Ahad, Oktober 31, 2010

TEATER MJ - BBK 2010 JOHOR: TERIMA KASIH SEMUA, MUNGKINKAH ADA MJ 2..?

Sebahagian tenaga produksi MJ.

Unit kawalan sistem bunyi dan pencahayaan.

Unit kawalan kamera - 3 kamera digunakan dalam rakaman MJ.

Para penonton menyanyikan lagu 'Bahasa Jiwa Bangsa' sebelum pementasan bermula.

Pementasan ketiga (terakhir) teater 'Menara Jiwa' (MJ) sempena BBK 2010 Johor diadakan pada 30 Oktober 2010 (Sabtu) pukul 8.35 malam di Auditorium JOTIC, Johor Bahru. Kehadiran penonton sekitar 260 - 280 penonton. Mungkin tumpuan ramai terhadap perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 Kelantan menentang Negeri Sembilan; apa-apapun tahniah besar buat Kelantan kerana menumbangkan ego besar Negeri Sembilan selama ini. Pementasan terakhir MJ yang diadakan ini agak menurun sedikit iaitu 85% lengkap sepenuhnya mengikut perancangan terutamanya melibatkan hal-hal lakonan, teknikal audio dan sistem pencahayaan, setelah dilihat dan dirisik sememnagnya ada pelakon yang sedikit kepenatan setelah mempersembahkan secara penuh bersemangat dalam dua pementasan sebelum ini. Pementasan terakhir ini berlangsung selama 1 jam 15 minit.
Terima kasih setinggi-tinggi penghargaan buat semua tenaga produksi bermula peranan kecil sehingga peranan amat besar dalam menjayakan pementasan MJ ini: buat para penonton umum termasuk penonton berstatus pihak sekolah dan IPT (bukan paksaan atau paksa rela) yang mengusahakan kehadiran dalam pementasan ini tanpa ada surat wajib pihak PPD mahupun ada disediakan kenderaan seperti bas atau van oleh pihak DBPWS... mohon maaf jika ada kekurangan dan kelemahan yang ada dalam produksi MJ ini serta maaf dipohon jika teater MJ ini tidak menepati beberapa aspek cita rasa dan ilmu teater yang dipelajari dalam kelas kerana MJ kali ini lebih menonjolkan atau mengutamakan mesej yang langsung dan bermotivasi buat semua tidak kira yang mahir dalam penguasaan ilmu (dan teori) teater mahupun pihak masyarakat umum yang beroleh manfaat daripada menonton teater MJ ini. Mungkinkah ada MJ 2 atau Roh Semberani 2 atau Srikandi Tanah Jauhar 2...?
TERIMA KASIH SETINGGI MENARA TERTINGGI DI DUNIA BUAT SEMUA...

TEATER MJ - BBK 2010 JOHOR: KEHADIRAN PENONTON DENGAN USAHA SENDIRI...

Sebahagian penonton dalam kalangan pelajar dan umum.

Sebahagian penonton dalam kalangan pelajar duduk di barisan paling hadapan kerusi.

Sebahagian babak akhir MJ - Ungku Rahman Andak bersama-sama pelakon lain dan lagu MJ...

Kenakalan Buyung dan kejelitaan Ana Fatimah...

Babak dialog romantis Amir Hamzah dengan Ana Fatimah...

