Ahad, Mac 08, 2009

AKHIRNYA TERJERUMUS JUA... SALAM PENGENALAN

1. Salam buat semua. Setahun lalu... pada tarikh 8 Mac 2008, diri ini berada di Pantai Dalam, KL untuk bersama-sama masyarakat lain menunaikan tanggungjawab besar, sememangnya berlaku 'tsunami' yang tidak dijangka ramai orang dan pelbagai pihak. Diri ini turut melakar X pada kertas itu, sudah masuk 3 kali rupanya melakar X sejak mulanya pada tahun 1999.
2. Pada tarikh 8 Mac 2009, satu lakaran baharu... 'akhirnya terjerumus jua', diri ini masuk dan sertai dunia blog. Diri ini sering (kerap) memantau dan membaca serta memberikan komen atau ulasan dalam blog rakan-rakan rapat serta blog-blog yang tertentu. Ada rakan-rakan telah bergelumang dengan blog sendiri sejak tahun 2006 hingga kini, saya hanya memantau sahaja...
3. Diri ini sememangnya ketinggalan jauh dalam hal ini, namun atas kesedaran serta beberapa faktor penarik dan penolak, diri ini 'akhirnya terjerumus jua'. Seorang kenalan yang saya gelarkan LELAKI UNGGUL... sejak beberapa bulan yang lalu 'membujuk' agar dibina satu blog sendiri... maka akhirnya tercipta juga blog sendiri dalam kedaifan serta banyak kekurangan (namun akan terus dimajukan).
4. LELAKI UNGGUL yang sememangnya pakar dalam hal BAHASA serta pengurusan kewangan ini sebenarnya antara faktor utama membawa kesedaran kepada diri ini agar tidak hanya menjadi 'pengikut yang sekadar menghantar buah cadangan' kepada blog insan lain tetapi harus 'memaparkan idea dan catatan sendiri' agar dapat dikongsi bersama. Siapakah LELAKI UNGGUL yang dimaksudkan itu? Selain peranan LELAKI UNGGUL itu, diri ini rasanya perlu membina blog sendiri atas beberapa faktor yang sukar dijelaskan secara mendalam pada ketika ini.
5. Dalam blog kerdil dan lemah ini, arah diri ini akan cuba sedaya upaya akan membicarakan dan mencoret catatan serta 'mengutip' lalu mengulas pandangan atau kata-kata daripada pihak lain dalam beberapa konteks, antaranya termasuklah:
i. Sastera dan Bahasa.
ii. Media Massa.
iii. Sukan @ Bola Sepak.
iv. Perkembangan Semasa.
v. Politik Semasa.
vi. Seni Hiburan dan Persembahan (teater / filem / drama / lagu dll).
vii. Catatan Peribadi (bersesuaian dengan ruang dan keadaan semasa).
viii. ...dan pelbagai hal yang bersesuaian dalam RUANG HAK BERSUARA...
atau mungkin blog ini tidak atau kurang menyumbang ke arah arus pantas pelbagai hal di Malaysia, atau blog ini sekadar menjadi catatan diri sendiri untuk bersuara dan meluahkan rasa hati dan idea (setidak-tidaknya)...
6. Namun, blog kerdil dan kecil ini yang AMAT BAHARU SIFATNYA akan terdedah kepada pelbagai kelemahan (hujah/catatan serta teknikal paparan blog), makanya mohonlah kepada tuan-tuan dan puan-puan memberikan tunjuk ajar yang sewajarnya buat saya yang baharu belajar ini. Sebarang kelemahan dan sedikit kelebihan (pemberian-Nya) dalam diri ini akan di perbaiki dan diucapkan syukur atas pemberian-Nya.
Sekian. Terima kasih atas perhatian membaca catatan sulung blog kecil ini.
rar/ 8 MAC 2009 - 2.40 pagi - Waktu Johor Bahru.

6 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

SALAM RAR,
Blog yang terbina akhirnya ini merupakan manifestasi ke arah penyaluran idea dan pengalaman yang jenuh dan meruah. Tahniah! Saya berasa bangga kerana dapat menaakul, mengupas, dan meneliti pandangan daripada seorang warga yang keras menyapa, tegar susila, dan bersuara nyala. Salam di alam maya. Syabas, kerana akhirnya akur akan tuntutan nafas dan suara minda berjiwa yang mendambakan pemikiran saudara terpacul di alam maya. Kesejagatan ini, tidak harus menyisihkan nyali yang beriak keras menongkah perjalanan, namun kita perlu menjadi pengemudi. Mungkinkah LELAKI UNGGUL yang sering menerjah pawana resah agar memiliki blog sendiri itu berjiwa di sini? Jika ya, unggulnya lelaki itu (adakah layak berbicara demikian?) kerana dimartabatkan oleh sebuah liku yang tercipta di WS! Saya akan menanti pandangan yang menyimpang; daripada saudara (sebagaimana penyimpangan tertegaknya Masjid Kristal - masihkan ingat?) dengan penuh rasa hemah dan tekal. Kita berbicara dengan satu bahasa, satu cita, namun adakalanya kita terpaksa memilih antara dua persimpangan. Moga persimpangan itu mendewasakan. Mengujakan, malahan mendampingkan kita ke dunia yang lebih hidup. Selamat menyalurkan pandangan saudara yang, saya percaya kian menggelegak dengan suara bingkisan yang tidak ada garisan atau hadangan. Kita bersuara demi agama, bangsa, dan bahasa. Kita berbicara dengan satu arah, satu citra; melihat kebenaran diumumkan sebagai pemenang serta membunuh kebaculan Sang Penguasa yang (didoakan agar tewas akhir Mac ini - Amin!) kian terdesak menonjolkan fakta batil lagi menyesatkan. RAR, suara anda akan didengari...

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Azhar,

1. Terima kasih atas dorongan dan sokongan terhadap blog yang baharu muncul ini (sedangkan dunia blog bermula sejak 2005 lagi.. tetapi kenapa aku baru mula 8 Mac 2009 ini?).

2. Tunjuk ajar dan sokongan cikgu kali pertama ini akan dijadikan momentum untuk terus berada dalam maya blog, dan yakin selepas ini pelbagai lagi sokongan dan dorongan cikgu akan menyusul, juga melalui LELAKI UNGGUL itu...!

Sekian.

Tanpa Nama berkata...

Salam ziarah en.rusdi, tahniah dengan kelahiran blog ini. tentu sekali menjadi wadah untuk diri berkongsi rasa dengan pembaca. dan kepada Lelaki Unggul itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana sering memberikan semangat dan dorongan kepada saya, seperti en.rusdi juga.

wbrendra.blogspot.com

Tanpa Nama berkata...

Akhirnyaaaa...yang dinanti muncul jua! Ruang Hak Bersuara menepati citarasa!

Rusdi Abd Rahman berkata...

Sdra. Wahyu,

Terima kasih atas ucapan itu, saya akan terus dalam alam blog selagi ada daya dan kaya idea @ pandangan @ catatan yang dikurnia-Nya.


Azura,

Hasrat sudah lama ingin bersama-sama dalam maya blog... cuma menunggu masa dan ruang yang sesuai... maka terpilihlah tarikh pemula 8 Mac. Terima kasih atas ucapan dan sokongan. Bersama-sama berkongsi pandangan dan idea dalam pelbagai hal (bukan hanya bahasa / sastera / politik dll tetapi juga hal-hal herba... spt dalam IN MY MIND!). Terima kasih.

Tanpa Nama berkata...

SEKALUNG TAHNIAH.

-CHE MAT