Teringat rakan-rakan zaman sekolah menengah dahulu iaitu ketika zaman "rock kapak" tengah menggila dan mengganas sekitar tahun 1985 - 1991. Foto klasik (termasuk manusia bertaraf klasik dalam foto ini) di atas diambil dalam 'facebook' seorang rakan sekolah lama, foto dirakam ketika hadapi SPM tahun 1989...
Masuk tahun 2011 maknanya diri ini sudah sedekad berada di negeri Johor ini, diri ini tetap begini khususnya dalam kerja hakiki. Sudah sedekad di Johor rasanya pula macam 'lebih Johor daripada orang Johor sendiri', ya... bukannya apa-apa tapi dalam sedekad ini telah hampir 90% tempat di negeri Johor sudah dilalui dan dilihat serta memijak kaki juga termasuk hampir 90% tempat di negeri Melaka dilalui dan dilihat serta memijak kaki atas nama tugas rasmi hakiki dan kerja tidak rasmi. Secara tepatnya pada 2 Mei 2011 nanti maka genap 10 tahun berkhidmat kerja hakiki untuk negeri Johor dan Melaka.
Tahun 2010 yang baru berlalu terus tercatat dan terhimpun banyak pengalaman serta bertambah ilmu pengetahuan bukan sahaja ilmu rasmi tetapi termasuk ilmu tidak rasmi termasuk makin bertambah 'ilmu insan sekeliling' khususnya berkaitan hal-hal positif dan bermotivasi (hal-hal negatif dan tidak menggalakan pemikiran serta tindakan positif biarlah dijadikan ingatan serta pengajaran). Tambahan ilmu dan pengalaman diri sebenarnya banyak didorong dan dikutip dalam kalangan rakan-rakan atas urusan kerja rasmi serta rakan-rakan dalam konteks bukan hal rasmi kerja. Berbanyak terima kasih dan penghargaan buat semua rakan yang banyak membantu diri ini mengutip ilmu dan pengalaman berharga dalam kehidupan seharian ini; besar atau kecil jasa kalian tetap besar hikmahnya buat diri ini.
Tahun 2010 juga seperti tahun-tahun yang lain sebelumnya program dan aktiviti tugas hakiki berjalan dalam keadaan baik dalam konteks mengekalkan 'Minat - Cinta - Sayang' (MCS) yang menebal; demi 'MCS' ini maka pencapaian program melebihi perancangan; contohnya tahun 2010 merancang program sebanyak 25 program / aktiviti berskala kecil, sederhana dan besar tetapi yang dibuat sebanyak 41 program walaupun biaya dan peruntukan yang diterima semakin mengecil. Semoga serta didoakan kepada-Nya agar 'MCS' yang ada serta atas kurnia besar-Nya ini terus kekal atau sekurang-kurangnya bertambah lagi... namun dalam hal ini ada terbit juga sepicing kebimbangan mungkinkah 'MCS' ini akan berkurangan atas beberapa sebab tertentu...? Mohon kepada-Nya agar sepicing kebimbangan ini tidaklah terlalu kerap dan secara tetap hinggap dalam hati dan minda ini...
1 ulasan:
Gua tak pernah bimbang ttg MCS, RAR! Still maintain...!
Catat Ulasan