Selasa, Disember 27, 2011

CUTI-CUTI SEKOLAH HUJUNG TAHUN 2011 (iii)

Benarkah ikan yu ini sebesar begitu...?



Terowong laluan manusia dan ikan...

Klise... permainan yang tidak berubah!


Juga klise... cabaran yang sama...!


Jalan-jalan dan berkunjung sempena cuti-cuti sekolah pada akhir November dan awal Disember lalu berkesempatan juga berkunjung ke Aquaria, KLCC dan Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Kunjungan ke Aquaria merupakan kunjungan kali pertama manakala kunjungan ke Berjaya Times Square (khususnya tempat permain taman tema dalam) merupakan kunjungan kali kedua (terakhir hujung tahun 2009). Tiada tambahan permainan di Berjaya Times Square yang boleh libatkan orang dewasa, orang dewasa hanya melihat dan mengawasi anak-anak kecil bermain sahaja...

CUTI-CUTI SEKOLAH HUJUNG TAHUN 2011 (ii)

Latihan tendangan tepat bakal pemain bola sepak negara di Sunway Lagoon.



Menanti air jatuh dari bekas tadahan besar di Sunway Lagoon.

Indah... hanya pada pandangan mata tapi masih banyak kurangnya I-City ini.


Senja di I-City, rasa sedikit kesal menikmatinya...


Jalan-jalan dan berkunjung sempena cuti-cuti sekolah pada akhir November dan awal Disember lalu berkesempatan juga berkunjung ke Sunway Lagoon, Petaling Jaya dan I-City, Shah Alam. Kunjungan ke dua tempat ini merupakan kunjungan pertama kali dalam hidup. Sayangnya... kawasan I-City rupa-rupanya belum lengkap sepenuhnya serta semacam rasa 'ditipu' berkunjung ke situ... apakan daya...!

CUTI-CUTI SEKOLAH HUJUNG TAHUN 2011 (i)

Kereta rasmi Tunku Abdul Rahman Putra.



Hadapan pintu masuk Memorial Tun Hussein Onn.

Bahagian dalam (kubah) Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya.


Bahagian hadapan Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya.


Jalan-jalan dan berkunjung sempena cuti-cuti sekolah pada akhir November dan awal Disember lalu berkesempatan juga berkunjung ke Masjid Sultan Zainal Abdin, Putrajaya dan ke dua buah memorial iaitu Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dan Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur. Kunjungan ke dua buah memorial dapat menambahkan serba sedikit ilmu dan pengalaman melihat sendiri bahan yang dipamerkan (rasa-rasanya kali terakhir berkunjung ke dua buah memorial ini sekitar tahun 1999-2000 dahulu).

Rabu, November 16, 2011

KECEWA HATI BERLARUTAN BERTAMBAH...?

KECEWA HATI PERASAAN SERTA MINDA KEKAL BERLARUTAN BERTAMBAH...


Suatu ketika beberapa tempoh yang lalu pernah dilayangkan dan dikenakan 'kata-kata teguran keras' dalam urusan hakiki rasmi dan tidak rasmi tanpa alasan kuat dan kukuh yang mengejutkan hati dan minda serta tidak disangka sama sekali.


Bertambah sedikit demi sedikit pabila mula sedari bahawa sebelah pihak sahaja bersungguh-sungguh membantu dengan kadar termampu dalam urusan hakiki rasmi dan tidak rasmi. Kesungguhan dalam pelbagai cabang dan sentuhan ini kadang kalanya semacam tiada apa-apa yang harus dimuliakan... ya, sekurang-kurang atau sekecil-kecil atau sedaif-daif....? (bukanlah mengharapkan balasan apa-apa tapi seperti kurangnya nilai insaniah jiwa dan minda yang melanda)


Bertambah juga sedikit demi sedikit baru disedari sejak 1-2 bulan belakangan ini dalam urusan hakiki rasmi dan tidak rasmi bahawa benarlah kata-kata "indah khabar daripada rupa" dalam beberapa tindakan yang boleh ditafsir (maaf jika tafsiran ini negatif, meleset serta tidak benar


Apa-apapun kecewa ini tidak harus dijadikan penghalang untuk mengekalkan apa-apa yang ada kini, motivasi jiwa dan fizikal harus terus kukuh, makanya harus terus hidup serta ketepikan dan tinggalkan sahaja hal-hal berkait dan libatkan orangnya...?


Hidup ini sebelum 'hadirnya itu' berjalan lancar ikut rutin yang aman dan cabaran yang mampu diatasi dengan izin-Nya. Sedarilah bahawa seseorang itu tidak sama cara dan tindakannya dalam menghargai insan dan bersifat insaniah...


Kecewa ini merupakan luahan kecewa terhadap hal-hal berkaitan sikap dan kesungguhan...

HIDUP HARUS DITERUSKAN DENGAN KUAT DAN TABAH SEPERTI SEBELUM 'HADIRNYA ITU'...!

Isnin, Oktober 24, 2011

BBK 2011 JOHOR - SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI KEMERDEKAAN GAPENA - DBPWS

Program Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-54 Peringkat Saringan Zon Selatan (Johor dan Melaka) anjuran GAPENA dengan kerjasama DBPWS di Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru pada 15 Oktober 2011 (10.15 pagi - 2.30 petang), program ini juga diadakan sempena BBK 2011 Negeri Johor.

Syukur seramai 37 peserta menyertai sayembara ini walaupun pihak GAPENA secara mengejut mohon diadakan kira-kira dua minggu lalu. Ada 2 wakil zon selatan akan menyertai sayembara peringkat kebangsaan yang bakal diadakan pada 28 - 29 Oktober 2011 di Kuala Lumpur. Terima kasih kepada semua peserta yang menyertai sayembara yang boleh diklasifikasikan 'terkejut dan mengejut tahap besar' ini.

PERSEMBAHAN KOKURIKULUM UTM

Pada 7 Oktober 2011 berkesempatan hadir (kehadiran wajib selaku Tenaga Pengajar) menyaksikan pementasan teater berjudul "Lonjakan Transform" sempena Malam Cabaran Minda Kanan anjuran Pusat Kursus Umum dan Kokurikulum UTM. Pementasan ini dijayakan oleh para pelajar UTM yang mengambil Teras Kebudayaan termasuk pelajar yang mengambil Teras Kesukarelawanan dalam kelas kokurikulum. Sebuah pementasan yang boleh dibanggakan kerana hasil pelajar yang agak terhad masa dan upaya tenaga produksinya yang diusahakan Tn. Hj. Ahmad Ramlee Salikon (tenaga pengajar utama teater kokurikulum UTM) dan skrip oleh Rahimah Muda Jb.

BBK 2011 JOHOR - MALAM SEMARAK BAHASA DAN SASTERA DARUL TA'ZIM

Program Malam Semarak Bahasa dan Sastera Darul Ta'zim sempena BBK 2011 Negeri Johor anjuran bersama PPJ, IPG Kampus Tun Hussein Onn (IPGKTHO) dan DBPWS di Dewan Seri Budiman IPGKTHO, Batu Pahat, Johor pada 1 Oktober 2011 (9 malam - 11 malam). Program ini dirasmikan oleh YB Dr. Hj. Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Sebelumnya pada siang hari diadakan Bengkel Penulisan dan Ziarah Bahasa dan Sastera di Batu Pahat.

BBK 2011 MELAKA - BICARA KARYA SASTERA NEGERI MELAKA




Program Bicara Karya Sastera Negeri Melaka sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2011 Peringkat Negeri Melaka pada 1 Oktober 2011 lalu di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, Melaka. Ahli pembentang kertas kerja merupakan Shamsudin Othman, Nisah Haron dan Mohamad Hj. Musip. Istimewanya juga pengerusi sesi bicara merupakan Hj. Mohd Zazmi Mohd Zain mantan juruhebah popular ketika era lewat 1980-an dan awal 1990-an khususnya melalui rancangan carta lagu popular ketika itu iaitu 'Carta Lagu Pujaan 10 Nescafe'.

Sabtu, September 17, 2011

SYUKUR BESAR KEPADA-NYA; DIRI INI KERDIL HARUS SEDAR DIRI - 'SEMBUNYI DAN MENYENDIRI'!

(Syukur besar kepada-Nya; hal ini tidaklah perlu sangat dihebahkan dan dihebohkan secara meluas kepada umum, biarlah umum mengetahui dalam keadaan yang semula jadi sifatnya kerana sifat rendah diri masih menebal dalam keadaan sedar diri sendiri yang masih kerdil sumbangan hakiki ini...)

___________________________________________


Secara tiba-tiba dipanggil ke Kuala Lumpur pada 15 September 2011 (Khamis) lalu. Pertamanya dan seunggulnya bersyukur besar atas kurnia-Nya itu atas hal ini, ya... hanya hati ini yang tahu penyerahan tanda syukur kepada-Nya.

Seterusnya hati ini tekad untuk 'sembunyi dan menyendiri' buat seketika yang tiada had tempoh yang ditetapkan sendiri untuk 'bersembunyi dan bersendiri', hanya 2 insan luar organisasi yang diri ini hubungi untuk khabarkan hal ini, yang pada diri ini hanya menganggap hal ini "tahap biasa-biasa sahaja" iaitu dikhabarkan kepada Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu Amiruddin Ali; ya... dua insan istimewa ini yang banyak berjasa penuh besar dalam tempoh dasawarsa ini yang berkait hakiki organisasi, namun hakikatnya puluhan insan luar organisasi yang banyak berjasa besar dalam tempoh dasawarsa ini diri ini langsung tidak akan melupakannya...

Diri ini ambil pendirian bahawa hal ini tidak perlu dihebahkan dan dihebohkan sangat melalui pelbagai alat komunikasi yang ada kini kerana hal ini tetap berstatus "tahap biasa-biasa sahaja". Apalah sangat untuk dihebahkan hal ini kerana keutamaan yang satu dan perdana sifatnya wajib penuh syukur kepada-Nya dahulu. Dalam hal ini harus diri sendiri perteguhkan dengan tekad semangat untuk mengekal serta menambahkan komitmen dan momentum diri sendiri dalam konteks hakiki organisasi.

Hal ini sebenarnya bagi diri ini hanya permulaan langkah kecil untuk ke arah langkah yang lebih utama buat masa terdekat lalu seterusnya langkah masa panjang. Tempoh dasawarsa yang telah dilalui sebenarnya masih agak kecil sumbangan diri ini kerana ada beberapa perkara yang belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh, lalu diri ini tetap merendah diri secara dalaman hati dan secara fizikal agar diri ini tidaklah meraih sifat-sifat yang rasa-rasanya harus sentiasa dihindari itu. Masih banyak kekurangan diri ini yang kadang kalanya tidak termampu menjangkau hasilnya...

Mohon kepada-Nya agar diri ini terus rendah diri serta sedar diri akan upaya diri sendiri yang ada kini... biarlah hal ini terjadi secara semula jadi tanpa perlu berusaha keras untuk menghebahkan dan menghebohkannya; biarlah diri ini berkongsi 'hal ini' kepada hanya buat beberapa teman luar organisasi sahaja (cukup mungkin sekadar 3-4 teman luar organisasi sahaja); ya... berharap kepada-Nya agar kekal dengan sifat 'sembunyi dan menyendiri' yang menguasai diri ini kini.

KCB - OVJ : PAKEJ AGAK BERKESAN BINTANG DAN PELANGI

Ketika Cinta Bertasbih (filem dan sinetron) dan Dalam Mihrab Cinta (filem)

Sejak 2-3 bulan ini bersama-sama anak-anak gemar menonton filem dan sinetron Indonesia khususnya 'Ketika Cinta Bertasbih' (KCB); semalam berkempatan dua kali menonton DVD filem 'Dalam Mihrab Cinta' (DMC) bersama-sama anak-anak. Kini sejak 2-3 bulan juga mula kenali pelakon bernama Kholidi Asadi Alam, Oki Setiana Dewi, Dude Harlino, Meyda Sefira, Yasmine Wildblood, Andi Arsyil Rahman, Tsania Marwa, Asmarindah, Boy Hamzah, dan ramai lagi. DMC lakonan utama Dude Harlino, Meyda Sefira dan Asmarindah merupakan sebuah cerita umum yang mudah namun penuh mesej tentang kesedaran dalam kehidupan seharian.

Komedi Bersahaja dan Spontan 'Opera Van Java'

Selain minat tonton KCB melalui Saluran Bintang 141 sejak dua bulan lalu satu lagi rancangan komedi yang tidak dilepaskan iaitu 'Opera Van Java' (OVJ). Ya... melalui OVJ yang disaksikan petang tadi ada bukti terus terpapar serta bertambah jelas dan kukuh bahawa AMY SEARCH cukup popular serta disebut-sebut di Indonesia sejak dua dekad sehingga kini. Petang tadi sempat menonton OVJ iaitu sebuah rancangan komedi spontan yang unik dan begitu menghiburkan melalui Saluran Bintang 141; melalui episod OVJ itu membawa judul "Isabella" yang menonjolkan watak bernama Amy (lakonan Sule) disamping selingan nyanyian lagu-lagu kumpulan Search seperti 'Isabella' dan 'Fantasia Bulan Madu'.

Selasa, Ogos 30, 2011

HANYA 4 'D' DALAM TEMPOH 29 HARI - SESUATU YANG MEMBANGGAKAN

Bermula 1 Ogos 2011 / 1 Ramadan 1423H sehingga 29 Ogos 2011 / 29 Ramadan 1432H secara penuh disiplin menghitung satu perkara; biasanya 'D' akan habis dalam dua hari tapi dalam tempoh hitungan 29 hari itu hanya 4 'D' dihabiskan, hal ini juga sesuatu rahmat besar Ramadan namun terfikir mampukah dikekalkan hitungan positif itu atau kembali kepada tahap asal...? 'D' ini tahun demi tahun sentiasa meningkat harganya, mungkin 'D' serta yang sewaktu dengannya bakal naik lagi bulan Oktober nanti?

Hakikatnya sejak dahulu tidak pernah bertukar 'D' ini dengan nama-nama yang lain sama ada 'M' atau 'S' atau 'GG' atau 'BH' atau yang lain-lain. 'D' memang unggul, pernah suatu ketika menguasai arena bola sepak tempatan bertahun lamanya...

Selasa, Ogos 23, 2011

MANIFESTASI PUISI MERDEKA DAN BUKA PUASA BERSAMA-SAMA ANAK YATIM

Khalid Salleh.



Amiruddin Md. Ali Hanafiah.

Deklamasi lakon (dekon) Grup Inspirasi Unik.


Kulit buku "Melayu Hilang di Dunia".


Sabtu lalu (20 Ogos 2011) hadiri Majlis Manifestasi Puisi Merdeka 2011 dan Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Anak Yatim di Rumah Barkat, Bukit Cagar, Johor Bahru anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor (JKKNJ) dengan kerjasama Rumah Barkat. Acara baca puisi, lagu puisi dan deklamasi lakon (dekon oleh Grup Inspirasi Unik) termasuk tazkirah Ramadan bermula 5.30 petang sehingga waktu Maghrib. Nasi ambeng dalam talam menu buka puasa yang enak dihidangkan dinikmati bersama-sama Khalid Salleh, Amiruddin Ali, Ria Asmira, Hj. Mohd. Rosli Bakir, Shamsul A. Wahab dan Zulkifli Jemadar. Seramai 100 anak yatim turut menikmati hidangan berbuka puasa tersebut.


Tuan Khalid Salleh memberikan cenderamata berharga iaitu bukunya "MELAYU HILANG DI DUNIA". Secara sepintas lalu buku yang terkandung 19 bab ini punyai kupasan, huraian dan pemikiran dalam buku ini mesra pembaca dan meningkatkan serta menyuburkan kembali pengetahuan umum dalam konteks isu dan persoalan bangsa dan negara termasuk hal-hal bahasa Melayu. Buku ini tidak rugi untuk dimiliki oleh semua orang yang kenal huruf dan boleh membaca. Terima kasih sebesar penghargaan buat Tuan Khalid Salleh.


Sabtu, Ogos 20, 2011

MAJLIS PENYAMPAIAN HSDT KE-8 2011

Shamsudin Othman menerima hadiah.


WB Rendra meraih hadiah dalam dua kategori.


Kumpulan muzik YWJ.


1. Majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) ke-8 2011 telah berjaya disempurnakan pada 30 Julai 2011 di PERSADA Johor, Johor Bahru. Majlis dihadiri YAB Menteri Besar Johor.

2. HSDT merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor sejak kali pertama pada tahun 1996, beterusan ke tahun 1999, 2001, 2003, 2005, 2007, 2009 dan 2011. HSDT ke-8 2011 diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan (DBPWS), Persatuan Penulis Johor (PPJ), GAPENA dan YWJ Citra Holdings. Pelibatan DBPWS bermula sejak penganjuran kali ketiga (2001) iaitu tahun bermulanya DBPWS bertapak di negeri, dan berterusan sehingga kini iaitu sudah 6 kali pelibatan DBPWS. Puluhan penulis dan penggiat sastera dan persuratan telah menerima pelbagai kategori hadiah yang ditawarkan sejak sedekad yang lalu.

3. Beberapa catatan untuk HSDT ke-8 2011 kali ini yang terkesan dalam diri sendiri (hakikatnya banyak perkara yang meninggalkan kesan) seperti berikut:

a. Kategori Karya Remaja Bawah 19 Tahun - kategori ini menawarkan 6 hadiah iaitu 3 karya puisi dan 3 karya cerpen. 3 mantan pelajar Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Johor tahun 2009 dan 2010 telah meraih hadiah kategori ini.

b. Kategori Puisi dan Cerpen Eceran - dua penulis besar dan prolifik kebanggaan diri ini iaitu Hj. Shapiai Mohd Ramly dan WB Rendra meraih hadiah dalam dua kategori ini.

c. Kategori Kumpulan Puisi - Hj. Shamsudin Othman meraih hadiah kategori ini melalui kumpulan puisi peribadinya berjudul "Tanah Nurani".

d. Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor diraih oleh penulis yang memang banyak karya hebat dan prolifik peringkat kebangsaan iaitu Khairul Hafiz Abd. Rahman (atau lebih dikenali sebagai Serunai Faqir), manakala Hadiah Karyawan Sastera Johor dianugerahkan kepada Amida @ Hamidah Abd Hamid (Kak Anis merupakan pensyarah bidang estetika ketika diri belajar di UM tahun 1995-1996).

d. Persembahan selingan - Pada HSDT kali ini menampilkan persembahan lagu-lagu puisi yang diolah kembali oleh pihak YWJ secara persembahan langsung.


Hakikatnya banyak lagi catatan indah yang tidak boleh dilakarkan semuanya di sini... banyak manis serta ada yang sedikit pahit juga (tapi berlalu hilang dalam kemanisan). Apa-apapun beberapa penulis dan pengkarya hebat negeri Johor dan peringkat kebangsaan hendak diri ini kalungkan sebesar penghargaan juga atas penulisan dan pengkaryaan mereka yang tetap unggul serta prolifik sepanjang masa iaitu Azhar Salleh (Sifuku), Amiruddin Ali, Mohd Kasim Mahmud, Zaid Akhtar, Md Nizar Parman, Rahimah Muda, Rohaidah Yon, Mohd Rosli Hj. Bakir, Zulfazlan Jumrah dan beberapa nama lain sama ada yang baharu mahupun telah ternama / veteran kekal teguh berkarya sehingga kini.

Rabu, Julai 27, 2011

85,000 TIKET HABIS DIJUAL...! HEBAT PENONTON TAPI PENGURUSAN FAM YANG CUAI...

Cermin kaunter tiket terpampang kata-kata 'kecewa'!


Krew Astro Arena 'dikepung' orang ramai ketika temu ramah.



Seorang peminat wanita meluahkan rasa kecewa kepada krew Astro Arena.


Jualan jersi Malaysia - biru dan kuning.


