Memaparkan catatan dengan label PERIBADI - PENGALAMAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PERIBADI - PENGALAMAN. Papar semua catatan

Selasa, Disember 27, 2011

CUTI-CUTI SEKOLAH HUJUNG TAHUN 2011 (iii)

Benarkah ikan yu ini sebesar begitu...?



Terowong laluan manusia dan ikan...

Klise... permainan yang tidak berubah!


Juga klise... cabaran yang sama...!


Jalan-jalan dan berkunjung sempena cuti-cuti sekolah pada akhir November dan awal Disember lalu berkesempatan juga berkunjung ke Aquaria, KLCC dan Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Kunjungan ke Aquaria merupakan kunjungan kali pertama manakala kunjungan ke Berjaya Times Square (khususnya tempat permain taman tema dalam) merupakan kunjungan kali kedua (terakhir hujung tahun 2009). Tiada tambahan permainan di Berjaya Times Square yang boleh libatkan orang dewasa, orang dewasa hanya melihat dan mengawasi anak-anak kecil bermain sahaja...

CUTI-CUTI SEKOLAH HUJUNG TAHUN 2011 (ii)

Latihan tendangan tepat bakal pemain bola sepak negara di Sunway Lagoon.



Menanti air jatuh dari bekas tadahan besar di Sunway Lagoon.

Indah... hanya pada pandangan mata tapi masih banyak kurangnya I-City ini.


Senja di I-City, rasa sedikit kesal menikmatinya...


Jalan-jalan dan berkunjung sempena cuti-cuti sekolah pada akhir November dan awal Disember lalu berkesempatan juga berkunjung ke Sunway Lagoon, Petaling Jaya dan I-City, Shah Alam. Kunjungan ke dua tempat ini merupakan kunjungan pertama kali dalam hidup. Sayangnya... kawasan I-City rupa-rupanya belum lengkap sepenuhnya serta semacam rasa 'ditipu' berkunjung ke situ... apakan daya...!

CUTI-CUTI SEKOLAH HUJUNG TAHUN 2011 (i)

Kereta rasmi Tunku Abdul Rahman Putra.



Hadapan pintu masuk Memorial Tun Hussein Onn.

Bahagian dalam (kubah) Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya.


Bahagian hadapan Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya.


Jalan-jalan dan berkunjung sempena cuti-cuti sekolah pada akhir November dan awal Disember lalu berkesempatan juga berkunjung ke Masjid Sultan Zainal Abdin, Putrajaya dan ke dua buah memorial iaitu Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dan Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur. Kunjungan ke dua buah memorial dapat menambahkan serba sedikit ilmu dan pengalaman melihat sendiri bahan yang dipamerkan (rasa-rasanya kali terakhir berkunjung ke dua buah memorial ini sekitar tahun 1999-2000 dahulu).

Rabu, November 16, 2011

KECEWA HATI BERLARUTAN BERTAMBAH...?

KECEWA HATI PERASAAN SERTA MINDA KEKAL BERLARUTAN BERTAMBAH...


Suatu ketika beberapa tempoh yang lalu pernah dilayangkan dan dikenakan 'kata-kata teguran keras' dalam urusan hakiki rasmi dan tidak rasmi tanpa alasan kuat dan kukuh yang mengejutkan hati dan minda serta tidak disangka sama sekali.


Bertambah sedikit demi sedikit pabila mula sedari bahawa sebelah pihak sahaja bersungguh-sungguh membantu dengan kadar termampu dalam urusan hakiki rasmi dan tidak rasmi. Kesungguhan dalam pelbagai cabang dan sentuhan ini kadang kalanya semacam tiada apa-apa yang harus dimuliakan... ya, sekurang-kurang atau sekecil-kecil atau sedaif-daif....? (bukanlah mengharapkan balasan apa-apa tapi seperti kurangnya nilai insaniah jiwa dan minda yang melanda)


Bertambah juga sedikit demi sedikit baru disedari sejak 1-2 bulan belakangan ini dalam urusan hakiki rasmi dan tidak rasmi bahawa benarlah kata-kata "indah khabar daripada rupa" dalam beberapa tindakan yang boleh ditafsir (maaf jika tafsiran ini negatif, meleset serta tidak benar


Apa-apapun kecewa ini tidak harus dijadikan penghalang untuk mengekalkan apa-apa yang ada kini, motivasi jiwa dan fizikal harus terus kukuh, makanya harus terus hidup serta ketepikan dan tinggalkan sahaja hal-hal berkait dan libatkan orangnya...?


Hidup ini sebelum 'hadirnya itu' berjalan lancar ikut rutin yang aman dan cabaran yang mampu diatasi dengan izin-Nya. Sedarilah bahawa seseorang itu tidak sama cara dan tindakannya dalam menghargai insan dan bersifat insaniah...


Kecewa ini merupakan luahan kecewa terhadap hal-hal berkaitan sikap dan kesungguhan...

HIDUP HARUS DITERUSKAN DENGAN KUAT DAN TABAH SEPERTI SEBELUM 'HADIRNYA ITU'...!

Sabtu, September 17, 2011

SYUKUR BESAR KEPADA-NYA; DIRI INI KERDIL HARUS SEDAR DIRI - 'SEMBUNYI DAN MENYENDIRI'!

(Syukur besar kepada-Nya; hal ini tidaklah perlu sangat dihebahkan dan dihebohkan secara meluas kepada umum, biarlah umum mengetahui dalam keadaan yang semula jadi sifatnya kerana sifat rendah diri masih menebal dalam keadaan sedar diri sendiri yang masih kerdil sumbangan hakiki ini...)

___________________________________________


Secara tiba-tiba dipanggil ke Kuala Lumpur pada 15 September 2011 (Khamis) lalu. Pertamanya dan seunggulnya bersyukur besar atas kurnia-Nya itu atas hal ini, ya... hanya hati ini yang tahu penyerahan tanda syukur kepada-Nya.

Seterusnya hati ini tekad untuk 'sembunyi dan menyendiri' buat seketika yang tiada had tempoh yang ditetapkan sendiri untuk 'bersembunyi dan bersendiri', hanya 2 insan luar organisasi yang diri ini hubungi untuk khabarkan hal ini, yang pada diri ini hanya menganggap hal ini "tahap biasa-biasa sahaja" iaitu dikhabarkan kepada Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu Amiruddin Ali; ya... dua insan istimewa ini yang banyak berjasa penuh besar dalam tempoh dasawarsa ini yang berkait hakiki organisasi, namun hakikatnya puluhan insan luar organisasi yang banyak berjasa besar dalam tempoh dasawarsa ini diri ini langsung tidak akan melupakannya...

Diri ini ambil pendirian bahawa hal ini tidak perlu dihebahkan dan dihebohkan sangat melalui pelbagai alat komunikasi yang ada kini kerana hal ini tetap berstatus "tahap biasa-biasa sahaja". Apalah sangat untuk dihebahkan hal ini kerana keutamaan yang satu dan perdana sifatnya wajib penuh syukur kepada-Nya dahulu. Dalam hal ini harus diri sendiri perteguhkan dengan tekad semangat untuk mengekal serta menambahkan komitmen dan momentum diri sendiri dalam konteks hakiki organisasi.

Hal ini sebenarnya bagi diri ini hanya permulaan langkah kecil untuk ke arah langkah yang lebih utama buat masa terdekat lalu seterusnya langkah masa panjang. Tempoh dasawarsa yang telah dilalui sebenarnya masih agak kecil sumbangan diri ini kerana ada beberapa perkara yang belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh, lalu diri ini tetap merendah diri secara dalaman hati dan secara fizikal agar diri ini tidaklah meraih sifat-sifat yang rasa-rasanya harus sentiasa dihindari itu. Masih banyak kekurangan diri ini yang kadang kalanya tidak termampu menjangkau hasilnya...

Mohon kepada-Nya agar diri ini terus rendah diri serta sedar diri akan upaya diri sendiri yang ada kini... biarlah hal ini terjadi secara semula jadi tanpa perlu berusaha keras untuk menghebahkan dan menghebohkannya; biarlah diri ini berkongsi 'hal ini' kepada hanya buat beberapa teman luar organisasi sahaja (cukup mungkin sekadar 3-4 teman luar organisasi sahaja); ya... berharap kepada-Nya agar kekal dengan sifat 'sembunyi dan menyendiri' yang menguasai diri ini kini.

Selasa, Ogos 23, 2011

MANIFESTASI PUISI MERDEKA DAN BUKA PUASA BERSAMA-SAMA ANAK YATIM

Khalid Salleh.



Amiruddin Md. Ali Hanafiah.

Deklamasi lakon (dekon) Grup Inspirasi Unik.


Kulit buku "Melayu Hilang di Dunia".


Sabtu lalu (20 Ogos 2011) hadiri Majlis Manifestasi Puisi Merdeka 2011 dan Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Anak Yatim di Rumah Barkat, Bukit Cagar, Johor Bahru anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor (JKKNJ) dengan kerjasama Rumah Barkat. Acara baca puisi, lagu puisi dan deklamasi lakon (dekon oleh Grup Inspirasi Unik) termasuk tazkirah Ramadan bermula 5.30 petang sehingga waktu Maghrib. Nasi ambeng dalam talam menu buka puasa yang enak dihidangkan dinikmati bersama-sama Khalid Salleh, Amiruddin Ali, Ria Asmira, Hj. Mohd. Rosli Bakir, Shamsul A. Wahab dan Zulkifli Jemadar. Seramai 100 anak yatim turut menikmati hidangan berbuka puasa tersebut.


Tuan Khalid Salleh memberikan cenderamata berharga iaitu bukunya "MELAYU HILANG DI DUNIA". Secara sepintas lalu buku yang terkandung 19 bab ini punyai kupasan, huraian dan pemikiran dalam buku ini mesra pembaca dan meningkatkan serta menyuburkan kembali pengetahuan umum dalam konteks isu dan persoalan bangsa dan negara termasuk hal-hal bahasa Melayu. Buku ini tidak rugi untuk dimiliki oleh semua orang yang kenal huruf dan boleh membaca. Terima kasih sebesar penghargaan buat Tuan Khalid Salleh.


Isnin, Julai 04, 2011

SUNGAI LEBAM (ANAK SUNGAI JOHOR) YANG BARU DIKENALI...

Sempat rakam foto kapal terbang menuju ke Changi, Singapura.



Cikgu Shamsul bersama-sama rokok dan mengawal enjin bot.


Anak kecil ikan kerapu terperangkap dalam jaring yang diletakkan di tepi bangsal sungai.

Beberapa kelong yang hanya 50-100 meter dari rumah Cikgu Shamsul (ini kelong kecil di pinggir sungai sahaja, belum lagi yang kelong besar).


Sebuah kelong yang agak besar khusus untuk ternak kupang.


Tidak dirancang ketika ke FELDA Sening / Adela pada 3 Julai 2011 (Ahad) pabila sempat sekejap bersiar-siar dengan bot menyusuri Sungai Lebam (anak Sungai Johor) di Tanjung Serindit, Kota Tinggi, Johor.
Kunjungan ini dibawa khas oleh Cikgu Shamsul A. Wahab, rumahnya di pesisiran Sungai Lebam. Banyak kelong ikan, udang, kupang dan sebagainya makanan laut ada di sini. Besar dan luas juga Sungai Lebam ini, menurut Cikgu Shamsul pelbagai jenis ikan laut mudah diperoleh di sini apatah lagi jika betul-betul ke laut iaitu di perairan Selat Tebrau (muara besar Sungai Johor berhampiran Pulau Tekong, Singapura).

Khabarnya dari tempat Cikgu Shamsul (Tanjug Serindit) untuk ke muara besar Sungai Johor serta perairan Selat Tebrau sekejap sahaja serta boleh bermalam dengan menaiki bot. Buat kaki pancing ikan tempat ini juga sesuatu yang baik untuk rekreasi dan memperoleh hasil pancing ikan yang khabarnya agak lumayan (jika kena pada hari, pusaran air, jenis air, jenis umpan dan pelbagai hal lagi).

Hanya sempat sekejap sahaja di sini kerana masih ada urusan rasmi yang lain namun akan datang lagi ke sini atas urusan peribadi mahupun tidak rasmi secara berkumpulan. Tidak sempat juga untuk menjenguk Terminal Feri Tanjung Belungkor yang ada perkhidmatan feri ke Changi, Singapura dan Batam, Indonesia.

Sabtu, Januari 01, 2011

TAHUN 2011: MOGA 'MCS' INI TERUS KUKUH...

Teringat rakan-rakan zaman sekolah menengah dahulu iaitu ketika zaman "rock kapak" tengah menggila dan mengganas sekitar tahun 1985 - 1991. Foto klasik (termasuk manusia bertaraf klasik dalam foto ini) di atas diambil dalam 'facebook' seorang rakan sekolah lama, foto dirakam ketika hadapi SPM tahun 1989...

Masuk tahun 2011 maknanya diri ini sudah sedekad berada di negeri Johor ini, diri ini tetap begini khususnya dalam kerja hakiki. Sudah sedekad di Johor rasanya pula macam 'lebih Johor daripada orang Johor sendiri', ya... bukannya apa-apa tapi dalam sedekad ini telah hampir 90% tempat di negeri Johor sudah dilalui dan dilihat serta memijak kaki juga termasuk hampir 90% tempat di negeri Melaka dilalui dan dilihat serta memijak kaki atas nama tugas rasmi hakiki dan kerja tidak rasmi. Secara tepatnya pada 2 Mei 2011 nanti maka genap 10 tahun berkhidmat kerja hakiki untuk negeri Johor dan Melaka.
Tahun 2010 yang baru berlalu terus tercatat dan terhimpun banyak pengalaman serta bertambah ilmu pengetahuan bukan sahaja ilmu rasmi tetapi termasuk ilmu tidak rasmi termasuk makin bertambah 'ilmu insan sekeliling' khususnya berkaitan hal-hal positif dan bermotivasi (hal-hal negatif dan tidak menggalakan pemikiran serta tindakan positif biarlah dijadikan ingatan serta pengajaran). Tambahan ilmu dan pengalaman diri sebenarnya banyak didorong dan dikutip dalam kalangan rakan-rakan atas urusan kerja rasmi serta rakan-rakan dalam konteks bukan hal rasmi kerja. Berbanyak terima kasih dan penghargaan buat semua rakan yang banyak membantu diri ini mengutip ilmu dan pengalaman berharga dalam kehidupan seharian ini; besar atau kecil jasa kalian tetap besar hikmahnya buat diri ini.
Tahun 2010 juga seperti tahun-tahun yang lain sebelumnya program dan aktiviti tugas hakiki berjalan dalam keadaan baik dalam konteks mengekalkan 'Minat - Cinta - Sayang' (MCS) yang menebal; demi 'MCS' ini maka pencapaian program melebihi perancangan; contohnya tahun 2010 merancang program sebanyak 25 program / aktiviti berskala kecil, sederhana dan besar tetapi yang dibuat sebanyak 41 program walaupun biaya dan peruntukan yang diterima semakin mengecil. Semoga serta didoakan kepada-Nya agar 'MCS' yang ada serta atas kurnia besar-Nya ini terus kekal atau sekurang-kurangnya bertambah lagi... namun dalam hal ini ada terbit juga sepicing kebimbangan mungkinkah 'MCS' ini akan berkurangan atas beberapa sebab tertentu...? Mohon kepada-Nya agar sepicing kebimbangan ini tidaklah terlalu kerap dan secara tetap hinggap dalam hati dan minda ini...

Rabu, Ogos 18, 2010

TARIKH SUDAH DIPEROLEH...

Hari ini perasaan bercampur-campur (semacam naik turun saham pula...). Temu janji kali keempat yang ditetapkan ini tidak diingkari malah seawal pukul 7.30 pagi sudah berada di situ. Sudah menjadi kebiasaan pabila berada di situ; setidak-tidaknya sudah tahu tempoh yang bakal dilalui ketika menjalani pemeriksaan dari bilik A ke bilik B dan seterusnya bilik C. Berada di situ rasa seperti warga emas kerana majoriti yang berada di situ dalam kalangan warga emas. Rasa kesian dan hiba menyelami hati juga pabila melihat anak kecil berusia sekitar 1-6 bulan juga terlibat sekali berada di situ untuk pemeriksaan. Seperti yang dijangka proses menunggu giliran untuk masuk ke bilik demi bilik dan menjalani pemeriksaan selama 6 jam menepati persediaan awal dam minda. Kebiasaan duduk di situ sekitar 5-6 jam.
Pakar dan penolong pakar memberitahu bahawa rayuan diterima agar dipercepatkan 'proses itu' kerana ada individu yang menolak gilirannya. Mengikut kata pakar ketika pertemuan sebulan yang lalu bahawa giliran yang ada hanya pada bulan November dan Disember. Pakar dan penolong pakar menyatakan tarikh yang boleh dijalankan 'proses itu' pada 14 September 2010 bersamaan dengan 5 Syawal 1431 Hijrah; ya... ketika sambutan hari raya yang masih hangat dan panas. Makanya, hari raya tahun ini tumpuan dalam semua aspek menurun kerana fokus terhadap 'proses itu'. Sebelum tarikh itu beberapa perkara harus diselesaikan antaranya tiga hari sebelum tarikh itu perlu menghuni di situ dan pemeriksaan kesihatan yang libatkan seluruh hal harus dijalani sebelum 'proses itu' dibuat; jika kesihatan tidak mengizinkan maka harus ditangguh untuk beberapa hari berikutnya!
Hal ini merupakan rahmat besar-Nya yang kadang kala tidak tercapai oleh akal jika berfikir secara mendatar sahaja, akal kurniaan-Nya harus digunakan sepenuhnya untuk mengetahui betapa dalam dan luasnya kuasa dan rahmat-Nya. Usaha gigih dan keyakinan besar terhadap rahmat-Nya lalu berserah kepada-Nya.

Sabtu, Mei 09, 2009

BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA

1. Isteri mula ditahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 4 Mac 2009 kerana dikesan bahawa uri kandungan terletak di bawah. Kata doktor kedudukan pada tahap 2-3 (ada 4 empat tahap keadaan bahayanya) serta implikasinya besar jika berlaku pendarahan, mungkin jika tidak sempat ke hospital berjumpa doktor (dalam masa 15 - 30 minit) maka nyawa ibu dan kandungannya dalam bahaya. Isteri terus ditahan sehingga 4 Mei 2009 (2 bulan). - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.
2. Berdasarkan keadaan isteri, doktor telah tetapkan perlu menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi dalam kandungan pada 5 Mei 2009. Namun pada 4 Mei 2009, doktor menjalani pemeriksaan akhir... didapati uri kembali tempat asalnya, maka boleh melahirkan bayi dalam keadaan normal. - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.
3. Isteri dibenarkan pulang setelah 2 bulan di hospital pada 4 Mei 2009, namun pada jam 1.15 pagi 6 Mei 2009 isteri terasa sakit... maka bergegaslah ke hospital lalu dimasukkan ke ruang untuk melahirkan bayi secara normal. Sedang sibuk menguruskan hal-hal pendaftaran dan dokumentasi (melibatkan dua tempat @ bangunan berbeza), maka lahirlah seorang bayi lelaki pada pukul 2 pagi (mengikut catatan rasmi hospital). Sempat melihat jururawat mencuci bayi, dan seterusnya sempat azan di telinga bayi. - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.
4. Isteri dan bayi ditahan berasingan kerana kawalan rapi untuk mencegah daripada berlaku 2-3 penyakit atau jangkitan tertentu. Isteri tinggal di blok B manakala bayi dikuarantin di blok A. - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.
5. Bayi dan isteri dibenarkan pulang pada 7 Mei 2009. Pada 8 Mei 2009 (Jumaat) ke Jabatan Pendaftaran, Wisma Persekutuan, Johor Bahru untuk mendaftar kelahiran dan memperoleh Surat Beranak. No. Surat Beranak: CE 00177 dan No. K.P.: 090506-01-0233, maka bertambahlah seorang lagi rakyat kelahiran negeri Johor bernama RAIF BIN RUSDI. - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.
6. Hakikatnya, teramat besar rahmat dan anugerah-Nya atas hal ini serta atas segala-galanya - isteri ditahan di hospital selama 2 bulan; saya menguruskan rumah dengan dua anak dengan kekuatan yang diberikan-Nya selama 2 bulan; dan isteri sepatutnya dibedah untuk melahirkan bayi tetapi saat-saat akhir kembali normal serta lahir secara normal. - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.