Isnin, Mei 31, 2010

KUTIPAN: KAMPUNG CETEK DAN PENGANIAYAAN WANITA

'Ustazah' dalam Kampung Cetek.

Sebahagian penonton dalam kalangan pelajar sekolah ketika pementasan yang dibuka khas buat para pelajar sekolah pada 22 Mei 2010 (Sabtu) pukul 3 petang.

Kampung Cetek papar penganiayaan wanita
Oleh Mahani Ishak bhnews@bharian.com.my - 31 Mei 2010

KISAH masyarakat bawahan yang tertekan akibat kemiskinan sehingga mengambil keputusan di luar naluri kemanusiaan apalagi tuntutan agama diangkat dalam Teater Monolog Kampung Cetek sebagai bahan renungan semua. Naskhah Nur Khiziah Ahmad dan diarahkan Puad Norazmi Bahron yang menampilkan Diah sebagai watak yang menggerak cerita terhimpit dengan tekanan kehidupan apabila suaminya adalah dahan rapuh untuknya berpaut kerana tidak bertanggungjawab.

Khalayak teater yang dipentaskan di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Larkin Perdana, Johor Bahru, baru-baru ini pasti berasa betapa zalimnya suami yang tidak tahu memikul tanggungjawab keluarga sehingga menyebabkan isteri tertekan.
Mereka akan bertambah marah apabila melihat Diah yang sepatutnya tabah mengharung kehidupan mengambil keputusan membunuh anak-anaknya bagi menyelesaikan masalah kehidupan hanya kerana dirinya turut tidak mendapat sokongan daripada jiran di sekelilingnya.

Dalam masa sama, khalayak juga akan teringat kepada banyaknya peristiwa sedemikian dalam masyarakat masa kini tanpa mengira bangsa dan agama yang mengambil jalan muda bagi menyelesaikan masalah kehidupan mereka. Sedangkan sebagai manusia yang diberi akal oleh Allah SWT dan sepatutnya bertindak dengan waras walau dalam apa keadaan sekali pun, akhirnya tarafnya sama seperti haiwan apabila masing-masing gagal menjalankan fungsi sebagai insan yang hakikatnya perlu saling memahami dan membantu.

Penulis skrip, Nur Khiziah Ahmad Puad berkata, peluang menulis drama itu tidak dilepaskan kerana menerusi teater beliau boleh memperjuangkan hak wanita dari sebarang bentuk penindasan. "Kupasan teater ini memperlihatkan kepentingan wanita untuk dilindungi, selain bertujuan menyampaikan teguran sosial bagi mengangkat martabat wanita pada kedudukan sewajarnya," katanya. Pengalaman kali kedua selepas menulis skrip Ju & Meo yang dipentaskan di Istana Budaya tidak lama dulu, beliau atau nama penanya Nur Ahmad, berharap teater terbabit dapat menyedarkan masyarakat betapa perlunya mereka bersikap prihatin. “Mereka perlu membantu wanita yang tertekan dan tidaklah berlaku gejala pembunuhan bagi menyelesaikan masalah. Suami pula tidak boleh menafikan hak wanita dengan bersikap tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Didukung lima watak lain sebagai pelengkap cerita, Teater Kampung Cetek berjaya menarik lebih 100 peminat teater di selatan tanah air bagi setiap tiga siri pementasan yang mengisikan kalendar kegiatan badan berkanun terbabit. Pengarah Teater Monolog Kampung Cetek, Norazmi Bahron, mengakui beliau bangga dapat mengarahkan teater terbabit kerana kebanyakan pelakon layar teater ini masih baru, tetapi kesungguhan mereka berjaya memacu watak masing-masing dengan berkesan. "Minat mendalam bakat baru dalam seni teater mewujudkan satu gabungan produksi terbaik bagi mereka yang baru berjinak dengan pementasan teater. Kesungguhan menjalani sesi latihan menyebabkan mereka berjaya menghidupkan jalan cerita,” katanya.

Pegawai Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DPPWS), Rusdi Abdul Rahman berkata teater anjuran bersama (DPPWS) Persatuan Kesuma-I Johor Bahru dan Persatuan Kesenian Pasir Gudang membuka tirai pementasan teater berskala kecil pada tahun ini.
________________________________________________
Catatan: Kutipan di atas diambil secara langsung dalam laman web portal Berita Harian Online melalui ruangan Sastera. Berbanyak terima kasih buat Unit Sastera Berita Harian serta buat wartawan tempatan yang hadir dan menulis berita / artikel ini iaitu Mahani Ishak.

Tiada ulasan: