Jumaat, Mei 07, 2010

'PERJUMPAAN' LUAR JANGKA CUKUP ISTIMEWA

Baru sekejap tadi (kira-kira pukul 10.45 malam - 7 Mei 2010) pulang menonton dan mendengar suaranya. Khabar berita menyatakan 'Dia' bakal datang ke Dahlia diperoleh melalui seorang kawan sekitar pukul 8.30 malam, lalu bergegas siap diri untuk menuju ke Dahlia. Khabarnya 'Dia' bakal sampai dalam pukul 9.30 malam. Dalam perjalanan ke Dahlia terdapat dua sekatan jalan raya untuk mesuk ke situ; sedikit terganggu juga dengan sekatan itu. Sampai di situ manusia sudah agak ramai walaupun agak berselerak.

Ya... memang beselerak dan daif kerana di situ sempit dihimpit jalan kecil dan kawasan rumah yang rapat dan padat. Sedih hati melihat nasib manusia yang hadir di situ walaupun ini situasi biasa pabila 'perjumpaan sebegini' yang bukan aliran satu lagi pihak. Manusia yang hadir di situ sudah amat biasa dengan suasana sebegini; tiada kerusi duduk cuma di pinggir kerikil tajam tepi jalan yang keras beralaskan selipar, surat khabar dan tikar sendiri sahaja, berdiri lama tanpa lenguh kaki, tiada pendingin hawa mahupun kipas besar, cahaya malap dan serba kekurangan yang ketara - ini amat biasa buat pengunjung 'perjumpaan' itu malah itulah suasana selesa buat majoriti pengunjung 'perjumpaan' sebegini.

Bermula pembawa acara memulakan kata-kata sekitar pukul 9.15 malam namun 'Dia' masih belum sampai, maka terdengar juga bahawa 'Dia' mungkin datang dan mungkin tidak datang tersebar sesama pengunjung yang hadir. Pembawa acara itu agak kasar tutur kata dan ayatnya dengan melabelkan pihak P _ _ _ _ dengan perkataan b _ _ _ _ dan beberapa patah kata yang agak kasar (mungkin pembawa acara itu terpengaruh dengan sentimen isu pasal pihak P _ _ _ _ yang kini disebut-sebut meluas! Lalu pembawa acara itu 'dibawa' keluar dari ruang tempatnya berkata-kata itu, 'diheret' pergi oleh beberapa petugas P _ _ _ _, para pengunjung 'berteriak kecil' kepada P _ _ _ _. Walaupun pembawa acara 'diheret' pergi seumpama seorang pengganas namun acara diteruskan, pengunjung semakin bertambah, tempat semakin sesak padat!

Maka pukul 10 malam 'Dia' tiba juga, pengunjung 'berteriak kuat dan riang', tanpa berlengah pembesar suara diberikan kepada 'Dia' kerana 'Dia' hanya boleh berhujah dan berkata-kata sekitar 20-30 minit sahaja kerana ada satu lagi acara utama di Plentong yang perlu dan wajib 'Dia' tunaikan. Khabarnya kedatangan 'Dia' ke Dahlia bukan dalam perancangan namun usaha pihak Dahlia cuba menarik 'Dia' datang juga sesuatu yang luar biasa berjayanya. Pengunjung bersesak-sesak di ruang miskin itu di tepi simpang jalan kecil di sebuah rumah orang di Dahlia sekitar 800-1,000 orang walaupun hanya manusia tertentu sahaja mengetahui melalui mulut ke mulut telefon ke telefon sekitar lepas Maghrib tadi bahawa 'Dia' bakal datang, kalaulah 'Dia' datang dengan rasmi dan izin pihak P _ _ _ _ _ dan pihak _ _ _ _ lalu diiring dengan promosi setakat 2-3 kain rentang shaja rasa-rasanya paling tidak sekitar 5,000 ke 10,000 pengunjung dengan penuh rela hati (tanpa dibiayai) datang; sayangnya ini perancangan saat-saat akhir sekitar 3-4 jam sebelum pukul 9 malam yang juga kemungkinannya 'Dia' tidak boleh datang...

