Isnin, Januari 03, 2011

PIALA ASIA: MANA WAKIL NEGARA ASIA TENGGARA...?

Foto hiasan: Antara aksi terpilih dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2010.

Kejayaan skuad bola sepak Malaysia meraih johan Piala AFF yang melibatkan 8 negara terbaik Asia Tenggara masih disebut-sebut sehingga hari ini dalam kalangan rakyat dan media Malaysia. Bayangkan jika suatu hari nanti skuad bola sepak Malaysia meraih johan kejohanan bola sepak Piala Asia (usah bicara soal Piala Dunia...) atau menang pingat dalam acara bola sepak Sukan Olimpik / Sukan Asia, bagaimanakah nanti sambutan dan 'perayaan' yang diadakan nanti?
Sudah masuk bulan Januari 2011 maka tibalah masanya tumpuan seluruh peminat bola sepak di negara-negara Asia khususnya kepada kejohanan bola sepak negara-negara Asia atau dikenali Piala Asia AFC. Kejohanan bermula pada 7 Januari 2011 ini di Qatar yang melibatkan 16 pasukan (4 pasukan setiap kumpulan) yang berjaya melalui pusingan kelayakan sebelum ini. Negara seperti Jepun, Korea Selatan, Iran, Australia, Arab Saudi, Iraq dan Korea Utara memang antara kuasa besar dalam bola sepak Asia. Negara lain yang terpilih termasuklah Qatar, Kuwait, China, Uzbekistan, Syria, Jordan, Bahrain, UAE serta mengejutnya penampilan negara India! India bersama-sama Korea Selatan, Bahrian dan Australia dalam kumpulan C.
Sekurang-kurangnya 16 pasukan ini menggambarkan simbol 16 pasukan negara Asia yang terbaik, menghairankan tiada wakil negara-negara Asia Tenggara dalam Piala Asia 2011 kali ini khususnya negara Thailand yang beberapa kali dapat layak ke Piala Asia sebelum ini. Formula mudahnya iaitu ketika peringkat saringan pasukan dari negara Asia Tenggara sudah 'tewas awal' kepada pasukan-pasukan negara lain termasuklah Malaysia.
Dalam kehangatan dan keghairahan pasukan bola sepak Malaysia yang meraih juara Piala AFF dilambung tinggi serta dipuji 24 jam... maka sasaran seterusnya sebelum 'impikan' layak ke Piala Dunia, pasukan Malaysia harus layak dahulu ke Piala Asia serta mencatat kejayaan yang memuaskan sekurang-kurangnya bermain dalam perlawanan separuh akhir; jika ini terjadi maka memang layak pasukan Malaysia dijulang dan diarak ke seluruh negara... (kerana ada cadangan dalam akhbar bahawa perlunya skuad juara Piala AFF ini diarak ke seluruh negara...!?)

1 ulasan:

MARSLI N.O berkata...

Sdr RAR: Apa azam tahun baru?