Pementasan kedua teater 'Menara Jiwa' (MJ) sempena BBK 2010 Johor diadakan pada 30 Oktober 2010 (Sabtu) pukul 3.00 petang di Auditorium JOTIC, Johor Bahru. Kehadiran penonton penuh semaksimum jumlah kerusi di auditorium iaitu 350 penonton, ada juga sebilangan penonton yang lebih selesa duduk di kawasan tangga. 75% penonton untuk sesi ini dikuasai oleh penonton dalam kalangan pelajar universiti dan pelajar serta guru sekolah. Mereka dalam kalangan pelajar dan guru sekolah yang datang menonton atas usaha sendiri pihak guru dan sekolah berkenaan tanpa paksaan atau disediakan bas atau pengangkutan oleh DBPWS dan Grup Seni; pihak DBPWS hanya mengundang melalui kad undangan (secara sukarela) bukannya surat wajib pihak Pejabat Pelajaran Daerah yang dilampirkan kepada setiap sekolah di daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang. Pementasan kedua MJ yang diadakan ini hampir 95% lengkap sepenuhnya mengikut perancangan terutamanya melibatkan hal-hal lakonan, teknikal audio dan sistem pencahayaan. Para pelakon juga yakin mengeluarkan tenaga semaksimum yang sebaik mungkin. Pementasan ini berlangsung selama 1 jam 20 minit.
Terima kasih setinggi-tinggi penghargaan buat pihak sekolah dan IPT yang mengusahakan kehadiran dalam pementasan ini tanpa ada surat wajib pihak PPD mahupun ada disediakan kenderaan seperti bas atau van oleh pihak DBPWS; atas urusan dan usaha pihak sekolah dan IPT sendiri ingin hadir (bukan paksaan atau paksa rela) inilah yang cukup mengujakan dan membanggakan secara tulus dan asli...

Sabtu, Oktober 30, 2010

TEATER MJ - BBK 2010 JOHOR: REAKSI POSITIF DAN NEGATIF...

Sebahagian penonton umum yang menyaksikan teater MJ.

'Pertarungan' Edward dengan Ana Fatimah.

Konflik dalam menyelesaikan masalah bahasa...

'Ungku Rahman Andak' dan 'Mohd Ibrahim Munsyi' dilakonkan oleh Ali Nasar Abdat dan Shamsul Akmal.

Cinta Ana Fatimah - Amir Hamzah (lakonan Noor Hidayah dan Zul Effendy).
Pementasan yang pertama teater 'Menara Jiwa' (MJ) diadakan pada 29 Oktober 2010 (Jumaat) pukul 8.45 malam di Auditorium JOTIC, Johor Bahru. Kehadiran penonton sekitar seramai 320 orang (auditorium boleh memuatkan seramai semaksimum kerusinya berjumlah 350 penonton). Pementasan pertama MJ yang diadakan hampir 90% lengkap sepenuhnya terutamanya melibatkan hal-hal lakonan, teknikal audio dan sistem pencahayaan. Para pelakon juga yakin mengeluarkan tenaga semaksimum yang sebaik mungkin. Pementasan ini berlangsung selama 1 jam 20 minit. Riak wajah Pengarah MJ, Sahruddin Manas juga nampaknya ceria berbanding ketika raptai.

Komen Positif dan Komen Negatif
Komen positif yang diperoleh daripada para penonton umum (maksud: penonton umum yang majoritinya sekitar 90%, selebihnya 10% penonton yang bertaraf dan berstatus 'handal dan pakar' dalam pelbagai seni dan teori teater) yang menyaksikan teater ini juga menambahkan keyakinan buat tenaga produksi. Ada juga komen yang 'negatif' khususnya sebahagian daripada penonton yang bertaraf dan berstatus 'handal dan pakar' dalam pelbagai seni teater; namun komen 'negatif dan positif' itu merupakan pelengkap yang baik serta profesional dalam sesebuah pementasan pelbagai jenis aliran teater.
Rasa-rasanya tiada satu teater di Malaysia ini yang pernah menerima komen positif 100% dan komen negatif 100%; pasti ada pihak yang berpuas hati dan ada pihak yang memandang sesebuah pementasan itu tidak menepati 'konsep itu dan ini'?
Inilah lumrah dalam pementasan sesebuah teater serta berbicara soal teater yang bersifat subjektif dan pelbagai aliran yang bertaraf subjektif dalam pegangan masing-masing. Satu hal lagi; upaya mementaskan sesebuah pementasan teater juga banyak bergantung kepada biayanya, jika biaya yang kecil dan terhad maka pelbagai kekangan akan muncul tetapi demi mementaskan sesebuah teater seadanya mampu dilakukan.
Sedayanya mampu membikinkan pementasan demi mesej dan perkhabaran serta maklumat berilmu buat penonton yang majoritinya kategori 'penonton umum', itulah ingin yang disampaikan buat semua...
Terima kasih seribu penghargaan buat semua yang hadir menyaksikan pementasan pertama MJ ini tidak kiralah sama ada tuan-tuan dan puan-puan merupakan penonton umum atau penonton berilmu 'handal dan pakar'; kehadiran anda semua sebenarnya membangkitkan letusan positif terhadap pementasan MJ ini. Kami semua tenaga produksi MJ menerima dan menyerap segala hal positif dan negatif demi seadanya mampu memajukan dan menyemarakkan pementasan teater di negeri Johor walaupun biayanya kecil dan terhad. TERIMA KASIH...

