Isnin, September 20, 2010

SMNSJ KE-3 2010 DAN HSDT KE-8 2011

Dua penulis karya sastera prolifik negeri Johor: Rahimah Muda dan W.B Rendra meraih hadiah atas usaha gigih yang cukup bermakna...

Pemenang utama SMNSJ ke-3.

Rahimah Muda dan "Tiara Pesona" menerima hadiah kemenangan utama.

Persembahan selingan yang berkesan dan meriah walaupun masih ramai tertumpu dengan sambutan hari raya...

Majlis penyampaian hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor (SMNSJ) ke-3 selesai diadakan pada 18 September 2010 (8.30 malam - 10.30 malam) di PERSADA Johor, Johor Bahru, Johor. Majlis penyampian hadiah sayembara ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor yang diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan (DBPWS), YWJ Citra dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Johor.
Sayembara kali ketiga ini mula dibuka penyertaannya pada awal Januari tahun 2009 sehingga Disember 2009 manakala penilaiannya sepanjang 6 bulan pertama tahun 2010 ini. Dalam sayembara pertama hanya ada pemenang tempat ketiga dan sagu hati dan sayembara kedua ada pemenang meraih tempat kedua, ketiga dan sagu hati; namun untuk kali ketiga ini semua hadiah diraih yang melibatkan hadiah pertama, kedua dan ketiga serta lima hadiah sagu hati.
Pn. Rahimah Muda meraih tempat pertama dengan membawa pulang RM35,000.00 melalui novelnya berjudul "Tiara Pesona" dan hadiah sagu hati RM5,000.00; maka kesemuanya beliau membawa pulang sebanyak RM40,000.00. Tempat kedua diraih oleh penulis dari Riau, Indonesia dengan membawa pulang RM25,000.00. Tempat ketiga diraih penulis penuh prolifik yang muda lagi berpotensi besar negeri Johor dan kebangsaan iaitu Sdra Wahyu Budiwa Rendra dengan meraih RM15,000.00. Lima hadiah sagu hati menawarkan wang tunai RM5,000.00 diraih antaranya oleh Rahimah Muda, Mohd Kasim Mahmud dan Razali Endun.
Persembahan fragmen sejarah Johor sekitar tahun 1718 juga dipersembahkan yang menarik inat para hadiri seramai 300-350 orang serta ada persembahan selingan lagu-lagu Melayu tradisi yang diiringi kumpulan muzik YWJ secara langsung.

HSDT ke-8 Tahun 2011
Tahun hadapan 2011 sastera Johor dimeriahkan pula dengan penyertaan untuk Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) ke-8 2011. HSDT yang diadakan setiap dua tahun sekali akan mula menerima penyertaan seawal Januari 2011 juga merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor diselengarakan oleh YWJ dengan kerjasama DBPWS, Persatuan Penulis Johor dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor. Pelibatan DBPWS dalam HSDT sejak tahun 2001 iaitu ketika HSDT ke-3 sehingga kini iaitu HSDT ke-8. Nantikan maklumat penuh tentang penyertaan dan hadiah serta pelbagai maklumat HSDT ke-8 dalam waktu terdekat ini; yang pasti DBPWS akan giat juga mempromosikannya.

2 ulasan:

Melihat Kesunyataan berkata...

Rusdi,
Dalam keadaan mata masih dalam rawatan, dapat juga hadir untuk sama-sama meraikan teman-teman kita yang meraih hadiah sayembara penulisan novel itu.
Tahniah kepada yang menang.

Zaid Akhtar berkata...

Tahniah kepada para pemenang, terutama dalam kalangan penulis-penulis Johor.

:-)