Sabtu, Februari 26, 2011

FOTO-FOTO SISI LAIN PPMPSMNM 2011

Azhar Salleh - bayang - puisi agama.

Azhar Salleh - bayang - puisi agama.

Puisi prolifik Azhar Salleh berjudul 'Pesan Puteri' dalam antologi puisi Gunung Ledang.

"Kata-kata yang terbaik dalam susunan yang terbaik."

Paparan puisi - peserta - komputer bimbit.

Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Melaka (PPMPSMNM) 2011 bermula pada 22 - 24 Februari 2011 di Ismah Beach Resort, Pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah, Melaka. Program anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka (JPNM) melibatkan seramai 40 pelajar dari seluruh sekolah menengah dalam negeri Melaka. Program ini bermula sejak tahun 2002 sehingga tahun ini telah berlangsung sebanyak 8 kali dengan komitmen serta izin penuh pihak JPNM.

PPMPSMNM 2011

Rakaman foto kenangan peserta, penceramah dan urus setia.

Cikgu Mohd Kasim Mahmud tekun dalam penilaian tugasan peserta.

Renungan penuh ilmu dan pengalaman Cikgu Azhar Salleh sambil Cikgu Abd. Rani mencatat sesuatu yang bermanfaat buat semua peserta.

Latar pentas yang mudah dan berkadar murah sahaja atas sebab peruntukan yang ada juga agak kecil...

Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Melaka (PPMPSMNM) 2011 bermula pada 22 - 24 Februari 2011 di Ismah Beach Resort, Pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah, Melaka. Program anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka (JPNM) melibatkan seramai 40 pelajar dari seluruh sekolah menengah dalam negeri Melaka. Program ini bermula sejak tahun 2002 sehingga tahun ini telah berlangsung sebanyak 8 kali dengan komitmen serta izin penuh pihak JPNM.

Hari Pertama - 22 Februari 2011
Hari pertama program bermula pukul 4 petang dengan diadakan sesi taklimat dan penerangan (selepas selesai pendaftaran sekitar pukul 2 - 4 petang). Program diteruskan pada pukul 5 - 6 petang dengan sesi 'Motivasi Penulisan' yang disampaikan oleh Tn. Hj. Abd. Rani Embi yang merupakan penulis kreatif negeri Melaka dan guru SMA Tahfiz, Jasin, Melaka. Perkampungan kali ini turut dibantu oleh guru pembimbing yang penuh komited iaitu Cikgu Hajah Rohayah Abu, Cikgu Abd. Razak dan Cikgu Maziah.
Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi 'Penulisan Cerpen' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud, seorang penulis prolifik karya kreatif khususnya cerpen, novel dan puisi peringkat negeri Johor dan kebangsaan. Beliau juga merupakan Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa di SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor. Tugasan untuk menghasilkan sebuah atau lebih cerpen untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar.

Hari Kedua - 23 Februari 2011
Hari kedua program bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari diadakan sesi 'Penulisan Puisi' yang disampaikan oleh Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP merangkap penulis prolifik karya puisi dan cerpen negeri Johor dan kebangsaan. Sesi petang bermula 2.30 petang sehingga 4.30 petang diteruskan dengan sesi sambungan hal-hal penulisan cerpen oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud.
Sesi pukul 6 petang sehingga 7.30 malam merupakan 'sesi kunjungan peribadi' melibatkan penceramah dan urus setia ke kawasan pantai Pengkalan Balak, Melaka. Sesi ini merupakan sesi 'menyelerakan' pabila menjamah cucur Alor Gajah di tepi pantai.
Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi sambungan penulisan cerpen dan puisi yang disampaikan oleh Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Sesi yang 'hangat dan panas' atas penyampaian ceramah serta bimbingan Cikgu Azhar yang panas, diselitkan dengan motivasi dan kesedaran terhadap nasib serta perkembangan bahasa Melayu kini. Tugasan untuk menghasilkan sebuah cerpen dan ditambah 3 puisi untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar serta perlu dihantar selewat-lewatnya pukul 12 tengah malam.

Hari Akhir - 24 Februari 2011
Hari akhir program bermula pukul 8.30 pagi sehingga 1.15 tengah hari diadakan sesi 'Penilaian Karya Cerpen dan Puisi' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud dan Cikgu Azhar Salleh. Semua tugasan menghasilkan sebuah cerpen dan 3 puisi yang diamanahkan kepada setiap pelajar berjaya disiapkan. Sijil penyertaan dan penghargaan diserahkan kepada para pelajar dan penceramah/pembimbing. Seperti biasa dalam tempoh 1-2 minggu terdekat ini penceramah akan menilai karya cerpen dan puisi untuk dikemaskan dan disunting bagi dihantar ke majalah terbitan DBP khususnya majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta juga untuk diterbitkan dalam buletin Jendela Selatan DBPWS. Selain itu, karya pelajar ini juga akan dinilai dan dipilih untuk dimuatkan dalam antologi pelajar perkampungan negeri Melaka dan Johor seperti amalan yang lepas dilaksanakan oleh DBPWS sejak tahun 2002 - 2010.

Terima kasih buat Cikgu Azhar Salleh, Cikgu Mohd Kasim Mahmud, Cikgu Hj. Abd. Rani Embi, Cikgu Hajah Rohayah, Cikgu Abd. Razak, dan Cikgu Maziah selaku pembimbing/penceramah serta guru pembantu/fasilitator; seribu penghargaan terima kasih juga buat pihak JPNM khususnya En. Roslan; juga berbanyak terima kasih buat urus setia DBPWS iaitu En. Syaidul Azam Kamarudin, Siti Hajar Elah, Shahrur dan Roz Idayu atas khidmat dan bantuan yang dihulurkan dalam menjayakan program perkampungan ini.

TRIPLE MALAYA: SESUATU YANG DITUNGGU DI JB...

Khabarnya ada konsert yang agak berskala besar dinamakan dan dijenamakan sebagai KONSERT TRIPLE MALAYA pada 5 Mac 2011 ini di Gemencheh, Negeri Sembilan. Konsert ini sepatutnya 'wajib hadir' di Johor Bahru dahulu sebelum ke negeri lain kerana Johor merupakan 'negeri asas aliran rock 1980-an' (selain negeri P. Pinang / Perak). Search dan Wings ada DOUBLE TROUBLE yang sememangnya unggul dan terserlah kehebatannya menjelajah banyak negeri di Malaysia sejak 2-3 tahun lalu; makanya giliran gabungan tiga kumpulan iaitu AMUK - MAY - XPDC pula yang menjejak konsert yang menyerlah...!

Isnin, Februari 21, 2011

PROGRAM FEBRUARI 2011: BENGKEL PEMERKASAAN KOMSAS SEKOLAH MENENGAH DAERAH PONTIAN




Program Bengkel Pemerkasaan KOMSAS Sekolah Menengah Daerah Pontian pada 19 Februari 2011 (9 pagi - 12.30 tengah hari) anjuran bersama PPD Pontian, DBPWS dan PPJ di SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pontian, Johor. Dua penceramah / pembimbing: Cikgu Hj. Mohd Rosli Hj. Bakir dan Cikgu Amiruddin Md. Ali Hanafiah. Seramai 110 pelajar melibatkan semua sekolah menengah daerah Pontian menyertai bengkel ini.

PROGRAM FEBRUARI 2011: PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DAERAH KULAIJAYA




Program Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Daerah Kulaijaya pada 19 Februari 2011 (9 pagi - 4.00 petang) anjuran bersama PPD Kulaijaya, DBPWS dan PPJ di SMK Sultan Alauddin, Kulaijaya, Johor. Penceramah / pembimbing: Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Seramai 100 pelajar menyertainya yang melibatkan kesemua 15 buah sekolah menengah daerah Kulaijaya, Johor.

PROGRAM FEBRUARI 2011: BENGKEL PENULISAN SKRIP DRAMA RADIO DAN TV MELAKA


Program Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio dan Televisyen anjuran bersama IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM) dan DBPWS diadakan pada 11 - 12 Februari 2011 di Dewan Tun Fatimah, IPGKPMM, Durian Daun, Melaka. Penceramah / Pembimbing: Cikgu Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Sdra Mohd Fairuz @ MF Kencana. Seramai 80 peserta menghadiri bengkel dua hari ini.

Program Januari 2011: Program Pengajaran dan Penghayatan KOMSAS Negeri Melaka 2011


Program Pengajaran dan Penghayatan KOMSAS Negeri Melaka 2011 diadakan pada 26 - 27 Januari 2011 di Bahagian Teknologi Pendidikan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka (JPNM), Bukit Katil, Melaka anjuran bersama JPNM dan DBPWS. Program dua hari ini yang melibatkan seramai 100 guru bahasa Melayu dari seluruh negeri Melaka antaranya bertujuan untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kemahiran guru tentang pengajaran dan penghayatan KOMSAS termasuk puisi tradisional. Sesi ceramah dan bimbingan disampaikan oleh 4 tenaga utama KOMSAS negeri Melaka iaitu Hj. Ab. Rani Embi, Hjh. Rohaya Abu, Pn. Raziah Md. Jani, dan Pn. Hanizah Yaakub.