'Dia' tetap begitu...., tenang dan memikat... dan rasanya dalam 50 tahun sekali di tanah semenanjung dan pulau-pulaunya baru ada seorang seperti 'Dia'. Sebelum ini ada 7-8 kali juga melihat, menonton dan mendengar 'Dia' berhujah secara langsung khususnya ketika di Kuala Lumpur, juga terlalu amat kerap (sehingga tidak terhitung berapa kali) menatap dan mendengar hujahnya melalui VCD/DVD. Kali ini melihat 'Dia' memang istimewa walaupun hanya sekitar 20-25 minit sahaja tadi, duduk bersila beralaskan selipar hanya berjarak kira-kira 10-15 meter sahaja dari tempat 'Dia' berhujah, rasa beruntung kerana dapat juga merakam foto 'Dia' walau hanya melalui telefon bimbit.

'Dia' begitulah adanya, tetap berlawak dan sinis serta tutur katanya penuh berani sehingga sanggup 'mencabar' pihak berwajib merakam kata-katanya lalu tidak gentar untuk didakwa apatah lagi dihina dan dikeji setinggi piramid Mesir atau sehebat Burj Dubai dan sehebat tingginya Gunung Everest. 'Dia' sudah cukup bersedia menghadapi segala kejian dan hinaan juga sedia secara fizikal untuk dikasari lebih hebat lagi nanti...

Ketika minit ke-20 'Dia' berkata-kata maka datanglah pemakai baju biru gelap dan baju biasa lebih kurang 10 orang memohon 'Dia' menghentikan luahan kata-katanya. 'Dia' penuh bersikap profesional memohon jasa baik pengunjung agar tenang serta berikan kerjasama kepada pihak itu; tapi ada dua tiga pengunjung yang mulut agak celupar yang kurang bersikap profesional... 'Dia' tenangkan keadaan itu, ''Dia' sambung luahan kata-kata sekiyar 5 minit lagi lalu meminta agar pengunjung tenang serta beri laluan buat 'Dia' dengan segera untuk ke Plentong, 'Dia' sempat bersalam dengan ramai pengunjung ketika menuju ke keretanya. Rombongan 'Dia' sekitar 5-6 buah kenderaan berlalu pergi dengan penuh jaya dan meninggalkan kesan yang cukup meyakinkan.

Hakikatnya, kehadiran sementara 'Dia' tadi bukan dalam perancangan, 'Dia' memenuhi undangan mengejut dengan rela hati walaupun hanya 25 minit; sebenarnya 25 minit itu amat cukup untuk membuatkan 'Dia' menjelaskan beberapa perkara kepada pengunjung agar hujahnya juga dapat didengar oleh masyarakat bukan semata-mata mendapat 'hujah' dalam media perdana semata-mata. 25 minit cukup rasanya buat pengunjung untuk malam ini mendengar kata-katanya yang bersilang fakta yang tiada dalam media umum; biarkan 25 minit sahaja berbanding 2-3 jam celotehnya kerana 25 minit itu cukup bermutu berbanding 2-3 jam tetapi penuh retorik dan ungkapan yang sama dalam 'perjumpaan' seumpama ini.

Apa-apapun 'Dia' cukup amat bersedia untuk menerima positif buat diri 'Dia' serta 'Dia' amat-amat bersedia menerima hinaan, kejian, kutukan dan hentaman amat melampau termasuklah menerima kekasaran fizikal tahap tinggi yang kemungkinan amat besar terjadi lagi kepada 'Dia' seperti yang dialaminya 12 tahun yang lalu...

2 ulasan:

Sham al-Johori berkata...

Tuan,
Dapat kuteka siapa 'Dia' itu dan siapa juga 'P_ _ _ _' dan 'b _ _ _ _' tu.

Sekurang-kurangnya 20-25 minit itu lebih bermakna daripada 2-3 jam yang penuh dengan keserakahan dan kemabukan kuasa.

Teruskan perjuangan. Amin.

Korakora berkata...

berapa banyak dia daaa...

ni kena baca pakai teori simbiotik pierce kaa?