Jumaat, Mei 14, 2010

TAHNIAH MALAYSIA...

Nostalgia lagi... Maradona menjulang Piala Dunia di Stadium Azteca, Mexico tahun 1986 (sekadar foto hiasan).

1. Terlalu bergantung dan berharap kepada nostalgia 1992, maka jadinya tenggelamlah bersama-sama nostalgia itu. Sebuah pengalaman yang agak menarik serta bersulam hati riang dan kadang kala tertawa sepanjang menonton perlawanan badminton separuh akhir Malaysia menentang China. Kecundang juga Malaysia 3-0 seperti ramalan awal setelah dengan 'angkuh dan penuh bangganya' menang amat tipis ke atas Denmark dua hari lalu.
2. Hakikatnya Malaysia bukan tewas 3-0 tetapi tewas 6-0 kerana dua pemain perseorangan dan pemain beregu tewas mudah dua permainan terus (straight set) dalam setiap perlawanan. Jikalah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) wajibkan supaya perlawanan ke-4 dan ke-5 tadi diteruskan rasa-rasanya tewas 5-0 (10-0 secara straight set).
3. Terfikir juga jika pasukan Nigeria sempat datang lalu menentang Malaysia dalam peringkat kumpulan tempoh hari bolehkah Malaysia layak ke suku akhir?
4. Cukup hebat dilihat beberapa kali Chong Wei dan Choon Han lakukan 'jump smash' tetapi yang peroleh mata pemain China, pemain Malaysia cuma tertiarap mencium simen gelanggang sahaja! Chong Wei mudah 'diratah' Lin Dan dengan tewas mudah 17-21 dan 8-21. Kali ini beliau tidak sempat 'memeluk' seseorang! Unsur 'spektakular' yang diingati dalam perlawanan ini - Lin Dan membuat sedikit gerak badan aksi ala-ala tarian 'breakdance' selepas menewaskan Chong Wei!
5. Nampak juga penyokong di dalam stadium yang dipaparkan dengan permainan kelas 'impian palsu'. Penyokong bersorak bagaikan Malaysia bakal memenangi Piala Dunia Bola Sepak FIFA pula rasanya.
6. Impian untuk tidak mahu melihat kelibat 'orang kuat badminton' terpapar melalui televisyen termakbul juga akhirnya; bayangkan jika Malaysia menang tadi entah tahap 'histeria' manakah yang bakal tergambar dan dipaparkan.
7. Tahniah buat pengulas perlawanan tadi untuk tiga saluran televisyen iaitu TV1, TV9 dan Astro Arena pabila sudah mula 'sedikit insaf' pabila pemain-pemain Malaysia menampilkan permaian semacam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah sahaja.
8. Pengulas yang sama bertugas seperti perlawanan menentang Denmark dua hari lalu kali ini mengulas secara agak profesional dan realistik. Pujian penuh dan ikhlas sebenarnya pabila Datuk Rahim Razali mengulas perlawanan tadi dengan penuh berhemah dan membanggakan tanpa perlu memuji berlebih-lebihan kepada pemain-pemain Malaysia. Beliau dijemput selaku pengulas undangan dalam Astro Arena.
9. Tahniah buat China kerana 'menyedarkan' Malaysia kali ini agar tidak lagi bersikap teramat yakin dan heboh melaungkan bahawa bakal merangkul Piala Thomas kali ini. Hebohnya dengan meluas sekali sebelum 2-3 minggu kejohanan bahawa Malaysia 'tidak gentar dan amat yakin' untuk mengulangi kejayaan 1992; nah... terima sahaja kesannya kini.
10. Takut juga ingin membaca akhbar dan menonton televisyen esoknya kerana semacam terbayang 'sejuta alasan' bakal terhidang nanti; mungkinkah alasan kalah kali ini kerana Stadium Putra Bkuit Jalil tidak cukup tempat menampung jutaan penyokong, mungkinkah kerana baju T yang tidak sesuai, mungkinkah keluasan gelanggang tersalah ukur besarnya, mungkinkah jaring di tengah gelanggang menghalang penglihatan pemain, mungkinkah air yang diminum di tepi gelanggang tidak sesuai buat pemain (pemain Malaysia minum 100 PLUS - pemain China minum Red Bull), mungkinkah sejuta kemungkinan...?
11. Apa-apapun TAHNIAH BERSTATUS TULEN DAN TERPUJI serta amat sewajarnya buat Malaysia, maksudnya buat SKUAD BOLA SEPAK MALAYSIA dalam kejohanan Sukan SEA 2009 yang lalu. Pasukan ini tanpa diberikan sebarang harapan dan dalam keadaan merendah diri serta realistik tanpa heboh melaungkan keyakinan dan tanpa riak dan cakap besar berjaya merangkul pingat emas bola sepak Sukan SEA 2009!

3 ulasan:

Zaid Akhtar berkata...

Saya tetap akan menyalhkan pegawai2 BAM. Merekalah punca sebenar kekalahan. :-)

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Zaid @ YNWA,
Antara faktor utama kekalahan... pemain dan pegawai badminton Malaysia (termasuk 'orang kuat itu') tidak baca dan menekuni serta mengambil falsafah juga motivasi dalam buku JUSTERU IMPIAN DI JARING!
Hehehe...

Zaid Akhtar berkata...

Harapnya para pemain, penyokong dan pemimpin kita yang beragama Islam memelihara solat mereka.

Bersukan bersukan juga, agama usah dilupa!