Khamis, Julai 30, 2009

KUTIPAN: KECIL-KECILAN CUMA TAPI TERSEBAR 1 MALAYSIA



DARI kiri; Shapiai, Hamzah Hamdan dan Mohamad Taufek pada sesi forum Kolokium Penulis Johor 2009: Hala Tuju Penulis Johor anjuran DBP Wilayah Selatan dan PPJ di Larkin Perdana, Johor Bahru, baru-baru ini.

PPJ mahu terus unggul

Setiap ahli boleh menyumbang dalam menentukan hala tuju
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahimmailto:Rahimrashiqah@bharian.com.my

PERSATUAN Penulis Johor (PPJ) yakin akan kemampuannya menentukan hala tuju perjuangan mereka meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai hambatan semasa khususnya sikap masyarakat Melayu semakin tidak memberi perhatian pada sastera dan bahasa mereka. Semangat ini yang dapat dikesan pada Kolokium Penulis Johor 2009: Hala Tuju Penulis Johor anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) di DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru, baru-baru ini.

Pengerusi PPJ Daerah Muar, Mohamad Taufek Mahamud, berkata keupayaan penulis muda Johor dalam memastikan dunia bahasa dan sastera terus berkembang merangsang minat generasi muda Johor terhadap sastera Melayu. “Setiap ahli boleh menyumbang dalam menentukan hala tuju PPJ dengan mempromosikan persatuan dan memupuk minat masyarakat dalam penulisan. Teknologi maklumat (IT) wajar dimanfaatkan sama ada melalui blog atau laman web sendiri bagi menyebarkan karya,” katanya. Mohamad Taufek menasihatkan ahli PPJ mendalami IT kerana generasi muda cenderung melayari internet berbanding membaca karya cetakan, selain pendekatan melalui alam siber mesra pengguna dan memungkinkan keseimbangan karya sastera di kalangan generasi tua dengan muda.

Selain itu, bagi memastikan hala tuju setiap ahli tidak terkeluar daripada landasan yang sebenar, beliau mencadangkan PPJ mengadakan seminar bagi menjelaskan hala tuju persatuan dengan lebih teliti, agar tiada kekeliruan pendirian terhadap isu yang membabitkan sastera dan bahasa. Ahli Jawatankuasa PPJ, Shapiai Mohd Ramly, berkata walaupun sukar menentukan hala tuju persatuan berikutan sikap masyarakat Melayu yang mempunyai pelbagai fahaman dan prinsip, pihaknya akan memastikan senario itu tidak berlaku di kalangan ahli PPJ. “Dulu Angkatan Sasterawan (Asas 50) yang memperjuangkan kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam pelajaran sudah menjelaskan seni untuk masyarakat, tetapi berlalunya Asas 50, orang Melayu seakan-akan hilang hala tuju,” ujarnya. Justeru, beliau berharap hala tuju PJJ akan ditentukan dengan lebih jelas kepada setiap ahli dalam bentuk kenyataan, sentiasa mengadakan perbincangan secara berdialog dan perjumpaan berkala empat kali setahun.

Shapiai turut mencadangkan PPJ lebih agresif dalam membimbing penulis yang sudah dan belum berkarya, selain meningkatkan nama penulis Johor pada peringkat antarabangsa seperti Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Dr Usman Awang dan ramai lagi tokoh hebat kelahiran negeri itu. “Hampir 80 peratus penulis Johor menghasilkan karya untuk DBP, selain aktif menyumbangkan karya di syarikat penerbitan lain. Situasi ini cukup menjelaskan betapa beriltizamnya PPJ dalam merencanakan kedudukan sastera Melayu,” jelasnya.


(Catatan kecil: Terima kasih Puan Rashiqah Ilmi - kali pertama berurusan dengannya, sebelum ini banyak berurusan dengan Nazmi Yaakob. Program di atas hanyalah kecil-kecilan sahaja sifat dan skalanya, namun pengisiannya cukup santai serta punyai makna untuk DBPWS dan persatuan-persatuan penulis mahupun penulis bergerak seterusnya dengan hala tuju yang lebih realistik berdasarkan upaya yang ada agar langkah terarah dan tersusun baik untuk manfaat penulis dan masyarakat seterusnya. Insyaallah.)


2 ulasan:

Melihat Kesunyataan berkata...

Terima kasih yang tidak terhingga kepada En. Rusdi sendiri yang selama ini memainkan peranan penting dalam setiap aktiviti PPJ.

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Nampaknya, usaha kecil ini mendatangkan manfaat yang besar. Bicara panel pada hari itu wajar direnungi oleh PPJ kerana di bawah sifu, Cikgu Amir, PPJ mampu melangkah lebih jauh lagi. Apatah lagi, DBPWS di bawah teraju sasteranya yang kreatif dan proaktif, usaha kecil sebegini lazimnya mampu menerjah jaring sastera!