1. Salam buat semua. Setahun lalu... pada tarikh 8 Mac 2008, diri ini berada di Pantai Dalam, KL untuk bersama-sama masyarakat lain menunaikan tanggungjawab besar, sememangnya berlaku 'tsunami' yang tidak dijangka ramai orang dan pelbagai pihak. Diri ini turut melakar X pada kertas itu, sudah masuk 3 kali rupanya melakar X sejak mulanya pada tahun 1999.
2. Pada tarikh 8 Mac 2009, satu lakaran baharu... 'akhirnya terjerumus jua', diri ini masuk dan sertai dunia blog. Diri ini sering (kerap) memantau dan membaca serta memberikan komen atau ulasan dalam blog rakan-rakan rapat serta blog-blog yang tertentu. Ada rakan-rakan telah bergelumang dengan blog sendiri sejak tahun 2006 hingga kini, saya hanya memantau sahaja...
3. Diri ini sememangnya ketinggalan jauh dalam hal ini, namun atas kesedaran serta beberapa faktor penarik dan penolak, diri ini 'akhirnya terjerumus jua'. Seorang kenalan yang saya gelarkan LELAKI UNGGUL... sejak beberapa bulan yang lalu 'membujuk' agar dibina satu blog sendiri... maka akhirnya tercipta juga blog sendiri dalam kedaifan serta banyak kekurangan (namun akan terus dimajukan).
4. LELAKI UNGGUL yang sememangnya pakar dalam hal BAHASA serta pengurusan kewangan ini sebenarnya antara faktor utama membawa kesedaran kepada diri ini agar tidak hanya menjadi 'pengikut yang sekadar menghantar buah cadangan' kepada blog insan lain tetapi harus 'memaparkan idea dan catatan sendiri' agar dapat dikongsi bersama. Siapakah LELAKI UNGGUL yang dimaksudkan itu? Selain peranan LELAKI UNGGUL itu, diri ini rasanya perlu membina blog sendiri atas beberapa faktor yang sukar dijelaskan secara mendalam pada ketika ini.
5. Dalam blog kerdil dan lemah ini, arah diri ini akan cuba sedaya upaya akan membicarakan dan mencoret catatan serta 'mengutip' lalu mengulas pandangan atau kata-kata daripada pihak lain dalam beberapa konteks, antaranya termasuklah:
i. Sastera dan Bahasa.
ii. Media Massa.
iii. Sukan @ Bola Sepak.
iv. Perkembangan Semasa.
v. Politik Semasa.
vi. Seni Hiburan dan Persembahan (teater / filem / drama / lagu dll).
vii. Catatan Peribadi (bersesuaian dengan ruang dan keadaan semasa).
viii. ...dan pelbagai hal yang bersesuaian dalam RUANG HAK BERSUARA...
atau mungkin blog ini tidak atau kurang menyumbang ke arah arus pantas pelbagai hal di Malaysia, atau blog ini sekadar menjadi catatan diri sendiri untuk bersuara dan meluahkan rasa hati dan idea (setidak-tidaknya)...
6. Namun, blog kerdil dan kecil ini yang AMAT BAHARU SIFATNYA akan terdedah kepada pelbagai kelemahan (hujah/catatan serta teknikal paparan blog), makanya mohonlah kepada tuan-tuan dan puan-puan memberikan tunjuk ajar yang sewajarnya buat saya yang baharu belajar ini. Sebarang kelemahan dan sedikit kelebihan (pemberian-Nya) dalam diri ini akan di perbaiki dan diucapkan syukur atas pemberian-Nya.
Sekian. Terima kasih atas perhatian membaca catatan sulung blog kecil ini.
rar/ 8 MAC 2009 - 2.40 pagi - Waktu Johor Bahru.