Selasa, Mei 04, 2010

2 MEI: DI SINGAPURA 10 JAM - MELIHAT PAMERAN FOTO LAMA

Walaupun hanya 10 jam sahaja (9.30 pagi - 7.30 malam) pada 2 Mei 2010 ke Singapura namun masih sempat berkunjung ke satu tempat popular masyarakat Melayu iaitu sekitar kawasan Masjid Sultan. Sekitar pukul 12.00 tengah hari - 2 petang (sebelum menuju ke Old Parliament) berada di sekitar Masjid Sultan (Arab Street).

Kebetulan (tanpa dirancang) ada pameran foto-foto lama masyarakat Melayu Singapura di Taman Warisan Melayu (Malay Heritage Centre) atau lebih tepat pamerannya di dalam Muzium Warisan Melayu (Malay Heritage Museum), Istana Kampong Gelam (ejaan 'kampong' dikekalkan di situ) lalu pergilah melihat pameran yang diadakan itu. Pameran berjudul 'Malays In Early Photographs' yang bermula pada 22 April - 27 Jun 2010. Ada paparan foto lama yang klasik sifat dan nilainya.

Antara foto yang terpapar termasuklah foto kehidupan masyarakat Melayu Singapura dan panorama kawasan kampung Melayu di kawasan tepi pantai. Terdapat juga paparan foto para kerabat Sultan Johor termasuk foto Sultan Abu Bakar.
Ada beberapa foto tentang kawasan Pulau Tekong dan Tanjong Katong yang kesemuanya dirakam oleh jurufoto yang bukan penghuni asal tanah Singapura. Ada juga foto tiga wanita tradisi berkemban, foto pakaian kerabat raja dan pembesar, dan ada tayangan video kecil tentang suasana kehidupan masyarakat, aktiviti pekerjaan dan tempat penginapan.
Selain itu sempat berjalan-jalan di sekitar Kandahar Street, Baghdad Street, dan kawasan sekitarnya. Nampaknya semakin teratur lagi tersusun rumah kedai lama yang dijadikan pusat jualan kraf tangan, cenderamata, restoran, kedai buku dan lain-lain dalam kawasan ini. Cantik, bersih dan cukup terjaga kawasan ini; ramai pelancong asing melawat, membeli barangan dan makan di sini. Diri ini hanya sempat makan nasi beriani dan membeli akhbar Berita Minggu (BM Singapura). Akhbar ini cuma 60 sen sahaja (lebih kurang bersamaan RM1.50).
Kebetulan muka hadapan akhbar BM ini memaparkan foto dan artikel tentang Istana Kampong Gelam yang isi dan isu kandungannya tersiar dua halaman yang tertera tulisan berbentuk persoalan (dikutip langsung dalam akhbar BM) seperti berikut...
"Apakah penyerahan Taman Warisan Melayu di Kampong Gelam kepada Lembaga Warisan Negara (NHB) bererti masyarakat Melayu gagal dalam menguruskan pusaka sendiri?"
Dalam halaman 12 - 13 akhbar BM ini terdapat 5 artikel yang memperkatakan tentang isu ini yang sesungguhnya dapat merungkai persoalan di atas.














Tiada ulasan: