Khamis, April 28, 2011

TUJUH HARI DI IPOH

Stadium kebanggaan 'Kejor Yob Kejor'.



Tujuh hari berada di Ipoh (20 - 26 April 2011) atas tugasan rasmi sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011, secara khususnya di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh. Dipelawa dan diundang oleh pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk bertugas selaku panel penilai dan juri peraduan khususnya melibatkan e-Peraduan Harian dan e-Peraduan Utama. Motosikal, TV LCD 32 dan 40 inci, komputer bimbit, i-Pad, baucer pelancongan dan banyak lagi hadiah bagi e-Peraduan Harian yang diberikan kepada pengunjung pameran MSAM setiap hari; memang banyak sungguh hadiah yang diberikan setiap hari. Hadiah kereta Toyata Vios dan Perodua Alza disediakan untuk e-Peraduan Utama. MSAM anjuran PNB sudah masuk tahun ke-12 rupa-rupanya yang sememangnya cukup berskala mega dan amat menarik pameran serta pelbagai aktiviti sepanjang seminggu yang penuh bermakna.

Berada di bandar raya Ipoh ini merupakan penginapan kali pertama namun terus bermalam selama 6 malam. Hari pertama dan kedua agak sukar menghafal banyak jalan sehala di kawasan pusat bandar Ipoh sehingga terpaksa 'menyesatkan' diri beberapa kali untuk 'kembali ke pangkal jalan' namun akhirnya dapat juga menghafal hampir 70% jalan raya utama di Ipoh.

Pusat bandar raya Ipoh khususnya di kawasan lama memang banyak bangunan kedai 2 tingkat yang berusia sebelum merdeka lagi namun tumpuan masyarakat bukan lagi berharap sepenuhnya di kawasan lama di Ipoh ini, nampaknya terdapat beberapa kawasan penempatan dan bandar kecil baharu yang wujud di pinggir bandar raya Ipoh. Banyak juga rasa-rasanya sekitar 7-8 istana / penginapan golongan raja atau kerabat raja di dalam kawasan bandar raya Ipoh ini.

Pengalaman yang diperoleh sepanjang tujuh hari berada di Ipoh cukup bermakna serta rasa-rasanya akan kembali lagi untuk bersiar-siar sepenuhnya namun Pulau Pinang tetap menjadi destinasi yang dituju untuk berjalan-jalan dan berehat khususnya di kawasan utara tanah air (yang pasti kerana makanan enak P. Pinang)...

Ahad, April 17, 2011

LIPUTAN DAN FOTO PPMPSMNJ 2011 - PAPARAN AKHBAR HARIAN




Hari ini dan semalam (17 dan 16 April 2011) tersiar dalam akhbar Sinar Harian dan Utusan Malaysia berita Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor (PPMPSMNJ) 2011 yang diadakan pada 12 - 14 April 2011. Foto warna yang dipaparkan merupakan rakaman di luar dan di dalam Bilik Kuliah/Mesyuarat, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, Johor Bahru. Terima kasih buat wartawan akhbar Sinar Harian dan Utusan Malaysia.

Sabtu, April 16, 2011

LAWATAN TAPAK KE TNJERS - SATU PENGALAMAN BAHARU

Gambar kenangan di SK Kampong Kudung, Bekok, Segamat.

"KEMPEN KIUH KE KAMPUNG, KIAH KE SEKULAH"


Air sungai di Lubuk Tapah yang keroh serta dapat dilihat pokok tumbang akibat kesan banjir besar di Segamat baru-baru ini.

Gambar kenangan di Lubuk Merekek.
Hadapan pintu masuk ke Lubuk Tapah.


Kunjungan dan lawatan tapak ke Taman Negara Johor Endau-Rompin-Selai (TNJERS) yang berada dalam kawasan Bekok, Segamat bermula pukul 10 pagi sehingga 3 petang. Kunjungan ini diadakan kerana ingin melaksanakan sebuah program sastera bersama-sama Taman Negara Johor (TNJ) - PPJ - DBPWS. Ahli rombongan terdiri daripada 4 wakil DBPWS, 3 wakil PPJ dan 3 wakil TNJ. Terima kasih buat pihak TNJ yang sudi membawa pihak DBPWS dan PPJ masuk jauh ke dalam TNJERS ini yang agak mencabar juga.

Bertolak dari Johor Bahru sekitar pukul 7.45 pagi, sampai di Yong Peng pukul 9.15 pagi seterusnya bersama-sama pihak TNJ dan PPJ menuju ke Bekok, Segamat. Sampai di pejabat TNJERS di Bekok sekitar pukul 10.30 pagi, bertolak dari pejabat TNJERS pukul 11 pagi menuju seterusnya ke Lubuk Tapah, Selai.

Dalam perjalanan ke Selai singgah sekejap di SK Kampong Kudung, Bekok yang merupakan sekolah bagi anak-anak orang asli di situ. Sememangnya kawasan di situ serta kawasan menuju ke Selai merupakan perkampungan bagi orang asli. Dari Bekok ke Lubuk Tapah kira-kira 26 KM; singgah seterusnya di Lubuk Merekek yang merupakan kawasan kem khemah pelawat. Kawasan Lubuk Merekek cantik tetapi aliran air sungainya keroh, menurut petugas TNJ air sungai di kawasan ini asalnya jernih tetapi disebabkan banjir besar yang melanda baru-baru ini ketika Januari-Februari 2011 di Segamat. Seterusnya menuju tempat penginapan yang disediakan oleh TNJERS di Lubuk Tapah. Di Lubuk Tapah juga keadaan airnya keroh serta dapat dilihat pokok-pokok hutan yang tumbang akibat kesan banjir besar. Perjalan dari Bekok ke Lubuk Tapah puratanya selama 1 jam menaiki 2 kenderaan pacuan empat roda TNJ. Dalam perjalan balik hujan lebat melanda.

Berbanyak terima kasih buat pihak TNJ khususnya buat En. Abd. Aziz dan En. Khairill (TNJERS) serta kakitangan TNJ yang menyediakan ruang dan peluang dalam lawatan tapak ini, juga terima kasih buat pihak PPJ yang bersama-sama dalam lawatan ini melibatkan Cikgu Amiruddin Ali, Cikgu Mohd Rosli Bakir dan Cikgu Mohd Taufek Mahamud. Ahli rombongan DBPWS terdiri daripada En. Syaidul Azam Kamarudin, Mohd Rizal dan Shahrur. Program sebenar bersama-sama TNJ-PPJ-DBPWS dirancang bakal diadakan pada awal Julai 2011 nanti, insya-Allah.

Jumaat, April 15, 2011

PPMPSMNJ - "DASAWARSA MEMBINA PENULIS REMAJA"

Cikgu Mohd Kasim Mahmud penuh yakin menyampaikan ilmu penulisan cerpen.

Gaya menarik Cikgu Azhar Salleh dengan penyampaian penuh jitu dan hangat...!
Gaya Cikgu Azhar Salleh seumpama seorang ahli politik terkenal dan berwibawa...!


Para pelajar riang mendengar celoteh Cikgu Azhar Salleh.


Latar pentas perkampungan.

Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor (PPMPSMNJ) 2011 bermula pada 12 - 14 April 2011 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, Johor Bahru. Pemilihan tempat ini atas sebab biayanya yang bersesuaian dengan peruntukan kecil yang ada, namun walaupun biaya kecil diterima program ini wajib diteruskan! Usia program ini juga telah masuk tahun ke-10 makanya dibina slogan khas sempena perkampungan ini iaitu "DASAWARSA MEMBINA PENULIS REMAJA". Program anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) melibatkan seramai 50 pelajar dan 12 guru pengiring dari seluruh sekolah menengah dalam negeri Johor yang terangkum 10 daerah kesemuanya.


Hari Pertama - 12 April 2011

Program bermula pukul 2 petang - 3.30 petang dengan pendaftaran peserta dan guru pengiring serta sesi taklimat dan penerangan. Program diteruskan pada pukul 4.30 - 6.30 petang dengan sesi 'Penulisan Cerpen' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud, penulis prolifik bidang cerpen, puisi dan novel peringkat negeri dan kebangsaan berasal dari SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor. Tugasan untuk menghasilkan sebuah atau lebih cerpen untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar. Perkampungan kali ini turut dibantu dengan penuh komited oleh guru pengiring iaitu Hamzah Rahman Soriat, Hamzah Hamdan, Mohd Taufek Mahmud, Zaid Akhtar, Rohaidah Yon, Khuzaimah Siraj, Siti Hadijah Sunok dan beberapa guru baharu.

Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi 'Penulisan Puisi' yang disampaikan oleh Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP merangkap penulis prolifik karya puisi dan cerpen negeri Johor dan kebangsaan. Beliau seperti biasa membuatkan 'suasana jadi hangat dengan celoteh berilmunya (bukan celoteh biasa)'. Beliau meminta para pelajar menghasilkan 3 puisi yang wajib dihantar pada hari terakhir perkampungan.


Hari Kedua - 13 April 2011

Hari kedua program bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari diadakan sesi sambungan 'Penulisan Puisi dan Cerpen'. Sesi petang bermula 2.30 petang sehingga 4.30 petang diteruskan dengan sesi sambungan hal-hal penulisan cerpen oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi sambungan penulisan puisi yang disampaikan oleh Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Sesi Cikgu Azhar Salleh terus 'hangat dan panas' atas penyampaian ceramah serta bimbingan Cikgu Azhar yang 'membakar', diselitkan dengan motivasi dan kesedaran terhadap nasib serta perkembangan bahasa Melayu kini. Tugasan untuk menghasilkan 3 puisi untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar serta perlu dihantar selewat-lewatnya pagi esok (hari terakhir).


Hari Akhir - 14 April 2011


Program bermula pukul 8.30 pagi sehingga 1.15 tengah hari diadakan sesi 'Penilaian Karya Cerpen dan Puisi' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud dan Cikgu Azhar Salleh. Semua tugasan menghasilkan sebuah cerpen dan 3 puisi yang diamanahkan kepada setiap pelajar berjaya disiapkan. Sijil penyertaan dan penghargaan diserahkan kepada para pelajar dan penceramah/pembimbing. Seperti biasa dalam tempoh 1-2 minggu terdekat ini penceramah akan menilai karya cerpen dan puisi untuk dikemaskan dan disunting bagi dihantar ke majalah terbitan DBP khususnya majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta juga untuk diterbitkan dalam buletin Jendela Selatan DBPWS. Selain itu, karya pelajar ini juga akan dinilai dan dipilih untuk dimuatkan dalam antologi pelajar perkampungan negeri Melaka dan Johor seperti amalan yang lepas dilaksanakan oleh DBPWS sejak tahun 2002 - 2010.



Terima kasih buat Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu Mohd Kasim Mahmud, serta semua guru pengiring yang sebahagian besarnya guru yang prolifik dalam penulisan kreatif sama ada peringkat negeri dan kebangsaan; seribu penghargaan terima kasih juga buat pihak JPNJ; juga berbanyak terima kasih buat urus setia DBPWS iaitu En. Syaidul Azam Kamarudin, Siti Hajar Elah, Mohd Rizal, Raja Azuan, Shahrur, Roz Idayu dan Faizah atas khidmat dan bantuan yang dihulurkan dalam menjayakan program perkampungan ini yang sudah masuk 10 tahun ini.

KUNJUNG MESRA KE MELAKA

Bertemu Hj. Zazmi Zain (juruhebah popular era lewat 1980-an dan awal 1990-an) di RTM Melaka; walaupun sudah 3-4 kali bertemu beliau sejak 2 tahun belakangan ini namun suaranya tidak ubah seperti era beliau bertugas dahulu.

Perbincangan program DBPWS - RTM Melaka.
En. Syaidul Azam (kanan) bersama-sama Pengarah JKKNM.


Catatan kecil: Rasa-rasanya agak hampir sebulan tidak mencatatkan sesuatu dalam blog ini. Pelbagai kekangan dan tumpuan yang kadang kalanya agak sukar diserap dan dikendalikan sehingga agak terabai untuk menulis dalam blog ini, juga pelbagai hal yang ingin ditulis dan dikongsi (ketika masih hangat ingatan dan tempoh lakunya) tertinggal begitu sahaja.

------------------------------------------------------------------------------------------


Pada 8 April 2011 lalu berkunjung ke Melaka untuk pertemuan atau kunjung mesra dan mesyuarat melibatkan tiga pihak iaitu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka (JKKNM), RTM Melaka dan IKSEP Melaka. Kunjung mesra dan mesyuarat ini atas kapasiti ingin ketemukan pengarah baharu bersama-sama badan kerajaan yang sering bersama-sama pihak DBPWS dalam menggerakkan program sastera dan bahasa. Pertemuan dan mesyuarat yang diadakan ini membuahkan beberapa perkara melibatkan program yang bakal diadakan sepanjang tahun melibatkan tiga pihak ini termasuklah program khas sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2011 peringkat negeri Melaka.