Selasa, Januari 26, 2010

SANTAI: LOGO SBT DAN EPL...

20 Logo Kelab-kelab EPL 2009 - 2010.

20 Logo Sekolah-sekolah SBT.
LOGO SBT SEMACAM LOGO EPL
Melihat dan membaca akhbar Berita Harian seawal pagi tadi (26 Januari 2010), mata tertarik dengan paparan foto / grafik halaman hadapannya iaitu susunan 20 logo sekolah-sekolah yang terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Susunan logo sekolah-sekolah SBT semacam susunan logo buku rujukan anak tentang English Premier League (EPL) seperti terpapar foto di atas iaitu 20 kelab yang bersaing dalam EPL 2009/2010. Logo EPL dan SBT yang terpapar di atas juga seumpama hampir-hampir sama; ada semacam logo pasukan Stoke, Liverpool, Portsmouth, West Ham, Wolves, Man U dan Arsenal. Semacam kebetulan pula pabila dua foto di atas diletakkan sebegitu...
SBT - KLUSTER: SEMACAM SAMA FUNGSINYA...?
Dalam 20 buah sekolah yang terpilih sebagai SBT yang kali pertama ini, ada juga kena mengena sikit-sikit sahaja dengan diri ini pabila sekolah anak antara yang tersenarai. Tahun lepas sekolah ini sudah memperoleh tahap Kluster manakala tahun 2007 mendapat Anugerah Kecemerlangan Sekolah Peringkat Kebangsaan.
Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelajaran, SBT ini diberikan semacam autonomi antaranya (maklumat dikutip langsung dalam Berita Harian Online):
Fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi subjek wajib dan elektif
Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain.
Kelonggaran menetapkan waktu pengajaran minimum sesuatu mata pelajaran.
Memanjangkan waktu persekolahan.
Membenarkan tempoh persekolahan bagi pelajar cemerlang ditamatkan setahun lebih awal (seperti kelas lompat).
Fleksibiliti untuk mengagihkan kewangan mengikut keperluan.
Pengecualian daripada perolehan secara berpusat.
Bajet tambahan antara RM500,000 hingga RM1 juta setahun.
Mengambil staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukan kekananan.
Boleh menyediakan bayaran kerja lebih masa dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.
Boleh memindahkan staf jika prestasi kurang memuaskan.
Pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik.
Istimewa serta banyak juga kelebihan SBT ini rupanya tetapi bukankah semacam hampir sama (rasa-rasanya) dengan Sekolah Kluster (mungkin diri ini kurang faham tentang konsep memajukan sekolah zaman kini...), namun satu keistimewaan SBT yang diri ini dapat terkesan paling awal pabila dinyatakan 'Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain'.

BICARA YANG SEGAR...

Azhar Salleh tekun membentangkan kajiannya tentang 'Meranduk Ranjau' - para guru pelatih IPG KPMM terpegun dan terpikat terhadapnya...!

Para hadirin termasuk Hanita Hassan (penulis novel 'Haruskah Aku Berlari), Hj. Mokhtar Yasin, En. Mohamad Daud Mohamad dan Hj. Razali Endun.

Tersiar dalam akhbar Melaka Hari Ini - 23 Januari 2010.

Program BICARA KARYA SASTERA NEGERI MELAKA yang merupakan anjuran DBP Wilayah Selatan dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera (BTKS) DBP dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPG KPMM) berjaya diadakan pada 22 Januari 2010 (Jumaat) di Dewan Tun Fatimah, IPG KPMM, Durian Daun, Melaka. Bicara melibatkan tiga karya yang dibentangkan seperti maklumat di bawah:

i. Meranduk Ranjau - novel karya Mohd. Kasim Mahmud, dibicarakan oleh Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP melalui tajuknya 'Unsur Feminisme dan Falsafah Nasionalisme dalam Meranduk Ranjau: Suatu Penerapan Teori Konseptual Kata Kunci'.
ii. Haruskah Aku Berlari - novel karya Hanita Hassan, dibicarakan oleh En. Mohamad Hj. Musip, Pensyarah IPG KPMM / Munsyi Dewan DBP melalui tajuknya 'Pemaparan Wacana Psikologi Cinta Menerusi Janaan Ayat yang Mesra Nahu dalam Haruskah Aku Berlari: Suatu Penerapan Pendekatan Stilistik'.
iii. Simbiosis - kumpulan puisi Borhan Md. Zain, dibicarakan oleh Hj. Shamsudin Othman, Pensyarah UPM melalui tajuk 'Menyaring Rasa Insaniah dalam Kumpulan Puisi Simbiosis'.
Tiga penulis karya yang dibicarakan hadir iaitu Mohd Kasim Mahmud (yang sanggup ambil cuti guru turun dari Kota Tinggi), Hanita Hassan (yang bakal meninggalkan.....) dan Hj. Borhan Md. Zain (dari Kuala Lumpur). Terima kasih kerana hadir dan dapat mendengar secara langsung karya anda dikupas. Turut hadir En. Mohamad Daud Mohamad, Ketua BTKS DBP serta menyampaikan ucapan alu-aluan yang penuh bersemangat.
Sesungguhnya kehadiran seramai 210 orang hadirin (seperti yang tercatat dalam senarai daftar kehadiran iaitu 160 guru pelatih dan 50 orang awam, tidak termasuk insan yang tidak mendaftar) menghangatkan program ini pabila tiga pembentang tersebut termasuk peranan Pengerusi iaitu Cikgu Ramly Abu, Pensyarah IPG KPMM telah menghidupkan suasana mesra khalayak pabila terpapar pelbagai reaksi termasuklah ketegasan, jenaka berilmu, usikan dan keceriaan sesama pembentang serta khalayak.
Kepentingan program sebegini sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan karya sastera secara langsung melalui perbincangan dan kajian melalui pendekatan teori sastera, malahan dapat meningkatkan minat masyarakat khusus dalam kalangan guru pelatih (dalam konteks program ini diadakan di sebuah tempat yang melahirkan guru) mendekati seterusnya membaca serta memperoleh manfaat melalui pembacaan dan pengkajian tentang karya sastera.
Terima kasih besar dan utuh
- buat Mohd Jusoh Majid, BTKS DBP yang tidak serik menerima pelawaan diri ini untuk mengadakan program bicara sebegini seadanya mampu,
- buat Cikgu Mohamad Hj. Musip, Pensyarah IPG KPMM bertindak selaku pembentang merangkap Pengurus Program bagi pihak IPG KPMM yang berjaya menguruskan program bagi pihak tuan rumah dengan lancar sedari awal lagi,
- buat Cikgu Ramly Abu, Pensyarah IPG KPMM yang bertindak selaku Pengerusi yang dapat menghubungkiatkan peranan tiga pembentang dalam suasana ceria,
- buat tiga pembentang yang prolifik (Azhar Salleh - yang seperti biasa memikat serta buat orang terpikat!; Shamsudin Othman - yang tegas dan lantang namun berhemah dalam konteks insaniah; Cikgu Mohamad Hj. Musip - yang teliti dan tenang),
- buat para petugas / urus setia IPG KPMM termasuk Pengarah dan Timbalan Pengarah IPG KPMM yang mengizinkan program ini dilaksanakan serta turut serta ketika program berlangsung,
- buat Nazmi Yaakob yang sanggup turun dari Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur ingin membuat liputan,
- buat urus setia DBPWS (Mohd Rizal - Shahrur - Siti Hajar - Norsheilla- Roz Idayu) yang banyak membantu,
- buat DAWAMA yang membuat jualan buku,
- serta kepada semua insan yang hadir dalam program seadanya mampu dilaksanakan ini.

ANUGERAH SASTERA NEGERI MELAKA - PENGIKTIRAFAN KERAJAAN NEGERI

Mohd Faizal Musa / Faisal Tehrani menerima Anugerah Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka.

Hj. Mokhtar Yasin menerima Anugerah Sasterawan Negeri Melaka daripada TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob.

Selesai majlis Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009 yang disempurnakan oleh TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob pada 22 Januari 2010 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Majlis julung kali ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan beberapa badan penulis di negeri Melaka.
Majlis julung kali ini memberikan anugerah dan hadiah galakan untuk 4 kategori iaitu Anugerah Sasterawan Negeri Melaka, Anugerah Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka, Anugerah Tokoh Penulis Bukan Melayu Negeri Melaka, dan Hadiah Galakan Penulis Remaja Melaka.
Sesungguhnya ini penganugerahan julung kali buat penulis dan penggiat anak negeri Melaka, semoga anugerah dan hadiah sebegini diteruskan sekurang-kurangnya 2-3 tahun sekali serta bilangan hadiah yang ditawarkan lebih luas yang melibatkan penilaian karya dalam bentuk buku dan karya sastera eceran.

Isnin, Januari 25, 2010

KESULTANAN JOHOR: SAMA-SAMA BERKONGSI MAKLUMAT

Foto dan informasi dikutip dalam web akhbar kosmo.com.my yang tersiar semalam (24 Januari 2010).


Sekadar berkongsi maklumat, mungkin sudah ramai mengetahui tentang Kesultanan Johor serta Sultan yang memerintah negeri dan jajahan negeri Johor. Seperti foto di atas (diambil dalam web akhbar kosmo.com.my) dipaparkan lima Sultan Johor yang dikategorikan dalam era moden (Sultan Johor ke-21 sehingga kini). Antara Sultan Johor sebelumnya dalam abad ke-19 dan abad ke-18 termasuklah:
i. Raja Temenggung Tun Seri Maharaja Johor (1855 - 1862): Sultan Johor ke-20.
ii. Sultan Ali (1835 - 1877): Sultan Johor ke-19.
iii. Sultan Hussain Shah (1819 - 1835): Sultan Johor ke-18.
iv. Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah (1812 - 1819): Sultan Johor ke-17.
v. Sultan Mahmud Shah III (1761 - 1812): Sultan Johor ke-16.

Umum juga mengetahui bahawa Kesultanan Johor bermula dengan Sultan Mahmud Shah I (1511 - 1528) merupakan Sultan Johor yang pertama. Dalam kutipan akhbar KOSMO semalam tertera penuh nama Sultan Johor yang pertama sehingga yang ke-25.
Sama-samalah kita berkongsi maklumat ini. Terima Kasih.

Ahad, Januari 24, 2010

BERKABUNG - DARI MUAR KE JOHOR BAHRU


Dataran Bandar Raya MBJB (6.20 petang).
Bendera tidak separuh tiang di Ayer Hitam...!

Hadapan PERSADA Johor (6.05 petang).
Hadapan UTHM, Batu Pahat (4.10 petang).

Pejabat kerajaan di Parit Raja (4.05 petang).
IPG Tun Hussein Onn, Batu Pahat (3.45 petang).

Semalam (23 Januari 2010 - Sabtu) dalam perjalanan pulang dari Melaka setelah selesai dua acara pada 22 Januari 2010 (Jumaat) iaitu Bicara Karya Sastera Melaka dan Anugerah Sastera Negeri Melaka melalui jalan biasa iaitu Lebuh AMJ (Melaka - Muar) langsung singgah di Parit Jawa, Muar menikmati asam pedas. Dari Muar sempat merakam beberapa foto tentang 'tiang dan bendera' sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor. Sejak lewat petang (Jumaat) menerima berita kemangkatan ini cuma kepastiannya yang sah pabila melihat dan mendengar siaran tentang berita ini sekitar pukul 11.30 malam.
Bendera berkibar separuh tiang namun ada juga seperti kurang prihatin seperti foto di atas iaitu di sebuah jalan masuk ke kampung dalam kawasan Ayer Hitam (foto dirakam pukul 4.25 petang), bendera Johor dan Malaysia masih tidak berkibar separuh tiang. Sedikit kekeliruan juga timbul pabila ada tempat hanya mengibarkan bendera separuh tiang untuk bendera negeri Johor sahaja, ada tempat kedua-duanya serentak (bendera Johor dan Malaysia), seperti contoh foto di atas sebuah jabatan kerajaan di Parit Raja (bersebelahan UTHM) - malah benderanya lusuh...!
Sebenarnya seperti yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Johor, bendera Johor dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari; begitu juga YAB Perdana Menteri meminta bendera Malaysia juga dikibarkan separuh tiang.
Sampai di Johor Bahru sekitar pukul 5.50 petang lalu terus menyusur jalan berhampiran Istana Besar dan sekitar bandar raya Johor Bahru, satu petang yang masih cerah serta agak panas; sempat juga merakam beberapa foto termasuklah di Dataran Bandar Raya MBJB dan PERSADA Johor.
Di bawah diperturunkan maksud kata kabung dikutip dalam Kamus Dewan Edisi ke-4:

kabungI
= perkabungan kain putih yg dililitkan pd kepala tanda berdukacita (kerana kemangkatan raja dll);
berkabung 1. memakai kabung (tanda berdukacita): setelah baginda dikebumikan, maka mereka itu sekaliannya pun ~lah empat puluh hari; 2. memperlihatkan tanda-tanda sedang berdukacita (kerana kematian seseorang dll): dia memakai pakaian hitam kerana katanya dia sedang ~ kerana kematian suaminya;
perkabungan 1. pakaian (kabung dll) yg dipakai semasa berkabung; 2. perihal, perbuatan atau keadaan berkabung: hari ini ialah hari ~ orang Melayu amnya kerana kejatuhan kerajaan Melayu Melaka
_________________________________________________________
Catatan: Teringat kata-kata Tuan Shamsudin Othman di Restoran Subaidah, MITC Melaka ketika mendengar berita Nightline TV3 12 tengah malam 23 Januari 2010, beliau nyatakan... "dengarlah jika ada meninggal dunia, dalam bahasa Inggeris siapapun manusia disebut cuma PASS AWAY sahaja...!"

Rabu, Januari 20, 2010

GENAP SETAHUN PEMBEDAHAN KECIL

Contoh mata mengalami katarak.

Hari ini (20 Januari 2010) genaplah setahun menjalani pembedahan kecil mata kanan akibat penyakit katarak (selaput). Mengutip sumber Wikipedia Bahasa Melayu seperti berikut:
Katarak adalah sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun. Kanta mata menjadi keruh dan cahaya tidak dapat menembusinya. Keadaan ini menjejaskan penglihatan seseorang dan akan menjadi buta sekiranya lewat, atau tidak dirawat. Masalah katarak berbeza dengan masalah mata Glaukoma.

Menjalani pembedahan kecil ini merupakan satu pengalaman baharu yang sukar untuk diceritakan secara perinci cara dan kaedah yang dilakukan oleh doktor namun ada rahmat-Nya yang diperoleh. Masalah katarak ini mula dikesan pada Oktober 2008, selepas itu berulang alik ke hospital kerajaan untuk menjalani pemeriksaan.
Doktor menyatakan bahawa masalah katarak ini harus dibuat pembedahan segera dalam tempoh 3 - 4 bulan. Namun begitu, doktor menambah bahawa tempahan untuk menjalani pembedahan kecil itu sudah penuh sehingga pertengahan tahun 2009. Kesan katarak yang semakin membesar dalam mata kanan menyebabkan diri ini terlintas serta nekad untuk membuat rawatan dan pembedahan di hospital swasta yang belanjanya 5 kali ganda berbanding hospital kerajaan.
Tetap juga menjalani pemeriksaan di hospital kerajaan sepanjang bulan November dan Disember 2008 serta tetap merayu kepada doktor agar dapat dibuat pembedahan sekitar bulan Januari - Februari 2009, akhirnya pada penghujung Disember 2009 doktor menyatakan ada kekosongan pada tarikh 20 Januari 2009, lantas bersetuju dan bersiap sedia fizikal dan mental untuk menghadapinya.
Bermula tarikh 18 Januari 2009 mula menghuni wad hospital kerana perlu dikuarantin tiga hari sebelum pembedahan. Seawal pagi 20 Januari 2009 merupakan saat mendebarkan, jururawat menyatakan giliran pembedahan iaitu jangkaan pukul 12 tengah hari - 1 tengah hari. Menunggu dengan 'pakaian rasmi' untuk pembedahan sejak pukul 10 pagi namun sehingga pukul 3 petang masih belum dipanggil (kata jururawat ada beberapa kes kecemasan lain yang harus disegerakan pembedahan) sehinggalah pukul 4.30 petang baru dipanggil dan diusung ke bilik pembedahan.
Pembedahan bermula pukul 5.30 petang sehingga 6.00 petang, ketika itu hanya Dia yang tahu betapa hati dan perasaan ini bercampur baur 'sekejap yakin - sekejap risau - sekejap tenang - sekejap pasrah', akhirnya selesai melalui saat pembedahan dilakukan. Syukur kepada-Nya kerana berjaya mengharungi pembedahan kecil ini dengan rahmat dan kekuatan yang diberikan oleh-Nya. Pembedahan kecil ini melibatkan pembuangan selaput keras dalam mata lalu digantikan dengan kanta baharu yang dilekapkan pada mata.
Esoknya sudah dapat pulang ke rumah, pihak hospital menghulurkan kertas cuti sakit selama sebulan serta surat tempoh rawatan susulan. Doktor dan jururawat menasihatkan agar patuh dan disiplin dengan pantang larang dan jagaan untuk mata yang dibedah itu dalam tempoh 1 - 2 bulan. Ubat titis dan krim sapu disediakan.
Kini sudah setahun mata kanan sudah pulih tetapi sejak beberapa bulan lalu sehingga kini mata kiri pula mula yang bakal melanda masalah yang sama namun masih dalam kadar yang minimum. Melalui pemeriksaan awal dan susulan selepas pembedahan, doktor ada nyatakan bahawa mata kiri ini juga akan mengalami hal yang sama pabila tiba tempohnya.
Mata merupakan anugerah-Nya yang amat besar dan hebat seperti juga anggota badan yang lain bagi setiap manusia, penjagaan penuh teliti dan disiplin harus diterapkan sedari umur muda lagi. Anugerah-Nya ini merupakan kebesaran Maha Hebat kepada setiap insan.

Isnin, Januari 18, 2010

SEPETANG DI SEGAMAT

Dari kiri: Cikgu Zaid Akhtar, Prof. Madya Hj. Ahmad Nawawi, Cikgu Amiruddin Ali dan Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim dalam sesi wacana.


WACANA KEPIMPINAN BAHASA DAN SASTERA
1. Walaupun ini hanya program berskala kecil-kecilan sahaja namun inilah program pertama bagi tahun 2010 anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ) bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Perpustakaan Awam Segamat. Berlangsung pada 17 Januari 2010 pukul 2.30 petang sehingga 4.30 petang di Perpustakaan Awam Segamat, program ini diusahakan pengurusannya oleh PPJ Daerah Segamat. YB Ayub Rahmat, Adun Kemelah - kawasan Parlimen Segamat turut hadir dalam program yang membicarakan soal bahasa dan sastera ini.
2. Menariknya juga program ini kerana inilah juga program pertama di daerah Segamat yang sudah lama (dalam 5-6 tahun) ketandusan program bahasa / sastera dikelolakan oleh pihak PPJ apatah lagi PPJ Daerah Segamat. Selepas Mesyuarat Agung PPJ Disember 2009 yang lalu, Ketua 1 PPJ iaitu Cikgu Amiruddin Ali mengambil pendekatan agresif menghidupkan kembali struktur PPJ Segamat ini dengan terlantiknya AJK baharu yang mewakili negeri bagi pihak Segamat sekali gus Pengerusi baharu PPJ Segamat.
3. Program wacana ini menampilkan Cikgu Amiruddin Ali, Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim, Pensyarah UiTM dan Cikgu Zaid Akhtar (penulis prolifik novel peringkat kebangsaan) selaku ahli panel manakala Prof. Madya Hj. Ahmad Nawawi Yaakob selaku pengerusi wacana.
4. Kesemua ahli panel menyampaikan hujah dan cadangan yang bercampur-campur isinya namun tidak tersimpang daripada konteks perbincangan, ada yang sudah biasa kedengaran namun ada hujah yang agak agresif dalam konteks perencanaan dan tindakan bagi kelangsungan terhadap bahasa, sastera dan persatuan penulis. Tertarik dengan beberapa pandangan Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim yang dikutip dalam bentuk isi seperti:
- gerakan yang sistematik dalam perjuangan bahasa dan sastera.
- bersikap positif dalam bertindak.
- strategik dalam kerja dan perjuangan.
- jangan terlalu banyak bercakap tetapi kena kuat dan tekun dalam kerja / tindakan.
Manakala Cikgu Zaid Akhtar menekankan konsep pembentukan generasi Ulul Albab dalam gerakan persatuan sama ada pemimpin dan ahli. Cikgu Amiruddin juga menghuraikan tentang perkembangan perjuangan bahasa dan sastera peringkat kebangsaan kini yang turun naik skalanya sama ada tentang isunya serta peranan sesebuah persatuan yang ada dalam negara kini.
5. Sesungguhnya program berskala kecil-kecilan ini merupakan pemangkin pertama untuk menggerakkan kegiatan bahasa dan sastera di daerah Segamat apatah lagi PPJ Daerah Segamat mempunyai struktur yang disusun kembali yang melibatkan campuran masyarakat awam pencinta bahasa / sastera dan para pensyarah UiTM Johor, Segamat. Dalam perancangan diri ini (semampunya ada) akan cuba menggerakkan sekurang-kurangnya dua program di sini (setelah berbincang lisan dengan Ustaz Ahmad Nawawi) iaitu Bicara Karya Sastera Johor dan Pementasan Teater (dalam konteks skala kecil - sederahana) dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini. Insya-Allah.
SESI MESRA DURIAN SEGAMAT
1. Selesai program wacana, gerombolan 3 buah kenderaan menuju ke Jabi kerana Cikgu Amiruddin mengajak untuk makan durian. Individu yang terlibat dalam 'sesi mesra durian' ini antaranya Cikgu Zaid Akhtar, Cikgu Taufek (PPJ Muar), Sdra. Armin Azhari (Editor Pelita Bahasa) dan termasuk Sdra. Mohd Rizal dan Shahrur (DBPWS).
2. Walaupun durian sudah berkurangan (kerana menurut orang tempatan dan penjual di situ bahawa durian berbuah hanya untuk beberapa kawasan tertentu dalam daerah Segamat kali ini), ahli rombongan ini dapat juga menikmati durian asli Segamat yang sememangnya terkenal seluruh negeri Johor termasuk di Kuala Lumpur.
3. Makan di gerai jualan durian di tepi jalan utama bersama 8 - 10 orang serentak memang mengasyikan berbanding makan di rumah seorang diri, suatu pengalaman yang menambahkan seri dalam persahabatan dan berbual-bual sambil mulut menikmati lazatnya isi durian.
4. Dalam pertemuan sepetang di Segamat ini sempat juga berbual-bual soal EPL bersama Cikgu Zaid Akhtar dan Cikgu Taufek, masing-masing kecewa dengan 'nasib tidak baik' kepada pasukan Liverpool serta mengakui Liverpool bermain baik namun kerana tiada nasib yang baik menyebabkan Liverpool jadi seperti yang ada kini... apa-apapun 'You're Never Walk Alone'!

