Rabu, September 09, 2009

TEATER ANUGERAH MERDEKA - SUATU CATATAN UMUM PERIBADI

Foto selingan: Pementasan Teater 'Roh Semberani' (tahun 2008).

Poster Teater Anugerah Merdeka 2009.

Menerusi laporan akhbar Berita Harian (ruangan HIP) hari ini berjudul "Dua teater pendek ke skala besar"... Tahniah buat kumpulan Persatuan Teater KESUMA-I Johor Bahru kerana terpilih untuk mementaskan teater yang lebih berskala besar. Pelibatan kumpulan ini dalam Teater Anugerah Merdeka 2009 pada 17 - 19 Ogos 2009 di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur merupakan anjuran DBP dan Merdeka Award.

Sekadar Catatan Umum Peribadi

Secara peribadi saya telah dihubungi oleh En. A. Wahab Hmazah pada awal minggu pertama Ogos 2009 yang ingin saya maklumkan dan salurkan 2-3 kumpulan dari Johor untuk menghantar penyertaan dalam Teater Anugerah Merdeka 2009, lalu saya hubungi beberapa kumpulan di Johor (termasuk sebuah kumpulan Singapura) yang saya kenali melalui telefon dan SMS.

Selang dua tiga hari berikutnya maka dapatlah 3 kumpulan yang menghantar sinopsis dan pelakon serta krew terlibat untuk teater mini 15 minit ini. Saya segera hantar sinopsis termasuk senarai pelakon dan krew 3 kumpulan ini kepada En. A. Wahab Hamzah melalui e-mel dan faksimile.
Selang seminggu selepas itu ketika saya berkembara ke Pulau Pisang, Pontian pada 9 Ogos 2009, saya menerima SMS En. A. Wahab Hamzah menyatakan kumpulan Persatuan Teater KESUMA-I melalui tajuk Reyok, Nafas Bangsa terpilih antara 16 kumpulan yang bakal mementaskan teater mini 15 minit pada 17 - 19 Ogos 2009 di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur.

Berkebetulan ketika itu Pengarah Reyok, Nafas Bangsa iaitu Pn. Rahimah Muda turut sama ketika di Pulau Pisang, Pontian itu, lalu saya terus menunjukkan SMS yang menyatakan kumpulan dan karyanya terpilih daripada 40 penyertaan yang diterima pihak Anugerah Merdeka dan DBP yang meliputi seluruh negara. En. A. Wahab Hamzah hanya memberitahu bahawa ada sedikit honorarium yang akan diberikan kepada setiap kumpulan yang membuat pementasan itu.

Sidang media tentang pementasan ini diadakan pada 13 Ogos 2009 di DBP, Kuala Lumpur. Kumpulan KESUMA-I ini tidak dapat hadir dalam sidang media itu. Pada hari yang sama saya mendapat maklum bahawa KESUMA-I diberikan giliran pementasan pada 18 Ogos 2009, juga dimaklumkan bahawa bukan calang-calang kumpulan, pelakon, pengarah dan penggiat teater yang terpilih antaranya nama besar seperti Mamat Khalid, Khir Rahman, Vanidah Imran, Farid Kamil, Ladin Nuawi, dan Rahimidin Zahari. Pada 17 Ogos 2009 (sebelum kumpulan berangkat ke KL), saya memohon kumpulan agar adakan pratonton Reyok, Nafas Bangsa di Balai Seminar DBPWS, Johor Bahru. Selepas pratonton saya cuma doakan agar kumpulan ini membuat pementasan yang baik dan bermutu... itu sahaja!

Namun pada 18 Ogos 2009 saya dimaklumkan oleh kawan di KL bahawa pihak Anugerah Merdeka dan DBP akan memilih 2 atau 3 kumpulan yang terbaik untuk diberikan peluang mementaskan teater mini ini ke pementasan yang berskala besar. Saya hairan...? mengapa 2 minggu sebelum pementasan tiada dimaklumkan tentang adanya pemilihan sebegini pula? Maka kawan dari KL menjelaskan keputusan ini baru diputuskan selepas sidang media tempoh hari; namun saya tidak berharap apa-apapun.

Setelah pementasan selasai pada 19 Ogos 2009 saya terdengar 'khabar-khabar nakal yang janggal' bahawa Reyok, Nafas Bangsa terpilih, beberapa kenalan memberitahu perkara yang sama, namun saya tetap berpegang teguh bahawa selagi TIADA SURAT RASMI maka tiada kepastian semuanya ini. Walaupun telah tersiar dalam akhbar Berita Harian (ruangan hiburan - HIP) hari ini... tapi sehingga kini saya nasihatkan kumpulan agar menunggu SURAT RASMI daripada pihak Anugerah Merdeka dan DBP tentang terpilihnya Reyok, Nafas Bangsa untuk dipentaskan kepada skala yang lebih besar.
_________________________________________________

Di bawah ini disertakan berita berkenaan yang dikutip dalan BH Online (ruangan HIP):
Dua teater pendek ke skala besar
DUA teater yang dipentaskan sempena Festival Teater Pendek Anugerah Merdeka pada Ogos lalu, dipilih untuk dikembangkan dan dijadikan pementasan lebih besar. Teater pendek itu ialah Merdeka Apa? karya dan arahan Mamat Khalid, manakala satu lagi ialah Reyok Nafas Bangsa daripada Rahimah Muda. Kedua-duanya adalah antara 16 teater yang dipentaskan dalam festival anjuran bersama Sekretariat Anugerah Merdeka dan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) di Stor Teater DBP pada 17 hingga 19 Ogos lalu.
Teater lain yang dipentaskan ketika itu ialah Selendang Tun Fatimah Sundang Melaka, Mat Arshad Mati Dibunuh, Satu, Apa Maknanya 63, Sehelai Surat Berkisah dan Bidan Ketujuh.Karya teater lain ialah Maafkan Aku, The Price, Lampu Suluh Jam Dinding, Merdeka Apa?, Merdekakah Kita, Mereka Mereka Merdeka, Satu Enam Empat Kaunter Empat, Lima Jam Sebelum Laungan Merdeka di Stadium Merdeka dan 3-1...1-3.
Selama tiga malam berturut-turut, Sekretariat Anugerah Merdeka dan DBP akan memilih dua teater yang dianggap paling menonjol dan berpotensi untuk dikembangkan. Setiap teater yang dipentaskan dinilai dan diberi markah oleh seorang wakil daripada setiap kumpulan teater yang terbabit yang dilantik oleh kumpulan itu sendiri. Merdeka Apa? dan Reyok-Nafas Bangsa memperolehi undian tertinggi untuk layak dipentaskan dalam skala lebih besar pada Januari 2010 nanti. Selain itu penganjur dan Sekretariat Anugerah Merdeka juga amat berpuas hati dengan kejayaan dan sambutan yang sangat memberangsangkan daripada penggiat dan peminat teater.

3 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Pagi tadi, saya pun terbaca akhbar tentang hal ini. Saya terus teringat teater ini, dan teringat RAR. Pastinya inilah sumbangan besar seorang pegawai DBPWS dalam memartabatkan seni teater, dan mudah-mudahan Rahimah Muda serta tenaga penggeraknya akan berjaya nanti.

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam en.rusdi. benar kata kanda azhar; saya turut menitipkan doa & mengutus tahniah kepada RM(kak rahimah muda) & en.RAR, serta kumpulan teater dengan kejayaan ini.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Azhar,
Seadanya yang mampu untuk membantu kumpulan @ penggiat teater Johor agar mendapat tempat dalam teater tanah air.

Sdra. Wahyu,
Jangan lupa saksikan teater SRIKANDI TANAH JAUHAR yang merupakan buah tangan seterusnya Rahimah Muda pada 23 - 24 Oktober 2009 nanti di Auditorium RTM Johor, Johor Bahru.