASTRO 555 HISTORY - ILMU PASTI BERTAMBAH...

Foto hiasan: Muzium Samudera di Bandar Hilir, Melaka.

Sejak masuknya bulan Ogos ini kerap juga menekan alat kawalan jauh Astro khususnya rangkaian Astro 555 History. Sepanjang bulan Ogos ini siaran Astro 555 banyak menyiarkan dokumentari tentang perang; tentang kebangkitan dan kejatuhan sesebuah negara dan fahaman khususnya ketika Perang Dunia ke-2 dan selepas Perang Dunia ke-2. Kebetulan juga bulan Ogos merupakan sambutan bulan kemerdekaan Malaysia maka ada juga bakal dipaparkan dokumentari tentang Malaysia atau lebih tepat ketika Malaya / Persekutuan Tanah Melayu sekitar tahun 1940-an sehingga awal 1960-an termasuk pencapaian Malaysia era 1990-an sehingga pencapaian terkini.
Dokumentari 'Malayan Emergency'
Tentang Malaya sekitar tahun darurat bermula paparan dokumentari berjudul 'Malayan Emergency' yang memaparkan perkembangan dan kronologi tentang ancaman komunis selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia ke-2. Banyak maklumat yang sudah diketahui dan maklumat baharu yang diperoleh pabila menyaksikan dokumentari ini yang memakan masa selama 2 jam. Salah satu yang menariknya tentang pembunuhan Henry Gurney oleh pihak komunis ketika menuju ke Bukit Freaser; bagaimana pihak risikan British akhirnya dapat menjejak pembunuh itu setelah 3-4 tahun memburunya - pembunuh Henry Gurney dibunuh oleh pengawal peribadinya sendiri! Menariknya juga tentang temu bual yang diadakan terhadap beberapa orang bekas tentera dan pejuang Parti Komunis Malaya yang melibatkan kaum Cina dan Melayu. Melalui temu bual itu dapat diketahui mengapakah isi hati dan minda mereka terlalu tegar terhadap perjuangan fahaman komunis.
Dokumentari 'Sworn to Secrecy'
Menonton juga sebuah dokumentari yang menarik serta dapat menambahkan ilmu berjudul 'Sworn to Secrecy'. Dokumentari ini menjelaskan tentang kaedah "perang psikologi" yang digerakkan ketika peperangan mahupun ketika perang dingin. Antara yang terpapar dalam 'Sworn to Secrecy' tentang perang dan teknik psikologi ketika Perang Dunia ke-2 yang melibatkan serangan balas Amerika ke atas Jepun khususnya peristiwa Okinawa, Perang Korea sekitar awal tahun 1950-an, Perang Vietnam sekitar pertengahan 1970-an, Perang Teluk sekitar awal 1990-an, dan juga konflik negara-negara Eropah Timur yang memberontak terhadap Rusia.
Dokumentari 'Emperor Hirohito'
Satu lagi dokumentari yang menarik ditonton serta menambahkan ilmu iaitu berjudul 'Emperor Hirohito'. Dokumentari ini mengisahkan tentang pelibatan Maharaja Hirohito dalam "sedar dan terpaksa" berkaitan peranan Jepun ketika Perang Dunia ke-2. Antara paparannya dinyatakan bahawa Hirohito atas izinnya atau secara paksa atas desakan menteri kabinetnya membenarkan tentera Jepun melakukan serangan bersejarah ke atas tentera Amerika di Pearl Harbour, juga kesudian Hirohito membenarkan tentera Jepun sebelum meletus Perang Dunia ke-2 menyerang dan menawan Manchuria sekitar lewat tahun 1930-an.

Banyak lagi dokumentari yang menarik dan berilmu bakal dipaparkan melalui siaran Astro 555 History ini antaranya tentang Malaysia iaitu tentang askar khas yang menentang komunis sekitar tahun 1969 iaitu dinamakan "Very Able Troopers" dan paparan dokumentari tentang Al-Maunah serta beberapa dokumentari tentang pencapaian Malaysia pada tahap moden dan terkini. Dokumentari dalam siaran Astro 555 History ini harus dan wajib ditonton oleh semua peringkat umur bagi memperoleh ilmu tentang sejarah kebangkitan dan kejatuhan sesebuah fahaman, bangsa dan negara khususnya dalam memandang masa hadapan yang lebih baik.

Selasa, Jun 01, 2010

KMM BERMULA TAHUN 1262 MASIHI / 660 HIJRAH?

Para panel pembentang.

Sebahagian peserta dalam seminar.

Semalam (31 Mei 2010) tercapai hasrat mengikuti Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka (KMM) anjuran Kerajaan Negeri Melaka yang diselengarakan oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) di Hotel Everly, Tanjung Kling, Melaka.

Tiga kertas kajian dan penyelidikan dibentangkan oleh Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, Ketua Penyelidik Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Dr. Zulkarnain Abd. Rahman, Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, dan Prof. Madya Dr. Abd. Rahman Ismail, Pensyarah Universiti Sains Malaysia. Pembentangan ini dipengerusikan oleh Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Penyelidikan.

Dua kertas kerja disediakan buat peserta iaitu melibatkan kertas Dr. Zulkarnain Abd. Rahman dan Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Ismail. Kertas yang disediakan Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Ismail lebih perinci sifatnya dengan menjelaskan kajiannya berdasarkan perkiraan tarikh tahun Qamariah, Hijrah dan Masihi. Seramai 250 peserta yang hadir dalam seminar ini termasuklah dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka dan Speaker DUN Melaka.

Antara beberapa catatan dan isi ringkas pembentangan dihuraikan seperti berikut:
i. Pembentang mengajukan pendapat kenapa kita terlalu bergantung kepada sumber-sumber Portugis dan Belanda dalam menentukan tahun pengasasan KMM sedangkan pihak Portugis datang ke Nusantara sudah lewat bermula tahun 1509 manakala Belanda pada tahun sekitar 1700; sedangkan kita ada sumber-sumber daripada naskhah / manuskrip Melayu yang dapat dikaji kandungan maklumatnya untuk mengenal pasti bermula KMM.
ii. Tahun KMM diterima pakai sehingga kini pada 1400. Tahun lain yang dikemukan oleh para sarjana selain 1400 merupakan tahun 1390, 1394 dan 1397. Sehingga kini belum ditemui rekod atau dokumen yang ada mencatatkan tahun 1400 sebagai tahun pengasasan KMM. Ini bermakna tahun pengasasan KMM 1400 hanya berdasarkan kepada kesepakatan dan keputusan yang dibuat oleh sarjana dan diterima hingga kini.
iii. Jawatankuasa Penyelidikan menolak tahun 1400 merupakan tahun pengasasan KMM yang diterima pakai kini. Pihak Jawatankuasa menerima 'Sulalatus Salatin' versi Raja Bongsu bahawa KMM bermula sebagai entiti politik pada 1262 Masihi bersamaan 660 Hijrah dan Sultan Iskandar Syah sebagai pemerintah pertama.

Sesungguhnya dalam seminar ini terdapat pelbagai pendapat serta kajian para pengkaji dan pertanyaan peserta tentang penyelidikan awal yang dilakukan ini. Masih banyak ruang penyelidikan yang harus dikaji dan digali oleh para sarjana dan pengkaji yang arif dalam pelbagai ilmu melibatkan pakar sejarah, budaya, arkeologi, sastera, dan bahasa termasuk dalam bidang lain yang berkaitan. Kesepakatan pakar pelbagai ilmu ini akan menjelmakan satu ketetapan konkrit yang boleh mengubah fakta sebenar tahun pengasasan KMM.

Seminar ini merupakan jalan perintis pertama yang membentangkan hasil kajian pihak jawatankuasa yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Melaka. Selepas ini pelbagai lagi dapatan kajian yang akan dihuraikan dalam seminar atau wacana tentang tahun pengasasan KMM yang sebenarnya sebelum dimuktamadkan dan diwartakan secara rasmi.

Satu usikan dan lemparan kenyataan seorang peserta veteran dari Muar menyatakan bahawa "... perihal sejarah itu perlu dijelaskan yang hitam tetap hitam yang putih tetap putih...".
____________________________________________

Petikan akhbar KOSMO hari ini seperti berikut:

Melaka diasaskan pada 1262
MELAKA – Jika pada April lalu sekumpulan penyelidik merumuskan sejarah penubuhan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278 tetapi kali ini tarikhnya berubah kepada lebih awal iaitu 1262 dan bukannya pada tahun 1400 yang menjadi rujukan selama ini.
Keputusan memilih tarikh 1262 sebagai penubuhan kerajaan Melayu Melaka itu diputuskan hasil kesepakatan kajian selama setahun oleh sepasukan penyelidik yang dilantik oleh kerajaan negeri menerusi kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).
Keputusan itu dipersetujui pada Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran IKSEP bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang diadakan semalam.
“Keputusan ini muktamad ekoran hasil kajian oleh sekumpulan penyelidik sejak Jun 2009 yang bersepakat untuk menolak pendapat penulis-penulis terdahulu.“Sebelum ini, tarikh 1400 dan 1278 yang dikemukakan tidak mempunyai ciri fakta yang kukuh sebagai tahun sebenar penubuhan kerajaan Melayu Melaka kerana tahun itu diperoleh daripada andaian dan tujuan penulisan berdasarkan sumber-sumber yang ada,” katanya.

Khamis, Mei 27, 2010

KERAJAAN MELAYU MELAKA BUKANNYA WUJUD TAHUN 1400?

Khabarnya Kerajaan Melayu Melaka (KMM) bukan wujud bermula sekitar tahun 1400? Khabarnya ada dapatan terbaharu tentang tahun sebenar KMM wujud iaitu sebelum tahun 1400 lagi? Khabar ini mula bergema secara sedikit demi sedikit sejak 2-3 bulan yang lalu. Atau mungkinkah Sungai Melaka (seperti foto di sebelah) bukannya pusat perdagangan utama ketika tahun 1400 - 1500?
Agak rasa bertuah juga pabila dipelawa untuk menjadi peserta Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka yang akan diadakan pada 31 Mei 2010 (Isnin) di Tanjung Kling, Melaka. Seminar ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Melaka yang diselenggarakan oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Melaka (IKSEP). Pakar penyelidik dan pengkaji sejarah dari Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia antara yang akan membentangkan hasil dan dapatan terbaharu ini. Melalui seminar ini kemungkinan sebahagian besar fakta dan dapatan terbaharu sebegini akan terhurai.

Sesuatu yang menarik kemungkinan sejarah awal KMM ini bakal dikupas dengan kajian dan bukti yang bakal disampaikan oleh para pembentang nanti. Mungkinkah Parameswara bukan manusianya yang membuka negeri Melaka berdasarkan salakan anjing di bawah pokok bernama Melaka, atau ada tokoh lain yang membuka Melaka dengan keterangan serta bukti yang istimewa?

Maka, itulah pentingnya belajar dan memahami secara penuh mendalam tentang sejarah dan pengajarannya dalam menentukan perjalanan manusia dan negara masa kini. Mata pelajaran sejarah peringkat sekolah sejak dahulu dimomokkan dengan sesuatu yang 'negatif iaitu membosankan dan meletihkan' makanya kini ramai yang tidak tahu asal usul sesebuah tempat dan peristiwa yang berlaku dahulu, jika secara spontan kita bertanya pelajar sekolah menengah kini mungkin para pelajar itu tidak tahu apa-apapun secara fakta yang mudah-mudah sahaja tentang pembukaan dan susur galur KMM apatah lagi ingin mengetahui secara mendalam?