Selasa, Mei 11, 2010

PEMAKLUMAN AWAL: TEATER MONOLOG 'KAMPUNG CETEK'

Poster Pertama Teater Monolog 'Kampung Cetek'.

Demi rasa penuh minat, cinta dan sayang ditambah ini merupakan tugasan hakiki yang ingin diberikan kepada masyarakat walaupun dalam kekangan peruntukan maka pementasan teater berskala kecil tetap diadakan. Teater kategori berskala kecil yang dinamakan monolog diteruskan demi kelangsungan seni, budaya dan persuratan.
Teater monolog berjudul 'Kampung Cetek' akan dipentaskan lagi di Balai Seminar DBPWS, Johor Bahru seperti maklumat di bawah.
PEMENTASAN TEATER MONOLOG ‘KAMPUNG CETEK’
Anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS),
Persatuan Teater KESUMA-I Johor Bahru

dan Persatuan Kesenian Mahligai Pasir Gudang
• 21 Mei 2010 (Jumaat) : 8 malam.
• 22 Mei 2010 (Sabtu): 2.30 petang dan 8 malam.
Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru, Johor.
MASUK PERCUMA - SEMUA DIJEMPUT HADIR

Secara kasarnya maklumat tentang teater ini terkandung dalam kad undangan yang mula beredar pada hari ini. Maklumat di bawah dikutip langsung dalam kad undangan tersebut.

Teater merupakan medium kreatif untuk menyampaikan mesej mahupun teguran sosial yang efektif dalam kalangan masyarakat. Pelbagai jenis teater boleh dipentaskan seperti teater bangsawan, teater muzikal, teater sejarah, teater monolog dan berbagai lagi. DBPWS meneruskan tradisi mengangkat bidang persuratan, seni dan budaya dalam bentuk pementasan teater. Sejak tahun 2005 hingga kini, DBPWS giat mementaskan teater berskala kecil berbentuk monolog termasuklah teater berskala besar serta mengadakan Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007.
Pementasan teater berskala kecil yang dikategorikan sebagai teater monolog berjudul ‘Kampung Cetek’ diusahakan pementasannya oleh DBPWS, Persatuan Teater KESUMA-I Johor Bahru dan Persatuan Kesenian Mahligai Pasir Gudang merupakan pementasan teater skala kecil yang pertama dalam tahun 2010. Atas tujuan menyemarakkan lagi pementasan teater terutamanya teater monolog di negeri Johor, maka Unit Sastera DBPWS akan mementaskan teater ini di Balai Seminar DBPWS, Johor Bahru pada 21 - 22 Mei 2010.

Sinopsis
KAMPUNG CETEK mengungkap kepincangan institusi keluarga dan masyarakat yang semakin meruncing. Cerita ini mengungkap tanggungjawab masyarakat dalam menangani permasalahan rumah tangga yang berkait rapat dengan kehidupan mereka. Berkisar tentang seorang wanita bernama ‘Dah’ yang terpaksa mengharungi kepayahan hidup kerana sikap suami yang tidak bertanggungjawab dan tiada sifat prihatin jirannya sehingga beliau mengambil keputusan untuk membunuh anak-anaknya.
Isu rumah tangga dan kepincangan masyarakat dipaparkan dalam pementasan ini sesungguhnya harus ditonjolkan demi membentuk kesedaran dan keinsafan serta rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Dalam pementasan monolog ini turut diselitkan lagu, tarian dan nyanyian koir bagi menyokong jalan ceritanya.
Arahan: Norazmi Bahron
Skrip: Nur Khiziah Ahmad Puad.

2 ulasan:

Tok Rimau berkata...

Saya dah baca skrip asal Kg Cetek. Memang mengujakan.

Tapi yang ini ada tarian dan koir? Harap tidak merosakkan cerita asal.

Saya dah uar-uar di Facebook dan Blog. :-)

Unknown berkata...

lama tak berkunjung di balai seminar dbpws. moga dapat saya menonton bersama kali ini.