dan Hj. Zulkifli Khair dalam sesi pertama PPMN 2009.
1. PPMN 2009 diadakan pada 22 - 24 Mei 2009 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka ini merupakan anjuran rasminya (seperti yang tercatat dalam buku atur cara program) oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Majlis Bandar Raya Melaka Bersejarah (MBMB), Akademi Warisan Seni Kebangsaan
(ASWARA) dan DBP Wilayah Selatan (DBPWS).
2. Saya dilantik oleh penganjur utama (berbanyak terima kasih atas pelantikan dan kepercayaan ini) selaku Pengerusi Sesi pembentangan kertas yang pertama. Pelantikan saya ini mengulangi peristiwa PPMN 2005 di Kukup, Pontian, Johor - saya juga dilantik sebagai Pengerusi Sesi yang pertama, namun ketika itu panelnya bertaraf antarabangsa @ serantau melibatkan pembentang dari Tahiland, Indonesia dan Brunei. Sesungguhnya amat teruja juga walaupun sekadar pengerusi sesi sahaja dalam program ilmu yang bertaraf nasional sebegini. Jika mengikut jadual dalam buku atur cara, sesi pertama sepatutnya bermula pukul 3 petang namun sesi ini bermula pukul 3.30 petang - mungkin kerana para peserta seluruh negara masih sibuk untuk mendaftar. Masa yang diperuntukkan selama 2 jam.
3. Secara peribadi dalam sesi ini saya dapat mengenali secara dekat Sdra. Muhammad Lutfi Ishak dan Sdra. Salman Sulaiman kerana saya hanya mengenali nama serta sesekali melihat foto dua insan ini yang boleh saya takrifkan sebagai insan atau golongan penulis muda yang penuh berilmu dan prolifik. Saya yang menetap di Johor Bahru sejak 8 tahun lalu hingga kini agak sukar sedikit untuk mengenali rapat golongan penulis muda prolifik yang majoritinya bertapak di Kuala Lumpur atas kekangan dan batasan kehadiran untuk program-program sastera dan persuratan khasnya di Lembah Kelang, namun saya mengenali golongan penulis muda prolifik ini melalui pembacaan dalam akhbar dan majalah sama ada pembacaan karya kreatif, penulisan esei dan laporan berita tentang mereka ini. Hj. Zulkifli Khair sudah saya kenali sejak 2-3 tahun belakangan ini, beliau juga insan penuh berhikmah dan sarat dengan ilmunya.
4. Terus terang saya katakan bahawa awalnya 'dalaman saya agak kelam kabut dan gelisah' kerana lima minit sebelum bermula saya lihat meja, kerusi dan pembesar suara 'belum muncul' di atas pentas untuk sesi pembentangan ini, tambahan saya tidak dimaklumkan langsung oleh pihak urus setia untuk menguruskan kelangsungan sesi pertama ini (maksud saya - jumlah peruntukan masa setiap ahli panel, perlukah ada sesi soal jawab, dan perlukah sesi penggulungan / kesimpulan). Tambahan pula tiada sehelai kertas kerja dan buku atur cara yang disediakan buat ahli panel dan pengerusi.
5. Saya mulakan juga dalam keadaan fizikal luaran yang bersahaja sambil 'mengusik manja' bahawa kuasa yang ada dalam tangan pengerusi boleh menentukan jumlah masa pembentangan sebebasnya - ya... saya bersenda bahawa setiap panel boleh membentangkan kertasnya selama 2 jam seorang! Namun atas pengalaman kecil yang ada saya mengikut konvensional biasa dalam sesuatu pembentangan kertas dalam sesebuah majlis ilmu sebegini iaitu memberikan masa selama 20 minit buat setiap panel dalam sesi ini. Pembentangan dimulakan oleh Hj. Zulkifli Khair melalui kertasnya berjudul 'Penulis Muda dan Cetusan Masa Depan Dunia Penulisan yang Lebih Cerah', beliau menepati masa yang sungguh baik dan berdisplin. Seterusnya Sdra. Salman Sulaiman membentangankan kertas berjudul 'Kalamullah Sebagai Asas Penulisan Dakwah: Saranan Mencontohi Kebijaksanaan Al-Quran', dan Sdra. Muhammad Lutfi Ishak melalui kertasnya 'Pengarang Celik Bercita Sempurna'.
6. Ketika sesi telah berlangsung hampir 30 minit, barulah urus setia memberikan kertas kerja dan buku atur cara kepada saya dan tiga panel yang terlibat di atas pentas - ya... setelah saya secara spontan namun terkawal meminta dokumen itu dari atas pentas pembentangan. Lega dan hilang gundah dalaman diri kerana dalam setiap pembentangan kertas sewajibnya pihak panel dan pengerusi perlu ada di hadapannya kertas yang dibentangkan untuk rujukan langsung ketika sesi berlangsung. Hal ini harus diteliti dengan baik dan secara profesional oleh pihak penganjur agar perjalanan sesi berjalan dalam keadaan teratur dan jelas buat panel/pengerusi serta para peserta. Ini hanyalah teguran kecil yang ikhlas (mungkin ada kekhilafan juga daripada saya sendiri dalam hal ini) agar penyusunan acara lebih teratur dan profesional kerana proses kerjanya hampir sama dengan majlis ilmu yang lain, apatah majlis ilmu ini bertaraf nasional.
7. Setelah selesai tiga panel membentangkan kertas kajiannya, saya mebuka untuk para peserta mengemukakan soalan - bagus kerana ada tindak balas daripada peserta untuk bertanya dan menyatakan pendapat. Saya sempat 'mengusik manja' bahawa soalan yang boleh dikemukan hanyalah berkisar sekitar isu PPSMI! Dalam sesi ini saya sempat 'menyebut manja' 2-3 kali frasa PPSMI ini - saya lihat ada peserta yang mebuka mata yang luas semacam penuh minat bila disebut itu, namun hal ini tiada kena mengena dengan tiga kertas yang dibentangkan dalam sesi pertama ini!
8. Saya tamatkan sesi pertama dengan memberikan setiap panel 1 minit masa penggulungan atau kesimpulan (kerana masa sudah melebihi 5 minit - jam menunjukan pukul 5.35 petang). Sesi pertama ini berjalan sebaik adanya mampu dalam kawalan fizikal dan emosi yang terarah sifatnya. Namun saya hanya sempat berada dalam PPMN 2009 pada hari pertama sahaja (sehingga sesi kedua pada sebelah malamnya) kerana terpaksa pulang ke Johor Bahru... esoknya (23 Mei 2009 - Sabtu) ada program hakiki di Kota Tinggi yang telah dirancang terlebih awal lagi.
9. Buat Saifullizan Yahya (Pengarah Program PPMN 2009), S.M. Zakir (Pengarah Bersama JK Induk PPMN 2009 - Setiausaha Agung PENA) dan Shamsudin Othman (Timbalan Pengarah JK Induk PPMN 2009 - Timbalan Setiausaha PENA) sekalung besar penghargaan dan terima kasih atas ruang dan peluang yang diberikan kepada DBPWS untuk terlibat sama dalam konteks rakan kerjasama kecil dalam penganjuran PPMN 2009 ini. Namun yang paling utama majlis ilmu ini cukup meninggalkan kesan yang amat positif dalam konteks penulis muda Malaysia yang sememangnya aktif berkarya dan menyanjung tinggi tradisi ilmu dan maklumat. Pada pandangan peribadi saya, hasrat untuk memberikan sesuatu kepada para peserta dan memohon sesuatu daripada pihak pemerintah terlaksana dalam kapisiti penuh jaya namun memerlukan tindakan susulan yang giat selepas PPMN 2009 ini.
10. Terima kasih kepada semua pihak (tidak dapat menyebut kesemua nama individu mahupun organisasi) atas pengalaman kecil yang diperoleh di Melaka tempoh hari.