Selasa, Ogos 31, 2010

JALAN-JALAN SANTAI RAMADAN...

Tercari-cari perencah asam pedas Muar ini di Johor Bahru... tapi akhirnya terpaksa import juga dari Muar dalam kuantiti yang agak banyak..!

Setiap hari Sabtu dan Ahad sejak 2-3 minggu lalu berkesempatan jalan-jalan ke beberapa kompleks beli-belah dalam bandar raya Johor Bahru ini. Ada suasana cukup meriah, ada suasana biasa dan hambar sahaja. Jualan pelbagai barangan dan produk hari raya sememangnya memenuhi ruang gedung yang dikunjungi; pelbagai barangan dan produk ini bukan mula wujud sejak 2-3 minggu lalu tetapi sejak awal bulan Julai lagi... meriahnya hari raya setiap tahun walaupun khabarnya ekonomi masih 'menjunam'. Ramai manusia berkunjung khususnya di Plaza Angsana Johor Bahru, ramai masyarakat dari Singapura dapat dilihat di sini. Menariknya juga Bazar Ramadan di ruang letak kereta Plaza Angsana antara bazar yang 'mahal' sifatnya, mahal kerana harga pelbagai jenis lauk dan kuih dapat dilihat perbezaannya...
Ada juga persembahan yang dihidangkan kepada para pengunjung di ruang pentas utama beberapa kompleks beli-belah. Secara kebetulan baru-baru ini berkunjung ke Jusco Bukit Indah, ada acara tajaan Astro selama 2 hari iaitu 'Marhaban Astro'. Meriah juga set pentas dan peralatan siar raya yang disediakan di situ, pengisian acara juga bertemakan sambutan Ramadan.
Jalan-jalan sepanjang 3 minggu Ramadan ini; sempat juga meninjau tentang ejaan dan paparan ayat khususnya promosi bufet dan tempat bazar Ramadan, yang pasti paparan dalam pelbagai kaedah sama ada kain rentang, gegantung, poster dan lain-lain ejaan RAMADAN masih banyak diejakan RAMADHAN. Mungkin ejaan RAMADHAN sebutannya '...DHAN' itu lebih berkat dan afdal sifatnya?

Ahad, Ogos 29, 2010

BBK 2010 MELAKA DAN JOHOR - TARIKH MAKIN HAMPIR...

Persembahan kumpulan koir ketika Majlis Pelancaran BBK 2009 Negeri Melaka pada 1 Oktober 2009 di Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka.

Memandangkan menjelang seminggu sebelum cuti hari raya Aidilfitri dan seminggu (atau mungkin 2 minggu) selepas hari raya kebiasaannya ramai individu dan pelbagai pihak 'tidak lagi menumpukan terhadap kerja...' maka diri ini mengambil langkah segera dan tersusun untuk menguruskan pelbagai hal berkenaan pelaksanaan program sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 peringkat negeri Melaka dan Johor seminggu sebelum cuti hari raya ini. Urusan ini melibatkan hal mesyuarat, perbincangan dan susun atur gerak kerja khususnya melibatkan pihak yang kita mohon kerjasama penuh dalam menggerakkan sesuatu program, apatah lagi diri ini banyak bergerak secara solo daripada aspek perancangan program, minda dan fizikal.
Pelbagai urusan besar dan kecil sifatnya harus diuruskan kini kerana program bermula seawal 1 Oktober 2010; ya... kebanyakan individu dan pihak tertentu akan kembali bekerja dan kembali semangat bekerja seawalnya pada 20 September 2010 selepas cuti hari raya (10 September 2010), cuti Hari Malaysia (16 September 2010) dan cuti sekolah (bermula 4 - 19 September 2010). Pelbagai hal yang diuruskan peringkat awal ini juga agar saat-saat akhir tidak kelam kabut tahap tinggi serta segala yang dirancang berjalan dalam keadaan baik.
Dalam tempoh seminggu yang lalu agak kerap keluar untuk urusan rasmi kerja. Hari Isnin (23 Ogos 2010) dan Khamis (26 Ogos 2010) yang lalu ke Melaka dan Pagoh atas urusan rasmi kerja untuk hal-hal program BBK 2010 Negeri Melaka dan Johor. Perkara yang diuruskan (sebahagiannya hampir muktamad tarikh, tempat dan pengisian programmya) termasuklah Majlis Pelancaran BBK 2010 Negeri Melaka, Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' Melaka, Program Semarak Bahasa dan Sastera Parlimen Pagoh, Festival Pantun Melayu Serumpun, dan Pementasan Teater Negeri Melaka.
Mesyuarat tentang Majlis Pelancaran BBK 2010 Melaka yang dipengerusikan oleh YB Datuk Setiausaha Kerajaan Melaka berjalan dalam kedaan baik dan mesra. Ada tambahan program yang dicadangkan untuk negeri Melaka. Pihak SUK Negeri Melaka juga mencadangkan agar pihak DBPWS menjadi tuan rumah dalam perhimpunan bulanan kakitangan kerajaan di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka bagi bulan Oktober bersempena sambutan BBK 2010 Negeri Melaka. Khabarnya perhimpunan bulanan ini melibatkan seramai 800 - 1,000 kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan di negeri Melaka.
Setakat kini diri ini menjadi peneraju @ pengurus program bagi 7 program BBK 2010 negeri Melaka dan Johor; berkemungkinan ada 2 lagi tambahan program yang bakal diri ini uruskan tetapi belum dapat kepastian yang nyata. Mengikut perancangan kini pihak DBPWS akan melaksanakan 12 program kesemuanya dalam tempoh sebulan bulan Oktober sambutan BBK 2010 negeri Melaka dan Johor. Perincian tentang 7 program yang diri ini bakal laksanakan akan dipaparkan dalam entri yang lain dalam blog ini.

Selasa, Ogos 24, 2010

PEMAKLUMAN: SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI 'BAHASA JIWA BANGSA' NEGERI MELAKA 2010

Foto hiasan: Buku antologi puisi hasil Sayembara Menulis Puisi Melaka Tahun 2005.

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI ‘BAHASA JIWA BANGSA’
Sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Negeri Melaka

Anjuran DBP Wilayah Selatan
dan
Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM)
dengan kerjasama Radio Malaysia Melaka FM

PENDAHULUAN
Sayembara yang diadakan khas sempena BBK 2010 Negeri Melaka merupakan salah satu daripada pelbagai program yang dirancang dan bakal diadakan sepanjang sambutan BBK 2010 khususnya peringkat negeri Melaka. Sayembara ini khasnya diharap dapat menyemarakkan kegiatan apresiasi kesusasteraan dalam kalangan anggota masyarakat khususnya rakyat negeri Melaka bersesuaian dengan sambutan BBK 2010.

OBJEKTIF
Antara objektif sayembara ini termasuklah:
i. Memupuk dan menyemai perasaan dan semangat jati diri dan kecintaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara sempena sambutan BBK 2010 Negeri Melaka.
ii. Mempopularkan puisi-puisi bertemakan bahasa dan patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai unsur penting dalam usaha menanamkan semangat cintakan negara.
iii. Memartabatkan puisi kebangsaan sebagai salah satu unsur budaya kebangsaan yang penting dalam membina negara Malaysia yang cemerlang.
iv. Menyemarakkan semangat dan kecintaan rakyat di negeri Melaka agar terus utuh dan bangga mempunyai satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan semua bangsa.

SYARAT-SYARAT PENYERTAAN
1. Sayembara ini terbuka kepada semua yang menetap dan berkhidmat/bekerja di negeri Melaka kecuali individu yang pernah meraih johan negeri Melaka dalam Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka (kategori sajak / puisi moden) tahun 2008, 2009 dan 2010.
2. Dua kategori disediakan: i. Kategori Terbuka Lelaki. ii. Kategori Terbuka Wanita.
3. Sayembara akan diadakan pada 2 OKTOBER 2010 (SABTU) DI IPGKPMM, DURIAN DAUN, MELAKA seperti maklumat di bawah:
Pendaftaran Peserta: 8.00 pagi - 9.00 pagi
Sayembara (Peringkat Saringan): 9.00 pagi - 1.00 tengah hari
Sayembara (Peringkat Akhir): 3.00 petang - 5.00 petang

4. Giliran peserta ditetapkan oleh pihak Urus Setia IPGKPMM dan DBPWS.
5. Setiap peserta yang layak menyertai sayembara ini akan dihubungi melalui telefon oleh pihak urus setia IPGKPMM dan DBPWS.
6. Peserta dikehendaki mendeklamasikan hanya sebuah (1) puisi sahaja daripada 10 buah puisi bertemakan bahasa yang ditetapkan pihak penganjur.
7. Deklamasi puisi yang dimaksudkan adalah pembacaan puisi, bukannya menyanyikan puisi dengan irama-irama tertentu dengan dibantu bunyi daripada rakaman kaset, cakera padat atau sebagainya.
8. Peserta perlu menghafal puisi pilihan mereka. Walau bagaimanapun peserta dibolehkan membawa teks puisi pilihan secara berhemah dan tertib ketika mendeklamasikannya bagi mengelak daripada terlupa yang boleh mengganggu kelancaran ketika deklamasi.
9. Peserta dibenarkan memakai pakaian yang bersesuaian dengan tema puisi. Pergerakan yang tidak sesuai dengan tema dan mesej puisi boleh mengurangkan markah.
10. Peserta tidak dibenarkan membawa alat bantu (props) yang tidak besesuaian termasuk alat bantu yang menghasilkan bunyi-bunyian daripada semua jenis alat muzik termasuk alat perakam.
11. Semua perbelanjaan pengangkutan, penginapan dan makan minum peserta merupakan tanggungjawab peserta sendiri. Pihak penganjur tidak bertanggungjawab atas keselamatan dan pergerakan/perjalanan peserta pergi dan balik dari rumah ke tempat acara.
12. Borang penyertaan boleh diperoleh:
i. Jabatan Pengajian Melayu IPGKPMM, Durian Daun, Melaka.
ii. Radio Malaysia Melaka FM, Jalan Taming Sari, Melaka.

Tarikh tutup menghantar borang penyertaan pada 18 September 2010.

Maklumat lanjut, silalah hubungi pihak IPGKPMM, DBPWS dan Melaka FM:
i. En. Ramly Abu, Jabatan Pengajian Melayu IPGKPMM
(no. tel.: 016-6402366 / no. faks.: 06-2818467)
ii. En. Rusdi Abd Rahman, DBPWS (no. tel.: 07-2358802 / no. faks.: 07-2358686)
iii. Hj. Mohd Zazmi Mohd Zain, Radio Malaysia Melaka FM (no. tel.: 06-2832314)

13. Borang penyertaan hendaklah dihantar kepada:
Urus Setia Sayembara Deklamasi Puisi ‘Bahasa Jiwa Bangsa’
(sempena BBK 2010 Negeri Melaka),
Jabatan Pengajian Melayu,
Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM),
Jalan Maktab, Durian Daun,
75900 Melaka. (u.p.: En. Ramly Abu)

Hadiah (Setiap Kategori - Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita):
a. Pertama - Wang tunai RM500.00 / Sijil Penghargaan / Hadiah Iringan
b. Kedua - Wang tunai RM400.00 / Sijil Penghargaan / Hadiah Iringan
c. Ketiga - Wang tunai RM300.00 / Sijil Penghargaan / Hadiah Iringan
d. 7 sagu hati - Wang Tunai RM100.00 / Sijil Penghargaan / Hadiah Iringan


Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, sila hubungi: Rusdi Abd. Rahman (no. telefon: 07-235 8802).
Sekian, terima kasih.

Rabu, Ogos 18, 2010

RAMADAN DI UTM

Tiga guru prolifik dan unggul dari Johor, Melaka dan Kuala Lumpur yang banyak pengalaman dan ilmu.

Kelas Ramadan UTM
Hari ini juga (18 Ogos 2010) peroleh satu lagi pengalaman baharu. Kelas yang dibimbing untuk UQP 1041 dalam bulan Ramadan. Kelas yang sebelum ini pukul 5 petang - 7 malam diubah pukul 3 petang - 5 petang kerana bulan puasa. Syukur kepada-Nya kerana pelajar yang mengikuti UQP 1041 hadir seperti biasa serta bersemangat walaupun ada 1-2 pelajar yang nampak mengantuk dan keletihan.
Sebanyak tiga kali pertemuan / kelas berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini. Membimbing dalam keadaan puasa merupakan satu pengalaman baharu kerana sebelum ini belum pernah alaminya. Maka lantas teringat kepada Cikgu Azhar Salleh, seorang guru dan idola yang sudah biasa mengajar dalam keadaan puasa; Sifuku ini bukan sahaja mengajar hakiki di sekolah tetapi juga mengajar penuh gigih dan penuh semangat di luar sekolah (termasuk hari Sabtu dan Ahad) dalam bulan Ramadan sudah berbelas-belas tahun; berpuasa bukan halangan besar buat guru seperti Azhar Salleh untuk mengajar dalam tahap seperti sedia kala.
Pengalaman para guru yang diri kenali seperti Azhar Salleh, Amiruddin Ali, Zaid Akhtar, Hj. Mohd Rosli Bakir, Kasim Mahmud, Hj. A. Rani Embi dan ramai lagi (sekadar menyebut beberapa nama) yang sudah biasa dengan hal ini; maka diri ini dapat menimba sepicing ilmu dan pengalaman untuk bertugas selaku pembimbing dalam keadaan berpuasa. Maka diri ini amat menyanjung tinggi guru-guru yang semangatnya tetap besar walaupun ketika berpuasa, mengajar hampir 5-6 jam sehari termasuk guru idola diri ini (kini menginap di Perjiranan 10) yang mengajar bukan hanya 5-6 jam sehari (Isnin - Jumaat) malah mengajar sehingga 8-9 jam sehari (Sabtu - Ahad) ketika dalam keadaan berpuasa.

Bazar Ramadan UTM
Selepas kelas sempat juga berkunjung ke Bazar Ramadan dalam kampus UTM. Meriah juga orang yang berkunjung dan lauk pauknya. Ramai pelajar yang membeli juadah; sempat 'mencuri dengar dan pandang' ke beberapa gerai perbualan dan gelagat pelajar khususnya gerai yang menjual juadah masakan Kelantan dan Terengganu. Pelajar asal Pantai Timur pasti mencari dan membeli juadah antaranya nasi kerabu, nasi dagang, ayam percik, kuih akok, laksam, lompat tikam dan lain-lain. Cuba mencari nasi dagang asli Terengganu tetapi tiadalah pula kecuali nasi dagang Kelantan sahaja.
Ramai juga pelajar dan tenaga akademik serta bukan akademik UTM asal dari negeri Pantai Timur dapat dikenali melalui 'loghat bahasa' di beberapa gerai di Bazar Ramadan UTM. Masakan Pantai Timur banyaklah juga tetapi belum pasti kesemua rasanya sama seperti masakan dan hidangan yang asal di negeri Terengganu dan Kelantan; lantas hati dan minda teringat bazar di kampung halaman.

TARIKH SUDAH DIPEROLEH...

Hari ini perasaan bercampur-campur (semacam naik turun saham pula...). Temu janji kali keempat yang ditetapkan ini tidak diingkari malah seawal pukul 7.30 pagi sudah berada di situ. Sudah menjadi kebiasaan pabila berada di situ; setidak-tidaknya sudah tahu tempoh yang bakal dilalui ketika menjalani pemeriksaan dari bilik A ke bilik B dan seterusnya bilik C. Berada di situ rasa seperti warga emas kerana majoriti yang berada di situ dalam kalangan warga emas. Rasa kesian dan hiba menyelami hati juga pabila melihat anak kecil berusia sekitar 1-6 bulan juga terlibat sekali berada di situ untuk pemeriksaan. Seperti yang dijangka proses menunggu giliran untuk masuk ke bilik demi bilik dan menjalani pemeriksaan selama 6 jam menepati persediaan awal dam minda. Kebiasaan duduk di situ sekitar 5-6 jam.
Pakar dan penolong pakar memberitahu bahawa rayuan diterima agar dipercepatkan 'proses itu' kerana ada individu yang menolak gilirannya. Mengikut kata pakar ketika pertemuan sebulan yang lalu bahawa giliran yang ada hanya pada bulan November dan Disember. Pakar dan penolong pakar menyatakan tarikh yang boleh dijalankan 'proses itu' pada 14 September 2010 bersamaan dengan 5 Syawal 1431 Hijrah; ya... ketika sambutan hari raya yang masih hangat dan panas. Makanya, hari raya tahun ini tumpuan dalam semua aspek menurun kerana fokus terhadap 'proses itu'. Sebelum tarikh itu beberapa perkara harus diselesaikan antaranya tiga hari sebelum tarikh itu perlu menghuni di situ dan pemeriksaan kesihatan yang libatkan seluruh hal harus dijalani sebelum 'proses itu' dibuat; jika kesihatan tidak mengizinkan maka harus ditangguh untuk beberapa hari berikutnya!
Hal ini merupakan rahmat besar-Nya yang kadang kala tidak tercapai oleh akal jika berfikir secara mendatar sahaja, akal kurniaan-Nya harus digunakan sepenuhnya untuk mengetahui betapa dalam dan luasnya kuasa dan rahmat-Nya. Usaha gigih dan keyakinan besar terhadap rahmat-Nya lalu berserah kepada-Nya.

Isnin, Ogos 16, 2010

TONTON ASTRO 555 HISTORY - ILMU PASTI BERTAMBAH...

Foto hiasan: Muzium Samudera di Bandar Hilir, Melaka.

Sejak masuknya bulan Ogos ini kerap juga menekan alat kawalan jauh Astro khususnya rangkaian Astro 555 History. Sepanjang bulan Ogos ini siaran Astro 555 banyak menyiarkan dokumentari tentang perang; tentang kebangkitan dan kejatuhan sesebuah negara dan fahaman khususnya ketika Perang Dunia ke-2 dan selepas Perang Dunia ke-2. Kebetulan juga bulan Ogos merupakan sambutan bulan kemerdekaan Malaysia maka ada juga bakal dipaparkan dokumentari tentang Malaysia atau lebih tepat ketika Malaya / Persekutuan Tanah Melayu sekitar tahun 1940-an sehingga awal 1960-an termasuk pencapaian Malaysia era 1990-an sehingga pencapaian terkini.
Dokumentari 'Malayan Emergency'
Tentang Malaya sekitar tahun darurat bermula paparan dokumentari berjudul 'Malayan Emergency' yang memaparkan perkembangan dan kronologi tentang ancaman komunis selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia ke-2. Banyak maklumat yang sudah diketahui dan maklumat baharu yang diperoleh pabila menyaksikan dokumentari ini yang memakan masa selama 2 jam. Salah satu yang menariknya tentang pembunuhan Henry Gurney oleh pihak komunis ketika menuju ke Bukit Freaser; bagaimana pihak risikan British akhirnya dapat menjejak pembunuh itu setelah 3-4 tahun memburunya - pembunuh Henry Gurney dibunuh oleh pengawal peribadinya sendiri! Menariknya juga tentang temu bual yang diadakan terhadap beberapa orang bekas tentera dan pejuang Parti Komunis Malaya yang melibatkan kaum Cina dan Melayu. Melalui temu bual itu dapat diketahui mengapakah isi hati dan minda mereka terlalu tegar terhadap perjuangan fahaman komunis.
Dokumentari 'Sworn to Secrecy'
Menonton juga sebuah dokumentari yang menarik serta dapat menambahkan ilmu berjudul 'Sworn to Secrecy'. Dokumentari ini menjelaskan tentang kaedah "perang psikologi" yang digerakkan ketika peperangan mahupun ketika perang dingin. Antara yang terpapar dalam 'Sworn to Secrecy' tentang perang dan teknik psikologi ketika Perang Dunia ke-2 yang melibatkan serangan balas Amerika ke atas Jepun khususnya peristiwa Okinawa, Perang Korea sekitar awal tahun 1950-an, Perang Vietnam sekitar pertengahan 1970-an, Perang Teluk sekitar awal 1990-an, dan juga konflik negara-negara Eropah Timur yang memberontak terhadap Rusia.
Dokumentari 'Emperor Hirohito'
Satu lagi dokumentari yang menarik ditonton serta menambahkan ilmu iaitu berjudul 'Emperor Hirohito'. Dokumentari ini mengisahkan tentang pelibatan Maharaja Hirohito dalam "sedar dan terpaksa" berkaitan peranan Jepun ketika Perang Dunia ke-2. Antara paparannya dinyatakan bahawa Hirohito atas izinnya atau secara paksa atas desakan menteri kabinetnya membenarkan tentera Jepun melakukan serangan bersejarah ke atas tentera Amerika di Pearl Harbour, juga kesudian Hirohito membenarkan tentera Jepun sebelum meletus Perang Dunia ke-2 menyerang dan menawan Manchuria sekitar lewat tahun 1930-an.

Banyak lagi dokumentari yang menarik dan berilmu bakal dipaparkan melalui siaran Astro 555 History ini antaranya tentang Malaysia iaitu tentang askar khas yang menentang komunis sekitar tahun 1969 iaitu dinamakan "Very Able Troopers" dan paparan dokumentari tentang Al-Maunah serta beberapa dokumentari tentang pencapaian Malaysia pada tahap moden dan terkini. Dokumentari dalam siaran Astro 555 History ini harus dan wajib ditonton oleh semua peringkat umur bagi memperoleh ilmu tentang sejarah kebangkitan dan kejatuhan sesebuah fahaman, bangsa dan negara khususnya dalam memandang masa hadapan yang lebih baik.

Isnin, Ogos 09, 2010

MALAM CAKNA SASTERA - SANTAI DAN BERSAHAJA...

Pensyarah kesayangan pelajar PBMP UPM - Shamsudin Othman.

Anak tempatan Felda Air Tawar 5 - Nazim Mohd Subari.

Dewan Mesra yang santai dan bersahaja...

Program Malam Cakna Sastera pada 7 Ogos 2010 di Dewan Mesra, Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor diusahakan oleh para pelajar Pengajaran Bahasa Melayu Bahasa Pertama, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (PBMP UPM) sempena program Bakti Siswa PBMP UPM. Program ini mendapat kerjasama Felda, PPJ dan DBPWS.
Program yang dikendalikan oleh para pelajar ini bolehlah dibanggakan walaupun serba ringkas dan sedikit kurang lancarnya. Khabarnya seramai 50 pelajar PBMP UPM terlibat dalam program Bakti Siswa di Felda Air Tawar 5 sejak 4 Ogos lagi, program Malam Cakna Sastera ini merupakan program malam terakhir sebelum para pelajar pulang esok harinya.
Persembahan deklamasi dan lagu puisi termasuk boria dalam kalangan pelajar wanita PBMP UPM mewarnai program santai dan bersahaja serta mudah sifatnya. Pendeklamasi undangan khas pasti melibatkan deklamator unggul peringkat kebangsaan dan negeri, Hj. Shamsudin Othman selaku pensyarah bagi pelajar PBMP UPM bersama-sama Amiruddin Md. Ali Hanafiah, Ketua 1 PPJ dan anak tempatan Felda Air Tawar 5 yang juga penulis unggul karya kreatif peringkat kebangsaan dan negeri iaitu Nazim Mohd Subari mendeklamasikan puisi pada malam tersebut.
Khalayak sekitar 100 - 150 orang terdiri daripada para penduduk tempatan dan pelajar PBMP dapat menghayati program yang berlangsung sekitar 1 jam secara bersahaja. Para pelajar yang mengendalikan program ini nampak bersungguh-sungguh untuk menjayakan program ini. Melalui pengalaman menguruskan dan mengendalikan program sebegini pastinya para pelajar berkenaan memperoleh ilmu tambah dalam membina semangat diri dalam memperjuangkan soal bahasa dan sastera pabila mereka bergelar pendidik nanti.

BERKUNJUNG KE DESARU - BANDAR PENAWAR - TANJUNG BALAU

Pemandangan Persantaian Desaru Damai.

Pantai Tanjung Balau.

Bola di tepi pantai Desaru.

Rasa-rasanya kali terakhir berkunjung ke Desaru, Kota Tinggi sekitar tahun 2004/2005 manakala kunjungan ke Tanjung Balau, Kota Tinggi sekitar tahun 2002/2003. Pada 7 Ogos 2010 lalu berkesempatan ke dua kawasan ini. Kunjungan ke situ kerana ada urusan rasmi kerja hakiki yang berlangsung di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor (acara pada malam).
Dua tempat ini dikunjungi ramai manusia termasuk ramai dalam kalangan warga Singapura. Singpura bercuti agak panjang kerana negara republik ini menyambut Hari Kebangsaan pada 9 Ogos 2010. Pantai Desaru serta deretan hotelnya (sekitar 4-5 buah hotel dan persantaian terletak di sini) dipenuhi banyak kereta, ada hotel dan tempat persantaian yang penuh. Sempat menginap di Desaru Damai yang kedudukannya terletak di tepi pantai Laut China Selatan.
Sempat jalan-jalan ke pantai Tanjung Balau yang juga merupakan sebuah pantai indah dan tenang. Penuh sesak juga manusia dengan pelbagai aktiviti di situ khususnya di sebuah persantaian yang bernama Pelangi Balau. Berkesempatan juga masuk dan melihat Sekolah Sukan Bandar Penawar dan Kolej Profesional MARA Bandar Penawar.

Jumaat, Ogos 06, 2010

ESPN - ASTRO - LIGA EROPAH; FAM BEGITU JUGA ADANYA...

Mampukah Man U rebut piala ini kembali...?

Menatap dan mendengar Buletin Utama TV3 khususnya ruangan Sukan malam ini yang memperkatakan tentang rangkaian ESPN dan siaran langsung bola sepaknya. Diperkatakan bahawa kehadiran dan lambakan siaran langsung bola sepak EPL, La Liga, Serie A dan Bundesliga melalui rangkaian ESPN menyebabkan liga bola sepak tempatan semakin dijauhi oleh peminat bola sepak tempatan.
Apakah salahnya ESPN yang berbelanja besar menyiarkan siaran langsung liga-liga bola sepak utama di Eropah itu melalui rangkaian televisyen berbayar Astro dengan dikaitkan dengan liga tempatan? Biarkan sahaja stesen televisyen berbayar ini menayangkan siaran langsung pelbagai liga utama Eropah itu malahan jika dapat siarkan juga liga bola sepak negara-negara di benua Amerika Selatan (Brazil dan Argentina) dan liga di negara Jepun dan Korea. Siaran sebegini dapat menampilkan perlawanan bola sepak yang mutunya jauh lebih hebat (langit dengan bumi) daripada liga bola sepak Malaysia.
Jika liga tempatan memaparkan mutu yang meningkat pastinya ramai juga mengikuti liga tempatan tetapi bola sepak Malaysia sering turun mutunya berbanding sedikit sahaja naik mutunya. Apakah yang boleh dilakukan oleh pimpinan baharu FAM yang selesai menjalankan pemilihan Jawatankuasa 2010 -2014 minggu lalu (yang sebenarnya masih pimpnan atasan yang lama khususnya dua jawatan utama) tentang hal ini?
Astro sememangnya ghairah untuk musim baharu liga bola sepak Eropah itu dengan meningkatkan mutu siarannya melalui paparan definisi tinggi (HD). Astro sebuah televisyen berbayar sememangnya memikirkan soal perniagaan dan keuntungan.
Ya... bermula minggu ini dan minggu hadapan bertarunglah kembali kelab-kelab utama dalam EPL, La Liga, Serie A dan Bundesliga musim 2010-2011. Selepas PD 2010 berlalu sebulan lebih yang lalu maka tumpuan kembali kepada kepada liga-liga utama Eropah. Mungkinkah Chelsea bakal mengekalkan kejuaran EPL, bolehlah Barcelona mengekang Real Madrid daripada mengambil piala La Liga... serta seribu satu cerita dalam kerancakan musim 2010-2011 yang bakal ditatap dan ditonton!
Teruskan ESPN dengan siaran langsungnya, pedulikan pendapat kurang bermutu itu yang menyatakan liga tempatan semakin kurang diminati, dan biarkan FAM memikirkan cara terbaik untuk terus membangunkan bola sepak negara.

LITAR KECEWA TAPI...

Sekadar foto hiasan: foto dirakam di penghujung tanah daratan benua Asia - Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Rasa dan alami perasaan serta emosi kecewa merupakan sebahagian lingkaran, litar dan pusingan hidup seorang manusia normal. Diri ini kini alami sedikit gangguan pabila dilanda kekecewaan yang mungkin boleh mengoyak semangat diri...? Sememangnya setiap hari manusia akan alami saat emosi suka, duka, ceria dan kecewa yang bersilih ganti secara normal tetapi emosi dan rasa kecewa yang dialami diri kini agak berbekas yang kadang kalanya sedikit mengganggu perjalanan hidup seharian.
Litar kekecewaan yang menimpa kini hanya diri sendiri ketahui punca dan sumbernya; hendak berkias tentang kekecewaan ini rasanya tidak perlu kerana bukanlah sesuatu yang boleh mengoyak sepenuhnya semangat diri...! Walau kecewa tetap tersenyum seperti biasa...
Makanya teringat dialog Ramona Rahman kepada M. Nasir dalam filem 'Fenomena' tahun 1991/92 yang lebih kurang bunyinya, "Janganlah terlalu memikirkan kekecewaan hari ini sehingga lupa kebahagiaan hari esok..." Inilah antara sebahagian kata-kata yang diri ini pegang sebagai kata-kata motivasi / semangat sejak berada di tingkatan 6 dan awal pengajian universiti sehingga kini.

Rabu, Ogos 04, 2010

KUNJUNGAN BERSEJARAH DAN BERMAKNA

Petang tadi (4 Ogos 2010) sekitar pukul 3.00 petang - 4.00 petang berkunjung ke kawasan yang terletak di Pasir Pelangi, Stulang Laut, Johor Bahru. Kunjungan yang boleh dinamakan sebagai bersejarah dan sukar dilepaskan peluang ini meninggalkan banyak manfaat yang boleh dikutip dan difahami serta menyelami secara dekat dengan mengalami sendiri pengalaman ini.
Hampir 10 tahun berkhidmat di Johor, inilah peluang keemasan yang bermanfaat untuk dikutip pengalamannya. Hakikatnya bukan mudah seseorang atau organisasi serta perlu melalui pelbagai prosedur rasmi dan ketetapan protokol untuk bertemu dan berkunjung ke sini.
Cerita asalnya bermula semalam pabila seorang pegawai JKKNNJ menghubungi ketua di pejabat dengan meminta ketua pejabat hadir ke situ pada esoknya kerana selayaknya seorang wanita yang bersesuaian untuk mendekati lalu berbual dan menjelaskan beberapa perkara tentang hal puisi dan teknik deklamasinya. Makanya ketua pejabat meminta juga diri ini turut serta dalam kunjungan ini. Diri ini lalu memilih 4 puisi bertemakan kemerdekaan yang bersesuaian untuk dipersembahkan serta mencadangkan agar dibawa cenderamata buku (dalam bentuk satu set lengkap) pabila berkunjung di situ.
Seramai 7 orang pergi berkunjung ke situ termasuk pegawai JKKNNJ dan pihak atasan UTHM. Perbualan dan percakapan yang berlangsung cukup selesa serta menceriakan tanpa ada sebarang tekanan. Pembesar tuan rumah cukup faham dan mengerti tentang hal-hal puisi, seni dan kebajikan serta sempat berbual tentang hal teater. Hakikatnya cukup positif dan menggambarkan bahawa pihak pembesar atasan ini amat arif juga tentang hal-hal puisi yang digerakkan oleh rakyat bawahan dan masyarakat kebanyakan.
Banyak pengalaman fizikal dan minda diperoleh dalam menyertai kunjungan singkat ini, banyak hal juga dapat diungkap melalui percakapan dan pemikiran pembesar yang kadang kalanya rakyat biasa tersilap persepsi tanpa mengetahui hal-hal sebenarnya; pabila dapat secara langsung bertemu dan mendengar percakapan pembesar ini barulah dapat mengetahui hal yang sebenarnya paling tidakpun dalam hal-hal melibatkan penulisan, puisi, seni dan kebajikan.
Walaupun cuma singkat sekitar 1 jam sahaja berkunjung dan dapat mendengar percakapan pembesar namun banyak perkara positif yang bermanfaat diperoleh. Terima kasih buat pihak JKKNNJ atas ingatan dan berkesudian mempelawa ketua pejabat dan diri ini dalam kunjungan bersejarah buat julung kalinya ini.
Catatan: Sempat merakamkan beberapa foto ketika kunjungan ini namun atas rasa hormat dan menjaga etika berkunjung... maka foto itu hanyalah untuk simpanan peribadi dan simpanan rasmi pihak pejabat sahaja.

