Isnin, Julai 05, 2010

SANTAI PD 2010: JERMAN DISIPLIN DAN SEPANYOL MALANG...

Terakhir Jerman juara Piala Dunia ketika edisi PD 1990 Itali. Berjayakah Jerman meletakkan tanda 'bintang' yang keempat pada logo pasukannya kali ini...?

Jerman Penuh Disiplin
Tewasnya Argentina kepada Jerman serta kecundang (dan malu) Brazil kepada Belanda menandakan bahawa bola sepak masih dan terus kekal sukan nombor satu di dunia. Gembira dan ceria melihat Brazil tewas masih menguasai diri kerana 'sakit hati bercampur geram' melihat Brazil menjulang Piala Dunia dalam edisi PD 1994 USA masih membekas.
Jerman sebuah pasukan penuh disiplin dan bijak dalam congakan taktikal cukup membuatkan Argentina merana. Selayaknya pertemuan Jerman - Argentina dalam peringkat separuh akhir atau akhir atau sekurang-kurangnya penentuan tempat ketiga tetapi peraturan telah menetapkan begitu. Hakikatnya dua pasukan ini diminati tetapi adat perlawanan pasti ada pasukan yang kecundang.
Jangkaan awal sebelum perlawanan (ketika melihat Jerman berjersi hitam) semacam Jerman akan kecundang kerana pakai jersi kedua (bukannya jersi putih seluar hitam) kerana ketika perlawanan akhir PD 1986 Mexico Jerman pakai jersi kedua (warna hijau) lalu tewas kepada Argentina 2-3. Jerman bertemu Sepanyol dalam separuh akhir, satu lagi kekeliruan minda bakal terjadi kerana dua pasukan ini diminati... habis pasukan manakah yang bakal dipilih?

Sepanyol Malang...!
Sepanyol berjaya tewaskan Paraguay 1-0 tetapi hati ini menganggap bahawa Sepanyol malang kerana permainan pantas dan segarnya tidak menggambarkan jumlah jaringan yang sebenar. Torres terus buntu menghasilkan gol, David Villa bijak di bahagian serangan, Iniesta lincah di bahagian tengah, dan Puyol serta Pique kebal di kawasan pertahanan.
Menarik kata-kata penjaga gol Iker Casillas, beliau dapat menyelamatkan sepakan penalti pemain Paraguay Oscar Cardozo kerana memperoleh nasihat daripada penjaga gol Liverpool Pepe Reina. Reina merupakan penjaga gol kedua Sepanyol melalui pengalaman ketika Liverpool bertemua Benfica dalam Liga Europa (Liverpool tewas 1-2), Reina gagal menyelamatkan dua penalti Cardozo. Kata Casillas, "Reina memberitahu saya bahawa Cardozo menyepak penalti dengan laju ke arah kiri, nasihatnya membuahkan hasil."
Pelik juga pengadil dalam perlawanan Sepanyol - Paraguay ini, kenapa Xavi Alonso terpaksa mengambil dua kali penalti (penalti pertama dibatalkan walaupun sudah gol) kerana sepakan kali kedua berjaya ditepis penjaga gol Paraguay. Menurut kata-kata pengulas siaran langsung penalti pertama Alonso dibatalkan kerana pemain Sepanyol masuk ke kotak penalti ketika Alonso mula menendang? Tidak kiralah keputusan pengadil itu tapi seorang pemain Paraguay bernombor 18 iaitu Nelson Valdez; cukup tidak suka melihatnya sejak peringkat kumpulan lagi pabila ego dan lagaknya yang melampau, maka layaklah Paraguay setakat (bernasib baik) peringkat suku akhir sahaja...!

Sabtu, Julai 03, 2010

SANTAI PD 2010: SEDAR DIRI YANG BAIK...

Ghana tewas cukup tragis kepada Uruguay. Permainan penuh 90 minit dan 30 minit masa tambahan seri 1-1; cukup perit penalti minit akhir ke-120 masa tambahan tidak mengahsilkan gol lalu penentuan penalti, Ghana tewas 2-4.


Eloklah jika sudah sedar diri dan insaf awal serta bercakap benar kepada masyarakat agar ramai lagi yang tidak kecewa dan rasa macam menyampah. Sifat jujur dan berkata secara ikhlas serta terus terang inilah yang ingin dibanggakan walaupun pemergian untuk tugasan di Afrika Selatan selaku pengadil simpanan dan pengadil keempat sahaja. Sikap Subkhiddin yang meluahkan rasa sebenar hatinya cukup menyenangkan ramai pihak agar tidak terus menghentamnya. Jika kepulangan beliau ini dengan nada lain iaitu nada 'bangga dan besar diri' pasti ramai yang terus mencaci dan mengejinya. Beberapa akhbar harian melaporkan tentang kepulangan Subkhiddin yang kekal selaku 'pengadil simpanan @ keempat' sahaja dalam peringkat kumpulan PD 2010. Kutipan di bawah diambil dalam laman web akhbar Utusan Malaysia dan Harian Metro.


Subkhiddin kecewa, rasa bersalah
(Utusan Malaysia)
' Saya kecewa dan rasa bersalah kepada rakyat Malaysia'. Itu luahan pengadil tunggal negara yang dipilih ke Piala Dunia 2010, Subkhiddin Mohd. Salleh. Menurut pengadil No. 1 negara itu, perasaan itu membelenggu dirinya, apabila langsung tidak diberi peluang menjadi pengadil utama dalam sebarang perlawanan pada kejohanan berprestij di Afrika Selatan itu.
Subkhiddin, 44, yang hanya menjadi pengadil keempat dalam lapan perlawanan Piala Dunia, termasuk perlawanan pembukaan antara Afrika Selatan dan Mexico. Jelas Subkhiddin, hatinya bertambah kecewa apabila terpaksa 'memusnahkan' impian dan harapan seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihatnya beraksi di tengah padang, meskipun dirinya cukup bersedia untuk tujuan tersebut.
''Pengorbanan dan cabaran dilalui sepanjang empat tahun lalu untuk mempersiapkan diri sebagai pengadil dalam Piala Dunia kali ini seperti sia-sia, kerana hanya menjadi pengadil keempat.
''Apatah lagi FIFA sudah memberi jaminan kepada kami ketika perlawanan pembukaan bahawa tiada pengadil simpanan untuk edisi kali ini. Ia memberi semangat kepada saya.
''Tetapi peluang sebagai pengadil utama tidak diberi kepada saya dan saya mula menyedari mengenainya ketika sesi kedua pengumuman pengadil (bagi perlawanan kalah mati).
''Saya amat kecewa dan rasa bersalah kepada rakyat Malaysia. Pengalaman ini tidak mungkin akan saya lupakan seumur hidup saya," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini, semalam.
Sebelum ini, dua pengadil negara terpilih ke Piala Dunia iaitu Allahyarham Kapten Abdul Halim Hamid pada Piala Dunia 1998 di Perancis dan Mat Lazim Awang Hamat (Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan) tetapi hanya sebagai pembantu pengadil.
Pengorbanan empat tahun bagaikan sia-sia
(Harian Metro)
“SAYA kecewa apabila tidak diberi peluang untuk menjadi pengadil utama,” kata pengadil tunggal negara ke Piala Dunia 2010, Subkhiddin Mohd Salleh ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTABL), Bayan Lepas, semalam. Pengadil nombor satu negara itu berkata, beliau ditugaskan sebagai pegawai perlawanan keempat bagi lapan perlawanan Piala Dunia, termasuk aksi pembukaan Afrika Selatan menentang Mexico serta beberapa perlawanan menarik seperti Brazil bertemu Korea Utara dan Brazil berjumpa Ivory Coast.
Bagaimanapun, beliau kecewa kerana tidak berpeluang mengendalikan sebarang perlawanan di tengah padang sejak kejohanan di Afrika Selatan itu bermula 11 Jun lalu. Guru Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Nibong Tebal itu berkata, rasa kecewanya bertambah apabila mengetahui rakyat Malaysia menaruh harapan untuk menyaksikan beraksi di tengah padang.
“Saya rasa segala pengorbanan dan persiapan sejak empat tahun lalu untuk menyiapkan diri sebagai pengadil dalam Piala Dunia kali ini sia-sia saja, namun pengalaman di peringkat antarabangsa akan menjadi pedoman kepada saya untuk membantu generasi muda dalam bidang ini,” katanya.
Katanya, Fifa juga pernah memberi jaminan kepadanya pada perlawanan pembukaan bahawa tiada pengadil simpanan untuk perlawanan tahun ini, namun semangat serta harapannya musnah selepas sesi kedua pengumuman pengadil (bagi perlawanan kalah mati).

SANTAI PD 2010: NAH... RASAKAN BRAZIL YANG EGO DAN SOMBONG BESAR!

Zidane tonggak utama yang dibanggakan ketika menghancurkan Brazil dalam peringkat suku akhir PD 2006 Jerman. Terima kasih Perancis (ketika PD 2006) dan tahniah besar Belanda (PD 2010) kerana menghapuskan 'ego dan sombong besar' Brazil...

NAH... TERIMALAH PENANGAN BELANDA WAHAI BRAZIL YANG SOMBONG LAGI EGO BESAR...!

Teramat berpuas hati menyaksikan pasukan yang diklasifikasikan sebagai 'ego dan sombong besar' tewas kepada Belanda. Inilah saat-saat indah cukup gembira kali ini dalam edisi PD 2010 pabila melihat pasukan yang kononnya 'terlalu hebat dan megah' rebah. Sejak PD 1982 sehinggalah edisi PD 2010 ini sering harapkan pasukan Brazil agar tewas apatah lagi kalau boleh tewas awal dalam peringkat kumpulan. Teramat gembira hati melihat Brazil tewas kepada Perancis (peringkat suku akhir) hasil jaringan tunggal Henry pada edisi PD 2006 Jerman dan tewasnya Brazil dalam perlawanan akhir PD 1998 juga kepada Perancis masih berbekas di hati hingga kini apatah lagi kalahnya pasukan ego besar ini semalam.
Sesetengah media menyatakan ini salah satu kejutan besar dalam PD 2010 tetapi ini bukanlah kejutan kerana Belanda bukannya taraf pasukan seumpama Korea Utara atau Honduras (atau Malaysia? - Malaysia layak cuma selaku pengadil simpanan sahaja lalu pengadil yang seorang itu pulang semalam tanpa jadi pengadil utama atau penjaga garisan sekalipun, hahaha...). Kekalahan Brazil ini amat dinanti bagi penggemar yang inginkan Brazil jatuh tersungkur lalu rebah tanpa bangun. Pabila jaringan pertama Brazil oleh Robinho seluruh pemain dan pegawai Brazil begitu yakin bahawa dapat menambahkan gol lalu ke peringkat separuh akhir; Brazil tersilap memandang rendah Belanda pabila Belanda bangkit dengan 2 jaringan pada separuh masa kedua.
Ego dan sombong besar Brazil terserlah sebelum PD 2010 bermula lagi (begitulah juga bagi setiap PD yang sebelum ini), memandang rendah pasukan lain lalu mengangkat setinggi-setingginya bahawa tiada pasukan dapat mengalahkannya. Kesombongan Brazil bertambah terserlah pabila bertemu Korea Utara, Ivory Coast, Portugal dan Chile sebelum ini. Dalam perlawanan menentang Belanda semalam juga begitu dengan watak jurulatihnya Dunga (kapten Brazil dalam PD 1994 USA yang menjulang Piala Dunia ketika tewaskan Itali melalui penalti... cukup besar egonya ketika itu) sering pertikaikan keputusan pengadil, watak Robinho yang 'samseng dan gengster' yang asyik cuba ingin bertelagah dengan pemain Belanda, watak Felipe Melo yang 'ganas' lalu ditunjuk jalan keluar dengan hadiah kad merah, dan pelbagai lagi sikap dan watak pemain Brazil yang sombong lagi memualkan; maka terimalah selayaknya padahnya...!
Wira-wira Belanda yang setia dengan warna oren diucapkan tahniah; Robben yang licik dan berkesan (ada kalanya liciknya sedikit berlebihan), Kuyt yang gagah selaku penyerang dan ada ketikanya selaku pertahanan (pemain Liverpool yang berjasa), Sneijder yang pintar berbanding Kaka yang longlai (akan bersama Benitez di Inter Milan), dan beberapa pemain Belanda yang lain. Kali ini Belanda 'bijak' kerana tidak menggunakan penjaga gol Man U iaitu Van Der Sar tetapi kurang bijak kerana menggunakan Van Persie, pemain Arsenal yang longlai buat pasukannya sendiri...! Belanda berjaya juga menebus kekalahan ketika separuh akhir PD 1998 Perancis (itupun Brazil menang nasib ketika sepakan penalti selepas tambahan masa).
Gembira sungguh hati ini tidak terkata dengan kemenangan Belanda ini, tidak kira pasukan manakah yang berjaya ke akhir lalu menjulang piala hati ini tetap berpuas hati pabila Brazil tersingkir lalu menunggu dan menyambut tetamu yang bakal datang pada 2014 di Brazil juga nanti. PD 2010 kali ini pasti membekas dalam hati dengan malunya pasukan ego dan sombong besar ini tersekat lagi untuk menjulang Piala Dunia buat kali keenam! Nah... rasakan buat peminat tegar Brazil, terimalah hakikat bahawa Brazil yang sombong dan ego tidaklah selamanya kuat dan hebat kerana ada pasukan yang boleh menafikannya...
Apa-apapun selagi Brazil masih sombong dan ego serta tidak sedarkan diri selagi itulah banyak pasukan berkobar-kobar ingin menewaskannya termasuk pasukan dari negara-negara Afrika dan Asia (termasuk Malaysia? tidak mungkin sama sekali - jika Malaysia lawan Brazil, tetap sokong Brazil juga nanti...). Brazil bolehlah bersiap awal untuk menyiapkan pelbagai hal selaku tuan rumah PD 2014 nanti.

Jumaat, Julai 02, 2010

BBS 2010 - SLOT 'POTRET BAHASA'

Tersekat kerana banjir dalam perjalanan dari Mersing ke Segamat ketika giat Pantau Tegur Bahasa 2007. Para petugas bergambar kenangan - Cikgu Azhar Salleh (Munsyi Dewan), Cikgu Mohd Noor Abdullah (Munsyi Dewan), Mohamad Ibrahim (Pengurus Program), dan Moseman Makjeroon (Pemandu DBPKL).

Nasi Berani atau Nasi Beriani?
(Foto dirakam di Bandar Pontian ketika Pantau Tegur Bahasa 2007.)

Sempena Bulan Bahasa Singapura (BBS) 2010, televisyen Suria Singapura mewujudkan satu slot atau kapsul tentang bahasa Melayu yang dinamakan 'Potret Bahasa'. Bermula semalam (1 Julai 2010) dipaparkan slot ringkas selama 30 saat yang menjelaskan tentang makna penggunaan perkataan. Slot ini akan terpapar setiap hari melalui rangkaian Suria sepanjang sambutan BBS ini.
Selain daripada pelbagai aktiviti dan program BBS bermula 26 Jun - 25 Julai 2010 pihak penganjur juga mengambil langkah yang baik melalui paparan penggunaan perkataan bahasa Melayu yang betul dan tepat kepada masyarakat umum melalui media massa. Walaupun hanya slot pendek melalui televisyen langkah ini menimbulkan minat dan menambahkan pengetahuan buat masyarakat pengguna bahasa Melayu.
Semalam dalam slot 'Potret Bahasa' dipaparkan penggunaan perkataan 'berbagai' dan 'berbagai-bagai' seperti maklumat di bawah:

berbagai - berbanding, bersamaan: Raja Kida Hindi ada beranak seorang perempuan yang amat baik parasnya, tiada ada ~ pd masa itu.
berbagai-bagai, bagai-bagai - bermacam-macam, berjenis-jenis, beberapa (negara dll) yg berlainan: ia berbuat ~ ikhtiar supaya terpelihara drpd musuhnya.

Khamis, Julai 01, 2010

BBS 2010 - 'BAHASA KITA, GUNAKANLAH'

Semalam menonton televisyen Singapura rangkaian Suria. Pukul 10.30 malam tonton rancangan bual bicara / diskusi iaitu 'Detik' yang memaparkan hal dan maklumat tentang sambutan Bulan Bahasa Singapura (BBS) 2010. BBS yang bertemakan 'Bahasa Kita, Gunakanlah' bermula pada 26 Jun sehingga 25 Julai 2010. BBS diadakan setiap dua tahun sekali yang khusus pada bulan Jun - Julai.
Temu bual dan pemakluman aktiviti tentang BBS dipaparkan dalam rancangan 'Detik'. Pihak penganjur BBS melantik ramai duta khas sambutan BBS yang melibatkan beberapa selebriti dan ikon Singapura untuk menyemarakkan pengisian kegiatan BBS pada kali ini. Melalui laman web Majlis Bahasa Melayu Singapura (mbms.sg) dapat dibaca matlamat dan kegiatan BBS sepanjang sebulan diadakan.
Antara kegiatan dan program sepanjang BBS termasuklah; Bercerita Bersama Pencerita Undangan, Yok! Tulis Cerpen!, Forum Bahas Bahasa: “Bahasaku Bahasa Nusantara”, Bengkel Deklamasi Puisi, Bengkel Pengajaran Bahasa Melayu, Peraduan Penulisan Karangan Naratif, Simposium Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Simfoni Seni - Bercerita, Dikir Barat, Tarian, Sajak dan Pantun, Forum Bahasa – Perbincangan Penuntut Institusi Pengajian Tinggi dengan Pemimpin, Pesta Bahasa – Pantun, Lagu Rakyat dan Wartawan Muda, Sembang-Sembang: Penulis dan Tanggungjawabnya, Bengkel Skrip Drama TV, dan pelbagai lagi pengisian program yang diadakan di pelbagai tempat termasuklah di Perpustakaan Negara Singapura.
Ya... jika anda berminat untuk sertai dan melihat aktiviti BBS ini bolehlah khabarkan kepada orang Johor Bahru ini, naik bas dari Larkin ke Queen Street cuma RM2.50, dan pulang ke Johor Bahru hanya SD2.50 sahaja.

Rabu, Jun 30, 2010

SANTAI PD 2010: ASAM PEDAS, MI BANDUNG DAN SEPANYOL

Pertemuan Sepanyol - England (PD 1982 Sepanyol).

Perencah Asam Pedas JJ - sudah ada pemiliknya...

Perencah Mi Bandung Muar - sekali cuba hendak 3-4 bungkus lagi...


Tidur semalam hanya sekitar 2-3 jam sahaja iaitu selepas menyaksikan perlawanan Jepun menentang Paraguay bermula 10 malam lalu tamat pukul 12.45 tengah malam. Jepun penuh semangat 'samurai' tewas juga akhirnya melalui tendangan penalti 3-5 (masa penuh dan masa tambahan seri 0-0). Tidur selepas itu lalu bangun kembali sekitar pukul 2.45 pagi untuk saksikan Sepanyol menentang Portugal.
Seperti ramalan awal sejak peringkat kumpulan bahawa Portugal tidak akan melangkah jauh setakat pusingan kedua kerana kurangnya pemain-pemain tonggak hanya mengharapkan Ronaldo yang juga serba kurang menjadinya. Sepanyol menang 1-0 hasil jaringan David Villa. Permainan pantas Sepanyol lebih menyerlah dengan beberapa percubaan tepat ke gawang gol boleh menghasilkan gol tetapi kecekapan dan ketangkasan Ricardo, penjaga gol Portugal yang menghalangnya. Ada 2-3 cubaan Torres yang menyengat tetapi beliau masih kurang berbisa sejak peringkat kumpulan lagi. Makanya, Sepanyol akan bertemu Paraguay pada peringkat suku akhir nanti... pastinya sokongan terhadap Seponyol tidak berbelah bahagi. Selesai perlawanan terus sambung tidur lagi dalam tempoh masa sejam.
Menikmati kejayaan Sepanyol menewaskan Portugal (yang agak lemah secara permainan berpasukan) umpama menikamti asam pedas Jalan Junid (JJ), Muar. Cukup lazat dan berselera menikmatinya di situ juga istimewanya boleh dibeli perencah asam pedasnya (dan perencah mi bandung) untuk dibawa pulang lalu masak di rumah. Bayangkan bertambah cerianya dapat merasai asam pedas JJ jika dapat meraikan kekalahan Brazil menentang Belanda nanti...? Moga-moga Belanda dapat 'merobek ego' Brazil pada peringkat suku akhir nanti umpama dapat menikmati mi bandung Muar serta menghirup kuahnya...!

Selasa, Jun 29, 2010

SANTAI PD 2010: TS3 DAN BOLA LANTUNAN...

Woody dan Buzz - kenalan rapat seperjuangan.

Woody dan rakan-rakan terperangkap dalam timbunan sampah.

'Bear' yang lembut dan baik serta disayangi ramai dalam dunia sebenar dipaparkan sebagai 'Ketua Penjahat' dalam TS3.

(Catatan: Foto dirakam di dalam pawagam secara langsung)

Penat bercampur geram dan marah serta terkilan pabila beberapa pasukan pilihan dalam PD 2010 telah tersingkir awal. Persaingan pusingan kedua juga hampir selesai pabila pasukan Uruguay, Ghana, Argentina, Jerman, Belanda dan Brazil sudah ke peringkat suku akhir. Selayaknya England terkeluar pabila tewas besar 1-4 kepada Jerman kerana permainan tidak menarik dan kurang teratur sejak bertemu Amerika Syarikat, Algeria dan Slovenia. Walaupun gol Lampard dikira England tetap tewas 2-4. Sungguh ketara lemahnya pabila separuh masa kedua, dua kali serangan balas kilat Jerman minit 67 dan 70 dijaringkan gol oleh Mueller (pemain muda berusia 20 tahun).
Ahh... dalam kesibukan mengikuti PD 2010 sempat juga ke pawagam menonton 'Toy Story 3 (TS3)' kerana diajak berulang kali oleh anak. Rasa terhibur serta hilang rasa geram dan terkilan dengan beberapa pasukan dalam PD 2010 ketika menonton TS3. Bercakap soal TS3, sememangnya ini kisah kanak-kanak tetapi majoriti penonton juga dalam kalangan orang dewasa. Kanak-kanak dan orang dewasa sama-sama terhibur dengan TS3 yang sememangnya watak-wataknya punyai unsur dan sifat manusia yang digabung jalin dalam kerangka emosi 'suka - bahagia - sedih - marah'. Watak Woody dan Buzz Lightyear tetap menjadi penggerak utama dengan peranannya menetang Bear dan rakan-rakan yang dikategorikan 'penjahat'. Walaupun hanyalah 'barang permainan kanak-kanak' namun unsur dramatik, mendebarkan, seram, lucu serta kebijakan bertindak para wataknya turut termuat dalam TS3 yang memakan masa hampir 2 jam ini.
Pernah juga menonton TS2 dan TS yang sebelum ini cuma melalui DVD atas permintaan anak, bagi TS3 maka sesuailah membawa anak menonton ke pawagam kerana bersesuaian dengan usianya serta anak-anak ini meminati pasukan yang sama dalam PD 2010 (terpaksa meminati pasukan yang sama diminati ayahnya...).
Maka apakah halnya TS3 dengan PD 2010...? Sinonimnya - teknologi kamera dan kejelasan paparan visual semakin meningkat mutunya sehingga hiba dan marahnya Woody-Buzz Lightyear (TS3) dan kejelasan lantunan bola tendangan Lampard (England - Jerman) dapat diperkatakan ramai - betapa cerdik pencipta TS3 dan dangkalnya pengadil...!

MALAM PUISI SUNGAI MELAKA

Nyanyian lagu puisi gabungan PENAMA - JKKNNM.

Penampilan istimewa Shamsudin Othman.

Tempat acara di Dataran Sungai Melaka - kapal dan cahaya...

Sketsa yang punyai kelainan dalam acara baca puisi.

Usaha pihak Persatuan Penulis Melaka (PENAMA) menganjurkan program Malam Puisi Sungai (MPSM) Melaka pada 27 Jun 2010 di Dataran Sungai Melaka, Bandar Hilir, Melaka (di belakang kapal besar Muzium Samudera) sempena Pesta Sungai Melaka 2010 (1 - 30 Jun 2010) merupakan satu langkah yang baik. Pihak PENAMA turut mempelawa pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM) dan DBP Wilayah Selatan (DBPWS) untuk bekerjasama dalam penganjuran program ini. DBPWS dijemput sebagai rakan kerjasama pada saat-saat akhir iaitu seminggu sebelum acara. PENAMA diberikan satu slot persembahan daripada pihak penganjur Pesta Sungai Melaka iaitu Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka.
Walaupun promosi program MPSM yang bertemakan "Suara Sungai, Pantai, Selat dan Laut Melaka" agak suram namun pengisian atau perjalanan programnya ini agak berlainan. Acara deklamasi puisi sememangnya sering diadakan tetapi MPSM agak istimewa pabila perjalanan acaranya secara sketsa tiga zaman atau tiga segmen. Sketsa berturutan melibatkan hampir 7-8 pelakon yang terus berada di pentas diselang selikan dengan deklamasi puisi tradisi dan moden termasuk tarian dan nyanyian. 'Cerita sketsa' ini berkisar soal penghuni, rakyat dan pemimpin yang memperkatakan tentang sungai dalam tiga zaman, walaupun serba ringkas namun jalan ceritanya cukup menimbulkan kelainan. Kreativiti pihak PENAMA dan JKKNNM yang menggerakkan acara ini sungguh memikat hati ini dengan gabungan tenaga pelakon sketsa dan petugas yang penuh berbakat. Shamsudin Othman, Pensyarah UPM turut membuat penampilan khas dengan bacaan puisi baharunya berjudul 'Menyusur Melaka Sebuah Legenda'.
Cuma kehadiran penonton agak kurang menepati sasaran PENAMA sekitar 150 - 200 orang, yang ada cuma sekitar 70 - 120 orang sedangkan tempat acara lengkap dengan sistem pencahayaan dan alat siar raya yang mencukupi kerana pentas di Dataran Sungai Melaka ini sudah tersedia untuk acara Pesta Sungai Melaka selama sebulan. Terdetik di hati bahawa jika dipelawa selaku organisasi kerjasama lebih awal pasti ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh diri ini (syukur atas limpahan rahmat-Nya memberikan pengalaman selama ini...) sekurang-kurangnya untuk menarik seberapa ramai khalayak untuk memenuhi ruang dan khemah yang tersedia ada itu.
Dendangan syair, nazam, gurindam dan puisi moden yang dipersembahkan malam itu semuanya menepati tema tentang kebanggaan dan kerisauan terhadap sungai. Lakonan dan jalan cerita sketsa dibanggakan walaupun hanya bersiap sekitar seminggu sahaja, ada kelainan dalam majlis baca puisi yang lain.
Tahniah dan terima kasih buat pihak PENAMA dan JKKNNM termasuk tenaga utamanya Cikgu Ahmad Zauawi (Setiausaha PENAMA) dan AJK PENAMA yang lain termasuk tenaga utama JKKNNM iaitu Zurairi, Isa, Pak Abu dan beberapa orang kakitanganya yang berusaha gigih menjayakan MPSM ini. Jika ada kesempatan lain pelawalah lagi untuk bersama dalam penganjuran program sebegini.

Jumaat, Jun 25, 2010

SANTAI PD 2010: ITALI DAN PERANCIS SAMA TARAF - MENGECEWAKAN...!

Itali 2010 ketiadaan pemain 'ajaib' seumpama Rossi 1982!

Tetap bahagia sehingga kini kerana tewaskan Brazil 3-0!

Selepas pukul 12 tengah malam sehingga pagi ini kecewa menyelubungi diri pabila antara pasukan pilihan dalam PD 2010 ini tewas dan tidak layak ke pusingan kedua. Sememangnya Slovakia layak atas kesungguhan dan semangat tinggi menyaingi Itali. Itali juga selayaknya tewas dan tersingkir kerana mutu permainan yang longgar dan 'tidak tentu arah' kecuali 15 minit terakhir yang mempamerkan kesungguhan luar biasa pabila menjaringkan dua gol serta hampir mencatat keputusan seri, namun akhirnya tetap tewas 3-2!
Sejak PD 1982 di Sepanyol sehingga kini Itali merupakan antara empat pasukan pilihan di hati. Itali hadir ke PD 2010 yang dilihat dan diramal oleh media dalam keadaan yang kurang meyakinkan untuk maju lebih jauh; jelas keputusan seri 1-1 dengan New Zealand tempoh hari cukup menggambarkan tanda bahawa Itali sukar ke pusingan kedua.
Ketika cemerlangnya Itali pada edisi PD 1982 Sepanyol (juara), PD 1990 Itali (separuh akhir), PD 1994 Amerika Syarikat (naib juara - tewas penalti kepada Brazil) dan PD 2006 Jerman (juara), pemain-pemain Itali lengkap dalam semua posisi walaupun kadang kalanya dianggap pasukan yang amalkan banyak corak bertahan. Skuad Itali PD 2010 ini nampak agak ketara kurang bermaya dan 'tidak tentu arah'. Mungkinkah kerana kemerosotan pemain-pemain Itali dalam kelab Juventus dan AC Milan (saingan Serie A Itali) merupakan puncanya?
Makanya, terkini dua pasukan pilihan sudah tersingkir (Perancis dan Itali). Mengejutkan pabila Jepun mengiringi Belanda berjaya melangkah ke pusingan kedua dengan menewaskan Denmark 3-1 awal pagi tadi. Terkini 2 daripada 4 pasukan Asia layak (Jepun dan Korea Selatan) manakala 1 (Ghana) daripada 5 pasukan benua Afrika layak ke pusingan kedua. Lengkap sudah permainan kumpulan E dan F, dalam pusingan kedua nanti Belanda bertemu Slovakia dan Paraguay menetang Jepun.

Khamis, Jun 24, 2010

SANTAI PD 2010: PENYERANG MAN U YANG 'LEMAH'?

England perlukan pemain seperti David Platt...

Kad merah buat penyerang Man U...!

Semalam dan hari ini pasukan kumpulan A, B, C dan D selesai bertarung dalam peringkat kumpulan Piala Dunia 2010 (PD 2010). Setakat ini ramalan pasukan ke peringkat 16 pasukan (pusingan kedua) hanya tepat sebahagiannya.
Ramalan bahawa pasukan Perancis dan Mexico dalam kumpulan A layak kurang tepat, Uruguay dan Mexico yang layak; Perancis 'layak' juga atas ego dan krisisnya sahaja. Ramalan dalam kumpulan B bahawa Argentina dan Nigeria layak turut meleset, Argentina dan Korea Selatan yang layak rupanya; tidak mengapa kerana Argentina menang kesemua 3 perlawanan kumpulan.
Makanya - Uruguay bertemu Korea Selatan dan Argentina lawan Mexico.
Ramalan ke suku akhir: Uruguay dan Argentina.

Ramalan bahawa England dan Slovenia dalam kumpulan C layak juga kurang tepat, England dan Amerika Syarikat yang layak. Ramalan dalam kumpulan D bahawa Jerman dan Ghana layak tepat, Ghana layak secara 'nasib' pabila sama mata dengan Australia tetapi kelebihan kiraan jaringan.
Makanya - Jerman lawan England dan Amerika lawan Ghana.
Ramalan ke suku akhir: England dan Ghana.

Pertemuan 'perang' dua negara iaitu England dan Jerman terjadi awal dalam pusingan kedua. Ramai ramalkan akan pertemuan ini akan menjadi kenyataan sebelum PD 2010 lagi. Dua pasukan ini diminati tetapi tetap pilih England kerana ada 3-4 pemain Chelsea dalam skuad England (cuma ada seorang pemain Man U dalam skuad England). Tahniah buat David James atas kecekapan yang pintar tidak seperti penjaga gol West Ham, Robert Green yang dilabelkan selaku 'penjaga gol sekolah rendah'. Sebenarnya England boleh mengalahkan Slovenia dengan 2 atau 3 gol tetapi kerana 'lemahnya' penyerang England yang beraksi dengan Man U itu. Jika penyerang Man U itu masih begitu ketika menentang Jerman kemungkinan Jerman layak ke peringkat suku akhir...!
________________________________________________

Catatan: Tercari-cari dan terintai-intai juga kelibat pengadil simpanan @ pengadil keempat kebanggaan Malaysia dalam perlawanan semalam kerana ingin lihat beliau jadi sekurang-kurangnya penjaga garisan tapi hampa lagi... mungkin beliau dipilih untuk perlawanan akhir pada 12 Julai nanti, sama-sama kita tunggu...!