Selasa, Mac 31, 2009

KUTIPAN: GMP - PPSMI

Bantahan PPSMI bergema dalam p'raya
Ali Bukhari Amir Mar 31, 09 1:27pm - Malaysiakini

“Diharap pengundi menolak (calon) Umno kerana perwakilan sanggup menaikkan (menteri pelajaran) Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai naib presiden Umno,” kata setiausaha GMP Hasni Abbas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini. Hishammuddin semalam menyatakan dasar PPSMI akan dipinda dalam masa terdekat selepas kabinet membuat keputusan. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk konkrit pindaan tersebut. GMP, yang menuntut dasar itu dimansuhkan termasuk di sekolah menengah dan universiti, juga akan berkempen pada pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau pada 5 dan 6 April. Selain tokoh-tokoh ini, penasihat GMP Datuk A Samad Said menyampaikan ceramah.

Mengulas kenyataan Hishammuddin semalam, Hasni berkata, beliau sukar mempercayai kenyataan menteri itu. "Macam lagu Ziana Zain, Madah Berhelah, ini cakap-cakap orang politik. Kita tak boleh percaya sangat," katanya. Menjawab isu itu di Dewan Negara, Hishammuddin berkata, kerajaan tidak akan menerima atau menolak bulat-bulat dasar PPSMI. Keputusan untuk mengekal atau meminda pelaksanaan PPSMI akan disesuaikan mengikut mengikut pencapaian pelajar."Sebab itu," tambah Hasni, "kita harap para pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai sedar bahawa Umno pun tidak memperjuangkan bahasa Melayu."

KUTIPAN: KASIHAN DUA AKHBAR INI...

Akhbar PKR: P'raya kecil 'kubur BN'
Mar 31, 09 3:12pm - Malaysiakini

PKR mengambil strategi serupa PAS bagi menghadapi tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung permit akhbar mereka dengan menerbitkan Suara Keamanan mulai hari ini. PAS merancang menerbitkan Hujah mulai Jumaat ini bagi menggantikan Harakah yang dikenakan tindakan mengejut itu selama tiga bulan sejak 23 Mac lalu.

Jumaat, Mac 27, 2009

SIDANG BESAR ITU, ADAKAH BERTERUSAN BEGITU?

1. Setakat 3 hari sidang besar itu, ramai yang berucap sungguh lantang serta diselit lawak jenaka lalu disambut tepikan suara, tepukan gemuruh dan gelak ketawa. Setiap kali diadakan sidang besar itu... begitulah adanya. Berubahkah mereka atau mereka akan rebah?
2. Begitulah sidang besar itu; menghentam, menyalahkan dan 'memaki' puak sesama bangsa yang bukan ahlinya, juga 'mengutuk' ulama dan golongan intelektual yang tidak menyokong mereka. Orang luar lihat dan dengar, maka bertambah muallah mereka atas sifat dan sikap sebahagian besar golongan dalam sidang besar ini...!
3. Jika berterusan sikap dan tindakan sebegini dalam sidang besar parti orang Melayu paling besar ini atau dalam program-program rasminya yang lain, maka rakyat di luar akan terus meminggirkannnya. Tiadakah kaedah bujukan lembut dan kata-kata indah serta suci mengajak orang Melayu di luar parti ini untuk berbaik-baik lalu masing-masing menerima antara satu sama lain?

KUTIPAN: BEZA SIKAP INSAN YANG KALAH!

Khir Toyo salahkan Pakatan
Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menyalahkan Pakatan Rakyat sebagai salah satu punca kekalahannya dalam persaingan merebut jawatan ketua Pemuda Umno Rabu lalu. Bercakap dalam satu sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini - tempat berlangsungnya perhimpunan agung Umno - Dr Mohd Khir berkata kerajaan siasatan Pakatan Rakyat Selangor terhadap isu Balkis telah mempengaruhi pengundian perwakilan. (Malaysiakini - Mar 27, 09 3:08pm)

Shahrir: Keputusan Saya Letak Jawatan Kabinet Muktamad
KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Datuk Shahrir Abdul Samad memutuskan untuk meletakkan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna setelah tidak terpilih sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan Umno semalam dan ia adalah muktamad. "Ini adalah prinsipnya berparti dan sekiranya tidak dapat sokongan di kalangan perwakilan untuk menjadi anggota MT, perlu sanggup berundur dari jawatan menteri," katanya.

Khamis, Mac 26, 2009

EPISOD CIUM ATAU KUCUP...?

Semalam terjadi lagi episod cium atau kucup? oleh pemimpin itu, gaya cium atau kucup? beliau lebih lembut dan hormat pada tahun ini.

Katanya, tidak ada niat di sebalik apa yang dilakukan, selain untuk melihat keris sebagai simbol yang boleh menyatupadukan dan simbol untuk merapatkan pelbagai kaum. "Tetapi apabila disalahtafsirkan oleh mereka yang berkepentingan, maka hari itu saya telah meminta maaf."(Dan) hari ini saya telah menjalankan adat. Akhirnya amanah itu telah diserahkan kepada saya untuk dibawa ke hadapan," (kutipan Malaysiakini - 25 Mac 2009)

Terdapat pelbagai laporan dalam media yang boleh dibaca tentang episod ini, ada yang menyatakan beliau cium..., ada melaporkan beliau kucup..., Maka untuk meleraikan makna dua perkataan ini, diperturunkan makna perkataan tersebut yang terkandung dalam Kamus Dewan Edisi 4:

cium
= ciuman;
· bercium
1. menyedut dgn hidung antara satu dgn lain (utk menyatakan rindu, sayang, dll): semuanya berpeluk ~ dgn Indrajit; 2. berkucup;
· bercium-ciuman
saling menyedut dgn hidung atau saling mengucup (utk melahirkan perasaan kasih, berahi, rindu, dsb): cinta bebas bukanlah bererti bebas berpeluk-pelukan dan ~;
· mencium
1. menyedut sesuatu dgn hidung (utk mengetahui bau): kalau tidak dicium, manakan tahu busuk wanginya bedak ini; 2. menyedut pipi (ubun-ubun dll) orang dgn hidung: maka baginda pun segeralah memeluk dan ~ anakanda dgn tangisnya; 3. melekatkan atau mengenakan bibir pd sesuatu, mengucup; 4. ki mendapat berita (khabar, tahu, keterangan, dll), mengetahui sesuatu hal yg terselindung (dirahsiakan dll), menjejaki (menyelidiki) rahsia, perkara, hal, dll: belum pun dia habis bercakap, saya sudah dapat ~ maksudnya yg sebenar; 5. bp melanggar, berantuk, terbentur (pd): kalau kena penumbuknya, ~ tanah mukamu nanti; 6. menikmati: melainkan tidak akan ~ bau syurga;

kucupI
· kucup; berkucupan
(saling) berciuman (dgn melekatkan bibir);
· berkucup
bercium (dgn melekatkan bibir): nampaknya anak-anak muda kita semakin berani ~ di khalayak ramai;
· mengucup
mencium dgn melekatkan bibir pd bibir atau pd sesuatu: ia ~ dahi anak itu.

kucupII
Mn; mengucupkan menguncupkan; kuncup I.

Rabu, Mac 25, 2009

TERDENGAR DAN TERTARIK UCAPAN ITU, APAKAH INI SATU LAGI RETORIK?

Semalam, hampir dua jam menekuni ucapan pemimpin itu..., sempat juga mencatat beberapa perkataan dan frasa ayat ucapan itu, juga sempat mengira berapa kali pemimpin itu meneguk air (4 - 5 kali tegukan air). Hebat dan lantang ucapan itu serta penggunaan dan pemilihan kata termasuk susunan ayatnya amat menarik, tahniah...! Di bawah disenaraikan beberapa patah perkataan dan frasa ayat (yang sempat ditulis dan disenaraikan) pemimpin itu:

1. Bahasa Jiwa Bangsa. Kita tetap memartabatkannya. Tapi tanpa bangsa apakah gunanya bahasa? Kelangsungan sesuatu bahasa... bangsa itu perlu maju. Penguasaan ilmu harus dalam pelbagai bahasa... bahasa Inggeris. Usah bimbang pelajari pelbagai bahasa...

2. Proses muhasabah...

3. Media baru...

4. Peri penting perpaduan...

5. Kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri...

6. Al-Falah... Sirah...

7. Amalan Islam...

8. Lakukan hijrah...

9. Mentransformasi...

10. Modul kursus...

11. Modul kembara di hutan... eratkan ahli dan pemimpin...

12. Ubah cara tentukan pemimpin...

13. Orang Melayu kini hilang punca...

14. Kekal lestari...

15. Berlapang dada...

16. Terharu dan tawaduk...

17. Kita mesti berubah demi kepentingan rakyat... berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat...

18. Berubahlah... jika tidak kita akan rebah...

NAMUN APAKAH INI SATU LAGI RETORIK...? (Meminjam kata seorang ahli panel dalam rancangan diskusi khas selepas ucapan pemimpin itu dalam Astro Awani 501)

HARAKAH DAN SUARA KEADILAN DIGANTUNG, KENAPA?

Dua akhbar iaitu HARAKAH (terbit 2 kali seminggu) dan SUARA KEADILAN (terbit 1 kali seminggu) telah digantung selama 3 bulan berkuat kuasa serta merta. Akhbar yang sukar dibeli (serta cepat habis) dan edarannya terhad hanya di beberapa kedai tertentu ini amat laris mendapat sambutan selepas 8 Mac 2008 hingga kini... tetapi kenapa digantung? Di manakah kebebasan media? Akhbar ini bukan akhbar arus perdana...!
Di bawah beberapa petikan kenyataan yang dikutip tentang perkara ini:
a. Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said menyelar tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai mencacatkan demokrasi. Tegas beliau disaat tiga pilihan raya kecil akan diadakan tidak wajar bagi KDN untuk menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan. Harakah dan Suara Keadilan tegas Pak Samad merupakan saluran pengimbangan demokrasi dan amat malang bila KDN bertindak membunuh demokrasi tersebut. (KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) )
b. Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyatakan bantahan keras terhadap tindakan pengantunggan Harakah dan Suara Keadiaan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN). Demikian kata Pengerusi Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataannya kepada Harakah hari ini. (KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) )
c. Pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Professor Dr Abu Hassan Hasbullah mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengantung permit Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan dan menyifatkan sebagai tindakan tidak memahami demokrasi. Dalam abad ke-21 ini, KDN tegas beliau seharusnya menghormati demokrasi dan kebebasan media. "Kerajaan khususnya KDN seharusnya merayakan demokrasi dengan bijaksana dan budiman bukan menutup ruang demokrasi. (KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) )
d. Ketua Penerangan PAS, Dato Mahfuz Omar dan rakan sejawatnya, Tian Chua dari KeADILan, menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar bagi membincangkan isu penggantungan Harakah dan Suara KeADILan (SK) tiga bulan yang berkuatkuasa serta-merta. (KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) )
e. Pusat bagi Kewartawan Bebas Malaysia (CIJ) dan Pakatan Wartawan untuk Kebebasan Media (WAMI) mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbaru kerajaan menyekat kebebasan bersuara dan berpersatuan yang dijamin oleh perlembagaan, sewaktu negara sedang berdepan dengan peralihan kuasa dan tiga pilihanraya kecil yang penting. (Malaysiakini - Mar 24, 09 11:27am)

Isnin, Mac 23, 2009

MAN U KALAH LAGI, LIVERPOOL MENANG BESAR LAGI...

1. Manchester United (Man U) kalah lagi dalam Premier League..., kalah kepada Fulham 2-0. Scholes dan Rooney (budak nakal) dikenakan kad merah. Minggu lepas tewas besar kepada Liverpool 4-1 di gelanggang sendiri. Kini Man U mengumpul 65 mata (29 perlawanan daripada 38 perlawanan), berbaki 9 perlawanan menuju penamat saingan. Ego dan riak Man U semakin tercalar... tetapi Man U bernasib baik diundi bertemu Porto (yang dianggap agak lemah dalam 8 pasukan saingan suku akhir) dalam saingan suku akhir Champions League, ya... dalam hasrat mereka merangkul kejuaraan Champions League, makanya ego dan riak Man U masih tebal...!
2. Liverpool (You'll Never Walk Alone) terus mencatat kemenangan besar! kali ini membelasah Aston Villa 5-0 dalam mengejar Man U. Kini Liverpool memperoleh 64 mata (satu mata dibelakang Man U dengan 30 perlawanan dariapada 38 perlawanan Premier League). Dalam tiga minggu belakangan ini Liverpool menang dengan jaringan 4 (tewaskan Real Madrid 4-0, tewaskan Man U 4-1 dan tewaskan Aston Villa 5-0). Agak mengecewakan Liverpool diundi bertemu Chelsea dalam suku akhir Champions League... Menurut Rafael Benitez, dalam 5 tahun belakangan ini Liverpool bertemu Chelsea sebanyak 22 perlawanan dalam pelbagai piala.
3. Chelsea pula gagal mengambil kesempatan setelah tunduknya Man U di tangan Fulham, Chelsea tewas kepada Spurs 1-0. Chelsea boleh dikatakan tipis untuk merangkul kejuaraan Premier League (61 mata / 30 perlawanan), kini menduduki tempat ke-3 sahaja. Chelsea hanya boleh berharap merangkul FA Cup dan Champions League (ini agak sukar...).
4. Perlawanan suku akhir Champions League:
i. Man U lwn Porto (7 dan 15 April)
ii. Villarreal lwn Arsenal (7 dan 15 April)
iii. Liverpool lwn Chelsea (8 dan 14 April)
iv. Barcelona lwn Bayern Munich (8 dan 14 April)
Pilihan ke separuh akhir Champions League...?
i. Porto lwn Villarreal
ii. Chelsea lwn Barcelona

Khamis, Mac 19, 2009

KUKUH TERINGAT PERTANDINGAN MONODRAMA 2007...

1. Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007 telah diusahakan buat julung kalinya oleh DBPWS dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Negeri Johor (JKKWNJ), Majlis Teater Negeri Johor (MTNJ) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ).

2. Peringkat saringan diadakan pada 20 - 22 April 2007 yang disertai 10 kumpulan, manakala peringkat akhir pada 28 April 2007. Dua peringkat pertandingan ini diadakan di Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru (yang terkenal kecil dan terhad ruangnya).

3. Pertandingan ini telah menobatkan naskhah / skrip Rahimah Muda berjudul 'Lubang Neraka' selaku johan, manakala naskhah / skrip Rahimah Muda juga meraih tempat kedua dan ketiga iaitu 'Racau' dan 'Mandatori'. Sahruddin Manas dinobat selaku Pengarah Terbaik (Lubang Neraka) dan Hussin Ismail sebagai Pelakon Terbaik (Racau).

4. Hadiah selaku johan meraih RM3,000.00, manakala tempat kedua dan ketiga menerima RM2,000.00 dan RM1,000.00. Tiga hadiah sagu hati berjumlah RM500.00 diberikan kepada 3 kumpulan. Hadiah berupa wang tunai, plak serta sijil iringan juga disediakan buat Pelakon Terbaik, Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik, Hadiah Pernghargaan Teknikal dan Hadiah Khas Juri. Setiap kumpulan yang menyertai pertandingan diberikan wang galakan (wang untuk kos pementasan kumpulan) sebanyak RM500.00.

5. Kukuh teringat lagi... ketika menggerakkan pertandingan ini (sebelum, semasa dan selepas), banyak ilmu dan pengalaman baharu diperoleh. Bolehkah dilaksanakan lagi pada tahun ini...? ini semua bergantung kepada peruntukan dana program serta komitmen dan lonjakan semangat kumpulan-kumpulan teater di negeri Johor.


Foto Atas: Fairuz Ahmad dalam 'Lubang Neraka'.

Foto Atas : Hussin Ismail dalam 'Racau'.









FOTO BERKUMPULAN: PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA PELAJAR SEKOLAH MELAKA 2009



Foto penceramah, guru pengiring dan para peserta Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Melaka 2009 yang diadakan di Ayer Keroh, Melaka pada 10 -12 Mac 2009.

Rabu, Mac 18, 2009

SEKADAR BERFIKIR...

Apakah perbezaan kenyataan di bawah ini:

1. Anda didapati BERSALAH..., anda DILARANG bermain.
2. Anda didapati BERSALAH..., anda diberikan AMARAN tetapi boleh bermain.
3. Anda didapati BERSALAH..., anda DIGANTUNG serta tidak boleh bermain!

Selasa, Mac 17, 2009

KUTIPAN: MENTERI PELAJARAN - PPSMI

Tajuk: 'Saya tidak tergamak gadai bahasa, bangsa'
Hishammuddin perjelas pendirian berhubung isu PPSMI

KUALA LUMPUR: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau tidak tergamak menggadai bahasa serta anak bangsa atau terbabit menggubal dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
"Saya tidak menyalahkan pejuang bahasa (yang membantah PPSMI). Saya tahu mereka ikhlas tetapi gerakan (memansuhkan PPSMI) diambil kesempatan oleh pihak yang bermotifkan politik.

Selanjutnya... (Berita Harian / 17 Mac 2009)

KUTIPAN: SN A. SAMAD SAID - GMP

Samad Said cabar pemimpin Umno berbahasa Inggeris dalam kempen pilihan raya kecil
Bashir Ishak Mon Mar 16, 09 8:06:44 pm MYT
ALOR SETAR, 16 Mac (Hrkh)

"Dan dalam perhimpunan itu, oleh kerana pemimpin Umno terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, adalah lebih baik mereka, dari peringkat atas hingga ke bawah, berbincang dalam bahasa Inggeris," tegas A Samad.

"Dan juga dalam kempen-kempen mereka pada masa akan datang juga, mereka kena gunakan bahasa Inggeris, jangan guna bahasa Melayu. Kalau nak bermesyuarat pun gunalah bahasa Inggeris kerana bahasa dan minda mereka adalah Inggeris," ujar pejuang bahasa itu lagi.


"Apakah hanya untuk mendapat undi dan kuasa, mereka guna bahasa Melayu, tetapi bila dapat kuasa mereka akan membuang bahasa Melayu. Kalau ada kempen-kempen mereka, kita perlu berani jerit kepada mereka, cakaplah bahasa Inggeris," kata A Samad ketika berucap pada program Gema Rakyat, "Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur".

Isnin, Mac 16, 2009

EGO DAN RIAK MAN U AKHIRNYA DIBELASAH...

1. Ego dan riak Man U akhirnya tercalar dengan kekalahan 4 - 1 kepada Liverpool. Kekalahan malang ini berlaku di Old Trafford, stadium megah Man U.

2. Ego dan riak Man U terserlah sebelum ini... ingin serta yakin merangkul 5 piala dalam satu musim (2008-2009) seperti di bawah:
a. Charity Sheilds - Piala Kelas 3 (sudah dirangkul)
b. Carling Cup - Piala Kelas 2 (sudah dirangkul)
c. FA Cup - Piala Kelas 2
d. Premier League - Piala Kelas 1
e. Champions League - Piala Kelas 1

3. Walaupun kalah teruk, namun Man U akan terus ego dan riak (dalam merebut Premier League) kerana tetap mendahului liga dengan fakta di bawah:
i. Pungutan mata 65 dalam 28 perlawanan, manakala Liverpool di tangga ke-3 dengan pungutan mata 61 dalam 29 perlawanan, di tempat ke-2 Chelsea dengan 61 mata / 29 perlawanan. (Data sehingga pukul 11.30 malam - 15 Mac 2009).
ii. Sehingga penghujung Mei 2009, Man U berbaki 10 perlawanan; Liverpool berbaki 9 perlawanan; Chelsea berbaki 9 perlawanan. Jika Man U menang semua 10 perlawanan berbaki itu - Man U akan juara Premier League; maka Liverpool dan Chelsea akan merebut tempat ke-2 sahaja.

4. Dalam waktu yang sama, Man U kini menunggu siapa lawannya dalam suku akhir Champions League (sama ada Liverpool, Chelsea, Arsenal, Barcelona, Bayern Munich, Villarreal, atau Porto). Mungkin persaingan sesama kelab England dalam suku akhir Champions League akan terjadi, sama-sama ditunggu!

5. Persoalan kini, bolehkah Man U merangkul tiga lagi piala tersebut? Jika Man U dapat merangkulnya... maka bertambah melonjaklah ego dan riak Man U! Makanya... Liverpool dan Chelsea harus cepat dan terus hebat bersaing dengan memenangi semua baki perlawanan serta berharap Man U kalah dalam 3-4 perlawanan Premier League untuk menguburkan ego dan riak Man U itu. Man U juga harus dikalahkan dalam Champions League…, jika Man U berjaya menjuarai Premier League dan Champions League musim ini maka Man U memperoleh juara berganda dua musim berturut-turut.

Jumaat, Mac 13, 2009

KUTIPAN: kEPUTUSAN SPM - KETUA PENGARAH PELAJARAN

PUTRAJAYA 12 Mac — Lebih ramai calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 menjawab kertas soalan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan ini menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom. Beliau berkata malah ramai calon SPM yang menjawab dalam Bahasa Inggeris bagi soalan-soalan subjektif dalam kedua-dua mata pelajaran itu.

PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA PELAJAR MELAKA 2009

1. Program anjuran bersama DBPWS dan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka (JPNM) ini telah diadakan pada 10 - 12 Mac 2009 di Air Keroh D'Village, Melaka. Seramai 44 pelajar tingkatan 4 hingga 6 dari seluruh negeri Melaka yang dipilih oleh JPNM menyertai perkampungan ini. Selain untuk memilih 5-6 pelajar ke peringkat kebangsaan (skema pemilihan melalui penilaian karya yang baik dan bermutu ketika dalam perkampungan), hasil karya pelajar juga yang baik bermutu akan diusahakan untuk dihantar ke pihak media cetak yang bersesuaian dalam lingkungan umur pelajar berkenaan, selain mewujudkan antologi hasil daripada karya terbaik yang telah dinilai.

2. Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP merupakan penceramah dan pembimbing utama program ini dengan dibantu oleh Cikgu Amiruddin Md. Ali Hanafiah, Ketua 1 Persatuan Penulis Johor. Program ini dilengkapkan lagi dengan bantuan Cikgu Hj. A. Rani Embi (SMK Tun Perak, Jasin, Melaka), Cikgu Rohaya, Cikgu Norsyam, dan Cikgu Mohd. Noor (guru dari Melaka).

3. Program yang diadakan sejak tahun 2002 sememangnya mendapat bantuan penuh JPNM, terima kasih buat En. Roslan (Unit Kokurikulum JPNM) yang gigih menggerakkan program sejak awal Februari lalu bagi pihak JPNM.

4. Sejak diadakan program ini bermula tahun 2002 hingga 2008 untuk pelajar negeri Johor dan Melaka, Unit Sastera DBPWS telah menerbitkan beberapa antologi karya pelajar (cerpen dan puisi) antaranya 'Pengorbanan' (antologi cerpen peserta 2006-2007) dan 'Jaring Harapan' (antologi puisi peserta 2006-2007). Walaupun kecil dan kerdil antologi yang diterbitkan ini serta bertaraf 'khidmat sosial', namun besar buat para pelajar yang karyanya terpilih dalam antologi tersebut. Antologi karya pelajar yang menyertai perkampungan pada tahun 2003-2004 juga pernah diterbitkan. Untuk himpunan karya pelajar perkampungan yang terbaik dan bermutu tahun 2008-2009 akan diterbitkan juga... insyaallah dalam tahun ini.

5. Agak mengejutkan, pihak EDUTV (web TV Kementerian Pelajaran) turut hadir mebuat rakaman untuk siaran dalam web TV berkenaan. Program kali ini juga dikunjungi pihak MELAKA.FM melalui juruhebahnya Pn. Amrina. Pihak MELAKA.FM mempunyai satu slot rancangan berjudul 'Apresiasi Sastera' yang ke udara pada Isnin (9.15 malam - 10.30 malam). Sempat berbual-bual dan berbincang dengan beliau, maka muncullah satu perancangan untuk mengadakan program bersama DBPWS - MELAKA.FM. satu hari nanti khas buat rakyat negeri Melaka.

6. Besar ucapan terima kasih buat Cikgu Azhar, Cikgu Amiruddin, Cikgu Hj. A. Rani, Cikgu Rohaya, Cikgu Norsyam, dan Cikgu Mohd. Noor dalam menjayakan program kali ini, juga buat En. Roslan (JPNM) serta terima kasih buat urus setia DBPWS iaitu En. Syaidul Azam, Sdra. Mohd. Rizal dan Sdra. Mohd Shahrur.

