Rabu, Julai 27, 2011

85,000 TIKET HABIS DIJUAL...! HEBAT PENONTON TAPI PENGURUSAN FAM YANG CUAI...

Cermin kaunter tiket terpampang kata-kata 'kecewa'!


Krew Astro Arena 'dikepung' orang ramai ketika temu ramah.



Seorang peminat wanita meluahkan rasa kecewa kepada krew Astro Arena.


Jualan jersi Malaysia - biru dan kuning.


TIKET HABIS DIJUAL! Hebat dan popularnya pasukan bola sepak Malaysia kini itu diakui namun jangan sampai rakyat/penyokong berundur menyokong Malaysia gara-gara sikap serta kecuaian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Berada di luar Stadium Bukit Jalil sekitar pukul 11 - 11.30 pagi tadi; kecewa amat kerana tidak dapat membeli tiket. Semalam sudah habis dijual 60,000 tiket manakala baki 25,000 tiket lagi dijual hari ini, ramai hadir terpaksa beratur panjang (sekitar 200-300 meter) sejak pukul 8 pagi sebahagian besarnya tidak dapat membeli tiket, khabarnya juga setiap seorang boleh beli tanpa had, ada yang membeli sampai 200 tiket seorang! Makanya akan muncul ULAT SEGERA! Ramai yang hadir di stadium untuk peroleh tiket mara-marah serta ada yang 'maki hamun' kepada FAM. Alangkah kecewa besar terhadap sikap dan tanggungjawab FAM ini apatah lagi ada yang terpaksa ke tiga stadium untuk membeli tiket iaitu di Stadium Shah Alam, Stadium MBPJ dan Stadium Bukit Jalil.

Berkesempatan merakamkan beberapa foto ketika ingin membeli tiket antaranya TEMU RAMAH ASTRO ARENA. Sebahagian orang ramai yang kecewa dengan sistem jualan tiket perlawanan Malaysia - Singapura oleh FAM (seorang boleh beli tiket tanpa had - ratusan tiket tiada halangan) menyampaikan rasa penuh kecewa atas urusan FAM tentang penjualan tiket kepada krew televisyen Astro Arena yang membuat liputan di luar Stadium Bukit Jalil.

TEATER SKALA BESAR DAN HEBAT - "SRI MERSING 2"

Tiket disimpan buat kenangan masa hadapan.


Barisan pelakon utama bersama-sama Rosdeen Suboh (Pengarah).


Aksi sebahagian babak sengit dan mendebarkan.


Aksi dan perwatakan Damak (Zul Huzaimy).


Menonton pementasan teater berskala besar produksi Istana Budaya iaitu naskhah SRI MERSING 2 di Johor Bahru ini merupakan julung kalinya. Nikmati watak-watak bernama DAMAK, PAK MALAU, SRI MERSING, AWANG SULONG, MAK BANANG, MAK DARA...

Pada 15 Julai 2011 di Stadium Tertutup MBJB menyaksikan pementasan teater skala besar dan hebat ini hasil produksi besar Istana Budaya bersama-sama ramai penggerak teater negeri Johor. Hasil kerja Pengarahnya Tuan Rosdeen Suboh cukup membanggakan dalam produksi berskala besar yang melibatkan beberapa pelakon ternama antaranya Zul Huzaimy, A. Galak, Yus Raja Lawak, Elly Mazlein, Azizah Mahzan, Rozie Othman, Zulkifli Zain, Abu Bakar Juah, Fazurina dan lain-lain.

SRI MERSING telah dipentaskan serta mendapat sambutan cukup membanggakan pada tahun lepas di Istana Budaya, Kuala Lumpur namun pementasan di Johor Bahru ini juga amat menarik sehinggakan set-set di pentas dibawa khas dari Kuala Lumpur. Puas hati juga kerana dapat duduk meyaksikan pementasan ini di barisan paling hadapan yang secara jelas... dapat melihat para pelakon beraksi serta yang utama juga dapat melihat dengan jelas pertukaran set-set di pentas yang dilaksanakan oleh krew dengan penuh profesional dan teratur.

TEATER MUZIKAL "BUMI BERLANTAI PERMATA 2" - SUATU KESUNGGUHAN KERJA YANG MEMBANGGAKAN

Pekarangan Bangunan Bukit Timbalan - tempat pementasan BBP2.


Rakaman foto dari jauh.


Sebahagian babak pementasan BBP2.


Berkesempatan menyaksikan pementasan teater muzikal BUMI BERLANTAI PERMATA 2 (BBP2) sempena Festival Kesenian Johor Bahru ke-8 2011 bersama-sama Cikgu Azhar Salleh pada 14 Julai 2011 di Pekarangan Bukit Timbalan, Johor Bahru. Pementasan teater muzikal BBP2 arahan Sahruddin Manas dan skrip oleh Rahimah Muda merupakan kesinambungan BBP yang pertama diadakan pada tahun 2010 juga di Bukit Timbalan. BBP2 berlangsung pada 12 - 16 Julai 2011. BBP2 ini juga sempat disaksikan oleh Sultan Johor dan YAB Menteri Besar Johor pada 16 Julai 2011.

Tahniah serta penghargaan besar buat penulis skrip Rahimah Muda dan pengarahnya Sahruddin Manas termasuk para pelakon, penari dan krew yang terlibat dalam BBP2 ini.

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI PATRIOTISME SEKOLAH RENDAH DAERAH JOHOR BAHRU 2011

Para pemenang menerima hadiah dan replika cek.


Sebahagian peserta peringkat akhir sayembara.


Johan sayembara.


Seorang peserta di pentas akhir sayembara.


Sayembara Deklamasi Puisi Patriotisme Pelajar Sekolah Rendah dan Pertandingan Koir Lagu Patriotik Sekolah Menengah Daerah Johor Bahru anjuran bersama PSI MBJB, DBPWS dan PPD Johor Bahru diadakan selama tiga hari (13 - 15 Julai 2011) di Plaza Angsana, Johor Bahru. 123 pelajar sekolah rendah daerah Johor Bahru menyertai kategori sayembara deklamasi puisi. Program yang merupakan gandingan bersama DBPWS, PSI MBJB dan PPD Johor Bahru ini diadakan dalam konteks menyambut bulan patriotisme. Program sebegini telah berlangsung selama tujuh tahun berturut-turut sejak tahun 2005.

Pada tahun 2011 ini ada sedikit pertukaran dibuat pabila sebelum ini hanya sayembara deklamasi puisi hanya untuk pelajar sekolah menengah manakala pertandingan koir khusus pelajar sekolah rendah telah ditukar iaitu sayembara untuk pelajar sekolah rendah dan sebaliknya untuk pertandingan koir. Tahun ini juga program dilaksanakan awal (biasanya dalam bulan Ogos) kerana sepanjang bulan Ogos merupakan bulan Ramadan. Terima kasih buat semua pihak sama ada secara langsung dan tidak langsung membantu penuh komited dalam menjayakan program ini di sebuah tempat tumpuan utama warga bandar raya Johor Bahru.

Isnin, Julai 04, 2011

SUNGAI LEBAM (ANAK SUNGAI JOHOR) YANG BARU DIKENALI...

Sempat rakam foto kapal terbang menuju ke Changi, Singapura.



Cikgu Shamsul bersama-sama rokok dan mengawal enjin bot.


Anak kecil ikan kerapu terperangkap dalam jaring yang diletakkan di tepi bangsal sungai.

Beberapa kelong yang hanya 50-100 meter dari rumah Cikgu Shamsul (ini kelong kecil di pinggir sungai sahaja, belum lagi yang kelong besar).


Sebuah kelong yang agak besar khusus untuk ternak kupang.


Tidak dirancang ketika ke FELDA Sening / Adela pada 3 Julai 2011 (Ahad) pabila sempat sekejap bersiar-siar dengan bot menyusuri Sungai Lebam (anak Sungai Johor) di Tanjung Serindit, Kota Tinggi, Johor.
Kunjungan ini dibawa khas oleh Cikgu Shamsul A. Wahab, rumahnya di pesisiran Sungai Lebam. Banyak kelong ikan, udang, kupang dan sebagainya makanan laut ada di sini. Besar dan luas juga Sungai Lebam ini, menurut Cikgu Shamsul pelbagai jenis ikan laut mudah diperoleh di sini apatah lagi jika betul-betul ke laut iaitu di perairan Selat Tebrau (muara besar Sungai Johor berhampiran Pulau Tekong, Singapura).

Khabarnya dari tempat Cikgu Shamsul (Tanjug Serindit) untuk ke muara besar Sungai Johor serta perairan Selat Tebrau sekejap sahaja serta boleh bermalam dengan menaiki bot. Buat kaki pancing ikan tempat ini juga sesuatu yang baik untuk rekreasi dan memperoleh hasil pancing ikan yang khabarnya agak lumayan (jika kena pada hari, pusaran air, jenis air, jenis umpan dan pelbagai hal lagi).