RAPTAI TEATER MJ - BBK 2010 JOHOR




Sebahagian foto yang dirakam ketika raptai MJ.

Raptai pementasan teater 'Menara Jiwa (MJ) diadakan pada 28 Oktober 2010 (Khamis) pukul 9.15 malam di Auditorium JOTIC, Johor Bahru. Raptai yang diadakan masih belum lengkap sepenuhnya terutamanya melibatkan hal-hal teknikal audio dan sistem pencahayaan. Para pelakon juga belum mengeluarkan tenaga semaksimum yang sebaik mungkin. Kostum para pelakon juga belum lengkap sebahagiannya. Raptai ini berlangsung selama 1 jam 15 minit. Pengarah MJ, Sahruddin Manas juga nampaknya banyak membetulkan beberapa hal teknik lakon dan sistem teknikal selepas raptai. Ruang pentas di auditorium ini memanglah kecil berbanding pentas di auditorium RTM Johor yang pernah digunakan untuk pementasan 'Roh Semberani' (2008) dan 'Srikandi Tanah Jauhar' (2009) dalam konteks pementasan teater khas sempena BBSN 2008 dan BBK 2009.

Selasa, Oktober 26, 2010

PRATONTON TEATER MJ - BBK 2010 JOHOR



Sebahagian foto aksi pratonton teater MJ dirakam menggunakan kamera telefon bimbit sendiri.

Pratonton pementasan teater 'Menara Jiwa' (MJ) diadakan di Balai Seminar DBPWS, Johor Bahru pada 25 Oktober 2010 (9.20 malam - 10.30 malam). Teater MJ ini diadakan pementasannya sempena BBK 2010 Negeri Johor pada 29 Oktober 2010 (8 malam) dan 30 Oktober 2010 (2.30 petang dan 8 malam) di Auditorium JOTIC, Jalan Ayer Molek, Johor Bahru. Taeter MJ merupakan anjuran DBPWS dan Grup Seni Gerbang Unik dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor (JKKNJ) sempena BBK 2010 Johor.
MJ dalam biaya yang rendah dan murah akan digerakkan seramai 20-25 orang tenaga pelakon dan produksi. Pelbagai kekangan juga dihadapi tenaga produksi kerana biayanya yang rendah dan murah; namun demi menyampaikan hasil kerja seni berteraskan mesej bahasa dan sastera khususnya sejarah bahasa dan sastera serba padat dalam masa 1 jam 30 minit para tenaga kerja produksi menggagahkan diri menghasilkan pementasan yang sebaik mungkin mampunya.
MJ meneruskan kesinambungan teater yang agak berskala besar yang diusahakan oleh DBPWS khususnya sempena sambutan BBSN dan BBK; pada tahun 2008 dipentaskan teater 'Roh Semberani' sempena BBSN 2008 Johor di Auditorium RTM Johor dan pada tahun 2009 dipentaskan 'Srikandi Tanah Jauhar' sempena BBK 2009 Johor. Peluang dua tahun mementaskan teater di Auditorium RTM Johor yang memuatkan seramai 700-800 orang cukup menerbitkan pelbagai pengalaman, manakala tahun ini MJ dipentaskan di Auditorium JOTIC yang boleh memuatkan sekitar 350-400 orang namun cabarannya juga agak besar.
Dijemput semua hadir menyaksikan pementasan MJ ini, masuk percuma.

SDPBJB BBK 2010 JOHOR - KATEGORI TERBUKA LELAKI

Shamsul Akmal johan kategori terbuka lelaki.

Samsul A. Wahab selaku Pengacara Majlis.

Dua hakim khas dibawa dari negeri maju Melaka.

Seorang peserta veteran turut menyertai sayembara.

Borang penyertaan asal yang diterima bagi kategori terbuka lelaki sebanyak 38 penyertaan dalam Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' (SDPBJB) BBK 2010 Johor. Setelah selesai pendaftaran terdapat 6 peserta tidak hadir; maka dalam kategori ini melibatkan seramai 32 orang menyertai sayembara yang berlangsung di Aras Dua Balai Seminar DBPWS yang berjalan serentak dengan sayembara kategori terbuka wanita dan pelajar sekolah pada 23 Oktober 2010 di DBPWS. Sayembara untuk kategori ini bermula pukul 8.45 pagi sehingga selesai pukul 11.15 pagi. Dua hakim penuh pengalaman dan prolifik dari Melaka iaitu En. Ramly Abu (Pensyarah IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka - Pengajar Bidang Puisi) dan Cikgu Hj. A. Rani Embi (Setiausaha 2 IPM Melaka - Guru Kanan Kesusasteraan Melayu Melaka) telah mengadili sayembara kategori lelaki ini. En. Samsul A. Wahab yang merupakan johan pelbagai kategori dan tema sayembara deklamasi puisi peringkat negeri Johor sekitar tahun 2008 - 2010 telah dilantik sebagai Pengacara Majlis dalam kategori ini.

SDPBJB BBK 2010 JOHOR - KATEGORI TERBUKA WANITA

Peserta dan kamera video.

Sebahagian peserta dan rakan peserta kategori terbuka wanita.

Seorang peserta bangsa India turut menyertai sayembara ini.

Hakim bernama Azhar Salleh penuh semangat dan komited demi kelangsungan bahasa dan sastera kebangsaan.

Borang penyertaan asal yang diterima bagi kategori terbuka wanita sebanyak 31 penyertaan dalam Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' (SDPBJB) BBK 2010 Johor. Setelah selesai pendaftaran terdapat 4 peserta tidak hadir; maka dalam kategori ini melibatkan seramai 27 orang menyertai sayembara yang berlangsung di Aras Satu Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBPWS yang berjalan serentak dengan sayembara kategori terbuka lelaki dan pelajar sekolah pada 23 Oktober 2010 di DBPWS. Kehadiran peserta termasuk rakan peserta menyebabkan ruang 'kecil dan comel' yang diubah suai sementara di PDM DBPWS ini penuh serta terpaksa ditambah kerusi. Sayembara untuk kategori ini bermula pukul 8.40 pagi sehingga selesai pukul 11.05 pagi. Dua hakim penuh pengalaman dan prolifik iaitu Cikgu Mohd Kasim Mahmud dan Cikgu Azhar Salleh telah mengadili sayembara kategori wanita ini.

SDPBJB BBK 2010 JOHOR - KATEGORI PELAJAR SEKOLAH

Pengacara Majlis yang menceriakan suasana sayembara kategori pelajar sekolah.

Para peserta dan hadirin.

Peserta Sekolah Seni Johor Bahru.

Pelajar berbangsa Cina turut menyertai sayembara.

Borang penyertaan asal yang diterima sebanyak 51 penyertaan namun atas sebab beberapa sekolah yang bersekolah ganti pada 23 Oktober 2010 (Sabtu) maka ada peserta terpaksa menarik diri dalam Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' (SDPBJB) BBK 2010 Johor. Seramai 40 pelajar menyertai sayembara yang berlangsung di Aras Bawah Galeri Pameran DBPWS yang berjalan serentak dengan sayemabara kategori terbuka lelaki dan terbuka wanita. Kehadiran peserta termasuk guru dan ahli keluarga menyebabkan ruang 'kecil dan comel' Galeri Pameran penuh serta terpaksa ditambah kerusi. Sayembara bermula pukul 8.40 pagi sehingga selesai pukul 11.25 pagi.

KDT JB 2010


Sudah seminggu mencari untuk membeli akhirnya semalam dapat juga impian hati. Selepas mendapat perkhabaran bahawa produk ini sudah mula teredar seminggu yang lalu maka diri ini mencarinya... 8 kedai dikunjungi. Hairannya produk ini tentang tempat acaranya di Johor Bahru tetapi lambat sampai di bandar raya Johor Bahru ini? Jurujual kedai beritahu bahawa produk itu belum sampai...! Hairan juga, kenapa?
Apa-apapun produk ini sudah dimiliki kini, moga-moga produk ini menepati cita rasa yang sebaik mungkin atau setidak-tidaknya mutu suntingan muzik dan visualnya dapat meninggalkan beberapa kesan yang dapat diingati dan dibanggakan.

Jumaat, Oktober 15, 2010

BBK 2010 JOHOR - PENYERTAAN SDPBJB JOHOR

Foto hiasan: Buku himpunan keratan akhbar kegiatan DBPWS tahun 2001 - 2004.

Borang penyertaan Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' (SDPBJB) sempena BBK 2010 Negeri Johor yang diterima sebanyak 108; sesuatu luar jangkaan serta kemungkinan satu rekod baharu dalam konteks penyertaan sesebuah sayembara deklamasi puisi yang dianjurkan oleh DBPWS sepanjang 10 tahun ini. Penyertaan dalam beberapa sayembara sebegini yang dianjurkan oleh DBPWS sepanjang 10 tahun belakangan ini hanya memperoleh sekitar 30 - 40 penyertaan sahaja (atau kurang daripada angka ini). Sasaran awalnya paling maksimum untuk SDPBJB Johor ini iaitu sekitar 40 - 50 penyertaan sahaja tetapi jumlah yang diperoleh sehingga semalam sebanyak 108 penyertaan... lalu penyertaan harus ditutup terus...!
Asalnya diwujudkan 2 kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita, namun atas peneyertaan yang luar jangkaan ini maka harus dibuka satu lagi kategori iaitu Kategori Pelajar Sekolah. SDPBJB Johor bakal diadakan pada 23 Oktober 2010 (Sabtu) di tiga tempat di dalam bangunan DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru iaitu di Ruang Pameran (aras bawah), di ruang Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), dan di Balai Seminar DBPWS. Sayembara untuk 3 kategori ini akan berjalan serentak bermula pukul 8.30 pagi. Berikut jumlah penyertaan mengikut kategori:
i. Kategori Terbuka Lelaki - 36 penyertaan/orang.
ii. Kategori Terbuka Wanita - 31 penyertaan/orang.
iii. Kategori Pelajar Sekolah - 51 penyertaan/orang.
Penyertaan yang diterima bukan setakat daerah yang berdekatan iaitu daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulaijaya dan Pontian tetapi diterima juga dari semua daerah dalam negeri Johor, ada juga penyertaan melibatkan pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir yang sedang bercuti semester. Semoga sayembara yang berjalan serentak untuk 3 kategori berjalan dengan baik dan lancar demi menyemarakkan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan sekurang-kurangnya dan sekecil-kecilnya bagi peringkat negeri Johor.

Jumaat, Oktober 08, 2010

BBK 2010 MELAKA - MAJLIS PELANCARAN NEGERI MELAKA

Sebahagian para hadirin di dalam dewan ketika majlis pelancaran.

Bacaan 'Ikrar Setia Bahasa' oleh seramai 26 ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.

Penampilan Ahmad Fetri - berpantun dan berpuisi.

Sebahagian pameran yang dipaparkan. Bahan pameran disediakan khas oleh pihak Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) Ibu Pejabat DBP.

