Jumaat, Ogos 06, 2010

ESPN - ASTRO - LIGA EROPAH; FAM BEGITU JUGA ADANYA...

Mampukah Man U rebut piala ini kembali...?

Menatap dan mendengar Buletin Utama TV3 khususnya ruangan Sukan malam ini yang memperkatakan tentang rangkaian ESPN dan siaran langsung bola sepaknya. Diperkatakan bahawa kehadiran dan lambakan siaran langsung bola sepak EPL, La Liga, Serie A dan Bundesliga melalui rangkaian ESPN menyebabkan liga bola sepak tempatan semakin dijauhi oleh peminat bola sepak tempatan.
Apakah salahnya ESPN yang berbelanja besar menyiarkan siaran langsung liga-liga bola sepak utama di Eropah itu melalui rangkaian televisyen berbayar Astro dengan dikaitkan dengan liga tempatan? Biarkan sahaja stesen televisyen berbayar ini menayangkan siaran langsung pelbagai liga utama Eropah itu malahan jika dapat siarkan juga liga bola sepak negara-negara di benua Amerika Selatan (Brazil dan Argentina) dan liga di negara Jepun dan Korea. Siaran sebegini dapat menampilkan perlawanan bola sepak yang mutunya jauh lebih hebat (langit dengan bumi) daripada liga bola sepak Malaysia.
Jika liga tempatan memaparkan mutu yang meningkat pastinya ramai juga mengikuti liga tempatan tetapi bola sepak Malaysia sering turun mutunya berbanding sedikit sahaja naik mutunya. Apakah yang boleh dilakukan oleh pimpinan baharu FAM yang selesai menjalankan pemilihan Jawatankuasa 2010 -2014 minggu lalu (yang sebenarnya masih pimpnan atasan yang lama khususnya dua jawatan utama) tentang hal ini?
Astro sememangnya ghairah untuk musim baharu liga bola sepak Eropah itu dengan meningkatkan mutu siarannya melalui paparan definisi tinggi (HD). Astro sebuah televisyen berbayar sememangnya memikirkan soal perniagaan dan keuntungan.
Ya... bermula minggu ini dan minggu hadapan bertarunglah kembali kelab-kelab utama dalam EPL, La Liga, Serie A dan Bundesliga musim 2010-2011. Selepas PD 2010 berlalu sebulan lebih yang lalu maka tumpuan kembali kepada kepada liga-liga utama Eropah. Mungkinkah Chelsea bakal mengekalkan kejuaran EPL, bolehlah Barcelona mengekang Real Madrid daripada mengambil piala La Liga... serta seribu satu cerita dalam kerancakan musim 2010-2011 yang bakal ditatap dan ditonton!
Teruskan ESPN dengan siaran langsungnya, pedulikan pendapat kurang bermutu itu yang menyatakan liga tempatan semakin kurang diminati, dan biarkan FAM memikirkan cara terbaik untuk terus membangunkan bola sepak negara.

Tiada ulasan: