1. Jika tidak silap jam menunjukkan pukul 10.40 pagi (Sabtu - 25 April 2009), saya sedang sibuk menguruskan banyak hal di rumah. Sambil banyak kerja di rumah saya membuka radio melalui siaran Astro 863 iaitu Radio THR Gegar Pantai Timur.
2. Melalui radio biasa, frekuensi siaran radio ini hanya boleh didengar oleh masyarakat Pantai Timur sahaja (Kelantan, Terengganu dan kawasan timur Pahang) tetapi untuk di luar kawasan ini boleh didengari melalui Astro 863.
3. Ketika itu siaran radio ini menyiarkan rancangan berjudul Carta Hits Gegar, maka berkumandang lagu 'Seloka Pak Kaduk' nyanyian Roslan Madun. Lagu ini masuk dalam carta 'hits' pada kedudukan no. 15 (daripada 25 lagu). Sesuatu yang menarik perhatian saya! Ada juga lagu dikir barat termasuk dalam carta...! Semestinya siaran radio ini juga menyelitkan lagu-lagu rakyat dalam rancangan hariannya.
4. Saya sering juga mendengar siaran THR Gegar ini terutama untuk alih angin setelah 'bosan dan penat' mendengar Radio Sinar FM terutama waktu petang jika seorang juruhebah wanitanya bertugas. Juruhebah itu sebelum ini cukup popular dalam sebuah siaran radio terbesar dan terpopular negara tetapi beliau ini seperti 'dibuang' ke Radio Sinar FM, namun beliau masih membawa 'perangai dan kaedah' sama untuk siaran radio berkonsepkan retro ini (Sinar FM)... itulah yang 'membosankan dan memenatkan' saya untuk mendengarnya. Terdengar dan terbaca juga cakap-cakap dan tulisan dalam akhbar bahawa wanita Johor ini semacam 'masuk bakul angkat sendiri' dalam rancangan kendaliannya dalam Sinar FM!
5. Lantas saya teringat Cikgu Azhar, ya... lebih tepat Cikgu Azhar dan Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka. Walaupun dalam program perkampungan ini ditumpukan khusus tentang penulisan karya kkreatif cerpen dan puisi moden, namun sejak tahun 2008 dan 2009 program untuk untuk pelajar sekolah Johor dan Melaka diselitkan satu slot (dalam 1 jam) tentang pengenalan dan penghayatan asas puisi Melayu tradisional khasnya tentang syair, gurindam, nazam, pantun dan seloka.
6. Cikgu Azhar bersama beberapa guru fasilitator berusaha sedaya mungkin dalam masa singkat untuk melagukan puisi-puisi tradisional ini bersama para pelajar termasuk 'Seloka Pak Kaduk'. Irama seloka ini menjadi nyanyian bersama para pelajar. Pengenalan asas yang diselitkan ini bertujuan agar para pelajar muda ini tidak lupa puisi-puisi tradisional serta irama untuk melagukannya.
7. Di bawah disertakan seloka berkenaan:
Aduhai malang Pak kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk.
8. Setidak-tidaknya sasaran untuk menyedarkan para pelajar mengenali dan melagukan puisi Melayu tradisional berjalan dalam kaedah dan suasana yang baik melalui program perkampungan sebegini (walau dalam masa terhad)..., namun apakah masyarakat dalam lingkungan umur 30 tahun ke atas masih ingat dan dapat melagukan sebahagian puisi-puisi Melayu tradisional ini?
p/s: WITRA bertambah dan semakin yakin melagukan seloka sejak 2 tahun belakangan ini... tahniah!