Majlis Pelancaran BBK 2010 Peringkat Negeri Melaka di Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka selesai diadakan pada 8 Oktober 2010. Majlis bermula pukul 3.15 petang berakhir pada pukul 4.45 petang. Seramai 800 - 850 khalayak hadir dalam majlis tersebut (iaitu sekitar 80-85% sasaran khalayak sebanyak 1,000 orang). Majlis ini diselenggarakan secara bersama DBPWS dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Melaka (IKSEP).
Perasmian pelancaran disempurnakan oleh YB Datuk Wira Omar Kaseh, Setiausaha Kerajaan Melaka selaku wakil rasmi YAB Ketua Menteri Melaka. Acara ini turut menampilan persembahan 2 kumpulan lagu puisi dan 4 pendeklamasi puisi antaranya melibatkan deklamasi puisi oleh personaliti TV3 iaitu Ahmad Fetri (pengacara rancangan Malaysia Hari Ini). Lagu yang baharu dicipta oleh sebuah kumpulan turut didendangkan iaitu dipetik daripada tema BBK 2010 '1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara'.
Setakat hari ini, sebanyak 5 program (daripada 10 program untuk negeri Melaka) telah diadakan sempena BBK 2010 Melaka yang bermula sejak 21 September 2010 yang lalu iaitu Paparan Harian Bingkisan dan Pedoman Bahasa Akhbar Melaka Hari Ini, Pementasan Teater dan Monolog Melaka, Sayembara Deklamasi Puisi 'Bahasa Jiwa Bangsa' Melaka, Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka, dan Majlis Pelancaran BBK 2010 Melaka. Program-program BBK 2010 Melaka ini juga bersesuaian dengan sambutan Melaka Maju 2010 yang bakal diisytiharkan pada 20/10/2010 pada pukul 2010PM (8.10 malam).
Terima kasih seribu penghargaan buat semua tenaga kerja pihak IKSEP dan kakitangan DBPWS yang membantu secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis pelancaran ini serta program-program lain yang telah terlaksana sempena BBK 2010 Melaka.

Khamis, Oktober 07, 2010

BBK 2010 MELAKA - RAPTAI MAJLIS PELANCARAN

Susunan kerusi di dalam dewan sudah siap untuk khalayak...

Contoh latar pentas majlis pelancaran.

Selesai Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Negeri Johor di Plaza Kota Raya, Johor Bahtu, Johor terus bergegas ke Melaka untuk mengikuti raptai majlis pelancaran BBK 2010 Negeri Melaka. Bertolak dari Johor Bahru sekitar pukul 12.15 tengah hari lalu sampai di Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka pukul 2.45 petang. Acara raptai sedang berlangsung sambil pihak pengurusan Dewan Bistari sedang giat menyusun kerusi para jemputan berjumlah sekitar 900 - 1000. Asalnya dirancang sasaran cuma sekitar 500 - 600 khalayak sahaja tetapi pihak penyelenggara bersama majlis pelancaran BBK 2010 Melaka iaitu Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Melaka (IKSEP) sasarkan pula sekitar 900 - 1000 khalayak.
Acara raptai berjalan dalam keadaan baik walaupun berlaku beberapa perubahan atur cara dan sambutan untuk tetamu khas; menariknya ada lagu baharu yang bakal didendangkan oleh sekumpulan anak muda iaitu dipetik daripada tema BBK 2010 '1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara'. Beberapa pendeklamator juga bakal tampil membuat persembahan termasuklah khabarnya deklamasi puisi oleh pengacara rancangan Malaysia Hari Ini TV3 iaitu Ahmad Fetri.
Majlis Pelancaran BBK 2010 Peringkat Negeri Melaka bakal berlangsung pada 8 Oktober 2010 (Jumaat) bermula pukul 2.30 petang - 4.30 petang di Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka. Dewan Bistari (ejaan rasmi 'Bistari' yang tertera di dalam dan di luar dewan) merupakan sebuah stadium mini tertutup yang melibatkan pelbagai acara sukan tertutup dalam dewan seperti badminton dan sepak takraw. Setakat kini (7 Oktober 2010 - Khamis: 9.00 malam) YAB Ketua Menteri Melaka bakal merasmikan pelancaran ini.

BBK 2010 JOHOR - MAJLIS PELANCARAN BBK NEGERI JOHOR


Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Peringkat Negeri Johor selesai diadakan pada 7 Oktober 2010 (Khamis) di Plaza Kota Raya, Johor Bahru, Johor. Majlis berlangsung pada pukul 10.45 pagi - 11.45 pagi dirasmikan oleh YB Datuk Ahmad Zahri Jamil, Exco Kerajaan Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor. Acara diselitkan termasuklah bacaan Ikrar Setia Bahasa, persembahan koir dan deklamasi puisi.

