Bangunan Bukit Timbalan dipenuhi sinaran cahaya lampu.
Para Pembesar Melayu Johor.
Sebahagian tenaga pelakon dan produksi BBP bersama-sama Din Manas, Pengarah BBP.
Para Pembesar Melayu Johor.
Sebahagian tenaga pelakon dan produksi BBP bersama-sama Din Manas, Pengarah BBP.
Semalam sempat menyaksikan pementasan teater 'Bumi Berlantai Permata (BBP)' di Bukit Timbalan, Johor Bahru (lebih tepatnya pentasnya di belakang bangunan Bukit Timbalan). Pementasan ini diadakan sempena "The 7th JB Arts Festival" yang diadakan bermula 29 Jun - 24 Julai 2010. Pelbagai acara seni dan budaya diadakan sepanjang JB Arts Festival ini termasuklah pementasan teater BBP ini.
BBP dipentaskan selama tiga malam bermula 2 - 4 Julai 2010. Kesempatan menyaksikan semalam (malam terakhir) kerana 'sibuk dengan agenda PD 2010' iaitu dua malam sebelumnya peringkat suku akhir PD 2010. BBP merupakan skrip Rahimah Muda dan diarahkan oleh Sahruddin Manas (Din Manas).
Teater berskala besar yang memakan masa pementasan selama dua jam bergerak melalui muzik layak diklasifikasikan sebagai teater muzikal. Muzik dan nyanyian yang disampaikan secara langsung (live) cukup memikat dan menghiburkan tetapi bukanlah nada muzik dan nyanyian yang membuatkan diri ini memberikan markah teater ini dengan skala 8.5/10. Hakikatnya mesej tentang sejarah Johor itulah yang utama selain muzik dan nyanyian yang dialunkan begitu dominan membantu jalan ceritanya.
BBP memaparkan pelbagai watak dan peristiwa dalam sejarah Johor sekitar tahun 1886 - 1907 antaranya Dato' Jaaffar, Wong Ah Fook, Abdullah Tahir, Ungku Abdul Rahman Andak, Mohd Salleh Perang, Cecil Clementi Smith, Frederick Weld, kongsi Ngee Heng dan pelbagai watak dan kisah yang berkaitan tentang pembangunan Johor dan kelicikan British ingin menawan dan mengambil Johor. Unsur kelucuan juga diselitkan antaranya watak dan babak Wak Marjan, Penglipur Lara dan isteri-isteri pembesar British dan pembesar Melayu 'bersaing' menunjukkan kehebatan masing-masing. Loghat dan sebutan bahasa Melayu oleh Wong Ah Fook yang 'bersahaja dan menjadi' ikut pelat Cina juga menimbulkan ketawa dalam kalangan 500-600 orang penonton termasuk tetamu VIP iaitu YAB Menteri Besar Johor dan YB Datuk Setiausaha Kerajaan Johor. Ada juga diselitkan babak pertarungan seni pertahanan diri kaum Cina yang pantas iaitu wushu.
Terdapat satu babak dalam BBP yang diangkat iaitu tentang penubuhan Pakatan Belajar - Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB). Gagasan penubuhan PBMPB ini dilontarkan oleh Ungku Abdul Rahman Andak sekitar tahun 1888. Terdetik dalam hati bahawa babak tentang PBMPB ini boleh diangkat menjadi satu pementasan teater yang lain tentang kisah berkembangnya bahasa Melayu secara teratur dan terancang yang bermula di negeri Johor.
Sesungguhnya, pementasan teater BBP ini cukup memuaskan hati, teater antara yang terbaik dan diingati sepanjang 10 tahun menyaksikan dan melibatkan diri dalam pementasan teater di negeri Johor ini. Ya... tanpa selebriti atau artis popular para pelakon watak utama dan pembantunya (kebanyakannya dikenali kerana ada juga yang terlibat dalam penganjuran teater oleh DBPWS) semakin meningkat mutu gerak lakon dan dialog yang dilontarkan. Tidak salah diklasifikasikan teater ini cukup berbekas dalam hati dan membanggakan.
Tahniah dan penghargaan besar buat semua yang terlibat (seramai 70-80 orang termasuk penari dan petugas teknikal) dalam BBP. Din Manas selaku pengarah semakin melebarkan sayapnya yang luas serta bertambah meningkat mutu teater arahannya. Secara pendapat peribadi sahaja..., selayaknya BBP ini boleh diangkat ke peringkat nasional khususnya pementasan di Istana Budaya atau sekurang-kurangnya Auditorium DBPKL dan Auditorium DBP sendiri...
5 ulasan:
Salam RAR,
Gua masih terdengar dan terusik dengan teater monolog di balai seminar...
Cikgu Azhar,
Semampunya ada dalam skala kecil buat pementasan tetapi harus berterusan.
terima kasih daun keladi...bagi pihak semua ahli B.B.P
Sdra Tun Kudu,
1. Pertamanya, terima kasih berkunjung dan membaca blog kerdil seadanya ini.
2. Pementasan ini antara yang terbaik serta bermutu pernah saya saksikan di bumi Johor sepanjang 10 tahun di sini.
3. Bagaimana hendak tahu siapakah diri anda wahai Tun Kudu...?
Sdra Rusdi,
Utk pengetahuan anda, sy sendri dpt blog anda ini dr seorg teman yang juga ahli yg terlibat dlm pementasan ni. kami ada post add blog anda ini di page facebook kami utk dikongi bersama teman2 yang lain. harap anda tak marah... :)
Catat Ulasan