PESTA BUKU JOHOR - LEBIH ENAK NASI KUKUS...!

Lebih enak dan selesa baca buku Kumpulan Puisi Remaja 'Anak Warisan' karya-karya puisi Amiruddin Md Ali Hanafiah.

Dua tiga hari lalu sempat ke Danga City Mall, Johor Bahru untuk meninjau satu pameran yang hebat juga promosinya sejak 2-3 minggu lalu iaitu dinamakan dan dijenamakan sebagai Pesta Buku Johor 2010. Berjalan-jalan di dalam kawasan pameran dan jualan hanya sekitar 20-25 minit sahaja; kesimpulan mudah dan nyata - mengecewakan diri sendiri.
Pesta buku ini tidak ubah seperti tahun lepas juga kecuali kawasannya kali ini di dalam tempat yang selesa berbanding tahun lepas hanya di bawah khemah segera sahaja. Jualan buku-buku latihan sekolah dan alat bantu menguasai bahasa (khususnya bahasa Inggeris) menguasai 80% isi pameran dan pesta buku ini. Menariknya para penjual alat bantu menguasai bahasa cukup agresif 'menarik' pelanggan sehinggakan pelanggan / pelawat rasa kurang selesa. Entah apa-apa syarikat dan kedai buku yang terlibat dalam pesta ini...
Selesai melawat kawasan pesta ini terus diri ini menghantar 'sistem mesej singkat' (SMS) kepada Tuan Azhar Salleh dengan menyatakan serta menghebahkan promosi bahawa "...usah penat-penat pergi ke pesta buku ini, isinya seperti tahun lepas juga..." Baik dan lebih afdal ke kedai buku Badan Cemerlang di Plaza Angsana atau kedai buku Johor Book Central untuk mencari dan membeli buku.
Apa-apapun rasa kecewa dan terkilan ini harus ditanggung sendiri buat dua tahun berturut-turut, kekesalan yang menimpa ditutup dengan menikmati Nasi Kukus (bolehlah tahan tapi tidak seperti di Pantai Dalam KL) di kawasan Pasar Raya Mydin, Bandar Baru Uda. Lebih enak dan gembira sikit hati dapat nikmati Nasi Kukus berbanding dengan pergi berkunjung ke pesta buku yang 'indah khabar daripada rupa' ini.

PLAZA ANGSANA - HARAPAN AGAR ADA LAGI PROGRAM DI SINI

Peserta sayembara beraksi.

Penonton memenuhi ruang legar dan aras atas Plaza Angsana.

Kesemua peserta sayembara.

Aksi bersemangat peserta sayembara.

Peserta sayembara dan kamera video.

Hari ketiga - terakhir (Ahad - 1 Ogos 2010) program di Plaza Angsana, Johor Bahru dimulakan dengan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Menengah Daerah Johor Bahru 2010 dan Peringkat Akhir Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik Sekolah-sekolah Rendah Daerah Johor Bahru. Seramai 21 peserta dalam kalangan pelajar sekolah-sekolah menengah dalam daerah Johor Bahru menyertai sayembara deklamasi puisi.
Peringkat akhir pertandingan koir pula melibatkan 10 pasukan sekolah rendah. Penuh sesak ruang legar pentas utama Plaza Angsana ini, ramai peserta dan ibu bapa termasuk pengunjung Plaza Angsana menyaksikan sayembara deklamasi puisi dan pertandingan peringkat akhir yang berlangsung bermula pukul 11.30 pagi - 5 petang. Pelbagai ragam dan gelagat dapat disaksikan pada hari terakhir ini yang melibatkan para peserta, guru, ibu bapa dan para pengunjung khususnya ketika pertandingan peringkat akhir koir.
Usaha pihak PSI MBJB meneruskan acara ini di Plaza Angsana sejak 7 tahun berturut-turut yang merupakan kawasan panas ramai pengunjung cukup membanggakan serta pelibatan DBPWS sepanjang acara bersama pihak PSI MBJB ini cukup bermakna dalam memperkenalkan DBPWS kepada warga Johor khususnya warga Johor Bahru termasuk sebahagian warga Singapura.
Terima kasih seribu penghargaan buat PSI MBJB kerana tetap mempelawa DBPWS secara berturut-turut selama 7 tahun khususnya program di Plaza Angsana ini.