Ahad, Januari 17, 2010

SANTAI: FOTO PEMAIN CHELSEA DI ANGOLA

Foto kutipan dalam web Berita Harian Online.

Sempat juga mengikuti perkembangan Kejohanan Bola Sepak Negera-negara Afrika yang kini berlangsung di Angola. Kejohanan ini seumpama kejohanan bola sepak negara-negara Eropah. Ramai pemain dari negara-negara Afrika yang bermain dalam liga utama di Eropah terutamanya dalam English Premier League (England), La Liga (Sepanyol), Serie A (Itali), Bundesliga (Jerman) dan Ligue 1 (Perancis) kini berkhidmat penuh untuk pasukan kebangsaan masing-masing.
Foto di atas melibatkan perlawanan Ivory Coast menentang Ghana. Menariknya foto di atas - persaingan antara dua pemain Chelsea iaitu Essien (Ghana) dengan Kalou (Ivory Coast), kedua pemain utama Chelsea ini memakai jersi bernombor 8, seorang lagi pemain Chelsea dalam pasukan Ivory Coast merupakan Drogba. Semalam tanpa bintang Afrika iaitu Drogba - Essein - Kalou - Mikel, Chelsea membelasah Sunderland 7 - 2. Melihat perlawanan Chelsea semalam sepatutnya Chelsea boleh menang dengan 10 gol pabila beberapa percubaan Anelka dan Joe Cole hampir menggegarkan gawang gol.
Ivory Coast menewaskan Ghana 3 - 1.

EPL: NASIB LIVERPOOL MURAM - CHELSEA TANPA BINTANG AFRIKA...

Buku rujukan 'rasmi' EPL 2009/2010 anak-anak.


Chelsea dan Liverpool dua pasukan dalam English Premier League (EPL) yang diikuti rapat perkembangan dan perlawanannya sejak dahulu lagi, tapi nasib dua pasukan kegemaran ini berbeza pada musim 2009/2010 ini (setidak-tidaknya sehingga tarikh hari ini).
Liverpool berterusan 'turun - naik' maksudnya kelihatan seperti "yo-yo" iaitu menang dan kalah bersilih ganti. Semalam hanya seri 1 - 1 dengan Stoke. Liverpool bukanlah bermain tidak baik tetapi seperti ada yang tidak kena dengan nasib pasukan ini, namun Liverpool tetap bangga dengan 'You're Never Walk Alone'. Liverpool pasti bangkit pada musim 2010/2011 nanti, ya mungkin dengan Pengurus baharu (mungkinkah Hiddink atau Mourinho?).
Chelsea menang penuh bergaya membelasah Sunderland 7 - 2, tanpa pemain bintang dari benua Afrika iaitu Drogba - Essein - Mikel dalam pasukan Chelsea yang kini bermain untuk negara masing-masing dalam Kejohanan Bola Sepak Afrika. Namun Man U terus mengekori Chelsea melalui kemenangan 3 - 0 ke atas Burnley (dalam pusingan pertama EPL 2009/2010, Man U dikejutkan oleh Burnley - tewas 1 - 0).
Perjuangan merebut Piala EPL masuk edisi pusingan kedua, maknanya setiap pasukan dalam EPL akan bermain sebanyak 19 - 20 perlawanan lagi sehingga Mei nanti. Yang ditunggu-tunggu juga kini perlawanan pusingan kedua (timbal balik) dalam Champions League - yang ditunggu antaranya perlawanan Chelsea - Inter Milan dan Man U - AC Milan.

Khamis, Januari 14, 2010

ANUGERAH SASTERA NEGERI MELAKA - JULUNG KALINYA...




Sudah lama impikan agar negeri Melaka juga mempunyai anugerah sastera yang mendapat pengiktirafan penuh Kerajaan Negeri Melaka seumpama Kerajaan Negeri Johor yang mengadakan Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT). Sekadar makluman, HSDT mula diwujudkan sejak tahun 1996, HSDT diadakan dua tahun sekali secara konsisten sehingga kini. Pihak DBP Wilayah Selatan (DBPWS) mula terlibat dalam HSDT (sebagai rakan / organisasi kerjasama) bermula pada tahun 2001 dan seterusnya untuk tahun 2003, 2005, 2007 dan 2009. HSDT ini diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama DBPWS, PPJ, MKNJ dan GAPENA.


Akhirnya pada penghujung tahun lalu pihak Kerajaan Negeri Melaka memutuskan untuk mewujudkan Anugerah Sastera Negeri Melaka (ASNM) buat julung kalinya. Penganjuran ASNM buat kali pertama ini cuma memberikan anugerah / hadiah untuk empat kategori sahaja terlebih dahulu. Penganjuran ASNM dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dengan diselenggarakan oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) yang merupakan sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri Melaka dengan mendapat kerjasama DBPWS dan beberapa badan kerajaan di Melaka.

Majlis penyampaian ASNM akan diadakan pada 22 Januari 2010 (Jumaat - 8.00 malam) di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Dalam majlis ini nanti akan disampaikan 4 anugerah / hadiah kepada individu yang telah dinilai sebelum ini iaitu:
i. Anugerah Sasterawan Negeri Melaka.
ii. Anugerah Sasterawan Muda Negeri Melaka.
iii. Anugerah Penulis Bukan Melayu Negeri Melaka.
iv. Hadiah Galakan Penulis Remaja Melaka.

Sesungguhnya dalam mengejar kemajuan dan kemakmuran ekonomi serta sosial buat masyarakat negeri Melaka, Kerajaan Negeri Melaka akhirnya menumpukan juga terhadap kemajuan dan kelestarian dunia sastera dan persuratan khususnya untuk negeri Melaka. Setidak-tidaknya terdapat sebuah penganugerahan khas dalam hal karya serta kegiatan sastera dan persuratan yang mendapat pengiktirafan sesebuah kerajaan negeri di Malaysia ini. Sesungguhnya ramai anak kelahiran Melaka dan pemastautin tetap di Melaka yang prolifik dalam penulisan dan persuratan sastera sama ada peringkat negeri dan peringkat kebangsaan sejak berdekad lamanya.

Umum juga mengetahui bahawa beberapa kerajaan negeri juga telah mewujudkan anugerah sastera sebegini sebelum ini, cuma ada negeri yang konsisten dan ada negeri yang sudah lama tidak melaksanakannya.

___________________________________________________________

Catatan kecil - sekadar maklumat tambahan: Melaka kini mempunyai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang baharu iaitu MAJLIS PERBANDARAN HANG TUAH JAYA (MPHTJ). MPHTJ ini diwujudkan dan dilancarkan secara rasmi pada minggu lepasa. PBT ini merupakan PBT keempat selain Majlis Bandar Raya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).