Stadium kebanggaan 'Kejor Yob Kejor'.
Tujuh hari berada di Ipoh (20 - 26 April 2011) atas tugasan rasmi sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011, secara khususnya di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh. Dipelawa dan diundang oleh pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk bertugas selaku panel penilai dan juri peraduan khususnya melibatkan e-Peraduan Harian dan e-Peraduan Utama. Motosikal, TV LCD 32 dan 40 inci, komputer bimbit, i-Pad, baucer pelancongan dan banyak lagi hadiah bagi e-Peraduan Harian yang diberikan kepada pengunjung pameran MSAM setiap hari; memang banyak sungguh hadiah yang diberikan setiap hari. Hadiah kereta Toyata Vios dan Perodua Alza disediakan untuk e-Peraduan Utama. MSAM anjuran PNB sudah masuk tahun ke-12 rupa-rupanya yang sememangnya cukup berskala mega dan amat menarik pameran serta pelbagai aktiviti sepanjang seminggu yang penuh bermakna.
Berada di bandar raya Ipoh ini merupakan penginapan kali pertama namun terus bermalam selama 6 malam. Hari pertama dan kedua agak sukar menghafal banyak jalan sehala di kawasan pusat bandar Ipoh sehingga terpaksa 'menyesatkan' diri beberapa kali untuk 'kembali ke pangkal jalan' namun akhirnya dapat juga menghafal hampir 70% jalan raya utama di Ipoh.
Pusat bandar raya Ipoh khususnya di kawasan lama memang banyak bangunan kedai 2 tingkat yang berusia sebelum merdeka lagi namun tumpuan masyarakat bukan lagi berharap sepenuhnya di kawasan lama di Ipoh ini, nampaknya terdapat beberapa kawasan penempatan dan bandar kecil baharu yang wujud di pinggir bandar raya Ipoh. Banyak juga rasa-rasanya sekitar 7-8 istana / penginapan golongan raja atau kerabat raja di dalam kawasan bandar raya Ipoh ini.
Pengalaman yang diperoleh sepanjang tujuh hari berada di Ipoh cukup bermakna serta rasa-rasanya akan kembali lagi untuk bersiar-siar sepenuhnya namun Pulau Pinang tetap menjadi destinasi yang dituju untuk berjalan-jalan dan berehat khususnya di kawasan utara tanah air (yang pasti kerana makanan enak P. Pinang)...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan