Isnin, Mei 17, 2010

KUTIPAN: TEATER MONOLOG 'KAMPUNG CETEK'

Sesi latihan - sebahagian tenaga pelakon dan produksi.

Sesi latihan - sebahagian aksi dalam pementasan.

Sesi latihan - sebahagian aksi dalam pementasan.

Sesi latihan - dua peminat kecil menyaksikan aksi lakonan.

Kain rentang promosi teater monolog di bangunan DBPWS.
Beberapa foto di atas merupakan rakaman sendiri dan Sdra. Mohd Rizal ketika sesi latihan pementasan monolog 'Kampung Cetek' di Pejabat Tanah dan Daerah Johor Bahru pada malam selepas Malaysia kecundang mudah ke atas China dalam separuh akhir Piala Thomas iaitu pada 14 Mei 2010.

Berita di bawah dikutip dalam laman web Berita Harian Online dalam ruangan Sastera Berita Harian- 17 Mei 2010. Terima kasih buat Unit Sastera Berita Harian atas siaran berita dan dua foto dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Teater Kampung Cetek di DBP Wilayah Selatan
2010/05/17

TEATER Monolog Kampung Cetek karya Nur Khiziah Ahmad Puad dan diarahkan Norazmi Bahron akan dipentaskan di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Larkin Perdana, Johor Bahru, pada 21 dan 22 Mei ini, jam 3 petang dan 8.30 malam. Pegawai Perancang Bahasa DBPWS, Rusdi Abd Rahman, berkata teater anjuran bersama DBPWS, Persatuan Teater Kesuma-I Johor Bahru dan Persatuan Kesenian Mahligai Pasir Gudang itu, membuka tirai pementasan skala kecilnya pada tahun ini.
“Kampung Cetek mengungkap kepincangan institusi keluarga dan masyarakat yang semakin meruncing, sekali gus menekankan tanggungjawab dalam menangani permasalahan rumah tangga yang berkait rapat dengan kehidupan harian masyarakat.
“Dalam naskhah ini, Dah yang terpaksa mengharungi kepayahan hidup kerana sikap suami tidak bertanggungjawab dan jiran tidak prihatin, akhirnya memaksa dirinya mengambil keputusan untuk membunuh anak-anaknya,” katanya dalam kenyataan melalui e-mel, baru-baru ini. Teater monolog terbabit dibuka untuk tontonan kepada orang ramai dan mereka yang berminat untuk menyaksikannya perlu mendapat tiket yang diberi secara percuma, manakala maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh dengan menghubungi talian 07-2358802.
Rusdi berkata, teater berskala kecil berbentuk monolog itu dianjurkan sejak 2005, manakala pementasan berskala besar pula diadakan melalui penganjuran Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007.
“Ini kerana teater menjadi medium kreatif untuk menyampaikan mesej dan teguran sosial yang berkesan dalam masyarakat, sekali gus sebagai penerusan tradisi yang mengangkat bidang persuratan, seni dan budaya. Ia juga memberi peluang kepada penggerak teater dan orang ramai di Johor mengenalinya,” katanya.

1 ulasan:

Tok Rimau berkata...

Gua rasa tiang seri DBP tu jangan diapa-apakan. Siapa terer manfaatkan tiang tu memang kreatif gila.

Kalau gua buat teater, tiang tu gua bagi watak.