BBK 2010 MELAKA - PERHIMPUNAN BULANAN KERAJAAN NEGERI MELAKA

Penanda khas DBPWS untuk perhimpunan bulanan.

Barisan pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri Melaka.

Kakitangan kerajaan mula berkumpul sebelum 15 minit perhimpunan bermula.

Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka Bil. 10/10 bulan Oktober 2010 telah diselenggarakan oleh DBPWS pada 4 Oktober 2010 di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. DBPWS dilantik dan diberikan kepercayaan oleh pihak Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Melaka selaku penyelenggara dalam perhimpunan pada sesi ini atas penghormatan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Negeri Melaka.
Seramai 800 - 900 kakitangan kerajaan sama ada jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan yang berkhidmat untuk negeri Melaka. YAB Ketua Menteri Melaka bersama-sama YB Setiausaha Kerajaan Melaka dan exco serta pegawai kanan tertinggi kerajaan Melaka. Ketua Menteri Melaka mengarahkan pihak PBT Melaka bersama-sama DBPWS agar menjalankan pemantauan dan teguran terhadap papan-papan tanda perniagaan dan iklan di negeri Melaka sempena sambutan Melaka Maju 2010.

Ahad, Oktober 03, 2010

BBK 2010 MELAKA - PEMENTASAN MONODRAMA DAN TEATER (HARI KEDUA)

4 pelakon teater 'Gejolak'.

Barisan produksi dan pelakon monodrama 'Gondoruwo' dan 'Gejolak'.

'Gejolak' - terkurung dan terperangkap dalam tekanan diri.

Monodrama 'Gondoruwo'.

Pementasan Monodrama dan Teater Negeri Melaka pada 2 Oktober 2010 (Sabtu: 8.45 malam - 10.30 malam) di Panggung Seri, Taman Budaya Melaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM), Ayer Keroh, Melaka melibatkan monodrama 'Gondoruwo' dan teater 'Gejolak'. Pementasan ini merupakan anjuran bersama DBPWS dan JKKNNM merupakan hari kedua (terakhir) dalam siri pementasan sempena BBK 2010 Melaka.
Monodrama 'Gondurowo' dilakonkan penuh bertenaga oleh Suziyanti yang melakonkan watak gadis yang sudah mati menyesal atas perbuatan kejinya ketika hidup; Suziyanti merupakan antara pelakon teater, drama dan sketsa wanita yang dikenali dan berbakat besar di Melaka. Teater 'Gejolak' yang merupakan produksi Kolej Yayasan Melaka (KYM) dipentaskan buat kali kedua buat penonton yang dianggarkan sekitar 350 - 400 orang.
Bagi diri ini empat kali pementasan (2 monodrama dan 2 teater) selama 2 hari (1 - 2 Oktober 2010) di Panggung Seri itu amat membanggakan kerana menampilkan aksi lakonan yang meyakinkan dan mesej diketengahkan boleh diserap oleh majoriti penonton yang menyaksikannya. Kesungguhan pihak JKKNNM yang menguruskan pelbagai aspek termasuklah undangan dan promosi buat orang ramai di Melaka cukup membanggakan; pengurusan dalam hal-hal lain oleh JKKNNM cukup menyenangkan dan lancar. Tahniah dan terima kasih seribu penghargaan atas usaha gigih dan profesional pihak JKKNNM yang mengusahakan pementasan teater yang khusus buat penggiat teater anak negeri Melaka ini.
Insya-Allah jika tiada aral yang besar pementasan teater sempena BBK 2010 Negeri Johor akan menyusul pada 29 - 30 Oktober 2010 di Auditorium JOTIC, Johor Bahru, Johor; nantikan pemakluman terbaharu dan undangan tentang teater berjudul 'MENARA JIWA' yang bakal dipentaskan khusus untuk pengisian BBK 2010 Negeri Johor.