TIKET HABIS DIJUAL! Hebat dan popularnya pasukan bola sepak Malaysia kini itu diakui namun jangan sampai rakyat/penyokong berundur menyokong Malaysia gara-gara sikap serta kecuaian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Berada di luar Stadium Bukit Jalil sekitar pukul 11 - 11.30 pagi tadi; kecewa amat kerana tidak dapat membeli tiket. Semalam sudah habis dijual 60,000 tiket manakala baki 25,000 tiket lagi dijual hari ini, ramai hadir terpaksa beratur panjang (sekitar 200-300 meter) sejak pukul 8 pagi sebahagian besarnya tidak dapat membeli tiket, khabarnya juga setiap seorang boleh beli tanpa had, ada yang membeli sampai 200 tiket seorang! Makanya akan muncul ULAT SEGERA! Ramai yang hadir di stadium untuk peroleh tiket mara-marah serta ada yang 'maki hamun' kepada FAM. Alangkah kecewa besar terhadap sikap dan tanggungjawab FAM ini apatah lagi ada yang terpaksa ke tiga stadium untuk membeli tiket iaitu di Stadium Shah Alam, Stadium MBPJ dan Stadium Bukit Jalil.

Berkesempatan merakamkan beberapa foto ketika ingin membeli tiket antaranya TEMU RAMAH ASTRO ARENA. Sebahagian orang ramai yang kecewa dengan sistem jualan tiket perlawanan Malaysia - Singapura oleh FAM (seorang boleh beli tiket tanpa had - ratusan tiket tiada halangan) menyampaikan rasa penuh kecewa atas urusan FAM tentang penjualan tiket kepada krew televisyen Astro Arena yang membuat liputan di luar Stadium Bukit Jalil.

TEATER SKALA BESAR DAN HEBAT - "SRI MERSING 2"

Tiket disimpan buat kenangan masa hadapan.


Barisan pelakon utama bersama-sama Rosdeen Suboh (Pengarah).


Aksi sebahagian babak sengit dan mendebarkan.


Aksi dan perwatakan Damak (Zul Huzaimy).


Menonton pementasan teater berskala besar produksi Istana Budaya iaitu naskhah SRI MERSING 2 di Johor Bahru ini merupakan julung kalinya. Nikmati watak-watak bernama DAMAK, PAK MALAU, SRI MERSING, AWANG SULONG, MAK BANANG, MAK DARA...

Pada 15 Julai 2011 di Stadium Tertutup MBJB menyaksikan pementasan teater skala besar dan hebat ini hasil produksi besar Istana Budaya bersama-sama ramai penggerak teater negeri Johor. Hasil kerja Pengarahnya Tuan Rosdeen Suboh cukup membanggakan dalam produksi berskala besar yang melibatkan beberapa pelakon ternama antaranya Zul Huzaimy, A. Galak, Yus Raja Lawak, Elly Mazlein, Azizah Mahzan, Rozie Othman, Zulkifli Zain, Abu Bakar Juah, Fazurina dan lain-lain.

SRI MERSING telah dipentaskan serta mendapat sambutan cukup membanggakan pada tahun lepas di Istana Budaya, Kuala Lumpur namun pementasan di Johor Bahru ini juga amat menarik sehinggakan set-set di pentas dibawa khas dari Kuala Lumpur. Puas hati juga kerana dapat duduk meyaksikan pementasan ini di barisan paling hadapan yang secara jelas... dapat melihat para pelakon beraksi serta yang utama juga dapat melihat dengan jelas pertukaran set-set di pentas yang dilaksanakan oleh krew dengan penuh profesional dan teratur.

TEATER MUZIKAL "BUMI BERLANTAI PERMATA 2" - SUATU KESUNGGUHAN KERJA YANG MEMBANGGAKAN

Pekarangan Bangunan Bukit Timbalan - tempat pementasan BBP2.


Rakaman foto dari jauh.


Sebahagian babak pementasan BBP2.


Berkesempatan menyaksikan pementasan teater muzikal BUMI BERLANTAI PERMATA 2 (BBP2) sempena Festival Kesenian Johor Bahru ke-8 2011 bersama-sama Cikgu Azhar Salleh pada 14 Julai 2011 di Pekarangan Bukit Timbalan, Johor Bahru. Pementasan teater muzikal BBP2 arahan Sahruddin Manas dan skrip oleh Rahimah Muda merupakan kesinambungan BBP yang pertama diadakan pada tahun 2010 juga di Bukit Timbalan. BBP2 berlangsung pada 12 - 16 Julai 2011. BBP2 ini juga sempat disaksikan oleh Sultan Johor dan YAB Menteri Besar Johor pada 16 Julai 2011.

