Isnin, Mei 03, 2010

2 MEI: DI SINGAPURA 10 JAM - MENONTON TEATER BERBAHASA MELAYU

Pukul 9.30 pagi menaiki bas dari Larkin menuju ke Queen Street, Singapura melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang tersergam indah di Johor Bahru. Atas undangan Kumpulan Teater Artistik Singapura maka diri ini sekali lagi ke Singapura untuk menyaksikan teater berjudul 'Depot 5 Dara' di Arts House, Old Parliament (berhampiran patung Raffles). Ini kali ketiga rasanya sejak tahun 2007 memenuhi undangan En. Roslan Mohd Daud, Presiden Kumpulan Teater Artistik. Berdasarkan maklumat dalam poster dan brosur teater ini tiket berharga SD22 (lebih kurang tukaran RM sebanyak RM50), namun atas budi baik dan jasa baik En. Roslan diri ini dipanggil khas menontonnya. En. Roslan juga sudah 2-3 kali datang ke Johor Bahru atas undangan diri ini menyaksikan teater berskala kecil dan sederhana yang diusahakan secara hakiki dalam tugasan diri ini. Dikhabarkan juga bakal ada beberapa pementasan berskala kecil dan sederhana yang bakal dipentaskan oleh Kumpulan Teater Artistik dalam bulan Jun - Julai ini termasuk ingin membikinkan teater monolog.
Pabila harga tiket yang tinggi (dalam kadar RM) maka mutu pementasannya juga tidak mengecewakan atau boleh dikategorikan sebagai lengkap dan menarik; dikategorikan juga sebagai tahap profesional dan berjaya. Mengutip sinopsis 'Depot 5 Dara' dalam brosurnya...
"...berkisah tentang wajah-wajah rintihan perempuan yang menjual dengan harga murah mahkotanya. Namun perjalanan hidup golongan ini tidak pernah seindah yang diriwayatkan; keistimewaan yang diberi, penghinaan yang diraih. Perlindungan yang dicari, penganiayaan yang mencengkam. Kebahagiaan yang dirancang, kedukaan yang tercambah. Hidup yang madu menjadi racun. Setiap daripada mereka terperangkap dalam kotak angan yang tidak menjadi kenyataan."

Teater ini dipentaskan selama 2 jam (3.15 petang - 5.15 petang) cukup rencah asam garamnya antaranya dialog yang kemas, gerak lakon yang memikat, bahasa yang sesuai dengan situasi, pencahayaan yang mudah tapi berkesan, lagu latar yang menyentuh naluri, sari kata dalam bahasa Inggeris yang lengkap, mesej yang kesampaian buat penonton, dan garapan situasi dan insiden yang tersusun. Isu dan mesejnya mudah tentang hal masyarakat realiti seharian iaitu kisah penderitaan 5 wanita yang 'dikasari' oleh lelaki bertunjangkan soal gejala sosial remaja wanita bawah umur, persoalan maruah dan agama, impian rumah tangga yang luar jangka, eksploitasi suami terhadap isterinya, dan wanita yang mengubah dirinya untuk cantik. Garapan aksi yang padat dikaitkan itu juga dipaparkan dalam bentuk tayangan video rakaman awal yang menghubungkan setiap kejadian antaranya aksi 'mat dan minah rempit', lakonan lelaki puas selepas menikmati ...., dan doktor yang menjelaskan tentang penyakit barah rahim.
Aksi-aksi secara langsung yang agak bertaraf '18SX dan 18SG' juga terpapar secara profesional antaranya aksi permulaan untuk merogol, kekerasan fizikal suami terhadap isteri, dan pertengkaran kasar adik dan kakak. Menariknya juga ada tersentuh pasal teguran dan sindiran tentang penggunaan 'bahasa rojak'. Beberapa patah perkataan dan ayat juga menimbulkan keterbukaan dalam dialog antaranya "...dia buat cara 'bersiput'..." dan "...lalu membuka ladang dan menyuburkan tanaman ku...".
Aksi dan dialog yang dihidangkan dijalin dengan isu dan mesej yang disampaikan cukup emosinya dalam keyakinan yang baik dan teratur. Menarik juga terdapat sindiran halus tentang isu bantuan oleh badan atau organisasi berwajib Melayu untuk membantu masyarakat Melayu yang susah pabila dialog yang terucap 'menyoal' tentang ke mana dana yang ada disumbangkan serta terlalu 'birokrasi' sifatnya. Penutup aksi akhir teater ini menimbulkan kesedaran yang boleh dijadikan panduan dan pengajaran pabila 5 watak wanita ini akhirnya 'mati serentak' dalam keadaan misteri. Khabarnya juga lagu dalam teater ini dicipta khas yang bersesuaian dengan tema dan mesej ceritanya.

Teater ini diarahkan oleh Yusop Atan mengambil skrip tulisan Yazid Hussein. Sempat juga bertemu dan berbual seketika dengan pengarah dan penulis skrip teater ini. Memetik kata-kata oleh penulis dalam brosur atur cara teater ini... "D5D adalah susunan, renungan, penelitian, dan ilham yang tercambah berdasarkan mata burung bukan dengan mata katak di bawah tempurung."

Hakikatnya pementasan teater yang berwadah bahasa Melayu di Singapura masih ada kekuatannya walaupun diketahui bahawa Singapura banyak mementaskan teater atau drama atau sketsa dari negara-negara Barat yang banyak terhidang di Esplanade (panggung 'mata lebah' yang bertaraf kelas satu dunia) yang terletak di kawasan indah dan tersusun di Teluk Marina berjiran dengan muara sungai Singapura. Gerakan pementasan teater berbahasa Melayu bukan sahaja digerakkan oleh Kumpulan Teater Artistik tetapi banyak juga kumpulan lain yang bergerak sama ada secara kecil-kecilan dan kadang kalanya berskala besar serta bermusim. Gerakan pementasan oleh Kumpulan Teater Artistik yang diterajui oleh presidennya iaitu Roslan Mohd Daud cukup meyakinkan bahawa teater berbahasa Melayu masih ada dan aktif di Singapura. Tahniah buat tenaga pelakon dan produksi 'Depot 5 Dara' dan Kumpulan Teater Artistik!
Catatan: Dalam entri berikutnya akan dipaparkan catatan kunjungan 10 jam ke Singpaura iaitu melawat pameran foto-foto lama masyarakat Melayu di Istana Kampung Gelam (berhampiran Masjid Sultan di Arab Street - Baghdad Street - Kandahar Street).

2 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Sayang seribu kali sayang. Saya tidak dapat memenuhi undangan tuan RAR. Entah sudah kali ke berapa saya beraral lantaran rencamnya kehidupan. Moga-moga tuan RAR tidak serik untuk terus mempelawa 'diri ini' (meminjam frasa tegar RAR). Mungkin RAR dapat menekuni banyak perkara dari sana yg dapat dimanfaatkan untuk Unit Sastera DBPWS.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Azhar,
Tidak mengapa tiada kesempatan kali ini, diri ini fahami akan situasi Cikgu. Masih ada ruang dan peluang lain yang akan tiba nanti, diri ini tidak akan penat untuk menjemput dan mengajak Cikgu.
Banyak juga yang dapat dipelajari setiap kali berkunjung ke Singapura, bukan hanya dalam hal kerja hakiki tetapi dalam hal-hal kehidupan seharian; ambil sahaja yang positif yang ada dalam gerak kerja dan disiplin orang seberang itu, tidak bersalahan.
Pastinya 'cap pasport' kali ini bergerak lancar dalam perjalanan yang selesa... serta tiada lagi insiden 'tutup pintu kereta mengejut'. Hehehe...