Khamis, Februari 03, 2011

PROGRAM PPJ: JOHOR KE HAT YAI

(Kutipan dalam blog PPJ - persatuanpenulisjohor.blogspot.com)
Persatuan Penulis Johor (PPJ) akan menganjurkan Jerayawara Sastera dan Budaya Johor - Hat Yai iaitu kembara menaiki keretapi dari Kluang ke Hat Yai. Program tersebut akan diadakan pada 12-15 Mac 2011. Masa bertolak dijangka pada jam 10.00 pagi di stesen keretapi Kluang. Yuran penyertaan adalah sebanyak RM 450.00. Kepada ahli-ahli PPJ yang berminat untuk menyertai program ini bolehlah mendaftar diri kepada AJK Program di alamat emel. PPJ iaitu penulisjohor66@gmail.com Sila berikan nama penuh, alamat, no kad pengenalan, nombor passport dan tarikh luput dan sertakan wang pendahuluan sebanyak RM 100.00. Sebarang pertanyaan sila hubungi Sdra. Hamzah Hamdan selaku Ketua Program di talian 013-7023857, Setiausaha PPJ Sdra. Mohd Rosli Bakir – 019-7201570 dan Bendahari PPJ Sdra. Hamzah Rahman Soriat- 013-7208863. Penyertaan adalah terhad.

Rabu, Februari 02, 2011

PROGRAM JANUARI 2011: PEMENTASAN TEATER PUISI TARI 'PRIMADONA... PERAHU MIMPI' - 28 - 30 JANUARI 2011





Program PEMENTASAN TEATER PUISI TARI 'PRIMADONA... PERAHU MIMPI' diadakan pada 28 - 30 Januari 2011 di Dewan Sultan Iskandar UTM, Skudai, Johor Bahru anjuran Grup Inspirasi Unik, UTM dan PDK DUN Nusajaya dengan kerjasama DBPWS dan JKKNJ. Penampilan khas pelakon adik beradik Anne Ngasri dan Bell Ngasri. 4 pementasan (setiap pementasan selama 2 jam) diadakan sepanjang 3 hari yang melibatkan pementasan teater berskala besar arahan Zamri Pangat dan skrip oleh Rahimah Muda. Tenaga pelakon, produksi, penari dan pemuzik seramai 150 orang.

PROGRAM JANUARI 2011: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN FELDA: FOKUS ALLAHYARHAM GUNAWAN MAHMOOD - 27 JANUARI 2011



Program SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN FELDA KE-4: FOKUS ALLAHYARHAM GUNAWAN MAHMOOD diadakan pada 27 Januari 2011 di Dewan Raya FELDA Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor anjuran bersama UPSI dan DBPWS dengan kerjasama FELDA Ulu Tebrau dan PPJ. Sebanyak 16 kertas kerja dibentangkan dalam seminar ini termasuk pembentangan abang kandung arwah iaitu Prof. Muliyadi Mahmood seorang pensyarah UiTM, seorang pelukis dan penulis yang pakar dalam bidang lukisan dan coretan kartun; anak saudara arwah iaitu penulis prolifik negeri Johor WB Rendra turut membentangkan kertas kerja. Allahyarham Gunawan Mahmood merupakan anak jati FELDA Ulu Tebrau.

PROGRAM JANUARI 2011: DIALOG JOHOR LAMA 400 TAHUN - 23 JANUARI 2011



Program DIALOG JOHOR LAMA 400 TAHUN diadakan pada 23 Januari 2011 di SK Johor Kampung, Kampung Johor Lama, Kota Tinggi anjuran bersama KEJORA, Persatuan Sejarah Johor Cawangan Kota Tinggi, DBPWS dan PPJ. Sesi pembentangan kertas kerja dan dialog oleh beberapa pakar bidang sejarah dan persuratan antaranya termasuklah Prof. Abdullah Zakaria (UM), Hj. Kassim Thukiman (UTM), Mohd. Akbal (UTHM), Hj. Kamdi (YWJ) dan Amiruddin Ali (Ketua 1 PPJ).

PROGRAM JANUARI 2011: MALAM SEMERBAK JOHOR LAMA - 22 JANUARI 2011



Program MALAM SEMERBAK JOHOR LAMA diadakan pada 22 Januari 2011 di Dataran Kampung Johor Lama, Kota Tinggi anjuran bersama KEJORA, Persatuan Sejarah Johor Cawangan Kota Tinggi, DBPWS dan PPJ. Acara yang diadakan merupakan deklamasi puisi dan persembahan kebudayaan disamping pelancaran buku antologi puisi 'Semerbak Johor Lama' sempena Karnival Johor Lama. Pendeklamasi negeri Johor khususnya AJK dan ahli PPJ yang terlibat termasuklah Amiruddin Ali, Hj. Mohd Rosli Hj. Bakir, Hamzah Hamdan, Shamsul A. Wahab, Rohaidah Yon, dan Zulaiha Paikon.