Tahniah serta penghargaan besar buat penulis skrip Rahimah Muda dan pengarahnya Sahruddin Manas termasuk para pelakon, penari dan krew yang terlibat dalam BBP2 ini.

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI PATRIOTISME SEKOLAH RENDAH DAERAH JOHOR BAHRU 2011

Para pemenang menerima hadiah dan replika cek.


Sebahagian peserta peringkat akhir sayembara.


Johan sayembara.


Seorang peserta di pentas akhir sayembara.


Sayembara Deklamasi Puisi Patriotisme Pelajar Sekolah Rendah dan Pertandingan Koir Lagu Patriotik Sekolah Menengah Daerah Johor Bahru anjuran bersama PSI MBJB, DBPWS dan PPD Johor Bahru diadakan selama tiga hari (13 - 15 Julai 2011) di Plaza Angsana, Johor Bahru. 123 pelajar sekolah rendah daerah Johor Bahru menyertai kategori sayembara deklamasi puisi. Program yang merupakan gandingan bersama DBPWS, PSI MBJB dan PPD Johor Bahru ini diadakan dalam konteks menyambut bulan patriotisme. Program sebegini telah berlangsung selama tujuh tahun berturut-turut sejak tahun 2005.

Pada tahun 2011 ini ada sedikit pertukaran dibuat pabila sebelum ini hanya sayembara deklamasi puisi hanya untuk pelajar sekolah menengah manakala pertandingan koir khusus pelajar sekolah rendah telah ditukar iaitu sayembara untuk pelajar sekolah rendah dan sebaliknya untuk pertandingan koir. Tahun ini juga program dilaksanakan awal (biasanya dalam bulan Ogos) kerana sepanjang bulan Ogos merupakan bulan Ramadan. Terima kasih buat semua pihak sama ada secara langsung dan tidak langsung membantu penuh komited dalam menjayakan program ini di sebuah tempat tumpuan utama warga bandar raya Johor Bahru.

Isnin, Julai 04, 2011

SUNGAI LEBAM (ANAK SUNGAI JOHOR) YANG BARU DIKENALI...

Sempat rakam foto kapal terbang menuju ke Changi, Singapura.



Cikgu Shamsul bersama-sama rokok dan mengawal enjin bot.


Anak kecil ikan kerapu terperangkap dalam jaring yang diletakkan di tepi bangsal sungai.

Beberapa kelong yang hanya 50-100 meter dari rumah Cikgu Shamsul (ini kelong kecil di pinggir sungai sahaja, belum lagi yang kelong besar).


Sebuah kelong yang agak besar khusus untuk ternak kupang.


Tidak dirancang ketika ke FELDA Sening / Adela pada 3 Julai 2011 (Ahad) pabila sempat sekejap bersiar-siar dengan bot menyusuri Sungai Lebam (anak Sungai Johor) di Tanjung Serindit, Kota Tinggi, Johor.
Kunjungan ini dibawa khas oleh Cikgu Shamsul A. Wahab, rumahnya di pesisiran Sungai Lebam. Banyak kelong ikan, udang, kupang dan sebagainya makanan laut ada di sini. Besar dan luas juga Sungai Lebam ini, menurut Cikgu Shamsul pelbagai jenis ikan laut mudah diperoleh di sini apatah lagi jika betul-betul ke laut iaitu di perairan Selat Tebrau (muara besar Sungai Johor berhampiran Pulau Tekong, Singapura).

Khabarnya dari tempat Cikgu Shamsul (Tanjug Serindit) untuk ke muara besar Sungai Johor serta perairan Selat Tebrau sekejap sahaja serta boleh bermalam dengan menaiki bot. Buat kaki pancing ikan tempat ini juga sesuatu yang baik untuk rekreasi dan memperoleh hasil pancing ikan yang khabarnya agak lumayan (jika kena pada hari, pusaran air, jenis air, jenis umpan dan pelbagai hal lagi).

Hanya sempat sekejap sahaja di sini kerana masih ada urusan rasmi yang lain namun akan datang lagi ke sini atas urusan peribadi mahupun tidak rasmi secara berkumpulan. Tidak sempat juga untuk menjenguk Terminal Feri Tanjung Belungkor yang ada perkhidmatan feri ke Changi, Singapura dan Batam, Indonesia.

LEBUH RAYA BAHARU KE DESARU, PENGERANG DAN KAWASAN TENGGARA DAN SELATAN KOTA TINGGI







Pada 3 Julai 2011 (Ahad) ada urusan ke FELDA Sening / Adela atas tujuan perbincangan, pertemuan dan lawat tempat bagi salah satu program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2011 negeri Johor. Kali pertama juga dari Johor Bahru untuk ke sana atau lebih tepatnya menuju ke Bandar Penawar / Desaru melalui lebuh raya baharu yang dikenali Lebuh Raya Senai - Pasir Gudang - Desaru (Lebuh Raya E22); dari Larkin ke Stesen Minyak Petronas Bandar Penawar (persimpangan menuju ke kawasan peranginan Desaru) hanya sekitar 30-35 minit sahaja. Lebuh raya ini mula dibuka pada awal minggu pertama Jun 2011.



Sebelum adanya lebuh raya ini jika mahu ke Bandar Penawar / Desaru harus melalui Masai - Ulu Tiram - Bandar Kota Tinggi dari Johor Bahru yang melibatkan sekitar 100 - 115 KM (1 - 1 jam 30 minit). Cuma lebuh raya ini hanya satu lorong bermula selepas persimpangan Cahaya Baru sehingga ke Tol Bandar Penawar. Pemandangan jambatan di lebuh raya ini yang merentasi Sungai Johor indah serta sayup mata memandang ke bawah untuk melihat sungai. Kini jika mahu ke Desaru, Pengerang dan Sungai Rengit serta ke kawasan Gugusan FELDA di selatan dan tenggara Kota Tinggi lebih cepat dan pantas.


Diramalkan akan berlaku kesesakan ketara pabila hari Jumaat - Ahad kerana jalan di situ (khususnya masuk dan keluar Tol Bandar Penawar) hanya satu lorong pergi dan balik serta jalan biasa dan lampu isyarat yang ada di situ agak terhad menampung jumlah kenderaan yang banyak dalam sesuatu masa.

BICARA KARYA KEMBARA DAKSINA

Baharuddin Buyong Kahar dan Abd Talib Hassan.


Pak Bahar, mesra dan mudah berbicara.

En. Ainol Hasanal Jalaluddin, penggerak utama yang gigih serta penuh komited menjayakan program ini.


Sebahagian para tetamu dan khalayak.


Sebahagian buku hasil karya Abd Talib Hassan yang terhasil sejak tahun 1970-an sehingga kini.

Bicara Karya Kembara Daksina anjuran PPJ Segamat, UPENA UiTM Johor, DBPWS dan UMNO Cawangan Bandar Putra Segamat diadakan pada 2 Julai 2011 di Perpustakaan Awam Segamat, Johor. Dua orang ahli panel yang tampil merupakan penulis novel dan cerpen prolifik tanah air iaitu Baharuddin Buyong Kahar terkenal dengan novel 'Senjakala' dan Abd Talib Hassan yang menyerlah melalui novel 'Saga'.
Penganjuran program ini diusahakan secara gigih dan penuh komited khususnya oleh En. Ainol Hasanal Jalaludin, Koordinator UPENA UiTM Johor (merangkap Setiausaha PPJ Daerah Segamat) dan Prof. Madya Ahmad Nawawi Yaakob, Timbalan Rektor BPJI UiTM Johor (merangkap Pengerusi PPJ Daerah Segamat).
Inilah kali pertama dapat bertemu dan bersemuka dengan Baharuddin Buyong Kahar yang lebih mesra dipanggil Pak Bahar. Beliau seorang yang mesra dan mudah berbicara, manakala itu sempat berbual juga dengan Abd Talib Hassan yang penuh mesra serta sempat menyampaikan kata-kata hikmah iaitu "...dulu kita hidup susah, tapi senang; kini kita hidup senang, tapi susah...". Kata-kata ini dapat juga didengar dengan jelas oleh Tuan Haji Shapiai Mohd Ramly ketika makan tengah hari bersama-sama Pak Bahar, Pak Talib, En. Ainol dan Prof. Madya Ahmad Nawawi Yaakob selepas majlis berakhir.