7. Buat WITRA, tidak salah saya gelarkan anda sebagai TIANG SERI program ini (negeri Johor dan Melaka) sejak 3-4 tahun kebelakangan ini. Buah tangan dan minda WITRA sememangnya banyak mengubah konsep perkampungan yang diadakan sejak beberapa tahun lalu. Sikap dan tindakan 'menongkah arus' pada awalnya sehingga membawa kepada PENAMBAHBAIKAN dalam program ini sejak beberapa tahun lalu telah mula menampakkan kesan yang positif (sama ada kecil dan besar). Namun kita tidak harus leka..., selagi ada upaya dalam keadaan seadanya mampu... kita harus sentiasa menjalankan penambahbaikan dan pendekatan yang positif. Terima kasih WITRA.

Menunggu seterusnya... PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH NEGERI JOHOR 2009.

Sekian.

Isnin, Mac 09, 2009

Dalang Walang

Siapa dalang,
kau dalang atau aku malang?
atau mereka bagai lalang?
atau hasrat kau terhalang?

Apakah kau dalang walang
bicara katamu bersimpang
egomu bukan kepalang
riakmu terus menjulang.

Kami tidak malang
tekad kami berjuang
tetap membangkang
dalam ilmu yang lapang
seluruh malam berteman siang!


rar/ 9 Mac 09.

Ahad, Mac 08, 2009

KUTIPAN: SN A. SAMAD SAID - GMP

"Saya kena dekat hidung , mata dan juga kena tolak. RUPANYA BEGINI CARANYA UNTUK MENYELAMATKAN BAHASA. Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan MISI MEMBANTAH PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata penasihat gerakan itu. (MM - 8/3/09)

PERHIMPUNAN 070309 ITU...

1. Semalam tercatat satu lagi sejarah 'indah' walaupun pahit dan pedih buat peserta perhimpunan itu. Sayangnya diri ini tiada di situ, hanya mendapat khabar melalui rakan dan berita dalam internet dan media arus perdana. TAHNIAH BESAR BUAT ANDA YANG SAMA-SAMA BERHIMPUN ITU. Teringat kembali 10 tahun lalu... zaman 1998-99 ketika di KL, pernah juga merasa pedihnya 'air dan asap pengecut' itu!

2. Menyakitkan hati dan geram..., Sang Menteri Penguasa sudah masuk 5-6 kali mengeluarkan kenyataan yang sama... antaranya 'kenapa sudah 6 tahun...', 'kita dah sediakan ruang berbincang...', 'tunggulah keputusan...', 'kumpulan ini diperalat dan punyai agenda lain...' dan pelbagai kata-kata beliau dalam mengulas perhimpunan itu. Namun mungkin sang menteri tidak sedar bahawa penentangan itu sudah bermula sejak 2003 secara 'berhemah dan santun', tetapi seperti tidak dilayan serta semacam tidak diambil berat oleh pemerintah.

3. Media arus perdana yang sekongkol dengan parti terbesar orang Melayu melabelkan perhimpunan itu berstatus haram, manakala kumpulan GMP sebagai 'tidak beradab'... media milik kerajaan terus menggerakkan agenda bahawa PPSMI itu wajar... kenapa?

4. Bedilan dan amukan 'air dan asap pengecut' itu merupakan kenangan manis terindah buat para pejuang, namun mungkinkah ada golongan 'pemuda' parti terbesar Melayu terlibat dan terkena sama? Sepatutnya 'pemuda' ini yang ke hadapan demi perjuangan bangsa dan bahasa, ya... terkandung dalam perlembagaan parti itupun! Maka layakkah pemuda itu digelar "CXXXKX"? Lihat puluhan foto yang terpapar dan sumber berita (dibaca: berita media internet bukan media pengampu parti itu), bagaimana penguasa bertindak...? Di mana logo dan bendera parti besar Melayu itu.

5. Teruskan berjuang...! bukan semata-mata emosi tetapi demi kepentingan masa hadapan, berhujahlah dengan puak penyanjung PPSMI dengan berhemah agar mereka ini sedar dan mekar terhadap bahasa kebangsaan.

6. Akhirnya, ditegaskan dengan penuh tegas bahawa pejuang GMP bukan menolak bahasa Inggeris seperti yang digemburkan oleh media pemerintah! Ingat jangan dituduh melulu kepada golongan GMP ini, mereka ikhlas dan menggunakan platform yang ada.

AKHIRNYA TERJERUMUS JUA... SALAM PENGENALAN

1. Salam buat semua. Setahun lalu... pada tarikh 8 Mac 2008, diri ini berada di Pantai Dalam, KL untuk bersama-sama masyarakat lain menunaikan tanggungjawab besar, sememangnya berlaku 'tsunami' yang tidak dijangka ramai orang dan pelbagai pihak. Diri ini turut melakar X pada kertas itu, sudah masuk 3 kali rupanya melakar X sejak mulanya pada tahun 1999.
2. Pada tarikh 8 Mac 2009, satu lakaran baharu... 'akhirnya terjerumus jua', diri ini masuk dan sertai dunia blog. Diri ini sering (kerap) memantau dan membaca serta memberikan komen atau ulasan dalam blog rakan-rakan rapat serta blog-blog yang tertentu. Ada rakan-rakan telah bergelumang dengan blog sendiri sejak tahun 2006 hingga kini, saya hanya memantau sahaja...
3. Diri ini sememangnya ketinggalan jauh dalam hal ini, namun atas kesedaran serta beberapa faktor penarik dan penolak, diri ini 'akhirnya terjerumus jua'. Seorang kenalan yang saya gelarkan LELAKI UNGGUL... sejak beberapa bulan yang lalu 'membujuk' agar dibina satu blog sendiri... maka akhirnya tercipta juga blog sendiri dalam kedaifan serta banyak kekurangan (namun akan terus dimajukan).
4. LELAKI UNGGUL yang sememangnya pakar dalam hal BAHASA serta pengurusan kewangan ini sebenarnya antara faktor utama membawa kesedaran kepada diri ini agar tidak hanya menjadi 'pengikut yang sekadar menghantar buah cadangan' kepada blog insan lain tetapi harus 'memaparkan idea dan catatan sendiri' agar dapat dikongsi bersama. Siapakah LELAKI UNGGUL yang dimaksudkan itu? Selain peranan LELAKI UNGGUL itu, diri ini rasanya perlu membina blog sendiri atas beberapa faktor yang sukar dijelaskan secara mendalam pada ketika ini.
5. Dalam blog kerdil dan lemah ini, arah diri ini akan cuba sedaya upaya akan membicarakan dan mencoret catatan serta 'mengutip' lalu mengulas pandangan atau kata-kata daripada pihak lain dalam beberapa konteks, antaranya termasuklah:
i. Sastera dan Bahasa.
ii. Media Massa.
iii. Sukan @ Bola Sepak.
iv. Perkembangan Semasa.
v. Politik Semasa.
vi. Seni Hiburan dan Persembahan (teater / filem / drama / lagu dll).
vii. Catatan Peribadi (bersesuaian dengan ruang dan keadaan semasa).
viii. ...dan pelbagai hal yang bersesuaian dalam RUANG HAK BERSUARA...
atau mungkin blog ini tidak atau kurang menyumbang ke arah arus pantas pelbagai hal di Malaysia, atau blog ini sekadar menjadi catatan diri sendiri untuk bersuara dan meluahkan rasa hati dan idea (setidak-tidaknya)...
6. Namun, blog kerdil dan kecil ini yang AMAT BAHARU SIFATNYA akan terdedah kepada pelbagai kelemahan (hujah/catatan serta teknikal paparan blog), makanya mohonlah kepada tuan-tuan dan puan-puan memberikan tunjuk ajar yang sewajarnya buat saya yang baharu belajar ini. Sebarang kelemahan dan sedikit kelebihan (pemberian-Nya) dalam diri ini akan di perbaiki dan diucapkan syukur atas pemberian-Nya.
Sekian. Terima kasih atas perhatian membaca catatan sulung blog kecil ini.
rar/ 8 MAC 2009 - 2.40 pagi - Waktu Johor Bahru.