Isnin, Mei 31, 2010

KUTIPAN: KAMPUNG CETEK DAN PENGANIAYAAN WANITA

'Ustazah' dalam Kampung Cetek.

Sebahagian penonton dalam kalangan pelajar sekolah ketika pementasan yang dibuka khas buat para pelajar sekolah pada 22 Mei 2010 (Sabtu) pukul 3 petang.

Kampung Cetek papar penganiayaan wanita
Oleh Mahani Ishak bhnews@bharian.com.my - 31 Mei 2010

KISAH masyarakat bawahan yang tertekan akibat kemiskinan sehingga mengambil keputusan di luar naluri kemanusiaan apalagi tuntutan agama diangkat dalam Teater Monolog Kampung Cetek sebagai bahan renungan semua. Naskhah Nur Khiziah Ahmad dan diarahkan Puad Norazmi Bahron yang menampilkan Diah sebagai watak yang menggerak cerita terhimpit dengan tekanan kehidupan apabila suaminya adalah dahan rapuh untuknya berpaut kerana tidak bertanggungjawab.

Khalayak teater yang dipentaskan di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Larkin Perdana, Johor Bahru, baru-baru ini pasti berasa betapa zalimnya suami yang tidak tahu memikul tanggungjawab keluarga sehingga menyebabkan isteri tertekan.
Mereka akan bertambah marah apabila melihat Diah yang sepatutnya tabah mengharung kehidupan mengambil keputusan membunuh anak-anaknya bagi menyelesaikan masalah kehidupan hanya kerana dirinya turut tidak mendapat sokongan daripada jiran di sekelilingnya.

Dalam masa sama, khalayak juga akan teringat kepada banyaknya peristiwa sedemikian dalam masyarakat masa kini tanpa mengira bangsa dan agama yang mengambil jalan muda bagi menyelesaikan masalah kehidupan mereka. Sedangkan sebagai manusia yang diberi akal oleh Allah SWT dan sepatutnya bertindak dengan waras walau dalam apa keadaan sekali pun, akhirnya tarafnya sama seperti haiwan apabila masing-masing gagal menjalankan fungsi sebagai insan yang hakikatnya perlu saling memahami dan membantu.

Penulis skrip, Nur Khiziah Ahmad Puad berkata, peluang menulis drama itu tidak dilepaskan kerana menerusi teater beliau boleh memperjuangkan hak wanita dari sebarang bentuk penindasan. "Kupasan teater ini memperlihatkan kepentingan wanita untuk dilindungi, selain bertujuan menyampaikan teguran sosial bagi mengangkat martabat wanita pada kedudukan sewajarnya," katanya. Pengalaman kali kedua selepas menulis skrip Ju & Meo yang dipentaskan di Istana Budaya tidak lama dulu, beliau atau nama penanya Nur Ahmad, berharap teater terbabit dapat menyedarkan masyarakat betapa perlunya mereka bersikap prihatin. “Mereka perlu membantu wanita yang tertekan dan tidaklah berlaku gejala pembunuhan bagi menyelesaikan masalah. Suami pula tidak boleh menafikan hak wanita dengan bersikap tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Didukung lima watak lain sebagai pelengkap cerita, Teater Kampung Cetek berjaya menarik lebih 100 peminat teater di selatan tanah air bagi setiap tiga siri pementasan yang mengisikan kalendar kegiatan badan berkanun terbabit. Pengarah Teater Monolog Kampung Cetek, Norazmi Bahron, mengakui beliau bangga dapat mengarahkan teater terbabit kerana kebanyakan pelakon layar teater ini masih baru, tetapi kesungguhan mereka berjaya memacu watak masing-masing dengan berkesan. "Minat mendalam bakat baru dalam seni teater mewujudkan satu gabungan produksi terbaik bagi mereka yang baru berjinak dengan pementasan teater. Kesungguhan menjalani sesi latihan menyebabkan mereka berjaya menghidupkan jalan cerita,” katanya.

Pegawai Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DPPWS), Rusdi Abdul Rahman berkata teater anjuran bersama (DPPWS) Persatuan Kesuma-I Johor Bahru dan Persatuan Kesenian Pasir Gudang membuka tirai pementasan teater berskala kecil pada tahun ini.
________________________________________________
Catatan: Kutipan di atas diambil secara langsung dalam laman web portal Berita Harian Online melalui ruangan Sastera. Berbanyak terima kasih buat Unit Sastera Berita Harian serta buat wartawan tempatan yang hadir dan menulis berita / artikel ini iaitu Mahani Ishak.

Khamis, Mei 27, 2010

KERAJAAN MELAYU MELAKA BUKANNYA WUJUD TAHUN 1400?

Khabarnya Kerajaan Melayu Melaka (KMM) bukan wujud bermula sekitar tahun 1400? Khabarnya ada dapatan terbaharu tentang tahun sebenar KMM wujud iaitu sebelum tahun 1400 lagi? Khabar ini mula bergema secara sedikit demi sedikit sejak 2-3 bulan yang lalu. Atau mungkinkah Sungai Melaka (seperti foto di sebelah) bukannya pusat perdagangan utama ketika tahun 1400 - 1500?
Agak rasa bertuah juga pabila dipelawa untuk menjadi peserta Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka yang akan diadakan pada 31 Mei 2010 (Isnin) di Tanjung Kling, Melaka. Seminar ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Melaka yang diselenggarakan oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Melaka (IKSEP). Pakar penyelidik dan pengkaji sejarah dari Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia antara yang akan membentangkan hasil dan dapatan terbaharu ini. Melalui seminar ini kemungkinan sebahagian besar fakta dan dapatan terbaharu sebegini akan terhurai.

Sesuatu yang menarik kemungkinan sejarah awal KMM ini bakal dikupas dengan kajian dan bukti yang bakal disampaikan oleh para pembentang nanti. Mungkinkah Parameswara bukan manusianya yang membuka negeri Melaka berdasarkan salakan anjing di bawah pokok bernama Melaka, atau ada tokoh lain yang membuka Melaka dengan keterangan serta bukti yang istimewa?

Maka, itulah pentingnya belajar dan memahami secara penuh mendalam tentang sejarah dan pengajarannya dalam menentukan perjalanan manusia dan negara masa kini. Mata pelajaran sejarah peringkat sekolah sejak dahulu dimomokkan dengan sesuatu yang 'negatif iaitu membosankan dan meletihkan' makanya kini ramai yang tidak tahu asal usul sesebuah tempat dan peristiwa yang berlaku dahulu, jika secara spontan kita bertanya pelajar sekolah menengah kini mungkin para pelajar itu tidak tahu apa-apapun secara fakta yang mudah-mudah sahaja tentang pembukaan dan susur galur KMM apatah lagi ingin mengetahui secara mendalam?

Isnin, Mei 24, 2010

TEATER MONOLOG 'KAMPUNG CETEK' - SEBUAH PENGHARGAAN

Selesai mementaskan teater monolog 'Kampung Cetek' pada 21 Mei 2010 (Jumaat - 8.30 malam) dan 22 Mei 2010 (Sabtu - 3 petang dan 8.30 malam). Inilah pementasan teater berskala kecil kali pertama diusahakan dalam tahun 2010 khususnya di Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru. Usaha yang digerakkan oleh Persatuan Teater KESUMA-I Johor Bahru dan Persatuan Kesenian Mahligai Seni Pasir Gudang merupakan satu yang luar dugaan juga pabila ingin mementaskan teater ini dalam kekangan kewangan yang agak kritikal. Pihak persatuan juga berusaha gigih mendapatkan tajaan dan bantuan daripada pelbagai pihak antaranya termasuklah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Johor dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor serta pelbagai pihak lain bagi menampung kos pementasan.
Teater ini seperti yang diinginkan oleh pengarah dan produksi dilabelkan sebagai 'teater monolog eksperimental' pabila enam pelakon terlibat tanpa ada interaksi sesama 6 pelakon itu, juga diadakan selingan untuk setiap watak dan babak iaitu selingan lagu dan tarian. Selepas setiap pementasan diadakan sesi dialog bersama-sama Pengarah dan Penulis Skrip termasuk tenaga produksi yang lain. Pelbagai maklum balas diperoleh melalui sesi ini termasuk disediakan borang soal selidik kepada semua penonton. Yang pastinya soal 'tiang seri' dalam ruang pementasan tetap menjadi 'igauan' kepada semua khususnya juga buat para tenaga produksi dan urus setia. Itulah 'tiang seri' yang wujud sejak DBPWS mula beroperasi tahun 2001, 'tiang seri' itu sebenarnya telah dikecilkan dengan membuang kayu penghiasnya pada tahun lepas untuk mengurangkan rasa tidak selesa khalayak yang menonton pementasan di Balai Seminar DBPWS.
21 Mei 2010 (Jumaat - 8.30 malam)
Kehadiran penonton luar dugaan pabila yang hadir seramai 130 orang sedangkan kerusi yang ada disediakan (itupun sudah maksimum diletakkan kerusi sebanyak 90 kerusi). Keseluruhan penonton yang hadir dalam pelbagai peringkat umur dan pendidikan. Pengarah DBPWS Turut hadir menyaksikan pementasan yang pertama ini, juga turut hadir Sdra. Sharrul Rizal DBPWT dan Sdra. Syaidul Azam DBPWS. Sebelum pementasan dipohon semua khalayak menyanyikan lagu 'Bahasa Jiwa Bangsa'. Malam pertama ini dihadiri juga oleh beberapa penggiat profesional bidang teater dan filem pendek serta individu yang sememangnya terdidik dalam bidang teater dan seni lakon. Ketika sesi soal jawab @ dialog beberapa soalan yang menguji tenaga produksi menjawabnya. Sesi sebegini diadakan untuk memperoleh pendapat dan pandangan penonton yang menyaksikannya tidak kira memuji, mengkritik, memberikan pandangan dan lain-lain.
22 Mei 2010 (Sabtu - 3 petang)
Kehadiran penonton juga luar dugaan pabila yang hadir seramai 120 orang. Lagu 'Bahasa Jiwa Bangsa' tetap dialunkan buat semua penonton menyanyikannya. Sesi pementasan petang ini secara tidak rasminya untuk para pelajar namun terdapat juga penonton umum yang hadir. Hampir 75% penonton dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Bagi menggalakkan para pelajar bertanya disediakan sebanyak 10 cenderamata. Disediakan juga paparan langsung dipancarkan melalui kamera video dan alat LCD di luar Balai Seminar pada setipa pementasan yang diadakan.
23 Mei 2010 (Sabtu - 8.30 malam)
Kehadiran penonton seramai 80 orang. Seperti dua pementasan yang sebelum ini lagu 'Bahasa Jiwa Bangsa' dialunkan untuk dinyanyikan bersama-sama dalam kalangan penonton. Tiga orang penggerak teater dari Singapura iaitu Kumpulan Teater Artistik diketuai En. Roslan Mohd Daud turut hadir menyaksikan pementasan yang terakhir ini, juga pensyarah dari UiTM Johor, Segamat iaitu En. Ainol Hasanal turut hadir menyaksikan teater selama 45 minit ini. Hadir sekali lagi Sdra. Sharrul Rizal DBPWT dan Sdra. Syaidul Azam DBPWS. Agak berkurang soalan yang dilontarkan dalam sesi dialog pada kali ini.
Sesungguhnya dalam kekangan kewangan pementasan teater skala kecil ini boleh dipentaskan dengan usaha dan semangat yang jitu tiga pihak iaitu DBPWS - KESUMA-I - Seni Mahligai. Halangan kekangan kewangan bukanlah satu yang boleh dijadikan alasan yang besar untuk mementaskan teater sebegini, jika mahu semuanya jadi dan terlaksana.
Terima kasih buat semua penonton yang meluangkan masa dan hadir menyaksikan teater ini, sokongan dan teguran anda semua amat-amat dihargai, terima kasih buat kesemua tenaga produksi dalam kalangan ahli KESUMA-I bersama orang kuatnya Sdra. Mohd Razif Adanan dan ahli Seni Mahligai, terima kasih buat urus setia @ petugas DBPWS yang terlibat ketika dua hari pementasan ini termasuklah Mohd Rizal, Ezuwan, Roslin Majidi, Faizah, Roz Idayu, dan Norsheilla serta semua staf lain yang membantu secara langsung dan tidak langsung sebelum seminggu pementasan diadakan. Sekalung penghargaan buat persatuan dan staf DBPWS yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Ahad, Mei 23, 2010

TAHNIAH BAYERN - MENYEKAT MAN U...

Selesai sudah menggerakkan 3 kali pementasan teater monolog 'Kampung Cetek' bermula 21 - 22 Mei 2010. Semalam pulang ke rumah sekitar pukul 12.30 tengah malam setelah selesai pementasan ketiga dan berbual-bual bersama-sama Syaidul Azam, Sharrul (DBPWT), Ezuwan dan Mohd Rizal.
Sampai rumah terus tidur sekejap lalu bangun pukul 2.15 pagi untuk menyaksikan perlawanan akhir Champions League (CL) melibatkan Inter Milan dengan Bayern Munich di stadium kelab terkaya dan 'ego' dunia iaitu Real Madrid. Penuh sesak stadium dengan pelbagai warna dan keceriaan dapat disaksikan. Real Madrid sekadar jadi tuan rumah sahaja... musim ini tiada satu piala dirangkul pabila Barcelona dinobat johan La Liga!
Sebelum perlawanan sebenar ada liputan dan visual sekitar stadium dengan paparan persembahan penari tango Sepanyol berpakaian hitam yang menarik dan bertaraf hebat. Inter Milan berjersi tradisi belang biru - hitam dan Bayern berjersi belang merah - putih (bukannya Man U).
Permainan yang lancar dan lincah pemain Inter Milan cukup menyerlah walaupun penguasaan Bayern dalam keseluruhan permainan sebanyak 60%. Inter menang 2-0 hasil dua jaringan Milito, jaringan yang bermutu dengan cekap 'menewaskan' dua pemain pertahanan Bayern. Selesai pengadil meniup wisel penamat paparan visual televisyen terus fokus kepada keriangan pemain Inter juga paparan visual juga terarah kepada pengurus Inter yang bergelar 'Special One' iaitu Jose Mourinho. Lagak Mourinho cukup bermutu dan membanggakan. Dalam paparan berita ESPNews juga ada sedikit temu bual Mourinho, beliau senyum sinis pabila wartawan bertanya tentang namanya dikaitkan dengan menjadi pengurus Real Madrid musim hadapan. Terpapar juga sebelum penyampian piala kemenangan visual memaparkan seorang petugas sedang mencetak nama kelab Inter pada piala CL itu... kamera mengambil visual ketika petugas sedang mencetak itu sesuatu yang menarik.
Cuma rasa sedikit kecewa kerana Inter dalam laluan ke akhir berjaya singkirkan dua pasukan kegemaran iaitu Chelsea dan Barcelona, jika Inter berjaya singkirkan Man U dalam laluan ke akhir itu maka rasa ceria cukup terasa. Apa-apapun tahniah buat Bayern walaupun hanya naib johan dalam CL ini namun Bayern cukup hebat kerana berjaya singkirkan Man U dalam laluannya ke akhir.
Tahniah Bayern kerana membuatkan pemain-pemain Man U tunduk bersedih kerana gagal dalam CL kerana disekat oleh Bayern (seperti pada foto di atas).

Khamis, Mei 20, 2010

MAJALAH KHAS PIALA DUNIA 1998 - 2010









Piala Dunia 2010 akan bermula 22 hari lagi. Setiap kali kejohanan terbesar bola sepak dunia ini maka pelbagai majalah khas diterbitkan. Selaku peminat dan pengikut setia kejohanan Piala Dunia sejak tahun 1982 (darjah 4); namun bermula tahun 1998 (pabila sudah masuk alam pekerjaan) telah mengumpulkan majalah khas sebegini. Majalah ini disimpan dengan baik termasuklah majalah khas kejohanan bola sepak Piala Eropah (EURO) yang masih ada dalam simpanan sejak kejohanan EURO 2000 sehingga EURO 2008. Selain itu ada juga tersimpan beberapa video cakera padat (VCD) tentang Piala Dunia dan EURO ini.

Foto-foto di atas antara beberapa paparan muka hadapan majalah yang masih tersimpan sejak Piala Dunia 1998 di Perancis sehinggalah yang terbaharu majalah khas Piala Dunia 2010. Secara pastinya majalah khas terbitan Allsports dan Berita Harian yang tetap dibeli kerana maklumatnya lengkap dan mesra pembaca (termasuk keluaran bahasa Inggeris).
(Catatan: Sedang menekuni penuh minat 2 majalah khas Piala Dunia 2010.)

Selasa, Mei 18, 2010

KUTIPAN: BERITA DITUNGGU SECARA RASMI...


Perkhabaran tahap ringan dan pertengahan sudah mula didengar menjelang seminggu Konsert Double Trouble (KDT) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 Mei 2010 yang lalu bahawa KDT juga dirancang akan ke Johor Bahru jika KDT 1 Mei ini berjaya serta mendapat sambutan luar dugaan.

Setelah selesai 2-3 hari KDT 1 Mei itu maka perkhabaran itu semakin menuju ke tahap besar pabila dikhabarkan bahawa KDT akan ke Johor Bahru pada tarikh pilihan iaitu 5 Jun 2010 cuma tempat belum pasti. Minggu lepas khabar itu dikukuhkan lagi oleh Sdra. Sharrul Rizal (peminat tegar Search) yang menyatakan bahawa 5 Jun 2010 di Stadium Larkin, Johor Bahru merupakan KDT di Johor Bahru. Sdra. Sharrul Rizal merupakan penyampai sumber utama tentang hal ini sejak sebelum KDT 1 Mei lagi; hinggakan (secara gurauan) mohon dengan beliau untuk berada di belakang pentas jika KDT di Johor Bahru nanti... Beliau merupakan antara tenaga kuat dalam hal kumpulan Search ini.

Dalam akhbar Harian Metro hari ini mula terpapar secara penuh tentang KDT di Johor Bahru seperti kutipan sebahagian berita yang dikutip dalam web berita Harian Metro (hmetro.com.my) di bawah. Cuma berharap agar tiada urusan besar yang lain pada tarikh ini untuk sama-sama menyaksikan KDT ini.

Double Trouble beralih ke Larkin
Oleh Elrafaei Sapi - 2010/05/18

KEJAYAAN Konsert Double Trouble menggandingkan dua gergasi rock handalan, Search dan Wings tidak terhenti setakat di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur semata-mata.Hakikat ini kerana konsert yang gah itu akan dianjurkan pula di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 5 Jun ini.
Tentunya ini perkhabaran yang sangat menggembirakan peminat dua kumpulan rock itu terutama dari selatan tanah air dan Singapura.
Konsert Double Trouble pada 1 Mei lalu ternyata hebat kerana ia diserbu 20,000 peminat dan memberikan tamparan hebat kepada konsert artis Indonesia, Ungu yang berlangsung pada tarikh yang sama di Bukit Jalil.
Ketika itu, vokalis Amy bersama Awie berpadu suara menghiburkan peminat mereka menerusi pelbagai lagu hit yang pernah dirakam menerusi dua album Double Trouble diterbitkan pada 1992 dan 1998. Pastinya, persembahan itu akan terpahat dalam ingatan peminat setia yang menjulang kegemilangan rock Malaysia sejak zaman 1980-an.
Pengurus Kanan, Bahagian Pengiklanan, Pemasaran & Promosi (AMP), Aida Husin berkata, penganjuran konsert kali kedua di Stadium Larkin itu dibuat berdasarkan sambutan yang cukup menggalakkan daripada penonton di ibu negara.
Atas sambutan hangat itu, kami berkeyakinan meneruskan konsert yang sama kerana masih ramai belum berpeluang menyaksikan Wings dan Search bergabung semula di pentas.
"Harga tiket konsert akan datang masih dikekalkan RM70. Lokasi ini menjadi pilihan strategik penganjur yang mampu memuatkan kapasiti sekitar 10,000 penonton.
"Seperti persembahan di Kuala Lumpur, kami sememangnya berhasrat mengadakan konsert kedua kalau mendapat sambutan positif daripada peminat. Begitu juga, andai konsert kedua ini mencatat kejayaan, ia akan diadakan di kawasan utara dan mungkin di Borneo pula.
"Dalam pada itu, penganjur masih bekerjasama dengan Sinar FM sebagai stesen radio rasmi. Search dan Wings sangat teruja dan mereka akan cuba menonjolkan persembahan terbaik dengan beberapa kelainan. "Ada lagu yang akan ditukar untuk memberi keistimewaan kepada persembahan di Johor. Kami berharap peminat setia Wings dan Search tidak akan melepaskan peluang yang hebat ini," kata Aida.

Isnin, Mei 17, 2010

KUTIPAN: TEATER MONOLOG 'KAMPUNG CETEK'

Sesi latihan - sebahagian tenaga pelakon dan produksi.

Sesi latihan - sebahagian aksi dalam pementasan.

Sesi latihan - sebahagian aksi dalam pementasan.

Sesi latihan - dua peminat kecil menyaksikan aksi lakonan.

Kain rentang promosi teater monolog di bangunan DBPWS.
Beberapa foto di atas merupakan rakaman sendiri dan Sdra. Mohd Rizal ketika sesi latihan pementasan monolog 'Kampung Cetek' di Pejabat Tanah dan Daerah Johor Bahru pada malam selepas Malaysia kecundang mudah ke atas China dalam separuh akhir Piala Thomas iaitu pada 14 Mei 2010.

Berita di bawah dikutip dalam laman web Berita Harian Online dalam ruangan Sastera Berita Harian- 17 Mei 2010. Terima kasih buat Unit Sastera Berita Harian atas siaran berita dan dua foto dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Teater Kampung Cetek di DBP Wilayah Selatan
2010/05/17

TEATER Monolog Kampung Cetek karya Nur Khiziah Ahmad Puad dan diarahkan Norazmi Bahron akan dipentaskan di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Larkin Perdana, Johor Bahru, pada 21 dan 22 Mei ini, jam 3 petang dan 8.30 malam. Pegawai Perancang Bahasa DBPWS, Rusdi Abd Rahman, berkata teater anjuran bersama DBPWS, Persatuan Teater Kesuma-I Johor Bahru dan Persatuan Kesenian Mahligai Pasir Gudang itu, membuka tirai pementasan skala kecilnya pada tahun ini.
“Kampung Cetek mengungkap kepincangan institusi keluarga dan masyarakat yang semakin meruncing, sekali gus menekankan tanggungjawab dalam menangani permasalahan rumah tangga yang berkait rapat dengan kehidupan harian masyarakat.
“Dalam naskhah ini, Dah yang terpaksa mengharungi kepayahan hidup kerana sikap suami tidak bertanggungjawab dan jiran tidak prihatin, akhirnya memaksa dirinya mengambil keputusan untuk membunuh anak-anaknya,” katanya dalam kenyataan melalui e-mel, baru-baru ini. Teater monolog terbabit dibuka untuk tontonan kepada orang ramai dan mereka yang berminat untuk menyaksikannya perlu mendapat tiket yang diberi secara percuma, manakala maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh dengan menghubungi talian 07-2358802.
Rusdi berkata, teater berskala kecil berbentuk monolog itu dianjurkan sejak 2005, manakala pementasan berskala besar pula diadakan melalui penganjuran Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007.
“Ini kerana teater menjadi medium kreatif untuk menyampaikan mesej dan teguran sosial yang berkesan dalam masyarakat, sekali gus sebagai penerusan tradisi yang mengangkat bidang persuratan, seni dan budaya. Ia juga memberi peluang kepada penggerak teater dan orang ramai di Johor mengenalinya,” katanya.

Ahad, Mei 16, 2010

PERIHAL GANDA (DOUBLE)


1. Chelsea meraih piala kedua dalam seminggu iaitu kejuaraan EPL (9 Mei 2010) dan Piala FA semalam. Satu rekod baharu buat Chelsea dengan meraih piala berganda @ double. Sepatutnya Chelsea boleh dapat 'tiga' @ triple tetapi kecundang kepada Inter Milan dalam suku akhir Champions League.
2. Chelsea sebenarnya bersaing sengit juga di Stadium Wembley ketika menentang Portsmouth untuk mencul juara, pada suatu ketika Portsmouth berjaya dapatkan penaliti tetapi gagal dijaringkan. Chelsea juga gagal menjaringkan penalti pada minit ke-85 yang diambil oleh Lampard ketika Chelsea sudah mendahului 1-0 hasil jaringan tendangan bebas yang cantik oleh Drogba.
3. Chelsea tetap riang meraih piala kedua dalam seminggu. Ganda yang cukup bererti dan penuh makna buat Chelsea.
4. Di Malaysia pula ada pihak gagal meraih kemenangan kedua berturut-turut atau 'double' dalam tempoh 3 minggu setelah kecundang malam ini. Khabar berita dalam tempoh seminggu ini bahawa pihak itu semacam amat yakin dan boleh menang mudah tetapi hakikatnya lihatlah. Pengumuman kekalahan pihak itu juga dibuat secara hambar sahaja dan tidak bersungguh-sungguh tidak seperti kemenangannya pada 3 minggu lalu yang sungguh heboh sehingga semacam 'lupa dunia'.
5. Yang pastinya juga hari ini... tahniah buat China kerana meraih juara Piala Thomas tetapi tidak dapat mencipta ganda @ double kerana gagal meraih Piala Uber.

Sabtu, Mei 15, 2010

KENAPA SINAR FM NOMBOR 1?

Menurut laporan kajian terbaharu yang diisytiharkan secara rasmi melibatkan stesen radio yang didengar masyarakat Malaysia, stesen radio Sinar FM berjaya meraih tempat pertama dengan mengalahkan stesen radio 'glamor' yang bernada muzik terkini dan bernada remaja seperti Hot FM dan Era FM.

Selaku pendengar utama Sinar FM sememangnya agak tekejut dengan laporan ini, tidak sangka juga radio yang berkonsepkan 'retro' dan menyiarkan banyak lagu-lagu sekitar tahun 1970-an sehingga 1990-an dapat nombor 1 dalam jumlah paling ramai pendengar di Malaysia. Selaku pendengar Sinar FM khususnya terutama di pejabat dan di dalam kereta juga sesekali di rumah makanya mungkin menjadi salah seorang penyumbang kepada kenaikan taraf nombor 1 Sinar FM ini.

Secara pendapat dan pandangan peribadi sahaja kenapakah Sinar FM boleh mendapat nombor 1 antaranya seperti berikut:
1. Setelah ketiadaan juruhebah bernama Linda Onn maka Sinar FM makin bertambah bilangan pendengarnya, mendadak naik jumlah peminatnya. Si juruhebah yang dikategorikan 'syok sendiri' dan 'sering bangga dan angkat diri sendiri' setelah meninggalkan Era FM terus bertugas di konti Sinar FM. Si juruhebah ini sempat bertugas di konti Sinar FM rasa-rasanya selama 8-9 bulan. Beliau meninggalkan Sinar FM dengan pendapat seumpama 'menghina' rasanya pabila menyatakan radio Sinar FM bukan aliran muziknya yang kononnya beliau ini berlabel 'muzik urban'. Setelah juruhebah asal dari Johor Bahru meninggalkan Sinar FM sejak 6-7 bulan lalu maka jumlah pendengar Sinar FM bertambah, tahniah!

2. Kekuatan Sinar FM bergantung kepada ketuanya Rustam dan empat juruhebah iaitu Abby Fana, Salleh Yaakob, Raja Azura, dan Khairil Rashid yang bersiaran bermula pukul 6 pagi sehingga 2 petang. Kadang kala ada antara mereka bercuti atau ada urusan lain makanya juruhebah berganti. Segmen pagi, tengah hari dan awal petang yang ramai pendengarnya. Juruhebah seperti Nila Kurnia, Zaidi Zainal, Najman, dan Jamal Jamaludin pada tahap biasa sahaja. Jika Nila Kurnia menggantikan juruhebah lain pasti akan ditutup radio atau ditukar kepada siaran lain kerana Nila Kurnia ini boleh juga dikategorikan sebagai tahap kecil 'syok sendiri' juga serta banyak dan kerap tersasul.

3. Segmen awal pagi melibatkan gandingan Salleh Yakob - Raja Azura - Khiaril Rashid dan secara solo Abby Fana bermula pukul 10 pagi - 2 petang cukup ceria dan menghiburkan dengan pelbagai keletah dan usik gurauan disulam informasi yang boleh dimanfaatkan pelbagai lapis golongan pendengar.

Hakikatnya, setelah bergelar radio nombor 1 di Malaysia makanya cabaran untuk mengekalkan status ini lebih berat dan perit namun pabila sudah memperoleh status ini maka stesen ini sebenarnya dapat perhatian luar biasa setelah wujud 6 tahun lalu.
Mungkin pihak pengurusan radio ini sendiri tidak menjangka dapat status ini atau tidak pernah terlintas untuk dapatkannya... mungkin sebelum ini sekadar sasaran 5 terbaik di Malaysia sahaja tapi inilah luar jangka daripada sentuhan masyarakat di luar sana.

Harapan selaku pendengar Sinar FM agar stesen terus kekalkan kualiti siaran dan bahannya serta 4-5 juruhebah utama yang ada kini. Walau mungkin kajian musim hadapan mendapati Sinar FM jatuh sedikit namun Sinar FM telah berjaya menyentuh nombor 1 mengalahkan stesen radio yang lebih utamakan muzik terkini atau muzik hangat atau muzik urban yang lebih sekadar utamakan unsur glamor semata-mata...

TAHNIAH SINAR FM!

Jumaat, Mei 14, 2010

TAHNIAH MALAYSIA...

Nostalgia lagi... Maradona menjulang Piala Dunia di Stadium Azteca, Mexico tahun 1986 (sekadar foto hiasan).

1. Terlalu bergantung dan berharap kepada nostalgia 1992, maka jadinya tenggelamlah bersama-sama nostalgia itu. Sebuah pengalaman yang agak menarik serta bersulam hati riang dan kadang kala tertawa sepanjang menonton perlawanan badminton separuh akhir Malaysia menentang China. Kecundang juga Malaysia 3-0 seperti ramalan awal setelah dengan 'angkuh dan penuh bangganya' menang amat tipis ke atas Denmark dua hari lalu.
2. Hakikatnya Malaysia bukan tewas 3-0 tetapi tewas 6-0 kerana dua pemain perseorangan dan pemain beregu tewas mudah dua permainan terus (straight set) dalam setiap perlawanan. Jikalah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) wajibkan supaya perlawanan ke-4 dan ke-5 tadi diteruskan rasa-rasanya tewas 5-0 (10-0 secara straight set).
3. Terfikir juga jika pasukan Nigeria sempat datang lalu menentang Malaysia dalam peringkat kumpulan tempoh hari bolehkah Malaysia layak ke suku akhir?
4. Cukup hebat dilihat beberapa kali Chong Wei dan Choon Han lakukan 'jump smash' tetapi yang peroleh mata pemain China, pemain Malaysia cuma tertiarap mencium simen gelanggang sahaja! Chong Wei mudah 'diratah' Lin Dan dengan tewas mudah 17-21 dan 8-21. Kali ini beliau tidak sempat 'memeluk' seseorang! Unsur 'spektakular' yang diingati dalam perlawanan ini - Lin Dan membuat sedikit gerak badan aksi ala-ala tarian 'breakdance' selepas menewaskan Chong Wei!
5. Nampak juga penyokong di dalam stadium yang dipaparkan dengan permainan kelas 'impian palsu'. Penyokong bersorak bagaikan Malaysia bakal memenangi Piala Dunia Bola Sepak FIFA pula rasanya.
6. Impian untuk tidak mahu melihat kelibat 'orang kuat badminton' terpapar melalui televisyen termakbul juga akhirnya; bayangkan jika Malaysia menang tadi entah tahap 'histeria' manakah yang bakal tergambar dan dipaparkan.
7. Tahniah buat pengulas perlawanan tadi untuk tiga saluran televisyen iaitu TV1, TV9 dan Astro Arena pabila sudah mula 'sedikit insaf' pabila pemain-pemain Malaysia menampilkan permaian semacam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah sahaja.
8. Pengulas yang sama bertugas seperti perlawanan menentang Denmark dua hari lalu kali ini mengulas secara agak profesional dan realistik. Pujian penuh dan ikhlas sebenarnya pabila Datuk Rahim Razali mengulas perlawanan tadi dengan penuh berhemah dan membanggakan tanpa perlu memuji berlebih-lebihan kepada pemain-pemain Malaysia. Beliau dijemput selaku pengulas undangan dalam Astro Arena.
9. Tahniah buat China kerana 'menyedarkan' Malaysia kali ini agar tidak lagi bersikap teramat yakin dan heboh melaungkan bahawa bakal merangkul Piala Thomas kali ini. Hebohnya dengan meluas sekali sebelum 2-3 minggu kejohanan bahawa Malaysia 'tidak gentar dan amat yakin' untuk mengulangi kejayaan 1992; nah... terima sahaja kesannya kini.
10. Takut juga ingin membaca akhbar dan menonton televisyen esoknya kerana semacam terbayang 'sejuta alasan' bakal terhidang nanti; mungkinkah alasan kalah kali ini kerana Stadium Putra Bkuit Jalil tidak cukup tempat menampung jutaan penyokong, mungkinkah kerana baju T yang tidak sesuai, mungkinkah keluasan gelanggang tersalah ukur besarnya, mungkinkah jaring di tengah gelanggang menghalang penglihatan pemain, mungkinkah air yang diminum di tepi gelanggang tidak sesuai buat pemain (pemain Malaysia minum 100 PLUS - pemain China minum Red Bull), mungkinkah sejuta kemungkinan...?
11. Apa-apapun TAHNIAH BERSTATUS TULEN DAN TERPUJI serta amat sewajarnya buat Malaysia, maksudnya buat SKUAD BOLA SEPAK MALAYSIA dalam kejohanan Sukan SEA 2009 yang lalu. Pasukan ini tanpa diberikan sebarang harapan dan dalam keadaan merendah diri serta realistik tanpa heboh melaungkan keyakinan dan tanpa riak dan cakap besar berjaya merangkul pingat emas bola sepak Sukan SEA 2009!