Khamis, September 09, 2010

PERHIMPUNAN BULANAN: PELAWAAN YANG BERMAKNA...

Foto dirakam sendiri menggunakan kamera telefon bimbit berkuasa 5.0 mega pixel.

Pada 6 September 2010 (Isnin) berkesempatan buat julung kalinya menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka. Perhimpunan bulanan ini diadakan pada setiap hari Isnin minggu pertama setiap bulan. Perhimpunan kali ini merupakan edisi 9/2010 yang dianjurkan oleh KWSP Melaka. Walaupun dalam keadaan berpuasa, kehadiran kakitangan kerajaan tetap besar dianggarkan sekitar 900 - 1,000 orang di tempat dan ruang terbuka iaitu Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Inilah buat julung kali pihak DBPWS dijemput hadir setelah beberapa pihak di Melaka mencadangkan agar DBPWS turut serta dalam kelompok rasmi dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang berkhidmat untuk negeri Melaka. Sememangnya dan selayaknya DBPWS turut serta kerana peranan DBPWS itu sendiri yang terangkum program bahasa, sastera dan penerbitan untuk negeri Melaka.
Satu keputusan telah diamanahkan oleh YB Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang menyatakan bahawa DBPWS dipelawa untuk menjadi penganjur bagi Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka edisi 10/2010 iaitu perhimpunan untuk bulan Oktober 2010. Secara rasionalnya saranan pemimpin atasan agar DBPWS menjadi tuan rumah pada Oktober 2010 kerana terdapatnya sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 yang sememangnya berlangsung sepanjang bulan Oktober ini.
Amanah dan penghormatan buat DBPWS ini harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin walaupun ini merupakan pengalaman baharu dalam menguruskan gerak kerja ke arah acara perhimpunan yang rasmi dan besar sifatnya juga.
Bendera perjuangan bahasa, sastera dan penerbitan DBP harus tegak dan megah dikibarkan demi kelangsungan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang masih utuh dan kukuh tercatat itu..., cuma keprihatinan sebahagian masyarakat kini agak kendur dan semangatnya juga mundur...?

Tiada ulasan: