Isnin, Jun 27, 2011

HARI BERSANTAI DI ENDAU, MERSING

Pantai, air, pulau dan bot.


Jeti berhadapan pulau.


Pulau yang berdekatan, jaraknya cuma 200 meter dari pantai.


Hadapan tempat rehat dan santai (resort).


Kanak-kanak riang mengutip gula-gula.


Pada 25 - 26 Jun 2011 berkunjung ke Penyabong, Endau, Mersing, Johor atas urusan hari bersantai. Inilah kali pertama berkunjung ke kawasan pesisiran pantai yang popular di Endau khususnya Penyabong, sebelum ini hanya beberapa kali lalu di hadapan Kem PLKN Teluk Sari, Endau, Mersing. Rupa-rupanya kawasan di sini agak menarik pemandangan yang terpapar 3-4 pulau berhampiran pantai termasuk ada jeti LKIM. Banyak kereta yang diletakkan di kawasan jeti tersebut, rupa-rupanya pemilik kereta letak kenderaan di situ untuk ke laut (bermalam) memancing serta menjalankan aktiviti laut. Ada beberapa tempat santai (kawasan rehat / resort) untuk bermalam serta beberapa gerai jualan hasil laut di sini. Kawasan berhampiran di situ dinamakan Pasir Lanun yang terdapat kem perkhemahan pantai dan hutan renek.

Jumaat, Jun 24, 2011

MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN DBP KE-55

Foto di atas disalin daripada pihak Unit Foto DBP (Abang Jalil), berbanyak terima kasih atas keizinan menyalin beberapa foto majlis berkenaan. Latar belakang pemandangan malam Kuala Lumpur 'diletak' dengan baik dan sempurna.

BENGKEL PENGHAYATAN WARISAN PUISI MELAYU PELAJAR MELAKA

Pintu masuk ke Perkampungan Seni Muara Sungai Duyung, Melaka.


Sebahagian para peserta bengkel.


YB Datuk Othman Mohamad, Speaker DUN Melaka merasmikan bengkel.


Program Bengkel Penghayatan Warisan Puisi Melayu (Nazam, Gurindam, Seloka dan Syair) Pelajar Sekolah Menengah Negeri Melaka anjuran bersama Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), DBPWS dan Lembaga Bahasa Melayu Melaka dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Melaka diadakan pada 17 - 19 Jun 2011 di Perkampungan Seni Muara Sungai Duyung, Permatang Pasir, Melaka.

MALAM PUISI SUNGAI MELAKA 2011

Pinggiran Sungai Melaka di Taman Rempah, Melaka.



Kumpulan Desta 5 menyampaikan lagu-lagu puisi.

Persembahan lagu Dondang Sayang.


Malam Puisi Sungai Melaka diadakan sempena Pesta Sungai Melaka 2011 pada 11 Jun 2011 di Pentas Taman Rempah, Persiaran Sungai Melaka, Melaka. Program dikendalikan oleh Persatuan Penulis Melaka (PENAMA) dan Perbadanan Sungai Melaka dengan mempelawa pihak DBPWS terlibat secara anjuran bersama. Program yang sama juga pernah diadakan pada tahun lepas bersempena Pesta Sungai Melaka 2011 melibatkan PENAMA dan DBPWS.

Rabu, Jun 08, 2011

SESEKALI KEMBALI MENGETUK NOSTALGIA - BERMULA TAHUN 1982 LAGI...!

Sebahagian penonton di tempat duduk diri ini berada.


Aksi perlawanan di padang pada separuh masa pertama.


Di tepi stadium tersergam bangunan Wisma Darul Iman.


Jualan jersi pasukan Terengganu dan Kelantan dijual di luar stadium.


Bermula pukul 7.45 malam sehingga 11 malam pada 6 Jun 2011 (Isnin) bukanlah sekadar menonton tetapi bernostalgia pabila berada di stdium penuh kenangan ini. Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu mula dikenali diri ini sejak darjah empat (tahun 1982) sehingga kini. Kerap ke stadium ini menyaksikan perlawanan bola sepak melibatkan pasukan negeri Terengganu bersama arwah ayah (khususnya ketika sekolah rendah) serta bersama-sama rakan yang sama minat menonton bola sepak bermula sekolah rendah sehingga masuk universiti. Teringat juga bahawa stadium ini hanya berlangsung perlawanan pada sebelah petang hari sahaja ketika tahun 1982-83, teringat juga pernah basah kuyup tahap hebat kerana hujan amat lebat ketika satu perlawanan melibatkan Terengganu menentang Singapura dalam saingan suku akhir Piala Malaysia dalam tahun 1986 atau 1987 (jika tidak silap).

Kembali ke stadium ini setelah rasa-rasanya sudah 7-8 tahun tidak menjejak kaki ke dalam stadium ini untuk menyaksikan perlawanan penting melibatkan pasukan Terengganu menentang Kelantan dalam usaha-usaha akhir dua negeri ini merebut juara Piala Liga Super 2011 yang berbaki hanya tiga perlawanan lagi. Sebenarnya tidak merancang awal untuk saksikan perlawanan ini tetapi kebetulan balik kampung ketika tarikh ini. Hadir meyaksikan perlawanan ini juga satu kenangan baharu pabila buat pertama kalinya menonton bersama-sama anak sulung berusia 12 tahun (yang bakal ambil peperiksaan UPSR tahun ini).

Umum tahu akhirnya Terengganu tewas mudah 0-3 kepada Kelantan, tidak perlulah diulas perlawanan ini kerana sudah banyak laporan di dada akhbar dapat dibaca. Secara umumnya nampak gayanya mutu para penonton ada sedikit kemajuan berbanding 15-20 tahun lalu di stadium ini namun klise atas sifat penyokong muda Terengganu yang 'bersorak' serta 'memekik' perkara yang bukan-bukan atau entah apa-apa masih menebal boleh didengar dan dilihat antaranya pabila seorang gadis lalu maka bertempiklah ramai-ramai sehingga keluar kata-kata yang bukan-bukan yang kadang kalanya agak melucukan. Umumnya juga corak kata-kata 'pujian, cacian dan kejian' masih banyak tidak berubah dalam kalangan penonton dan penyokong muda khususnya cuma ada penambahan kata-kata moden mengikut rentak dan dunia massa sekarang mengikut konteks 'zaman teknologi maklumat' yang serba pantas kini...

Apa-apapun menyaksikan perlawanan Terengganu - Kelantan juga mencatat sesuatu ingatan abadi dalam album bola sepak diri sendiri, penuh sesak berhimpit dengan pelbagai gelagat menceriakan dan melucukan dapat disaksikan serta diimbau kembali... Ini cuma sebahagian kecil catatan kenangan dan ingatan berada di stadium berusia lama tapi penuh catatan sejarah.

Selasa, Jun 07, 2011

KEMALANGAN KECIL - PERINGATAN AGAR TIDAK CUAI...

Foto sebahagian Sungai Melaka yang dirakam pada bulan Jun 2010 ketika menyusur Sungai Melaka dengan menaiki bot persiaran (river cruise) menjelang senja.



Berada di negeri bersejarah Melaka pada Jumaat dan Sabtu lalu (3-4 Jun 2011) atas urusan rasmi dan tidak rasmi pada kali ini meninggalkan sedikit kenangan yang tidak dapat dilupakan. Sememangnya sering ke Melaka setidak-tidaknya 1 atau 2 minggu sekali atas urusan rasmi kerja hakiki. Melaka seperti biasa sesak tahap tinggi pabila cuti persekolahan yang dijadikan tempat pilihan rakyat Malaysia untuk bercuti dan bersiar-siar, sememangnya Melaka berbeza yang amat dengan tarikannya dalam pelbagai sudut berbanding 10 tahun yang lalu.

Satu kemalangan kecil menimpa diri ini di sebuah hotel di Melaka baru-baru ini atau lebih tepat lokasinya di pinggir kolam renang yang sesak dengan pengunjung bermain air dalam suasana kolam yang agak besar dan selesa. Ketika berjalan di tepi kolam sambil memegang kamera digital dan memakai kaca mata diri ini terjatuh lalu tergelincir kaki sebelah kiri, rupa-rupanya kawasan yang dilalui licin berganda iaitu percikan air kolam dan rumput yang basah. Kaki terseliuh kesakitan serta lutut berdarah dan lengan tercalar luka serta agak kurang stabil, yang menggusarkan juga pabila bingkai besi kaca mata juga turut bengkok dan kamera digital yang dipegang jatuh serta tidak dapat beroperasi seperti sedia kala. Baju dan seluar dipalit lumpur tanah bercampur rumput; seketika kaki dan tangan kiri tidak boleh bergerak.

Hikmahnya ada pabila diimbas kembali, sebenarnya tergesa-gesa ditambah cuai seketika ingin bergerak tanpa memikirkan 'laluan dan tanah di bawah' boleh menyebabkan pelbagai kejadian luar jangka. Syukur kepada-Nya cedera ini semakin pulih sejak kejadian berlaku 3-4 hari lalu. Kamera digital yang berusia 4 tahun juga tidak boleh berfungsi lagi lalu dibeli yang baharu serta bingkai kaca mata yang bengkok dapat dibetulkan kembali.