Hanya sempat sekejap sahaja di sini kerana masih ada urusan rasmi yang lain namun akan datang lagi ke sini atas urusan peribadi mahupun tidak rasmi secara berkumpulan. Tidak sempat juga untuk menjenguk Terminal Feri Tanjung Belungkor yang ada perkhidmatan feri ke Changi, Singapura dan Batam, Indonesia.

LEBUH RAYA BAHARU KE DESARU, PENGERANG DAN KAWASAN TENGGARA DAN SELATAN KOTA TINGGI







Pada 3 Julai 2011 (Ahad) ada urusan ke FELDA Sening / Adela atas tujuan perbincangan, pertemuan dan lawat tempat bagi salah satu program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2011 negeri Johor. Kali pertama juga dari Johor Bahru untuk ke sana atau lebih tepatnya menuju ke Bandar Penawar / Desaru melalui lebuh raya baharu yang dikenali Lebuh Raya Senai - Pasir Gudang - Desaru (Lebuh Raya E22); dari Larkin ke Stesen Minyak Petronas Bandar Penawar (persimpangan menuju ke kawasan peranginan Desaru) hanya sekitar 30-35 minit sahaja. Lebuh raya ini mula dibuka pada awal minggu pertama Jun 2011.



Sebelum adanya lebuh raya ini jika mahu ke Bandar Penawar / Desaru harus melalui Masai - Ulu Tiram - Bandar Kota Tinggi dari Johor Bahru yang melibatkan sekitar 100 - 115 KM (1 - 1 jam 30 minit). Cuma lebuh raya ini hanya satu lorong bermula selepas persimpangan Cahaya Baru sehingga ke Tol Bandar Penawar. Pemandangan jambatan di lebuh raya ini yang merentasi Sungai Johor indah serta sayup mata memandang ke bawah untuk melihat sungai. Kini jika mahu ke Desaru, Pengerang dan Sungai Rengit serta ke kawasan Gugusan FELDA di selatan dan tenggara Kota Tinggi lebih cepat dan pantas.


Diramalkan akan berlaku kesesakan ketara pabila hari Jumaat - Ahad kerana jalan di situ (khususnya masuk dan keluar Tol Bandar Penawar) hanya satu lorong pergi dan balik serta jalan biasa dan lampu isyarat yang ada di situ agak terhad menampung jumlah kenderaan yang banyak dalam sesuatu masa.

BICARA KARYA KEMBARA DAKSINA

Baharuddin Buyong Kahar dan Abd Talib Hassan.


Pak Bahar, mesra dan mudah berbicara.

En. Ainol Hasanal Jalaluddin, penggerak utama yang gigih serta penuh komited menjayakan program ini.


Sebahagian para tetamu dan khalayak.


Sebahagian buku hasil karya Abd Talib Hassan yang terhasil sejak tahun 1970-an sehingga kini.

Bicara Karya Kembara Daksina anjuran PPJ Segamat, UPENA UiTM Johor, DBPWS dan UMNO Cawangan Bandar Putra Segamat diadakan pada 2 Julai 2011 di Perpustakaan Awam Segamat, Johor. Dua orang ahli panel yang tampil merupakan penulis novel dan cerpen prolifik tanah air iaitu Baharuddin Buyong Kahar terkenal dengan novel 'Senjakala' dan Abd Talib Hassan yang menyerlah melalui novel 'Saga'.
Penganjuran program ini diusahakan secara gigih dan penuh komited khususnya oleh En. Ainol Hasanal Jalaludin, Koordinator UPENA UiTM Johor (merangkap Setiausaha PPJ Daerah Segamat) dan Prof. Madya Ahmad Nawawi Yaakob, Timbalan Rektor BPJI UiTM Johor (merangkap Pengerusi PPJ Daerah Segamat).
Inilah kali pertama dapat bertemu dan bersemuka dengan Baharuddin Buyong Kahar yang lebih mesra dipanggil Pak Bahar. Beliau seorang yang mesra dan mudah berbicara, manakala itu sempat berbual juga dengan Abd Talib Hassan yang penuh mesra serta sempat menyampaikan kata-kata hikmah iaitu "...dulu kita hidup susah, tapi senang; kini kita hidup senang, tapi susah...". Kata-kata ini dapat juga didengar dengan jelas oleh Tuan Haji Shapiai Mohd Ramly ketika makan tengah hari bersama-sama Pak Bahar, Pak Talib, En. Ainol dan Prof. Madya Ahmad Nawawi Yaakob selepas majlis berakhir.