Selasa, Ogos 18, 2009

TAHNIAH SASTERA BH


1. Tahniah buat akhbar Berita Harian (BH) khasnya pengendali ruangan Sastera BH. Bermula semalam (17 Ogos 2009) ruangan Sastera terbit setiap hari (setidak-tidaknya 1 halaman untuk hari tertentu).

2. Saya mendapat khabar bahawa ruangan Sastera dalam akhbar BH bakal diterbitkan setiap hari sejak sebulan yang lalu melalui rakan baik yang merupakan wartawan kanan di BH tetapi beliau bukan berkhidmat di Unit Sastera BH. Ketika itu saya hanya menyatakan "baguslah". Kata rakan saya lagi ini merupakan cadangan oleh peneraju atasan utama yang baharu di NSTP / BH.

3. Semalam awal pagi lagi membelek akhbar BH didapati ada ruangan Sastera, kebiasaannya ruangan Sastera hanya pada hari Rabu dan Khamis termasuk hari Sabtu (ruangan siaran karya kreatif cerpen dan puisi). Kebetulan halaman sastera semalam terkandung berita / liputan oleh Rashiqah Ilmi tentang program DBPWS-PPJ iaitu Kolokium Penulis Johor buat kali kedua namun kali ini dalam aspek yang lain berjudul 'DBP Janji Terbit Segera Buku' (berita / liputan penuh dikutip dalam BH seperti di bawah).

4. Suatu ketika dahulu pernah ruangan Sastera dalam akhbar BH ini hanya sekali seminggu sahaja kerana tuntutan iklan dan komersil dalam hal-hal lain, namun kini usaha menyiarkan berita dan liputan sastera setiap hari merupakan langkah murni dalam konteks pengisian ilmu dan jiwa pembaca secara keseluruhannya (sama ada peminat sastera mahupun bukan peminat sastera). Setidak-tidaknya dunia sastera tanah air diketahui masyarakat ramai secara lebih terarah dan tersusun.


Kutipan dalam ruangan Sastera BH - 17 Ogos 2009

DBP janji terbit segera buku
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahimmailto:Rahimrashiqah@bharian.com.my

PENGARANG kreatif yang sering merungut berhubung kelewatan penerbitan buku yang mereka kemukakan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga ada kalanya memakan masa lebih lima tahun untuk diterbitkan pasti akan berasa lega dengan jaminan yang diberikan orang kanan badan berkanun terbabit. Jaminan menyelesaikan segera perkara terbabit diberikan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abd Aziz, pada Kolokium Penulis Johor 2009: Hala Tuju Penulis Johor di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Larkin Perdana, baru-baru ini.

“DBP sedia bekerjasama dengan karyawan tempatan bagi mengatasi masalah kelewatan penerbitan buku yang selama ini membelenggu mereka sehingga ada yang membuat keputusan menarik diri daripada bidang penulisan sebagai tanda protes,” katanya pada Sesi Soal Jawab kolokium anjuran DBPWS dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) Termuzi memberi jaminan semua buku yang sudah diteliti dan dipersetujui penerbitannya oleh badan berkanun terbabit akan cuba diterbitkan oleh DBP selewat-lewatnya dalam tempoh setahun, agar ia dapat segera berada di pasaran untuk dibeli pembaca yang berminat. “Dalam memartabat dan mengembangkan sastera serta bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, DBP mensasarkan untuk menerbitkan lebih 400 judul buku dalam setahun,” katanya yang julung kali turun padang untuk menemui ahli PPJ yang turut dimanfaatkan oleh peserta kolokium bagi meluahkan segala rungutan mengenai badan berkanun terbabit.

Pada sesi terbabit, Termuzi turut menekankan menjadi kewajipan setiap kaum di negara ini untuk memperkasakan bahasa Melayu di negara ini dan semua pihak perlu bergabung tenaga bagi melahirkan masyarakat yang fasih berbahasa Melayu. “Kami sudah pun mengadakan perbincangan dengan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan beliau bersetuju mewajibkan kelas bahasa Melayu kepada setiap kakitangan bank pusat terbabit, sebagai tanda sokongan dengan usaha kami itu,” katanya. Selain itu, Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) juga akan turun padang bagi mengendalikan kelas bahasa Melayu kepada ahli Majlis Peguam sebagai sebahagian daripada usaha memastikan golongan profesional dan tidak profesional fasih menggunakan bahasa ibunda. “Bahasa Melayu yang sudah berjaya menonjolkan dirinya sebagai bahasa ilmu sebelum ini perlu diberi kedudukannya semula. Sekiranya ia dibiarkan, perkembangannya sebagai bahasa Melayu akan terbantut. Kita tidak mahu bahasa Melayu hanya menjadi bahasa pertuturan seperti penggunaan bahasa Hindi di India dan bahasa Melayu di Singapura,” ujarnya.

Pada sesi itu, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Hanafiah, mengumumkan penerbitan kumpulan puisi mengenai pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia, Johor dan akan diedarkan ke sekolah dan agensi kerajaan. “Penerbitan buku ini adalah bagi menghargai dan memperkenalkan Wilayah Pembangunan Iskandar sebagai pusat pentadbiran terbaru dan tercanggih di Johor,” katanya yang berucap mewakili Setiausaha Politik Menteri Besar Johor, Dr Gunawan Mahmood.

Kolokium Penulis Johor bersempena majlis Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) Ke-7 anjuran Kerajaan Johor melalui Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama PPJ, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), DBPWS dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ). Penulis veteran, Mokhtar Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob dianugerahkan Hadiah Karyawan Sastera Johor dan menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.

1 ulasan:

Citra Wangsa berkata...

RAR,
Siapa yang menabur janji-janji manis itu??? Saya sebagai pelaksananya sedikit tertekan dgn perjanjian verbal itu. Sedia maklumlah kan...masalah komputer tak selesai lagi, mesyuarat JKP selalu lewat,hal kat DAW*** masih tergantung2...tak masuk lagi hal2 lain (editor cuti bersalinlah...cuti sakitlah, cuti rehatlah...).