Rabu, Ogos 18, 2010

RAMADAN DI UTM

Tiga guru prolifik dan unggul dari Johor, Melaka dan Kuala Lumpur yang banyak pengalaman dan ilmu.

Kelas Ramadan UTM
Hari ini juga (18 Ogos 2010) peroleh satu lagi pengalaman baharu. Kelas yang dibimbing untuk UQP 1041 dalam bulan Ramadan. Kelas yang sebelum ini pukul 5 petang - 7 malam diubah pukul 3 petang - 5 petang kerana bulan puasa. Syukur kepada-Nya kerana pelajar yang mengikuti UQP 1041 hadir seperti biasa serta bersemangat walaupun ada 1-2 pelajar yang nampak mengantuk dan keletihan.
Sebanyak tiga kali pertemuan / kelas berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini. Membimbing dalam keadaan puasa merupakan satu pengalaman baharu kerana sebelum ini belum pernah alaminya. Maka lantas teringat kepada Cikgu Azhar Salleh, seorang guru dan idola yang sudah biasa mengajar dalam keadaan puasa; Sifuku ini bukan sahaja mengajar hakiki di sekolah tetapi juga mengajar penuh gigih dan penuh semangat di luar sekolah (termasuk hari Sabtu dan Ahad) dalam bulan Ramadan sudah berbelas-belas tahun; berpuasa bukan halangan besar buat guru seperti Azhar Salleh untuk mengajar dalam tahap seperti sedia kala.
Pengalaman para guru yang diri kenali seperti Azhar Salleh, Amiruddin Ali, Zaid Akhtar, Hj. Mohd Rosli Bakir, Kasim Mahmud, Hj. A. Rani Embi dan ramai lagi (sekadar menyebut beberapa nama) yang sudah biasa dengan hal ini; maka diri ini dapat menimba sepicing ilmu dan pengalaman untuk bertugas selaku pembimbing dalam keadaan berpuasa. Maka diri ini amat menyanjung tinggi guru-guru yang semangatnya tetap besar walaupun ketika berpuasa, mengajar hampir 5-6 jam sehari termasuk guru idola diri ini (kini menginap di Perjiranan 10) yang mengajar bukan hanya 5-6 jam sehari (Isnin - Jumaat) malah mengajar sehingga 8-9 jam sehari (Sabtu - Ahad) ketika dalam keadaan berpuasa.

Bazar Ramadan UTM
Selepas kelas sempat juga berkunjung ke Bazar Ramadan dalam kampus UTM. Meriah juga orang yang berkunjung dan lauk pauknya. Ramai pelajar yang membeli juadah; sempat 'mencuri dengar dan pandang' ke beberapa gerai perbualan dan gelagat pelajar khususnya gerai yang menjual juadah masakan Kelantan dan Terengganu. Pelajar asal Pantai Timur pasti mencari dan membeli juadah antaranya nasi kerabu, nasi dagang, ayam percik, kuih akok, laksam, lompat tikam dan lain-lain. Cuba mencari nasi dagang asli Terengganu tetapi tiadalah pula kecuali nasi dagang Kelantan sahaja.
Ramai juga pelajar dan tenaga akademik serta bukan akademik UTM asal dari negeri Pantai Timur dapat dikenali melalui 'loghat bahasa' di beberapa gerai di Bazar Ramadan UTM. Masakan Pantai Timur banyaklah juga tetapi belum pasti kesemua rasanya sama seperti masakan dan hidangan yang asal di negeri Terengganu dan Kelantan; lantas hati dan minda teringat bazar di kampung halaman.

2 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Suatu rahmat Allah SWT yang gua sendiri sukar menebak, iaitu bulan Ramadan tidak pernah mengisyaratkan supaya gua perlu berehat dan mengelamun... Tugas perlu dilaksanakan dengan tekun dan amanah. Gua rasa RAR akan mengalami keadaan tersebut. Memang gua terasa kekurangan tenaga, tetapi hanya dari segi fizikal. Spiritualnya tidak. Gua tak nafikan, kalau mengajar 8 jam sehari pada bulan puasa memberikan keletihan (sapa tak letih, bro!) tetapi alah bisa tegal biasa. Cuma, gua sentiasa berharap agar Allah SWT sentiasa memberikan kekuatan kepada gua dan mengurniakan kesihatan yang baik kepada gua. Tapi, biasalah...yang tak tahan tu, hanya satu. Mild Seven!

Md Nizar Parman berkata...

Salam RAR,
Percayalah, salah satu kelebihan bulan Ramadan ialah kita sebenarnya bekerja di luar keadaan yang biasa...