Penat bermain bola sepak sepanjang cuti sekolah... sesi persekolahan sudah bermula, makanya bermain bola sepak buat anak-anak cuma pada hari Sabtu atau Ahad sahaja selepas ini...
Usai dengan urusan pendaftaran dan membuat pelbagai bayaran sekolah dua orang anak pada hari pertama tahun 2011 ini, seorang darjah 6 dan seorang darjah 3. Sejak pukul 8 pagi sehingga 11.30 pagi uruskan hal berkenaan yang melibatkan dua sekolah iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah agama di Bandar Baru Uda. Sememangnya di dua buah sekolah ini meriah dengan kehadiran ibu bapa dan penjaga pada hari ini, bagi ibu bapa dapat juga berkenalan sesama mereka yang membuat urusan pendaftaran dan pembayaran anak yang bersekolah.
Biasalah jika sekolah yang dijenamakan dengan jenama 'prestasi tinggi' dan 'sekolah amanah' maka pihak pengurusan sekolah melakukan pelbagai pendekatan baharu yang juga melibatkan hal-hal bayaran itu dan ini sehingga kepada cara pakaian seragam sekolah juga ada pembaharuan. Majoriti ibu bapa dan penjaga menurut serta menyokong pembaharuan yang dilakukan, namun ada segelintir kecil ibu bapa dan penjaga yang 'mula tunjuk taring' pertikai itu dan ini. Hal ini dapat disaksikan dan didengar ketika sesi pendaftaran dan pembayaran yang dibuat siang tadi. Kasihan para guru terpaksa dengan bermanis muka dan mulut menjelaskan hal yang berkenaan kepada segelintir ibu bapa yang disifatkan 'emosi dalam keadaan kurang terkawal' serta menampilkan reaksi yang ada kalanya kurang wajar.
Terdapat segelintir ibu bapa yang boleh dikategorikan sebagai 'agak kedekut' untuk membayar itu dan ini sedangkan sebahagian besar pembaharuan yang dibuat oleh pihak sekolah demi kemajuan dan peningkatan ilmu pelajar itu sendiri...! Biarlah pihak sekolah buat pembaharuan dahulu sehingga satu tahap atau satu tempoh (contohnya dalam tempoh 3 - 6 bulan persekolahan) jika pembaharuan ini dan itu tiada makna dan tiada kemajuannya buat pelajar maka ketika itu barulah dapat disalurkan rasa tidak puas hati atas bayaran yang telah dibuat...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan