Jumaat, April 15, 2011

PPMPSMNJ - "DASAWARSA MEMBINA PENULIS REMAJA"

Cikgu Mohd Kasim Mahmud penuh yakin menyampaikan ilmu penulisan cerpen.

Gaya menarik Cikgu Azhar Salleh dengan penyampaian penuh jitu dan hangat...!
Gaya Cikgu Azhar Salleh seumpama seorang ahli politik terkenal dan berwibawa...!


Para pelajar riang mendengar celoteh Cikgu Azhar Salleh.


Latar pentas perkampungan.

Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor (PPMPSMNJ) 2011 bermula pada 12 - 14 April 2011 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, Johor Bahru. Pemilihan tempat ini atas sebab biayanya yang bersesuaian dengan peruntukan kecil yang ada, namun walaupun biaya kecil diterima program ini wajib diteruskan! Usia program ini juga telah masuk tahun ke-10 makanya dibina slogan khas sempena perkampungan ini iaitu "DASAWARSA MEMBINA PENULIS REMAJA". Program anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) melibatkan seramai 50 pelajar dan 12 guru pengiring dari seluruh sekolah menengah dalam negeri Johor yang terangkum 10 daerah kesemuanya.


Hari Pertama - 12 April 2011

Program bermula pukul 2 petang - 3.30 petang dengan pendaftaran peserta dan guru pengiring serta sesi taklimat dan penerangan. Program diteruskan pada pukul 4.30 - 6.30 petang dengan sesi 'Penulisan Cerpen' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud, penulis prolifik bidang cerpen, puisi dan novel peringkat negeri dan kebangsaan berasal dari SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor. Tugasan untuk menghasilkan sebuah atau lebih cerpen untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar. Perkampungan kali ini turut dibantu dengan penuh komited oleh guru pengiring iaitu Hamzah Rahman Soriat, Hamzah Hamdan, Mohd Taufek Mahmud, Zaid Akhtar, Rohaidah Yon, Khuzaimah Siraj, Siti Hadijah Sunok dan beberapa guru baharu.

Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi 'Penulisan Puisi' yang disampaikan oleh Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP merangkap penulis prolifik karya puisi dan cerpen negeri Johor dan kebangsaan. Beliau seperti biasa membuatkan 'suasana jadi hangat dengan celoteh berilmunya (bukan celoteh biasa)'. Beliau meminta para pelajar menghasilkan 3 puisi yang wajib dihantar pada hari terakhir perkampungan.


Hari Kedua - 13 April 2011

Hari kedua program bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari diadakan sesi sambungan 'Penulisan Puisi dan Cerpen'. Sesi petang bermula 2.30 petang sehingga 4.30 petang diteruskan dengan sesi sambungan hal-hal penulisan cerpen oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi sambungan penulisan puisi yang disampaikan oleh Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Sesi Cikgu Azhar Salleh terus 'hangat dan panas' atas penyampaian ceramah serta bimbingan Cikgu Azhar yang 'membakar', diselitkan dengan motivasi dan kesedaran terhadap nasib serta perkembangan bahasa Melayu kini. Tugasan untuk menghasilkan 3 puisi untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar serta perlu dihantar selewat-lewatnya pagi esok (hari terakhir).


Hari Akhir - 14 April 2011


Program bermula pukul 8.30 pagi sehingga 1.15 tengah hari diadakan sesi 'Penilaian Karya Cerpen dan Puisi' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud dan Cikgu Azhar Salleh. Semua tugasan menghasilkan sebuah cerpen dan 3 puisi yang diamanahkan kepada setiap pelajar berjaya disiapkan. Sijil penyertaan dan penghargaan diserahkan kepada para pelajar dan penceramah/pembimbing. Seperti biasa dalam tempoh 1-2 minggu terdekat ini penceramah akan menilai karya cerpen dan puisi untuk dikemaskan dan disunting bagi dihantar ke majalah terbitan DBP khususnya majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta juga untuk diterbitkan dalam buletin Jendela Selatan DBPWS. Selain itu, karya pelajar ini juga akan dinilai dan dipilih untuk dimuatkan dalam antologi pelajar perkampungan negeri Melaka dan Johor seperti amalan yang lepas dilaksanakan oleh DBPWS sejak tahun 2002 - 2010.



Terima kasih buat Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu Mohd Kasim Mahmud, serta semua guru pengiring yang sebahagian besarnya guru yang prolifik dalam penulisan kreatif sama ada peringkat negeri dan kebangsaan; seribu penghargaan terima kasih juga buat pihak JPNJ; juga berbanyak terima kasih buat urus setia DBPWS iaitu En. Syaidul Azam Kamarudin, Siti Hajar Elah, Mohd Rizal, Raja Azuan, Shahrur, Roz Idayu dan Faizah atas khidmat dan bantuan yang dihulurkan dalam menjayakan program perkampungan ini yang sudah masuk 10 tahun ini.

5 ulasan:

Siti Nadzirah Zakariah berkata...

seronok perkampungan hari tu. mula mula takut sebab cetek ilmu penulisan. tapi bila dah nak balik rasa sedih pula. insyaAllah saya akan terus menulis. terima kasih cikgu!

akhirnya gambar ku terselit juga..:)

Azhar Salleh berkata...

RAR,
gua akan terus berusaha utk memastikan nama baik RAR, nama baik DBPWS, dan nama baik gua sendiri akan terpahat dalam sanubari peserta dan guru pengiring...Gua akan sentiasa bersama-sama DBPWS (khususnya program RAR) selagi diperlukan...!

Azhar Salleh berkata...

Siti,
Terima kasih kembali...dan teruskan langkah dalam bidang penulisan...ilmu tidak cetek lagi kan...

Siti Nadzirah Zakariah berkata...

alhamdulillah..dah digunapakai untuk majalah sekolah..:)

terima kasih cikgu..

NASSURY IBRAHIM berkata...

Bagus program tu