Rabu, Ogos 04, 2010

KUNJUNGAN BERSEJARAH DAN BERMAKNA

Petang tadi (4 Ogos 2010) sekitar pukul 3.00 petang - 4.00 petang berkunjung ke kawasan yang terletak di Pasir Pelangi, Stulang Laut, Johor Bahru. Kunjungan yang boleh dinamakan sebagai bersejarah dan sukar dilepaskan peluang ini meninggalkan banyak manfaat yang boleh dikutip dan difahami serta menyelami secara dekat dengan mengalami sendiri pengalaman ini.
Hampir 10 tahun berkhidmat di Johor, inilah peluang keemasan yang bermanfaat untuk dikutip pengalamannya. Hakikatnya bukan mudah seseorang atau organisasi serta perlu melalui pelbagai prosedur rasmi dan ketetapan protokol untuk bertemu dan berkunjung ke sini.
Cerita asalnya bermula semalam pabila seorang pegawai JKKNNJ menghubungi ketua di pejabat dengan meminta ketua pejabat hadir ke situ pada esoknya kerana selayaknya seorang wanita yang bersesuaian untuk mendekati lalu berbual dan menjelaskan beberapa perkara tentang hal puisi dan teknik deklamasinya. Makanya ketua pejabat meminta juga diri ini turut serta dalam kunjungan ini. Diri ini lalu memilih 4 puisi bertemakan kemerdekaan yang bersesuaian untuk dipersembahkan serta mencadangkan agar dibawa cenderamata buku (dalam bentuk satu set lengkap) pabila berkunjung di situ.
Seramai 7 orang pergi berkunjung ke situ termasuk pegawai JKKNNJ dan pihak atasan UTHM. Perbualan dan percakapan yang berlangsung cukup selesa serta menceriakan tanpa ada sebarang tekanan. Pembesar tuan rumah cukup faham dan mengerti tentang hal-hal puisi, seni dan kebajikan serta sempat berbual tentang hal teater. Hakikatnya cukup positif dan menggambarkan bahawa pihak pembesar atasan ini amat arif juga tentang hal-hal puisi yang digerakkan oleh rakyat bawahan dan masyarakat kebanyakan.
Banyak pengalaman fizikal dan minda diperoleh dalam menyertai kunjungan singkat ini, banyak hal juga dapat diungkap melalui percakapan dan pemikiran pembesar yang kadang kalanya rakyat biasa tersilap persepsi tanpa mengetahui hal-hal sebenarnya; pabila dapat secara langsung bertemu dan mendengar percakapan pembesar ini barulah dapat mengetahui hal yang sebenarnya paling tidakpun dalam hal-hal melibatkan penulisan, puisi, seni dan kebajikan.
Walaupun cuma singkat sekitar 1 jam sahaja berkunjung dan dapat mendengar percakapan pembesar namun banyak perkara positif yang bermanfaat diperoleh. Terima kasih buat pihak JKKNNJ atas ingatan dan berkesudian mempelawa ketua pejabat dan diri ini dalam kunjungan bersejarah buat julung kalinya ini.
Catatan: Sempat merakamkan beberapa foto ketika kunjungan ini namun atas rasa hormat dan menjaga etika berkunjung... maka foto itu hanyalah untuk simpanan peribadi dan simpanan rasmi pihak pejabat sahaja.

Tiada ulasan: