Khamis, September 09, 2010

MELAKA - KL - MELAKA - JB: DEMI TUGAS BBK 2010

Tajuk entri kali ini bukanlah tentang laluan bas ekspres yang banyak terpapar di kaunter jualan tiket bas di Larkin, Johor Bahru dan di Melaka Sentral; ini sebenarnya pergerakan diri ini dalam menyelesaikan beberapa perkara dalam tempoh 3 hari 2 malam.
Pada hari Sabtu hingga Isnin lalu (4 - 6 September 2010) berada di Melaka dan Kuala Lumpur, cuma di Kuala Lumpur sekejap sahaja kerana urusan segera yang perlu diselesaikan. Semua urusan di Melaka merupakan urusan 'sentuhan-sentuhan' tahap memantapkan lagi segala pengurusan yang semampunya serta sebaik mungkin tentang program-program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Negeri Melaka khususnya. Banyak perkara harus diselesaikan mengikut jadual dalam bulan puasa ini agar tidak terkejar-kejar dalam menguruskan banyak hal pabila pelbagai pihak sibuk pula dengan urusan hari raya selepas ini sedangkan sambutan BBK 2010 disyaratkan sepadatnya dalam bulan Oktober ini sahaja. Hakikatnya juga untuk 'menjual dan mempromosi' hal-hal berkaitan kebahasaan dan kesusasteraan yang "kurang diminati, kurang didekati, kurang digemari, dan kurang laku sifatnya..." perlulah sesuatu tindakan serta gerak kerja yang tahap agresif dan proaktifnya agak luar biasa dalam keadaan semampu dan sedayanya...!
Kekangan yang bakal dihadapi diri ini sepanjang pertengahan bulan September sehingga pertengahan Oktober ini serba sedikit membuatkan diri ini agar dapat menyelesaikan gerak kerja program BBK 2010 yang dirancang; ya... kemungkinan diri ini 'dicutikan' selama 30 hari termasuk hari cuti am serta hari Sabtu dan Ahad (12 September - 11 Oktober 2010...)? Namun atas dasar 'minta - cinta - sayang' terhadap kerja-kerja yang diamanahkan rasa-rasanya tidak sampai 30 hari bercuti dalam konteks cuti sebenarnya.
Banyak perkara harus diselesaikan sebaik mungkin dengan pihak yang dipohon untuk bersama-sama dalam penganjuran program-program BBK 2010 Melaka. Terkini program BBK 2010 Melaka asalnya 7 program telah bertambah 3 lagi program menjadikan 10 program semuanya. Penambahan program ini setelah diamanahkan oleh pihak tertinggi pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka melalui satu mesyuarat di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada minggu lepas.
Jika tiada aral dan halangan besar, setakat hari ini diri ini akan mengendalikan 10 program daripada 16 program DBPWS untuk BBK 2010 Johor dan Melaka sepanjang bulan Oktober ini. 7 program dikendalikan untuk negeri Melaka dan 3 program untuk negeri Johor. Senarai pecahan program yang sebenarnya akan dikhabarkan secara berperingkat kerana kemungkinan ada pertukaran atau penambahan lagi dalam mengendalikan program BBK 2010 Johor dan Melaka ini.

Tiada ulasan: