WB Rendra meraih hadiah dalam dua kategori.
Kumpulan muzik YWJ.
1. Majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) ke-8 2011 telah berjaya disempurnakan pada 30 Julai 2011 di PERSADA Johor, Johor Bahru. Majlis dihadiri YAB Menteri Besar Johor.
2. HSDT merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor sejak kali pertama pada tahun 1996, beterusan ke tahun 1999, 2001, 2003, 2005, 2007, 2009 dan 2011. HSDT ke-8 2011 diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan (DBPWS), Persatuan Penulis Johor (PPJ), GAPENA dan YWJ Citra Holdings. Pelibatan DBPWS bermula sejak penganjuran kali ketiga (2001) iaitu tahun bermulanya DBPWS bertapak di negeri, dan berterusan sehingga kini iaitu sudah 6 kali pelibatan DBPWS. Puluhan penulis dan penggiat sastera dan persuratan telah menerima pelbagai kategori hadiah yang ditawarkan sejak sedekad yang lalu.
3. Beberapa catatan untuk HSDT ke-8 2011 kali ini yang terkesan dalam diri sendiri (hakikatnya banyak perkara yang meninggalkan kesan) seperti berikut:
a. Kategori Karya Remaja Bawah 19 Tahun - kategori ini menawarkan 6 hadiah iaitu 3 karya puisi dan 3 karya cerpen. 3 mantan pelajar Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Johor tahun 2009 dan 2010 telah meraih hadiah kategori ini.
b. Kategori Puisi dan Cerpen Eceran - dua penulis besar dan prolifik kebanggaan diri ini iaitu Hj. Shapiai Mohd Ramly dan WB Rendra meraih hadiah dalam dua kategori ini.
c. Kategori Kumpulan Puisi - Hj. Shamsudin Othman meraih hadiah kategori ini melalui kumpulan puisi peribadinya berjudul "Tanah Nurani".
d. Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor diraih oleh penulis yang memang banyak karya hebat dan prolifik peringkat kebangsaan iaitu Khairul Hafiz Abd. Rahman (atau lebih dikenali sebagai Serunai Faqir), manakala Hadiah Karyawan Sastera Johor dianugerahkan kepada Amida @ Hamidah Abd Hamid (Kak Anis merupakan pensyarah bidang estetika ketika diri belajar di UM tahun 1995-1996).
d. Persembahan selingan - Pada HSDT kali ini menampilkan persembahan lagu-lagu puisi yang diolah kembali oleh pihak YWJ secara persembahan langsung.
Hakikatnya banyak lagi catatan indah yang tidak boleh dilakarkan semuanya di sini... banyak manis serta ada yang sedikit pahit juga (tapi berlalu hilang dalam kemanisan). Apa-apapun beberapa penulis dan pengkarya hebat negeri Johor dan peringkat kebangsaan hendak diri ini kalungkan sebesar penghargaan juga atas penulisan dan pengkaryaan mereka yang tetap unggul serta prolifik sepanjang masa iaitu Azhar Salleh (Sifuku), Amiruddin Ali, Mohd Kasim Mahmud, Zaid Akhtar, Md Nizar Parman, Rahimah Muda, Rohaidah Yon, Mohd Rosli Hj. Bakir, Zulfazlan Jumrah dan beberapa nama lain sama ada yang baharu mahupun telah ternama / veteran kekal teguh berkarya sehingga kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan