Isnin, September 20, 2010

BEDAH MATA KEDUA - BAHAGIAN 2

Makan tengah hari sebelum pulang ke rumah.

Cuaca mendung pada hari terakhir (foto dirakam dari jendela Wad 5 Barat HSA).

Cuaca panas terik pada hari pembedahan.

Mata kiri setelah sejam selesai jalani pembedahan.

Setelah dua malam berada di Wad 5 Barat, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru maka hari dan masa yang ditunggu tiba. Tarikh 14 September 2010 (Selasa) menjalani pembedahan mata kiri kerana serangan katarak/selaput; jururawat memberitahu ada seramai 8-9 orang akan jalani pembedahan serta memberitahu bahawa giliran nombor 6 buat diri ini. Menurut jururawat kemungkinan sekitar pukul 11 pagi akan dilakukan pembedahan. Berikut kronologi ringkas saat-saat menghadapi pembedahan dan selepas pembedahan:
10.30 pagi: Jururawat arahkan menukar pakaian untuk pembedahan. Pakaian yang disediakan merupakan seluar bertali kain sahaja, baju tanpa butang hanya diikat tali di bahagian belakang dan penutup rambut. Tidak boleh sama sekali memakai pakaian dalam dan segala aksesori diri seperti jam, cincin dan sebagainya.
10.45 pagi: Petugas hospital bawa ke aras satu untuk masuk bilik pembedahan.
11 - 11.25 pagi: Menunggu giliran di luar bilik bedah.
11.30 pagi - 12.00 tengah hari: Pembedahan selama 30 minit dalam keadaan sedar kecuali bahagian mata kiri yang dibius berjalan dengan lancar walaupun ketika itu hanya Allah SWT yang tahu perasaan dalam diri. Syukur besar kepada-Nya atas kekuatan semangat dan fizikal serta minda kurniaan-Nya berjaya harungi pengalaman kedua dalam keadaan baik.
12.00 - 12.20 tengah hari: Menunggu untuk dihantar pulang ke Wad 5 Barat.
12.30 tengah hari: Mula makan tengah hari dengan mata kiri tertutup dengan penutup khas (seperti foto di atas).
Pelbagai pantang larang dan nasihat perubatan khususnya untuk tempoh 2-3 minggu secara berperingkat selepas pembedahan telah diarahkan untuk dipatuhi antaranya perlu mengelak untuk berlama-lamaan dengan terik cahaya matahari dan cahaya yang silau (khususnya selama seminggu) atau perlu mamakai cermin mata hitam dalam tempoh 1-2 minggu, harus menitiskan ubat pada mata kiri selama sebulan (setiap 4 jam), harus mengelak berada di tempat orang ramai selama 2-3 minggu, kurangkan memandu kenderaan khususnya jarak yang jauh dan lain-lain.
Esoknya (15 September 2010 - Rabu), seawal pukul 7.30 pagi doktor datang untuk memeriksa kembali hasil pembedahan lalu doktor izinkan pulang ke rumah setelah selesai makan tengah hari. Doktor arahkan datang kembali buat pemeriksaan selanjutnya pada 20 September 2010 (Isnin). Doktor berikan cuti 2 minggu sahaja atas permintaan sendiri walaupun doktor boleh berikan selama 30 hari.
Hakikatnya, pengalaman kedua ini banyak menambahkan lagi ingatan dan kesedaran buat diri tentang peri pentingnya menjaga anugerah besar-Nya kerana 'peringatan' ini harus dijadikan rahmat untuk diri sendiri; sebesar pengalaman dan sebesar 'peringatan' akan luasnya kuasa dan kurnia-Nya.
Terima kasih buat semua kenalan yang prihatin serta ingatan atas keadaan diri ini sejak mula dikesan untuk hadapi pembedahan sehingga menjelang pembedahan dan selepas menjalani pembedahan sehingga saat ini. Terima kasih seribu penghargaan buat semua.

2 ulasan:

NASSURY IBRAHIM berkata...

rasa seriau juga dengar cerita bedah mata. harap sembuh spt sedia kala. amin

Citra Wangsa berkata...

eeerrr....seram jugaa ye..