Sabtu, Oktober 17, 2009

PROSIDING BAHASA MELAYU BAHASA DUNIA - SEBUAH KERTAS KERJA YANG DIBANGGAKAN!

Kulit hadapan prosiding setebal 723 halaman (tidak termasuk kata alu-aluan, jadual dan senarai AJK Induk dan Teknikal persidangan).

Permulaan bicara dalam halaman 541.
Sebahagian puisi Azhar Salleh yang dikaji terbentang dalam halaman 546.

1. Walaupun diri ini tidak berkesempatan hadir dalam Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung pada 28 - 30 September 2009 yang lalu di PERSADA Johor, Johor Bahru (kerana kekangan kerja-kerja menguruskan program Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Negeri Melaka dan Johor secara maraton bermula 30 September hingga 8 Oktober 2009) namun diri ini memperoleh sebuah prosiding persidangan setebal 723 halaman atas pemberian ikhlas Pn. Zetty Raihan, Urus Setia YWJ. Saya baru memperoleh prosiding ini dalam 4-5 hari yang lalu. Prosoding yang termuat sebanyak 50 kertas kerja dan ucap utama ini cukup tebal dan berat untuk dibawa tetapi penuh ilmu dan maklumat tentang perbincangan dan perkembangan bahasa Melayu.
2. Menariknya dalam prosiding ini terkandung satu kertas kerja berjudul 'Pelanggaran Tatabahasa Bahasa Melayu dalam Karya Sastera Boleh Dielakkan: Suatu Pertimbangan' oleh Cik Hasrina Baharum, Pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Sekadar makluman ringkas, Cik Hasrina Baharum saya kenali beliau kerana beliau rakan sepejabat di DBPWS selama lebih kurang 3 tahun (2005 - 2007), setelah itu beliau berkhidmat di Bahagian Majalah DBP, dan seterusnya sebagai pensyarah di UPSI.
3. Beliau ada bertanya dan merujuk saya untuk mendapatkan sedikit maklumat pada bibit-bibit awal beliau tercetus idea menghasilkan kertas kerja ini yang berkaitan secara penuh tentang penulisan karya puisi AZHAR SALLEH (Sifuku), saya tanpa menolak terus menyokong serta membantu secara kecil-kecilan untuk idea beliau ini bagi menghasilkan sebuah kertas kerja tersebut. Saya secara kecil-kecilan sedaya mampu sedikit berbicara (bicara soal menaikkan semangatnya serta menyalurkan sedikit maklumat tentang karya Cikgu Azhar Salleh) agar beliau dapat menghasilkan kertas kerja tersebut. Pada peringkat awal ini saya juga ada memaklumkan kepada Cikgu Azhar Salleh tentang hasrat Cik Hasrina Baharum ini.
4. Mengambil sebahagian kecil kata-kata dalam kertas kerja ini:
"Skop perbincangan dalam kertas kerja ini tertumpu kepada usaha membuktikan bahawa pelanggaran tatabahasa dalam karya sastera, khususnya penulisan puisi boleh dielakkan. Perkara ini akan dibuktikan melalui beberapa buah karya terpilih karya Azhar Salleh seorang Munsyi Dewan yang giat menulis puisi di pelbagai media cetak dan juga pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat negeri Johor."
5. 11 halaman (muka surat 541 - 551) kertas kerja ini dalam prosiding yang terhasil oleh Cik Hasrina Baharum. Walaupun beliau tidak berkesempatan membentangkan kertas kerja ini dalam persidangan tersebut namun suatu kebanggaan kerana beliau berjaya menghasilkan kajian yang punyai nilai ilmiah yang bermutu apatah lagi kertas kerjanya berkait langsung secara penuh tentang karya puisi Cikgu Azhar Salleh yang saya labelkan 'Sifuku' yang hebat dan kukuh dalam karyanya (bukan sekadar karyanya tetapi kehidupan sehariannya juga cukup hebat dan berjaya). Sebanyak 5-6 karya puisi Azhar Salleh dikupas oleh Cik Hasrina yang berkaitan tentang tajuk kertasnya tersebut.
5. Tahniah Cik Hasrina Baharum, apatah lagi besar penghargaan buat Cikgu Azhar Salleh kerana karya puisinya dikaji dan dihasilkan kertas kerja khas dalam konteks yang agak berlainan (bukannya menjurus tentang teori dan kritikan sastera) tetapi dalam konteks ilmu berkaitan tatabahasa yang sememangnya Cikgu Azhar Salleh ini merupakan pakar yang unggul tentang hal dan teknikalnya tatabahasa ini!

4 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Inilah kali pertama saya sukar utk menitipkan komen dlm blog RAR. Saya sendiri tidak menyangka bhw puisi-puisi saya akan terbicara dan termuat dlm sebuah prosiding bertaraf tinggi. Inilah kuasa dan ketetapan Allah swt. Membaca kupasan RAR ini menghadirkan suntikan kpd saya utk terus berkarya. Namun begitu, saya menjadi agak takut, risau, dan gementar apabila dilabelkan sedemikian oleh RAR. Saya bukannya ternama spt rakan-rakan sepuisi yg lain, sekadar tampil utk mengisi khazanah penulis puisi di Johor yg saya kira terlalu amat jauh meninggalkan saya. Namun, tiada sesiapa yang dpt menafikan pelibatan RAR dlm "mengharumkan" nama saya dan rakan-rakan penulis yg lain. Dan pastinya jasa RAR tidak berbagai dgn sesuatu pun. Tidak terbalas oleh saya yang hanya menapak dengan sebelah kaki di ruang ini; kemudiannya menulis sebungkus puisi; dan puisi itu tersiar; diwara-warakan oleh RAR dlm banyak kegiatan; dan akhirnya beroleh suatu kedudukan, seperti ini. Mungkin benar bhw saya boleh menulis puisi, tetapi tanpa "roh" RAR, puisi-puisi itu mungkin hanya tercatat pd lembaran akhbar dan majalah, tanpa mampu dibicarakan atau dibahaskan. Pemilihan puisi saya sebagai bahan kajian Hasrina, saya anggap sebagai suatu "kejayaan" kecil utk saya terus memperjuangkan karya kreatif yg bebas daripada kesalahan tatabahasa. Saya percaya bhw hal ini tidaklah terlalu mustahil krn saya telah membuktikannya. Walaupun bidang tatabahasa, sering saya depani, namun hakikat bhw puisi yang segar memungkinkan kewajaran utk melanggar aturan bahasa, dan saya pun akur akan hakikat itu. Dlm masa yang sama, akan saya, sedaya upaya, memastikan aturannya dipatuhi. Rasa-rasanya, kertas kerja yg membincangkan soal sebegini jarang-jarang dpt dibaca. Lantas, saya ingin memberikan sekalung penghargaan kpd Hasrina krn beliau berani mengungkapkan ilmu ini dengan amat baik. Saya begitu berterima kasih kepada Hasrina yg percaya bhw pemikiran dan tulisan saya boleh dibicarakan dlm suatu persidangan besar. Kepada RAR, jasa baikmu tuan akan saya kenang dan tidak mungkin terpadam walaupun api penghargaan ini cuba disirami oleh lautan dugaan. Kertas kerja dan entri ini pastinya menjadi mangkin kpd saya utk terus membantu DBP (khususnya DBPWS) dlm usaha memartabatkan dan menegakkan bahasa Melayu. Bicara tuan dlm entri ini, meski pada perkiraan saya, terlalu besar utk seorang insan kerdil ini, diucapkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih. Sekali lagi, diucapkan setinggi penghargaan krn sentiasa memugar lorong utk langkah ini terus mara ke depan dan menitipkan puisi yang lebih cerlang pada masa akan datang. Terima kasih, RAR!

zura berkata...

Sdr.RAR,
Saya ada minta 1 salinan prosiding kpd Ketua Bhs. Saya sgt kecewa bila dia minta saya minta sendiri pd urus setia (YWJ).Alangkah malangnya nasib saya...:(

Md Nizar Parman berkata...

Salam RAR,
Saya sangat bersetuju jika dikatakan bahawa sastera bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan "lesen" untuk melanggar peraturan tatabahasa. Saya fikir, tiada cacat celanya karya sastera itu jika kita menggunakan tatabahasa yang betul. Saya bersependapat dengan sifu kita, Azhar Salleh dalam hal ini. Kalau rajin, ayuh kita cari siapakah yang mula-mula mengeluarkan kenyataan bahawa dalam sastera kita "diharuskan" membelakangkan tatabahasa yang betul?

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Azhar,
1. Layak bagi diri ini untuk menulis begitu buat Sifuku kerana ada bukti nyata dan sememangnya kesungguhan Sifuku yang menyerlah, tidak boleh dinafikan dan dipertikai walaupun cikgu cuba menepisnya, saya tetap dan konsisten pertahankan kata-kata saya.
2. Cuma 'rasa kecewa terus membara' kerana belum dapat memiliki sebuah antologi khusus persendirian atas nama Azhar Salleh (setakat yang ada cuma puisi-puisi fotostat yang pelbagai saiz dan warna hitam-putih-kelabu dalam kertas fotostat bersaiz`A4). Hehehe...

Azura,
Prosiding ini saya dapat khas dan ikhlas setelah memohon daripada YWJ. Hendak harapkan Penguasa Besar Bahasa yang menjadi urus setia dalam persidangan ini memang sungguh mengecewakan!, saya kalau ke seminar atau persidangan akan berusaha untuk dapatkan 3-4 himpunan koleksi kertas kerja untuk dokumentasi rasmi pejabat serta diberikan khusus kepada rakan-rakan yang dapat memanfaatkannya (antaranya khas buat Azhar Salleh). Maaf cakap... Penguasa Besar Bahasa sekadar jadi urus setia tetapi 'tidak berkomunikasi' untuk memperoleh bahan ilmu sebegini!

Cikgu Nizar,
Rasa-rasanya kertas kerja sebegini sukar untuk ditemukan yang khas bicarakan tentang hal-hal ini (kecuali berkisar soal karya sastera dalam konteks teori dan kritikan sastera). Apatah lagi kertas kerja ini berbicara tentang seorang penulis prolifik yang saya banggakan serta saya amat kenali diri dan karyanya.